Sunday 30 July 2017

Jakim tunggu keputusan mahkamah isu nasab anak



PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendirian yang sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tentang penasaban anak tidak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada sehinggalah keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan di sini semalam berkata, beliau turut menasihati umat Islam di negara ini supaya bertenang berhubung keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan apabila memutuskan kanak-kanak yang dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

“Semoga usaha pihak JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan akan berjalan lancar,” katanya.

Saturday 29 July 2017

Ramai PATI diberkas di Putrajaya

Datuk Seri Mustafar Ali
SINTOK – Kawasan Putrajaya merupakan lokasi paling ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas oleh Jabatan Imigresen sejak operasi secara besar-besaran dilancarkan bermula 30 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, semakan mendapati, seramai 997 PATI ditangkap di Putrajaya diikuti Johor (854), Kuala Lumpur (608), Sabah (474), Sarawak (428), Negeri Sembilan (381) dan Kedah (368).

Katanya, secara keseluruhan pihaknya telah menahan seramai 5,437 PATI yang tidak memiliki Enforcement Card (E-Kad) dan 117 majikan yang menggaji mereka setakat semalam.

Friday 28 July 2017

Pesta kaut beras di Tanjong Karang

Orang ramai berpusu-pusu mengutip beras yang tumpah di atas jalan raya di Tali Air 3, Sungai Burong, Tanjong Karang malam kelmarin.


TANJONG KARANG – Puluhan penduduk dan pengguna jalan raya di Tali Air 3, Sungai Burong di sini tanpa rasa bersalah berpesta mengaut beras yang tumpah di atas jalan raya sehinggakan ada yang sanggup membawa lori sendiri malam kelmarin.

Walaupun pemandu dan pihak berkuasa menghalang perbuatan tersebut, namun jumlah orang yang terlalu ramai menyebabkan 28 tan beras licin hanya dalam tempoh empat jam.

Kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu berlaku ketika sebuah treler jenis Scania membawa muatan beras dalam guni seberat 40 tan metrik sedang dalam perjalanan dari Setiawan, Perak menuju ke Senai, Johor.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, muatan beras yang dibawa menjadi tidak stabil ketika melalui jalan yang rosak sebelum puluhan guni beras tumpah dan terjatuh di atas jalan raya.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh hampir tiga kilometer apabila hanya satu lorong sahaja yang boleh digunakan sehingga kerja pembersihan tamat.

Pemandu treler, Risat Abd. Rahim, 43, mendakwa, kejadian itu berpunca daripada faktor jalan raya yang mendap berikutan kerja-kerja pembinaan serta naik taraf jalan persekutuan di kawasan berkenaan.

Dakwa Risat, dia memandu kenderaan berat itu dengan agak perlahan berikutan keadaan jalan yang rosak sebelum muatan beras yang dibawanya tiba-tiba menjadi tidak stabil dan terjatuh di atas jalan raya.

“Saya kemudian berhenti di tepi jalan untuk mengelakkan treler saya terus senget dan terbalik.

“Tetapi saya tidak sangka, tiba-tiba orang ramai menyerbu kawasan kejadian. Saya kesal, tindakan orang ramai mengutip beras yang tumpah tanpa rasa bersalah walaupun saya dan pihak polis telah menghalang mereka.

“Malah, ada yang sanggup membawa lori satu tan untuk mengaut beras yang tumpah itu,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Thursday 27 July 2017

Tan Sri, anak didakwa SPRM


KUALA LUMPUR – Bekas Naib Pre­siden MIC, Tan Sri S. Balakrishnan dan anak lelakinya didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini semalam masing-masing atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan bersubahat berkaitan projek mengindah dan memulihkan Sungai Melaka bernilai hampir RM13 juta empat tahun lalu.

Balakrishnan, 63, dan anaknya, B. Ashok Kumar, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail dan ­Azura Alwi.

Di hadapan Allaudeen, Balakrishnan yang merupakan bekas Pengarah Syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. didakwa membuat tuntutan bayaran yang mengandungi butiran palsu bagi kerja-kerja membekal dan menghantar bekas takungan air sebanyak 358 unit bernilai RM12,888,000 sedangkan bekas takungan air yang dibekalkan hanya 89 unit.

Dokumen tuntutan ber­kenaan dikemukakan melalui juruukur bahan yang dilantik syarikat Sinnayah & Sons iaitu Nuri Abdullah kepada pengarah bahagian projek khas Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Bekas Naib Presiden MIC pada tahun 2013 hingga 2015 itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Di hadapan Azura, Ashok Kumar yang merupakan pengurus projek syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. didakwa bersubahat dengan bapanya melakukan kesalahan tersebut.

Wednesday 26 July 2017

China buka pawagam di Laut China Selatan

Bandar Sansha di Pulau Woody.

BEIJING – China membuka pawagam di sebuah pulau tuntutan bertindih di Laut China Selatan dalam usaha berterusan Beijing untuk membina infrastruktur awam dan mengukuhkan kedaulatannya, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Xinhua pada Ahad lalu, panggung wa­yang dilengkapi peralatan paling canggih itu dibuka di Pulau Woody, dalam Kepulauan Paracel yang turut dituntut oleh Vietnam dan Taiwan.

“Pembukaan pawagam ini merupakan sebahagian daripada rancangan pihak berkuasa kebudayaan tempatan untuk mewujudkan perkhidmatan masyarakat di pulau-pulau di bawah pentadbiran Sansha,” kata Xinhua.

Pulau Woody menempatkan bandar Sansha yang menjadi pusat pentadbiran China di Laut China Selatan.

China menguasai kepulauan Paracel dalam tahun 1974 selepas bertempur de­ngan Vietnam.

Walaupun China meng­gelarnya sebagai bandar, penduduk tetap di Sansha hanyalah beberapa ribu orang, manakala banyak pulau kecil dan terumbu di sekitarnya tidak berpenghuni.

China menuntut 90 peratus daripada keseluruhan Laut China Selatan dengan Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan turut membuat tuntutan bertindih di perairan itu. – Reuters

Gubal akta menghendap



KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang menggubal satu akta khusus berkaitan kesalahan perbuatan stalking atau menghendap oleh bekas pasangan suami atau isteri.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (gambar) berkata, peruntukan kesalahan tersebut tidak boleh dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam.

Bagaimanapun beliau memberitahu, pada masa ini perbuatan menghendap mangsa keganasan rumah tangga termasuk melalui media-media sosial yang mengandungi elemen jenayah sahaja dianggap satu kesalahan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017.

