Saturday 30 April 2016

Bina kapal selam dengan modal RM3,000

Kapal selam yang berjaya dihasilkan Zhang Shenwu
ANHUI - CHINA. Seorang penduduk kampung di sini mampu menghasilkan sebuah kepal selam buatan sendiri dengan hanya bermodalkan 5,000 yuan (RM3,012).

Zhang Shenwu yang tinggal di sebuah perkampungan di bandar Ma'anshan membina kapal selamnya itu dalam masa dua bulan dengan memperuntukkan beberapa jam setiap hari untuk menyiapkannya.

Menurut Zhang, kapal selam berukuran 6 meter panjang, 1.2 hingga 1.5 meter tinggi dan berat sekitar 2 tan buatannya dibuat selepas mendapat ilham menontonnya di televisyen.

Memetik Shanghaiist, kapal selam itu mampu menyelam sedalam lebih 1 meter dan memandangkan ia bersaiz kecil maka kos yang diambil untuk menghasilkan kapal selam ini lebih murah berbanding kapal selam yang lain.

Zhang bukanlah orang pertama yang cuba membuat kapal selam sendiri.

Sebelum ini, Diu Xiutang dari Yulin, Shaanxi menghabiskan kira-kira 300,000 yuan (RM 181, 049) untuk membuat kapal selam namun impiannya terhenti kerana kehabisan dana.

Tan Yong dari Danjiangkou turut pernah menghasilkan sebuah kapal selam yang bukan hanya mampu menyelam sebaliknya terbang namun mengalami beberapa kegagalan sebelum berjaya menyiapkan sebuah kapal selam yang mampu menyelam lebih 10 meter. -SH

Friday 29 April 2016

Facebook untung besar


SAN FRANCISCO – Facebook kelmarin merancang terus mengukuh­kan pengaruh Mark Zuckerberg (gambar) sebagai peneraju kepada rangkaian sosial yang semakin berkembang pesat dan mencatatkan keuntungan besar.

Pendapatan pada suku pertama Facebook mencatatkan peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun lalu apabila melonjak kepada AS$5.4 bilion (RM21 bilion) berbanding AS$3.5 bilion (RM13.64) untuk tempoh sama pada tahun lalu.

“Kami berjaya mela­kukan permulaan yang hebat untuk tahun ini,” kata Zuckerberg yang juga Pengasas dan Ketua Eksekutif Facebook.

Sementara itu, data pengguna aktif Facebook setiap bulan meningkat kepada 1.65 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mereka yang menggunakan Facebook setiap hari juga me­ningkat 16 peratus kepada 1.09 bilion dengan peningkatan besar daripada pengguna peranti mudah alih.

Laporan menunjukkan Facebook menggunakan kedudukan dominannya dalam media sosial untuk meningkatkan hasil pengiklanan kerana meng­hubungkan lebih ramai orang dengan perkhidmatan terbaharu termasuk video secara langsung.

Facebook turut mengumumkan bahawa lembaga pengarahnya bersetuju meluluskan pelan menubuhkan kelas saham tanpa undian bagi meningkatkan modal serta membolehkan Zuckerberg mengawal visi dan hala tuju syarikat.

Pemegang saham perlu mengundi cadangan itu ketika me­syuarat pemegang saham tahunan pada 20 Jun nanti, menurut Facebook.

Langkah itu bertujuan membolehkan Zuckerberg terus kekal berkuasa di Facebook walaupun beliau memberikan sebahagian besar sahamnya untuk kebajikan seperti yang diumumkan tahun lalu bersama isteri­nya. – AFP

Thursday 28 April 2016

Perkhabaran dan Peringatan Rasulullah s.a.w mengenai Dajjal kepada Umat Islam



Dari Abu Umamah Al Bahili r.a, dia berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berkhutbah di hadapan kami, dan kebanyakan isi khutbah beliau selalu menceritakan kepada kami tentang Dajjal supaya kami berhati-hati. 

