Wednesday, 1 June 2016

Pas tegur ahli jangan lancang berkata-kata

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
KOTA BHARU- Pas menegur sikap ahlinya yang mengkritik dan mendedahkan rahsia parti sebagai trend untuk menghuru-harakan keadaan serta menghakis sokongan rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, terkini wujudnya golongan menggunakan ceramah dan facebook untuk menghentam parti bagi melepaskan dendam serta memuaskan hati tanpa memberikan faedah.

Menurutnya, disebabkan sikap golongan terbabit yang tidak berdisiplin dan sengaja mendedahkan rahsia parti mendorong kepada pemecatan, bukannya pimpinan Pas tidak boleh ditegur.

"Dalam jemaah kita diajar untuk setia dengan pemimpin selagi pemimim tidak langgar syariah dan diajar cara menegur.

"Kita boleh berbeza pandangan dan kritik pemimpin. Pemimpin tidak pernah anggap maksum.

"Kita ada salah, silap dan kekurangan. Kesilapan dalam politik bukan satu maksiat. Itu kesilapan manusia biasa," katanya.

Malam tadi, beliau merasmikan Muktamar Muslimat Pas Pusat Ke 56 yang berlangsung di Dewab Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam.

Hadir sama, Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh dan Setiausaha Muslimat Pas Pusat, Kartini Ahmad.

Selain itu, Mohd Amar berkata, Pas masih mampu meraih undi bukan Melayu walaupun sudah berpecah dengan DAP.

"Ramai mengatakan Pas mendapat undi bukan Melayu selama ini disebabkan DAP. Namun DAP juga diingatkan mereka mendapat undi Melayu selama ini juga disebabkan bantuan Pas.

"Pas yakin untuk meraih undi bukan Melayu bukan hanya dengan satu cara sahaja iaitu bekerjasama dengan DAP, sebaliknya sekiranya jentera parti bekerja kuat, kita masih mampu mendapat undi mereka," katanya.

Dalam masa sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga menyedarkan semua ahli parti supaya terus memperkasakan perjuangan dan lebih menampilkan keyakinan kepada masyarat terhadap perjuangan parti.

Katanya, jika Pas gagal menganjurkan program ataupun melakukan gerak kerja yang dapat menimbulkan aura keyakinan maka sukar untuk rakyat memilih parti itu pada pilihan raya akan datang.

Pas katanya, dalam berdepan dengan gelombang cabaran politik yang hebat semenjak akhir-akhir ini perlu memiliki bacaan politik yang tinggi dan peka bahkan tidak melihatnya dalam satu sudut pandangan sahaja.

Sesi perbahasan peringkat sayap Muslimat akan bersambung hari ini bermula jam 8 pagi di lokasi yang sama. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...