Katanya, ia berikutan pindaan Akta 521 itu perlu dibaca bersama Kanun Keseksaan yang tidak meletakkan perbuatan tersebut sebagai satu kesalahan.

“Di bawah pindaan akta ini, tafsiran keganasan rumah tangga meletakkan kesalahan sekiranya ada elemen jenayah melalui menghendap seperti mengugut termasuk berhubung dengan mangsa atau pihak ketiga tentang mangsa untuk mengaibkan kehormatannya melalui apa-apa cara, elektronik atau sebaliknya.

“Namun, kerajaan akan mengikuti perkembangan stalking ini dan akan mempertimbangkan untuk menggubal akta khusus mengenainya melalui sokongan pelbagai pihak supaya ia dijadikan satu kesalahan jenayah pada masa akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Tuesday 25 July 2017

AS campur tangan isu Masjid Al-Aqsa

PENDUDUK Palestin mengerjakan solat di Bandar Lama, dekat pekarangan Masjid Al-Aqsa kelmarin.

BAITULMUQADDIS – Seorang penasihat kanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadualkan tiba di Israel semalam untuk membantu mengurangkan ketegangan berhubung langkah keselamatan baharu Rejim Zionis di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Lawatan Jason Greenblatt itu menyusul selepas keganasan berdarah di pekarangan Masjid Al-Aqsa atau dikenali sebagai Temple Mount oleh orang Yahudi hujung minggu lalu.

“Greenblatt berlepas ke Israel malam kelmarin ekoran kebimbangan lebih banyak keganasan akan berlaku.

“Beliau akan berusaha meredakan ketegangan di rantau itu,” kata seorang pegawai AS yang enggan identitinya didedahkan.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan me­ngadakan rundingan tertutup pada hari yang sama bagi membincangkan keganasan yang makin memuncak di Baitulmuqaddis.

Rundingan tergempar itu dipanggil oleh Mesir, Perancis dan Sweden.

Israel memasang alat pengesan logam di beberapa pintu masuk ke lokasi tersebut termasuk Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu susulan serangan pada 14 Julai lalu yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh.

Penduduk Palestin bagaimanapun menganggap langkah Israel itu sebagai cubaan Rejim Zionis untuk menguasai pekara­ngan Masjid Al-Aqsa.

Sebagai protes, warga Palestin enggan memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa dan mengerjakan solat di jalan-jalan di luar­nya.

Pihak berkuasa Israel memberi alasan bahawa alat pengesan logam itu diperlukan kerana penyerang dalam insiden pada 14 Julai lalu menyeludup masuk pistol ke pekara­ngan Masjid Al-Aqsa.

Bantahan terhadap langkah keselamatan Israel itu mencetuskan pertempuran yang mengakibatkan tujuh warga Palestin terbunuh.

Terdahulu, ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit menuduh Israel bermain api dengan melaksanakan langkah keselamatan baharu itu, manakala Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan pemasangan alat pengesan itu sebagai menghina umat Islam. – AFP

Monday 24 July 2017

Kementerian hantar pegawai timbang buku sekolah

Mahdzir Khalid

BATU GAJAH - Kementerian Pendidikan akan menghantar pegawainya ke sekolah rendah terlibat bagi mengkaji bebanan buku yang dibawa oleh murid-murid.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, menerusi aduan membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) itu, murid terpaksa membawa buku latihan dan buku teks yang membebankan mereka.

"Murid-murid beban membawa buku tambahan selain buku teks yang disediakan. Kita tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai isu ini. Berapa banyak jumlah buku yang dibawa ke sekolah.

"Difahamkan ia melibatkan murid-murid tahun 1 hingga tahun 6. Bagaimanapun, kita akan mengkaji laporan akhbar berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Batu Gajah di Dewan Datuk Wira Yusoff Kassim, di sini.

Menurutnya, garis panduan berhubung jumlah buku dan berat dibenarkan adalah maksimum 10 buku sahaja.

"Garis panduan sudah ada. Kita lihat berapa banyak buku teks, buku latihan dan buku lain dalam beg yang dibawa oleh murid-murid.

"Kita akan minta pegawai KPM siasat dan kaji serta timbang berat buku yang dibawa murid-murid supaya ada penyelesaian," katanya.

Sunday 23 July 2017

Jokowi arah tembak pengedar dadah



JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (gambar) mengarahkan anggota penguat kuasa menembak mati pengedar dadah bagi memerangi ancaman narkotik yang semakin serius di negara itu.

“Bertindak tegas, terutama kepada pengedar dadah asing yang masuk negara ini. Tangkap dan tembak mereka kerana kita sekarang berada dalam keadaan kecemasan narkotik,” ujar Joko semasa berucap pada majlis anjuran sebuah parti politik di sini malam kelmarin.

Kenyataannya itu telah dibandingkan kepada tindakan sama yang dilakukan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang me­lancarkan perang antidadah kira-kira setahun lalu sehingga menyaksikan ribuan pengedar dadah dibunuh.

Kempen berdarah di Filipina itu telah mencetuskan kritikan daripada komuniti antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Indonesia turut mempunyai undang-undang keras dalam memerangi dadah. Joko sebelum ini dikritik kerana memerintahkan hukuman tembak terhadap pengedar dadah yang dihukum mati oleh mahkamah.

Aktivis hak asasi manusia dan sebilangan agensi kerajaan telah meminta Indonesia menghapuskan hukuman mati.

Arahan tembak mati daripada Joko itu dikeluarkan beberapa minggu selepas polis Indonesia menembak mati seorang warga Taiwan dalam serbuan di bandar berdekatan Jakarta.

Lelaki tersebut yang merupakan anggota kumpulan yang cuba menyeludup 1 tan dadah jenis methamphetamine ke negara itu terbunuh ketika cuba bertindak balas semasa ditahan.

Selepas insiden itu, Ketua Polis Negara, Tito Karnavian dipetik oleh media mengatakan bahawa beliau telah memerintahkan semua pegawai polis agar tidak teragak-agak menembak pengedar dadah yang cuba mengelak daripada ditangkap. – Reuters

Saturday 22 July 2017

200 batu karang dalam badan

Sebahagian daripada 200 batu karang yang dikeluarkan dari pundi hempedu dan hati seorang wanita di China.

Hezhou (China): Sekumpulan doktor mengeluarkan lebih 200 batu karang di dalam pundi hempedu dan hati seorang wanita di sini yang berpunca daripada tidak sarapan pagi.