Dan di antara isi khutbah beliau adalah: “Sungguh, semenjak Allah menciptakan anak cucu Adam, tidak ada fitnah yang lebih besar dari Dajjal, dan tidak ada satu Nabi pun yang diutus oleh Allah melainkan dia akan memperingatkan kepada umatnya mengenai fitnah Dajjal. Sedangkan aku adalah Nabi yang paling akhir dan kamu juga ummat yang paling akhir, maka tidak dapat dielakkan lagi bahawa Dajjal akan keluar di tengah-tengah kalian.

Sekiranya dia keluar, sedang aku masih berada di tengah-tengah kalian, maka aku adalah pembela setiap orang Muslim. Namun jika dia keluar setelah (kematian)ku, maka tiap-tiap kalian adalah penyelamat bagi dirinya sendiri, dan Allah sebagai penggantiku dalam menyelamatkan setiap Muslim.

Sesungguhnya dia akan keluar dari suatu celah yang terletak antara Syam dan Iraq. Lalu dia akan berbuat kerosakan di sebelah kiri dan kanannya. Wahai hamba Allah, wahai para manusia, teguhkanlah diri kalian, kerana aku akan menerangkan sifat-sifatnya yang belum pernah diterangkan oleh seorang Nabi pun sebelumku.

Pertama kali dia akan mendakwakan dirinya dengan mengatakan: ‘Aku adalah seorang Nabi.’ Padahal tidak ada Nabi setelahku, kemudian dia juga akan mendakwakan dirinya dengan mengatakan: ‘Aku adalah Rabb kalian.’ Sedangkan kalian tidak akan boleh melihat Allah kecuali setelah kalian meninggal. Dan dia hanya memiliki satu mata, padahal Allah tidaklah bermata sebelah (cacat). Dan di antara kedua matanya tertulis ‘kafir’ yang hanya dapat dibaca oleh setiap Muslim baik yang dapat menulis mahupun yang tidak dapat menulis.

Di antara fitnah-fitnahnya adalah bersamanya ada syurga dan neraka, namun pada hakikatnya nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka. Barangsiapa mendapatkan cubaan dengan nerakanya, hendaklah dia berlindung kepada Allah dan hendaklah dia membaca ayat di awal-awal surah Al-Kahfi. 

Dan di antara fitnahnya juga adalah dia akan berkata kepada seorang Arab: Fikirkanlah olehmu, sekiranya aku dapat membangkitkan ayah dan ibumu yang telah mati, apakah kamu akan bersaksi bahawa aku adalah Rabbmu?’ Laki-laki Arab tersebut menjawab: ‘Ya.’ Kemudian muncullah syaitan yang menjelma di hadapannya dalam bentuk ayah dan ibunya, maka keduanya berkata: ‘Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dia adalah Rabbmu.’ 

Dan di antara fitnah-fitnahnya adalah dia akan memaksa manusia lalu membunuhnya dan memotongnya dengan gergaji. Maka terbelahlah orang tersebut menjadi dua bahagian. Kemudian Dajjal berkata: ‘Lihatlah oleh kalian kepada hambaku ini, sesungguhnya aku akan membangkitkannya, lalu dia akan mendakwa bahawa Rabbnya adalah selain aku.’ Maka Allah pun membangkitkan orang yang terbelah tersebut. Lalu Dajjal berkata kepadanya: ‘Siapakah Rabbmu?’ Dia menjawab: ‘Rabbku adalah Allah, dan kamu adalah musuh Allah. Kamu adalah Dajjal. Demi Allah, mulai hari ini, tidak ada hal yang lebih aku yakini selain dari (kedustaan)mu’. Laki-laki itu adalah dari (antara) ummatku yang mendapatkan darjat yang paling tinggi di syurga.

Dan termasuk dari fitnahnya (Dajjal) adalah memerintahkan langit supaya menurunkan air hujan, maka turunlah hujan, dan memerintahkan bumi supaya menumbuhkan tumbuhannya, maka bumi pun menumbuhkan tumbuhannya.

