Tuesday 12 June 2018

Wawasan 2020 boleh dicapai pada 2025 - Dr. Mahathir

Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo.

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 menyatakan matlamat wawasan itu hanya dapat dicapai menjelang tahun 2025 atau mungkin lebih awal lagi.  

Dr. Mahathir berkata, kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan usaha mencapai aspirasi Wawasan 2020.           

Dengan hanya dua tahun lagi menjelang tahun 2020, Dr. Mahathir menyuarakan keraguan tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa itu.

"Walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada tahun 2020.

“Mungkin ia akan (mengambil masa) agak lama daripada itu, mungkin tahun 2025 atau mungkin lebih (awal) jika kita mengamalkan dasar yang betul," kata beliau pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia semasa beliau mengilhamkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju ketika itu.

Beliau menjadi Perdana Menteri dari  tahun 1981 hingga 2003.

Dr. Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun termasuk untuk menghadiri Persidangan Nikkei itu. - Bernama 

Sunday 3 June 2018

ATM bakal terima Panglima baharu

Perlantikan tersebut yang berkuat kuasa 20 Jun ini telah pun dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera yang bersidang Khamis lalu.

KUALA LUMPUR - Tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal bertukar apabila Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin disebut akan dilantik ke jawatan tersebut.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Moha­med Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara pada Disember nanti.

Difahamkan perlantikan tersebut yang berkuat kuasa 20 Jun ini telah pun dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera yang bersidang Khamis lalu.

Zulkifli, 60, sebelum ini merupakan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan Naib Canselor (NC) Universiti Pertahanan Nasional (UPNM).

Beliau yang sepatutnya bersara wajib pada 30 November ini telah pun menyerahkan tugas sebagai NC UPNM kepada penggantinya, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal pada Mei lepas.

Bagaimanapun, Zulkifli dipanggil semula untuk berkhidmat bagi menerajui ATM sebagai PAT ke-20.

Zulkifli yang dilantik sebagai PTD pada 2011 melepaskan jawatan itu dua tahun kemudian dan dipindahkan ke UPNM sebagai NC buat kali kedua selepas kali pertama pada 2008.

Beliau yang memulakan kerjaya ketenteraan pada 1978 memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dan pemerintahan. - KOSMO