Dr Quan Xuwei dari Hospital Guangji memberitahu, batu karang itu yang ada sebesar telur ayam dikeluarkan dalam satu pembedahan pada 15 Julai lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Chen, 45, itu sering makan lebihan makanan dan makan tidak mengikut waktu sejak 10 tahun lalu.

Pesakit juga sering tidak mengambil sarapan pagi dan makan makanan yang tidak sihat dan banyak kolesterol.

“Chen mula sakit perut sejak 10 tahun yang lalu tetapi tidak mendapatkan rawatan di hospital.

“Beberapa tahun lalu, dia membuat pemeriksaan di hospital dan doktor menyarankan pembedahan dilakukan tetapi wanita itu tidak bersetuju kerana takut,” katanya.

Menurutnya, Chen datang semula ke hospital pada minggu lalu kerana mengalami sakit perut yang teruk dan dia tiada pilihan selain menjalani pembedahan.

Semua batu karang di tubuh manusia biasanya terbentuk daripada kolesterol dan mereka yang berusia 40 tahun ke atas, terutama wanita berisiko mengalami keadaan itu.

Menurutnya, pemakanan dan gaya hidup seseorang juga menjadi punca utama pembentukan batu karang dalam tubuh.

“Kebanyakan pesakit yang saya temui termasuk Chen sering tidak mengambil sarapan pagi,” jelasnya.

Friday 21 July 2017

Kakitangan BERNAS bersubahat pecah amanah RM1.11 juta



BUTTERWORTH – Dua pembantu tadbir operasi gudang beras milik syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) di Kawasan Perindustrian Perai dekat sini didakwa di Mahkamah Ses­yen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap beras lebih 500,000 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM1.11 juta, Mac lalu.

Ketua gudang, Mohd. Khairie Mohd. Noor dan kerani gudang, Mohamad Taufik Akman masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Norhayati Mohamed Yunos.

Sementara itu, seorang pemandu lori, C. Ramanathan yang dipercayai menjadi orang tengah untuk mendapatkan pembeli beras seberat 515,050 kilogram itu, didakwa bersubahat dengan ke­dua-dua lelaki terbabit untuk melakukan kesalahan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairie, 32, dan Mohamad Taufik, 26, didakwa menyalah guna beras jenis Thai White Rice (TWR) untuk kepentingan mereka sendiri antara 2 Ogos 2016 dan 9 Mac 2017 di gudang syarikat itu di No.331, Mukim 1 Solok Perusa­haan 4, Kawasan Perindustrian Perai, Seberang Perai Tengah di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta boleh didenda.

Ramanathan, 56, pula didakwa bersubahat dengan Mohd. Khairie dan Mohamad Taufik pada masa tarikh dan tempat sama serta dituduh mengikut Seksyen 408 dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Norhayati kemudian menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan kes dan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 berserta seorang penjamin.

68 tahun usia baharu layak pencen di Britain

Polis British sedang melakukan tugasan kawalan dan rondaan harian.


LONDON – Usia kelayakan pencen negara di Britain akan dilanjutkan daripada 65 kepada 68 tahun demikian menurut usul kerajaan kelmarin.

Cadangan itu akan menyebabkan pekerja yang lahir antara tahun 1970 hingga 1978 perlu bekerja setahun lagi sebelum layak menikmati pencen masing-masing.

Usia kelayakan pencen negara di Britain pada masa ini ialah 65 tahun, namun ia akan dilanjutkan kepada 68 tahun dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

Menteri Kebajikan, David Gauke memberitahu Parlimen kelmarin bahawa beliau telah menerima cadangan untuk merombak usia kelayakan pencen sekarang kepada 68 tahun.

Peraturan baharu itu akan dilaksanakan antara tahun 2037 hingga 2039 berbanding 2044-2046 seperti yang dirancangkan sebelum ini.

Rancangan sedia ada untuk meningkatkan usia persaraan kepada 66 dan 67 tahun masih kekal, kata beliau.

“Jangka hayat (manusia) terus meningkat, manakala bilangan pekerja yang layak untuk menerima pencen negara juga terus bertambah.

“Kita perlu memastikan bahawa kita mempunyai sistem pencen yang adil dan mapan seiring dengan kehidupan moden serta dapat melindungi generasi di masa hadapan,” kata Gauke.

Usul itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan Parlimen sebelum boleh dikuatkuasakan.– Reuters

Thursday 20 July 2017

CEO Zakat Pulau Pinang didakwa

Azman (tengah) diiring pegawai SPRM untuk didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam.


SEBERANG PERAIKetua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan seorang pegawai kanannya dihadapkan ke Mahkamah Se­syen Butterworth di sini semalam masing­-masing atas tiga pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan rasuah.


Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh iaitu CEO ZPP, Datuk Azman Abdul Samat, 50, dan Ketua Bahagian Pengurusan Pembangunan Kualiti Asnaf dan Ekonomi ZPP, Mohd. Wardi Ramli, 35, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Azman berhadapan tiga pertuduhan rasuah iaitu menerima seutas jam tangan Bonia Tesoro bernilai RM700 daripada pemilik syarikat MNI Venture yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di rumah di Permatang Rambai, Permatang Pauh pada 2010.

Bagi pertuduhan kedua, Azman dituduh menerima seutas jam tangan Tissot Touch bernilai RM2,000 daripada pemilik syarikat Al Global Trading yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di pejabat ZPP di Jalan Perda Selatan, Bandar Perda, Bukit Mertajam antara 2011 hingga 2015.

MOHD. WARDI (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth semalam untuk menghadapi pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah.



Azman merangkap pengurus besar ZPP juga berhadapan tuduhan menerima seutas jam tangan Roscani Paris bernilai RM750 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di kedai makan berhampiran ZPP pada 2015.

Bagi setiap pertuduhan itu, Azman didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke atas Mohd. Wardi pula, pegawai kanan itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah dengan mengesyorkan syarikat Al Global Trading membekalkan 26 set cadar bujang, 52 set cadar kelamin dan 100 helai selimut yang ke­semuanya berharga RM10,240 dengan cara mengemukakan sebut harga bertarikh 26 Oktober 2015 kepada Mohd. Syukri Ibrahim yang mana dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ZPP, No. 4, Jalan Perda Selatan, Bandar Perda pada Oktober 2015.