Termasuk dari fitnahnya adalah dia melintasi suatu negeri, namun penduduknya mendustakannya, maka tidak satu binatang ternak pun yang tersisa melainkan akan binasa. Dan di antara fitnah-fitnahnya adalah bahawa dia akan melintasi suatu negeri, kemudian penduduknya membenarkannya, maka dia memerintahkan langit untuk menurunkan hujan, maka turunlah hujan dan dia memerintahkan bumi supaya menumbuhkan tumbuhannya, maka tumbuhlah tumbuhannya. Sehingga binatang pada saat itu menjadi lebih besar dan lebih gemuk dibandingkan dengan masa-masa yang telah lalu, paling besar lambungnya dan paling banyak air susunya. 

Sungguh, tidak ada satu negeri pun di muka bumi ini yang tidak dimasuki dan dikuasai oleh Dajjal kecuali Makkah dan Madinah, dan dia tidak akan mampu memasukinya dari setiap celah-celah itu melainkan dia akan bertemu dengan penjaga (malaikat) tempat tersebut dengan pedang yang terhunus, sehingga dia akan singgah di suatu tempat yang kosong dan belum pernah diolah.

Maka kota Madinah bergetar dengan tiga kali goncangan, sehingga tidak akan tertinggal dalam kota tersebut seorang munafik baik laki-laki mahupun perempuan kecuali keluar menemui Dajjal, kota Madinah pun terbebas dari orang-orang keji sebagaimana alatan besi menghilangkan karat pada besi, dan hari itu disebut dengan hari pembersihan.” 

Ummu Syuraik binti Abu Al ‘Akr berkata: “Wahai Rasulullah, di manakah orang-orang Arab saat itu?” Beliau menjawab: “Pada saat itu jumlah mereka sangatlah sedikit dan mereka berada di Baitul Maqdis sedangkan imam mereka adalah seorang laki-laki yang soleh. Ketika pemimpin mereka hendak ke hadapan untuk mengimamkan dalam solat subuh, tiba-tiba turunlah Isa bin Maryam, maka mundurlah imam mereka ke belakang supaya Isa maju untuk mengimami solat. Isa lalu meletakkan tangannya di antara dua bahunya (pemimpin mereka) sambil berkata: ‘Majulah kamu dan pimpinlah solat, kerana sesungguhnya ia (solat) ditegakkan untuk kamu.’ Akhirnya pemimpin mereka pun mengimamkan mereka solat, dan ketika solat telah usai, Isa berkata: ‘Bukalah pintu.’ Mereka pun membukakan pintu, ternyata di belakangnya Dajjal telah menunggu bersama dengan tujuh puluh ribu orang Yahudi, masing-masig dari mereka memiliki pedang terhunus yang terbuat dari emas dan berjubah besar berwarna hijau. 

Ketika dia (Isa) memandang Dajjal, Dajjal pun meleleh (hancur) sebagaimana garam yang meleleh di dalam air. Kemudian Dajjal lari dan dihadang oleh Isa di pintu timur kota Lud, kemudian Isa membunuhnya. Maka Allah menjadikan kekalahan terhadap orang-orang Yahudi, di mana tidak ada satu makhluk pun yang diciptakan Allah yang dijadikan perlindungan oleh mereka melainkan Allah akan menjadikannya berbicara, mulai dari batu, pohon, dinding dan binatang ternak kecuali pohon Gharqad, sebab ia termasuk dari pohonnya mereka yang tidak mahu bicara (pohon Yahudi). 

Lalu makhluk Allah yang lain berkata: ‘Wahai hamba Allah yang Muslim, di sini ada orang Yahudi, kemarilah dan bunuhlah dia.’ Sesungguhnya hari-harinya (Dajjal hidup) ialah selama empat puluh hari, sehari bagaikan setahun, dan sehari berikutnya seperti sebulan, dan sehari seperti seminggu dan baki hari-hari tersebut seperti percikan api (yang cepat terbangnya), salah seorang berada di pintu Madinah di pagi hari, maka belum sampai pintu yang lain dia telah berada di petang hari.” Lalu dikatakan kepada beliau: “Wahai Rasulullah, bagaimana kami solat di hari-hari yang sangat pendek tersebut?” 

