Tuesday 27 February 2018

PATI monopoli perniagaan di Malaysia

DATUK SERI MUSTAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen mengesan terdapat segelintir warga asing yang dahulunya memonopoli industri pembinaan serta perkila­ngan sebagai buruh kasar kini telah beralih kepada sektor perniagaan sekali gus menyalahgunakan permit pekerjaan.

Ketua Pengarahnya,­ Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lebih 8,903 warga asing diberkas menerusi Op Mega 2.0 bermula awal tahun ini sehingga semalam yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan yang me­nyalahi udang-undang.

Menurut beliau, pihaknya mendapati premis yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya diberikan kepada penduduk tempatan tetapi sikap mereka mencari keuntungan segera telah menyewakan kepada warga asing untuk membuka perniagaan.

“Ini merupakan satu kesalahan apabila permit pekerjaan yang diberi telah disalah guna manakala warga tempatan juga cuba mengaut keuntungan menerima komisen dengan menyewakan premis mereka. Contohnya, minggu lalu kita menahan ramai warga asing yang menyewa premis dari warga tempatan di Taman Seri Muda, Shah Alam.

“Terdapat bebe­rapa lagi lokasi dikenal pasti menjalankan perniagaan haram seperti di Jalan Bukit Bintang, Jalan Silang, Lembah Pudu, Jalan Petaling dan Pasar Borong Selayang. Jadi, kita gesa PBT serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil tindakan tegas bagi membendung isu tersebut daripada berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar memberitahu, setakat ini, Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas 41,542 warga asing dalam 3,499 serbuan di seluruh negara.

Jelas beliau, pihaknya menahan seramai 187 majikan yang didapati menyalahi undang-undang termasuk menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dari 1 Januari sehingga 25 Februari, sebanyak 7,705 PATI telah diusir ke negara mereka bukan dengan secara sukarela.

“Jabatan Imigresen akan terus melakukan operasi serta serbuan secara proaktif bertujuan mengesan warga asing dan pihak majikan yang masih tidak menghiraukan amaran yang diberi serta berterusan menyalahi undang-undang,” tegasnya.

Monday 19 February 2018

Wanita Syria sukar cari jodoh

Foto hiasan

DAMSYIK: Seorang pelajar Syria, Nour membelek cincin di jari kelingking dan kemudian memerhati rakan sekelasnya di sekitar Universiti Damsyik.

Namun, di tengah-tengah sekumpulan wanita dekat situ, tiada satu pun lelaki bujang yang kelihatan.

Pada usia 30 tahun, Nour berkata dia bersungguh-sungguh untuk berkahwin, namun konflik Syria yang berpanjangan menyebabkan kaum Adam kebanyakannya sudah berpindah, menyertai tentera atau meninggal dunia.

"Saya berharap cincin perkahwinan akan menghiasi jari ini suatu hari nanti.

"Tetapi, tiada lagi lelaki muda. Semua mereka tidak kelihatan sejak beberapa tahun lalu. Saya menyedari penurunannya dari setahun ke setahun,"kata Nour bukan nama sebenar.

Katanya, pilihan agak terhad kerana hampir tidak ada lelaki bersesuaian untuk dikahwini, ramai yang sudah berkahwin atau terlalu tua.

Ketika konflik Syria tercetus pada 2011 dengan tunjuk perasaan besar-besaran, Nour sedang sibuk menyiapkan diri untuk menerima ijazah pertamanya dalam bidang ekonomi. - AFP