Wednesday 19 July 2017

JPJ saman Timbalan Ketua Pengarah sendiri

TENGKU DAHARI (kanan) mewakili Yusoff di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ternyata tidak memilih bulu dalam melaksanakan undang-undang lalu lintas apabila pegawai kanannya iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ dijatuhi hukuman denda RM600 di atas kesalahan memandu di lorong kecemasan.

Datuk Yusoff Ayob, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun tidak hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam kerana perlu menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JPJ.

Beliau diwakili pegawai khasnya dikenali sebagai Tengku Dahari yang mengakui kesalahan tersebut.

Pengakuan bersalah itu direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman.

Mengikut pertuduhan, Yusoff didakwa disaman selepas melakukan kesalahan lalu lintas JPJ dengan memandu sebuah Proton Inspira dengan nombor pendaftaran BLY68 di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya pada pukul 6.27 petang, 7 Oktober tahun lalu.

Beliau dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani tambahan hukuman penjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda.

Tuesday 18 July 2017

Terdesak mahu anak

SAMI berjalan di atas belakang wanita berkenaan.


New Delhi: Kerana terdesak mahukan anak, segelintir wanita di Andhra Pradesh sanggup dipijak sami dengan harapan dapat membuatkan mereka hamil.

Ritual pelik itu diamalkan ketika festival tradisi Ekadashi yang diadakan setiap tahun pada bulan Julai.

Wanita terbabit meniarap beramai-ramai di atas tanah sebelum belakang mereka dipijak sami yang dianggap lelaki suci.

Penduduk di situ mengamalkan ritual berkenaan sejak beberapa generasi baru dan ramai wanita didakwa berjaya hamil selepas menjalaninya walaupun sudah bertahun-tahun gagal mendapat anak sebelum itu.

Seorang majistret tempatan, Harilal Nayak berkata, walaupun tiada bukti ritual itu berkesan, ramai wanita tetap mengamalkannya.

Zionis makin melampau

Warga Palestin bersolat di luar pagar keselamatan Israel sambil dikawal tentera rejim Zionis.

Kuala Lumpur : Laungan azan tidak dibenar menggunakan pembesar suara dan setiap warga Palestin perlu melalui pagar elektronik yang dikawal ketat tentera Zionis untuk masuk ke Masjid al-Aqsa bagi menunaikan solat.

Di Semenanjung Gaza pula, bekalan elektrik hanya dua jam setiap hari menyebabkan ribuan pesakit di hospital terdedah kepada kematian.

Itulah keadaan terkini di Palestin yang didedahkan Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Derawi ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Menurutnya, situasi tegang di Masjid al-Aqsa akan terus berlaku antara rejim Zionis dan Muslim rentetan tindakan menghalang umat Islam menunaikan solat dalam masjid berkenaan.

“Setiap hari ada saja warga Palestin mati ditembak. Tentera Israel mendakwa serangan mahu dilakukan kami (warga Palestin), tetapi keadaan sebenar adalah sebaliknya. Ia adalah rutin kejam dilakukan mereka bagi menekan kami,” katanya.

Sunday 16 July 2017

Rakyat Malaysia malas berjalan

Berjalan kaki mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, diabetes, asma dan kanser kerana ia menguatkan jantung dan meningkatkan imun seseorang.


KUALA LUMPUR – Sikap terlalu manja rak­yat Malaysia merupakan antara faktor utama negara ini tersenarai dalam kedudukan ke-44 daripada 46 buah negara yang mempunyai penduduk paling malas berjalan di dunia.

Hasil kajian penyelidik dari Universiti Stanford, California mendedahkan, rakyat Malaysia secara puratanya hanya berjalan sebanyak 3,963 langkah setiap hari yang meletakkan negara ini dalam kelompok terendah di hadapan Arab Saudi dan Indonesia.

Arab Saudi berada di kedudukan ke-45 dengan rakyatnya secara purata berjalan sebanyak 3,807 langkah sehari manakala penduduk yang paling malas berjalan ialah Indonesia dengan 3,513 langkah sehari.

Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar Salam Senawang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, rata-rata rakyat di negara ini kurang kesedaran akan pentingnya berjalan dalam membantu mengekalkan tahap kesihatan mereka.

“Selain kurang kesedaran, kebanyakan rakyat Malaysia berasa selesa dengan kehidupan sekarang sehingga menjadi malas untuk berjalan. Mereka sudah biasa menggunakan pengangkutan awam yang senang dinaiki atau milik persendirian untuk bergerak ke mana sahaja tanpa perlu lagi berjalan.

“Kalau boleh semua ingin mudah dan sikap terlalu manja ini sebenarnya sudah menjadi tabiat rakyat di negara ini sehingga ia menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupan harian mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Saturday 15 July 2017

FELDA rugi kerana beli hotel di London

HOTEL The Park City d Kensington, London dibeli FIC.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti Felda Investment Corporation (FIC) mengalami kerugian bernilai jutaan ringgit antara tahun 2013 dan 2015 berpunca daripada pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London yang terlalu mahal.

FIC merupakan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan. FIC didakwa membeli hotel Park City Grand Plaza di Kensington, London pada harga RM330 juta.

SPRM dalam satu kenyataan semalam berkata, penemuan awal itu diperoleh selepas pasukan penyiasat agensi pe­nguatkuasaan itu mengambil dokumen-dokumen berkaitan pembelian hotel tersebut dan kini dalam proses menilai serta meneliti kesemua maklumat yang ditemui.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel tersebut.

Friday 14 July 2017

Profesor dari Korea bangunkan papan kekunci jawi

Prof. Dr. Kang Kyoung Seok

BUKIT MERTAJAM - Cinta yang mendalam terhadap tulisan jawi menyebabkan Prof. Dr. Kang Kyoung Seok memasang impian untuk membangun dan mengeluarkan papan kekunci khas bertulisan jawi.

Dekan Fakulti Asia Tenggara di Daegu University of Foreign Stu­dies (DUFS) Korea Selatan itu menyasarkan untuk merealisasikan impiannya itu pada 2019.

Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah menunjukkan minat untuk membangunkan papan kekunci itu yang akan menjadi pertama seumpamanya di dunia.

“Ketika ini projek tersebut berada pada fasa terakhir dan saya yakin dapat dikeluarkan selewat-lewatnya pada 2019 sekali gus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Dengan adanya papan kekunci itu, tulisan jawi akan terus dimartabatkan serta dikembangkan ke serata pelusuk dunia,” katanya da­lam temu bual eksklusif bersama Utu­san Malaysia, di sini baru-baru ini.

Kyoung Seok, 62, memperkenalkan pengajian dalam kebudayaan Melayu terutama tulisan jawi di DUFS pada tahun lalu turut menjalankan kajian mengenai ilmu jawi atau Jawiology melalui Pusat Antarabangsa Jawiology di universiti tersebut.

Selain itu, beliau turut berhasrat mencipta mesin pengimbas yang boleh menterjemah tulisan jawi kepada pelbagai bahasa dan percaya teknologi itu dapat membantu peminat tulisan jawi sepertinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, idea tersebut timbul selepas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad pernah mendedahkan terdapat 4,600 manuskrip Melayu lama bertulisan jawi lama yang masih belum terusik untuk dilakukan 
sebarang kajian atau usaha-usaha untuk menterjemahkannya ke dalam tulisan rumi.

“Ada yang menganggap saya gila apabila terlalu taksub dengan tulisan jawi sehingga sanggup me­rantau ke Malaysia ketika ramai rakan saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat atau England.

“Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini pada 1984, saya terus jatuh cinta dengan tulisan jawi dan membolehkan saya kini diiktiraf sebagai pakar jawi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.

Kyoung Seok berkata, beliau amat menghargai usaha Utusan Malaysia memperkenalkan semula penerbitan akhbar Utusan Melayu Mingguan bertulisan jawi dalam versi cetak di Johor melalui tajaan Johor Corporation (JCorp).

Namun, pada masa sama, beliau melahirkan kebimbangan apabila generasi muda di negara ini yang semakin melupakan tulisan bangsa sendiri selain khuatir berlaku ketandusan generasi yang mampu menguasai tulisan jawi.

Thursday 13 July 2017

China buka pangkalan tentera pertama di luar negara

TENTERA Pembebasan Rakyat (PLA) berdiri di atas kapal ketika berlepas dari Zhanjiang, wilayah Guangdong, China kelmarin.

BEIJING - China dilaporkan telah menghantar pasukan tentera ke pangkalan tentera luar negaranya yang pertama di Djibouti.

Lapor Channel News Asia, China memulakan pembinaan pangkalan logistik di Djibouti pada tahun lalu, menempatkan kapal tentera laut yang menyertai misi pengaman dan kemanusiaan di luar pesisir pantai Ye­men dan Somalia, khususnya.

Ia akan menjadi pangkalan tentera laut asing pertama China, walaupun Beijing secara rasmi menggambarkannya sebagai fasiliti logistik.

Agensi berita Xinhua dalam satu laporan ringkas lewat semalam berkata, kapal-kapal tentera telah berlepas dari Zhanjiang di selatan China untuk menubuhkan pangkalan sokongan di Djibouti.

Walau bagaimanapun, laporan berkenaan tidak membe­ritahu tarikh sebenar pangkalan tersebut akan beroperasi secara rasmi.

Tambah Xinhua, penubuhan pangkalan itu adalah keputusan yang dibuat oleh kedua-dua negara selepas rundingan persahabatan dan sesuai dengan kepentingan bersama rakyat dari kedua-dua pihak.

“Asas ini akan memastikan pres­tasi misi China, seperti mengiringi, menjaga keamanan dan bantuan kemanusiaan di Afrika dan Asia Barat.

“Pangkalan ini juga akan memberi manfaat kepada tugas-tugas luar negara termasuk kerjasama ketenteraan, latihan bersama, pemindahan dan perlindungan di luar negara serta penyelamatan kecemasan, serta bersama-sama mengekalkan keselamatan perairan antarabangsa,” lapor Xinhua yang memetik ucapan dari Komander Tentera Laut China, Shen Jinlong.

Wednesday 12 July 2017

Kopi bantu panjangkan usia

KAJIAN terkini pakar perubatan mendapati tiga cawan kopi sehari mampu memanjangkan umur
selain mengurangkan risiko kematian akibat pelbagai penyakit.

MIAMI – Penggemar kopi pasti teruja dengan dua hasil kajian antarabangsa yang mendedahkan minuman tersebut mampu membantu mereka untuk hidup lebih lama.

Laporan kajian penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang diterbitkan dalam jurnal per­ubatan Annals of Internal Medicine menunjukkan wujud kaitan antara tabiat minum kopi dan kecenderungan memiliki umur yang panjang.

Kajian pertama bersifat pemerhatian diketuai oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) dan Imperial College London, mengkaji lebih daripada setengah juta penduduk di 10 buah negara di Eropah yang turut disifatkan sebagai analisis terbesar mengenai kesan minum kopi dalam populasi di benua itu.

Menurut kajian berkenaan, mereka yang minum kira-kira tiga cawan kopi sehari cende­rung hidup lebih lama berbanding individu lain yang tidak menggemari minuman tersebut.

“Kami mendapati pengambilan kopi yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih rendah daripada sebarang sebab khususnya melibatkan masalah peredaran darah dan pencernaan.

“Paling penting, keputusan itu adalah sama di semua 10 negara Eropah, walaupun dengan tabiat minum kopi dan adat resam yang berbeza,” jelas Ketua Penyelidik IARC, Marc Gunter.

Kajian kedua melibatkan lebih daripada 180,000 responden pelbagai latar belakang etnik di AS pula menemukan manfaat untuk umur yang panjang sama ada kopi itu berkafein atau sebaliknya.

Kajian itu mendapati penggemar kopi mempunyai risiko kematian yang lebih rendah akibat penyakit jantung, kanser, strok, diabetes, masalah pernafasan dan buah pinggang.

Mereka yang minum satu cawan sehari juga didapati 12 peratus kurang berkemungkinan berdepan risiko penyakit berbanding dengan mereka yang tidak minum kopi dan jumlah tersebut meningkat kepada 18 peratus bagi mereka yang minum dua atau tiga cawan sehari. – AFP

Dua beranak ditahan SPRM

Di pejabat MISDEC di Batu Berendam, Melaka inilah dua beranak ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang RM4 juta.

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) negeri menahan dua pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) yang merupakan anak-beranak bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan duit agensi tersebut berjumlah RM4 juta.

Kedua-dua beranak yang berusia 76 dan 43 tahun itu ditahan di pejabat MISDEC di Batu Berendam di sini kira-kira pukul 1 petang semalam.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, mereka masing-masing yang memegang jawatan sebagai Pengurus Eksekutif dan seorang lagi Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan MISDEC disiasat berkaitan kes menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan serta memindahkan kira-kira RM4 juta wang MISDEC ke akaun syarikat mereka dalam tempoh 2014 sehingga 2015.

“Hasil siasatan SPRM mendapati pemindahan wang milik MISDEC ke akaun syarikat dimiliki kedua-dua beranak itu dilakukan menerusi beberapa keping cek yang nilainya mencecah lebih kurang RM4 juta.

“Mereka ditahan di Melaka hari ini (semalam) dan SPRM te­lah menyita wang hampir RM600,000 dalam akaun sebuah syarikat,” katanya.

MISDEC yang ditubuhkan pada 1994 merupakan sebuah entiti pendidikan yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri.

Tuesday 11 July 2017

Thaqif mati bukan kerana didera

Mohamad Thaqif Amin

PUTRAJAYA – Keputusan bedah siasat ke atas pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi, 11, yang meninggal dunia pada 26 April lalu mendedahkan kematian mangsa sebenarnya berpunca daripada penyakit kencing tikus bukannya penderaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan mendapati pelajar tahfiz tersebut meninggal dunia disebabkan oleh penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang ditularkan dalam laman sosial.

Katanya, akibat penyakit kencing tikus serta penyakit kulit nekrosis serta pembentukan darah beku pada saluran darah, ia mengakibatkan kegagalan organ dan seterusnya perubahan warna kulit.

Monday 10 July 2017

Hapuskan RM800 untuk PATI tak masuk akal

INDONESIA meminta kerajaan Malaysia menghapuskan denda RM800 yang dianggap membebankan PATI untuk pulang ke negara masing-masing.

KUALA LUMPUR – Gesaan Indonesia supaya kerajaan Malaysia menghapuskan kompaun sebanyak RM800 untuk setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap Jabatan Imigresen disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, permintaan republik negara itu ketika Malaysia sedang membersihkan kebanjiran PATI itu seolah-olah cuba menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

Menurut beliau, adalah tidak adil buat kerajaan dan rakyat negara ini selaku pembayar cukai untuk menanggung kos PATI di pusat tahanan dan kos pengurusan penghantaran pulang.

"Permintaan Indonesia tidak adil sama sekali malah menambahkan lagi beban Malaysia.

"Perbelanjaan mengusir PATI menelan belanja besar dan wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sunday 9 July 2017

Planet Marikh tidak boleh dihuni manusia

PERMUKAAN planet Marikh yang kelihatan seperti padang pasir mempunyai sebatian yang boleh membunuh bakteria.

PARIS – Harapan yang menyaksikan wujudnya hidupan di planet Marikh ternyata meleset apabila kajian mendapati mineral garam yang wujud pada permukaan planet Merah boleh membunuh bakteria.

Kajian yang dilakukan di makmal Sekolah Fizik dan Astronomi Universiti Edinburgh menunjukkan sebatian yang dikenali sebagai Perchlorates membunuh kultur bakteria Bacillus subtilis yang menjadi pembentuk asas kehidupan.

Perchlorates mampu berada dalam keadaan stabil dalam suhu bilik tetapi aktif jika menerima suhu panas yang tinggi sedangkan planet Marikh amat sejuk.

Kajian terbaharu yang dilakukan Jennifer Wadsworth dan Charles Cockell itu turut menunjukkan sebatian berkenaan boleh diaktifkan menggunakan cahaya UV tetapi tanpa suhu panas.

Sebatian itu boleh membunuh bakteria dalam tempoh beberapa minit sahaja sekali gus mengesahkan bahawa planet Marikh tidak boleh dihuni berbanding andaian terdahulu.

“Jika kita mahu mencari hidupan di planet Marikh, kita mencari kehidupan di permukaan lain yang tidak didedahkan dalam keadaan sedemikian,’’ kata Wadsworth kepada AFP.

Perchlorates biarpun merupakan sebatian semula jadi tetapi ia mampu diproses oleh manusia.

Sebatian itu banyak terdapat di Marikh seperti yang direkodkan oleh Phoenix Lander dari agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) pada tahun 2008.

Bagaimanapun kajian menunjukkan sebatian itu boleh membunuh kultur bakteria tersebut dengan kehadiran radiasi UV tetapi ia tidak bermakna kehidupan lain juga akan mati justeru itu kajian lanjut perlu dilakukan. – AFP

Saturday 8 July 2017

Cikgu didakwa pikat isteri orang

Safridwan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam untuk menghadapi tiga pertuduhan termasuk memikat isteri orang.

KUANTAN – Seorang guru muzik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan termasuk dua pertuduhan menghasilkan dan memiliki gambar serta video lucah bersama bekas kekasihnya yang merupakan isteri orang.

Tertuduh, Safridwan Safar, 43, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Jengka 9, Maran turut menghadapi satu lagi pertuduhan memikat Syahariah Kassim, 41, yang bekerja sebagai pembantu tadbir dengan tujuan mengadakan hubungan seks bersama­nya menerusi gambar-gambar dan video dimiliki tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, Safridwan dituduh menghasilkan 63 keping gambar dan video lucah yang disimpan di dalam telefon pintar jenis Samsung dan Lenovo di sebuah rumah beralamat No.5, Lorong Pandan Makmur 2, di sini pada pukul 1.33 petang, 1 Mac lalu.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Safridwan dituduh memiliki sebilangan gambar dan video lucah yang serupa dalam dua jenis te­lefon bimbit sama di lokasi se­perti pertuduhan pertama pada pukul 6.21 petang, 17 Mac lalu.

Terdapat keperluan wujud dua Timbalan Ketua Polis Negara



BATU PAHAT – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan dua jawatan Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) terutamanya dalam menangani ancaman keganasan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Ne­geri berkata, keputusan tersebut akan diumumkan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang bakal diadakan nanti sama ada meluluskan atau menolak cadangan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara pada masa ini ialah Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

“Saya tidak menolak, tidak mengesahkan atau tidak mahu menafikan analisis (berkenaan jawatan dua Ke­tua Polis Negara) yang dibuat melalui akhbar mengenai keperluan wujudkan dua jawatan tersebut.

“Bagaimanapun, memang terdapat keperluan untuk mewujudkan satu lagi Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya pada sidang akhbar selepas me­rasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini semalam. 

Friday 7 July 2017

Tangis air mata darah

Mohammed dan anaknya, Ahana.


New Delhi: Seorang kanak-kanak membingungkan doktor di India dengan penyakit misteri yang menyebabkan dia menangis air mata darah.

Ahana Afzal, 3 tahun, mula mengalami pendarahan dari hidungnya dua tahun lalu ketika menghidap pnuemonia.

Bagaimanapun, keadaannya kini lebih teruk apabila darah juga keluar dari mulut, telinga dan matanya hampir setiap hari walaupun tidak ada kesan calar.

Ibu bapanya, Nazima Begum, 28, dan Mohammed Afzal, 33, sudah membelanjakan lebih RM6,000 untuk pemeriksaan tetapi masih belum ada diagnosis rasmi.

Pakar perubatan berkata, Ahana mungkin menghidap hematodrosis, keadaan yang amat jarang berlaku. Hal ini terjadi jika orang itu mengalami tekanan batin atau stress yang sangat berat, misalnya berhadapan dengan kematian.

Efek lain adalah kulit menjadi sangat lunak dan rapuh, sehingga jika mendapat tekanan atau terjadi kerosakan pada kulit, akan terasa lebih sakit dari biasanya.

Thursday 6 July 2017

Trump hilang sabar dengan China



WASHINGTON: Presiden Donald Trump semakin hilang sabar dengan tindakan lembut China terhadap Korea Utara dan menyatakan keraguan sama ada Beijing bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk menangani ancaman nuklear rejim itu. 

Beliau turut mengecam perdagangan China dengan Korea Utara semalam. "Hubungan perdagangan antara China dan Korea Utara meningkat hampir 40 peratus pada suku tahun pertama. "Ia terlalu banyak untuk China yang bekerjasama dengan kita, tetapi kita perlu mencuba!" katanya dalam akaun Twitter.

Trump menyiarkan tweet itu tidak lama sebelum meninggalkan Warsaw untuk menghadiri sidang kemuncak G20 di Jerman esok dan Sabtu. Ketika sidang itu, beliau akan bertemu buat kali kedua dengan Presiden Xi Jinping, dan meluahkan kekecewaan kerana gagal menggunakan bantuan secukupnya untuk mengekang program nuklear Korea Utara. China adalah rakan dagang dan sekutu terbesar Korea Utara. - Reuters

Wednesday 5 July 2017

Ikan ‘transgender’ ancam manusia

Ikan sungai atau kolam mudah terdedah kepada kesan perubahan jantina akibat pencemaran yang berpunca daripada pembuangan sisa pil hormon, ubat-ubatan dan sisa bahan kimia.

KUALA LUMPUR – Pembuangan sampah yang mengandungi bahan kimia dan sisa ubatan seperti pil perancang ke dalam sungai atau kolam bukan sahaja membahayakan kesihatan manusia, malah ia boleh menukar jantina ikan jantan kepada betina.

Selain pil perancang, antara ubat-ubatan yang mampu mencemarkan hidupan marin ialah ubat merawat ken­cing manis seperti metformin dan racun serangga se­perti atrazine dan bahan kimia dari najis haiwan.

Pakar Genetik dan Pembiakbakaan Ikan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Yuzine Esa berkata, feno­mena ‘transgender’ itu akan memberi kesan negatif jangka panjang termasuk kepupusan spesies ikan jika tidak dikawal.

Katanya, fenome­na itu bagaima­napun bukanlah sesuatu yang pelik dalam kalangan hidupan marin kerana selain pencemaran, ia juga boleh berlaku secara semula jadi ke atas hidupan jenis hermafrodit seperti ikan te­rubuk, salmon dan giru (ikan badut).

“Namun, kes ‘transgender’ ikan akibat terdedah kepada pencemaran sebenarnya telah berlaku sejak beberapa tahun lalu terutama di negara-negara Barat.

“Ia turut berlaku di Malaysia namun tiada kajian lanjut dilakukan. Hakikatnya, segala hidupan dalam air terutamanya ikan memang boleh bertukar jantina daripada jantan kepada betina sekiranya terdedah kepada pencemaran sisa-sisa ubatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Kepakaran Anak Malaysia bantu Huddersfield ke saingan EPL

Firdaus Maasar (kiri) mengambil data daripada seorang pemain Huddersfield Town untuk tujuan profil fisiologi.

SEREMBAN – Seorang anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab bola sepak Huddersfield Town FC layak ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Firdaus Maasar, 31, yang merupakan penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan dan Fisiologi di Liverpool John Moores University (LJMU) terlibat dalam mengetuai pengurusan profil fisiologi pemain utama kelab itu musim lalu.

Antara tugasnya termasuklah melakukan penilaian terhadap tindak balas laktat dan pengambilan oksigen secara maksimum dalam kalangan pemain kelab berkenaan.

Hasil kepakarannya membantu skuad bimbingan ketua jurulatih David Wagner itu muncul sebagai salah satu daripada tiga kelab dari Liga Kejuaraan menempah tempat dalam EPL musim depan yang dijadual bermula 12 Ogos ini.



Firdaus berkata, dia berasa gembira kerana turut sama membantu melonjakkan semula kelab itu ke saingan utama Liga Inggeris selepas hampir 45 tahun tersingkir ke liga bawahan.

Ujarnya, ia merupakan pe­ngalaman berharga dan sumbangannya turut mendapat pengiktirafan daripada Ketua Perkhidmatan Prestasi kelab itu, Dr. John Iga baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya dapat membantu kelab itu layak ke EPL pada musim akan datang,” katanya ketika dihubungi menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.

Huddersfield menempah tempat ke saingan EPL selepas mengatasi Reading 4-3 menerusi sepakan penalti penentuan dalam playoff. Kelab itu menyertai juara Liga Kejuaraan, Newcastle United dan Brighton & Hove Albion yang akan beraksi dalam liga termahal dunia itu.

Firdaus berkata, semasa di Huddersfield dia bekerjasama dengan petugas kelab dalam menyusun jadual, melatih pelajar sains sukan dalam pengambilan data, melakukan ujian fisiologi dan menyediakan analisis data pemain secara terperinci untuk kegunaan kelab berkenaan.

“Untuk musim baharu, se­mua­nya masih di peringkat pe­rancangan dan kalau Huddersfield mahu menggunakan khid­mat saya, sudah tentu saya bersedia,” katanya yang juga salah seorang petugas dalam mengendalikan latihan kecergasan untuk kelab Liverpool sejak 2015.

Mengulas mengenai tugasnya bersama Liverpool pula, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia kini sedang membuat persediaan untuk latihan pramusim kelab itu yang dijadual bermula Rabu ini.

Dia ditugaskan membantu Jabatan Sains Sukan Liverpool sebagai sebahagian daripada program pengajiannya di LJMU sekali gus membolehkannya me­nyalurkan kepakaran kepada kelab bimbingan Jurgen Klopp itu atau kelab lain di Eropah.

“Pada masa ini pemain Liver­pool masih bercuti dan saya akan menjalankan penilaian kecergasan pemain akademi dan skuad utama apabila mereka melaporkan diri nanti. Saya juga akan menyediakan analisis kecergasan mereka untuk digunakan jurulatih bagi merancang sesi latihan,” katanya.

Tuesday 4 July 2017

Qatar diberi tempoh hingga hari ini

QATAR menghadapi krisis diplomatik apabila enam buah negara Arab bertindak memutuskan hubungan pada 5 Jun lalu.

RIYADH – Qatar perlu memenuhi kata dua Arab Saudi dan sekutu-sekutunya hari ini yang mahukan negara itu bersetuju terhadap 13 tuntutan sebagai syarat untuk membatalkan sekatan diplomatik, komunikasi dan ekonomi ke atas Doha.

Tarikh akhir tuntutan itu sepatutnya tamat tengah malam kelmarin namun Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir akhirnya bersetuju memberikan masa selama 48 jam lagi supaya Doha dapat memberikan tindak balas yang positif.

Tempoh lanjutan itu diberikan bagi memenuhi permintaan Kuwait selaku orang tengah dalam krisis rantau Asia Barat itu, kata satu kenyataan bersama yang disiarkan agensi berita Arab Saudi, SPA.

Kerajaan Kuwait telah memohon tempoh lanjutan itu berikutan pengumuman Qatar bahawa ia akan menyerahkan keputusannya kepada pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah semalam.

Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, UAE, Bahrain, Yemen, Libya dan Mesir mengumumkan hubungan diplomatik dengan Qatar diputuskan sekali gus mencetuskan krisis diplomatik terburuk di rantau Asia Barat dalam tempoh beberapa dekad.

Keempat-empat negara itu mendakwa Doha menyokong keganasan dan terlalu rapat dengan Iran, seteru serantau Arab Saudi, namun Qatar menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya.

Sunday 2 July 2017

Mufti Perlis & Wilayah Jahil, Guna Mitos Haramkan Homoseksual – Ahmad Salami



Kuala Lumpur – Seorang bekas pelajar Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Salami mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh SS Mufti Perlis dan SS Mufti Wilayah Persekutuan yang mengharamkan perbuatan Homoseksual.

Beliau mengatakan kedua-dua Mufti terbabit mengambil pendekatan “borong”  atau hentam keromo dengan mengulang siar kembali stigma dan mitos atas diskusi kompleks yang perlukan perbincangan secara akademik. Kenyataan itu dikeluarkan selepas isu kenyataan Homoseksual tidak dilarang dalam al Quran yang dikeluarkan oleh saudara Afiq M Noor. 

Ahmad Salami menggambarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua Mufti terbabit sebagai petanda kurang baik. Sewajarnya kedua-dua mufti ini mengambil kira pelbagai elemen hujah seperti perkembangan pendapat ulama kontemporari, aspek ilmu psikologi, ilmu seksualiti (SOGIE), sampel buah fikir komuniti minoriti seksual, aktivis sosial, termasuk juga kajian sains semasa yang gagal dibahaskan dalam mengeluarkan hukum berkenaan isu homoseksualiti ini. 

“Dalam surah An-Nahl dan Al-Anbiya, Allah berfirman: Maka bertanyalah kepada ahl az-zikr (pakar) jika kamu tidak mengetahui. Bukankah Allah menyuruh supaya merujuk pihak yang pakar dalam bidangnya jika kurang arif? pesan beliau kepada dua Mufti terbabit.

Alumni Sekolah Demokrasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) ini juga kesal kerana kedua-dua Mufti terbabit tidak membezakan antara perbuatan liwat dan perlakuan homoseksual. Meletakkan isu Homoseksual ini sepertimana isu khilafiyah lain, Alumni Sekolah Demokrasi ini turut menggesa supaya perkara homoseksual ini diraikan dengan kepelbagaian pemikiran. “Usah pelik jika penafian dan kejahilan berterusan sesetengah agamawan berinteraksi menyebabkan masyarakat awam mencemuh keilmuan institusi keagamaan.” tambah beliau. 

Beliau yang kini aktif bersama Komuniti Muslim Universal (KMU), NGO yang merupakan cabang Malaysia kepada Muslims For Progressive Values di bawah Zuriani Khalid (Ani Zonneveld) menambah, “Pada pandangan saya, kenyataan mufti pada Hari Sedunia Menolak Homofobia dan Transfobia adalah tidak wajar.”

Saturday 1 July 2017

PBB dilarang masuk Myanmar

GAMBAR fail menunjukkan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Aung San Suu Kyi.

YANGON - Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak akan dibenarkan memasuki dan menjalankan siasatan terhadap dakwaan penindasan yang dilakukan pasukan keselamatan Myanmar terhadap penduduk Rohingya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Myanmar, Kyaw Zeya di Nayphidaw, hari ini.

“Jika mereka (PBB) tetap dengan pendirian untuk menghantar mana-mana individu bagi menjayakan misi siasatan ini, maka tidak ada sebab untuk kami membenarkan mereka masuk,” katanya.

Tambah Kyaw Zeya, pihaknya juga tidak akan mengeluarkan sebarang visa kemasukan ke Myanmar kepada individu atau kakita­ngan yang dilantik untuk misi itu.

Myanmar menerusi Menteri Luarnya, Aung San Suu Kyi sebelum ini memaklumkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan misi anjuran Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang diterima pakai pada Mac lalu itu.

Walaupun tidak menjaga perihal ketenteraan, Suu Kyi yang juga Kaunselor Myanmar tetap dikritik kerana gagal membela nasib lebih sejuta penduduk Islam Rohingya di Rakhine, barat negara ini.

Dalam kunjungannya ke Sweden bulan ini, pemimpin itu mendakwa, misi PBB itu hanya akan ‘memburukkan permusuhan’ antara pelbagai kaum di Myanmar ketika ini.

Sementara itu, Kyaw Zeya menganggap tindakan PBB mengenakan tekanan terhadap negaranya berhubung isu itu sebagai tidak wajar.

“Tindakan ini sebenarnya tidak akan membantu usaha kami untuk menyelesaikan isu Rohingya ini menggunakan pendekatan yang lebih holistik,” ujar beliau. – REUTERS