Beliau menjawab: “Perkirakanlah hari-hari kalian untuk melaksanakan solat sebagaimana kalian memperkirakan pada hari-hari yang panjang ini, kemudian tunaikanlah solat.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi: “Kemudian Isa bin Maryam akan menjadi seorang hakim yang adil di kalangan ummatku dan seorang pemimpin yang bijaksana, dia akan menghancurkan salib, membunuh babi, menghapus pajak dan membiarkan sedekah, maka dia tidak akan mencari seekor kambing atau seekor unta zakat pun. Kedengkian dan permusuhan dihapus, bisa (racun) dari setiap makhluk yang berbisa diangkat sehingga apabila ada seorang bayi perempuan memasukkan tangannya ke dalam mulut ular, maka ular tersebut tidak akan membahayakannya, dan bayi perempuan itu juga dapat menyakiti seekor singa, sedangkan singa tersebut tidak akan membahayakan bayi itu. 

Dan serigala akan berada di tengah gerombolan kambing seakan-akan ia adalah anjingnya. Dunia akan dipenuhi oleh kedamaian sebagaimana bejana yang berisi air (kerana sangat ratanya), agama akan menjadi satu, maka tidak ada yang disembah selain Allah, terhapusnya seluruh hal yang menyebabkan peperangan, suku Quraisy kembali mengambil kekuasaannya, dan bumi seakan-akan seperti bintang perak, dan tumbuh-tumbuhannya akan tumbuh seperti zamannya Nabi Adam, sehingga apabila ada sekelompok orang berkumpul untuk makan setangkai anggur, maka hal itu akan membuatnya senang, dan apabila sekelompok orang tersebut berkumpul untuk memakan sebuah delima, maka hal itu juga akan membuat mereka senang.

Seekor lembu pada saat itu harganya sangatlah murah dan seekor kuda hanya seharga beberapa dirham.” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kenapa kuda menjadi murah?” Beliau bersabda: “Ia tidak digunakan untuk berperang selamanya.” Dikatakan kepada beliau: “Kenapa lembu jantan harganya mahal?” Beliau bersabda: “Sebab ia digunakan untuk membajak bumi semuanya.” 

Beliau kembali bersabda: “Sesungguhnya tiga tahun sebelum munculnya Dajjal, adalah waktu yang sangat sulit, di mana manusia akan ditimpa oleh kelaparan yang terlalu teruk. Allah akan memerintahkan kepada langit pada tahun pertama untuk menahan sepertiga dari hujannya, dan memerintahkan kepada bumi untuk menahan sepertiga dari tanaman-tanamannya. Dan pada tahun kedua Allah akan memerintahkan kepada langit untuk menahan dua pertiga dari hujannya dan memerintahkan kepada bumi untuk menahan dua pertiga dari tumbuh-tumbuhannya. Kemudian di tahun yang ketiga, Allah memerintahkan kepada langit untuk menahan semua air hujannya, maka ia tidak menitiskan setitis air pun dan Allah memerintahkan kepada bumi untuk menahan semua tanaman-tanamannya, maka setelah itu tidak dijumpai satu tanaman hijau yang tumbuh dan semua binatang yang berkuku akan mati, kecuali yang tidak dikehendaki oleh Allah.” 

Kemudian para sahabat bertanya: “Dengan apakah manusia akan hidup pada saat itu?” Beliau menjawab: “Tahlil, takbir dan tahmid akan sama ertinya bagi mereka dengan makanan.” 

(Hadith Riwayat Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah no. 4067)

Wednesday 27 April 2016

Muhammad Ibrahim dilantik Gabenor BNM baharu

Datuk Muhammad Ibrahim
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara yang baru, berkuat kuasa 1 Mei.

Katanya, Yang Dipertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Muhammad untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Abdul Aziz.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Datuk Muhammad, Bank Negara Malaysia akan meneruskan sumbangannya dalam membantu Kerajaan, memberi nasihat dan pandangan bagi memacu perkembangan ekonomi negara.

“Ini termasuk juga meneruskan usaha Bank Negara Malaysia membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad yang merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara sejak 2010 lalu merupakan lulusan dari Universiti Havard, Amerika Syarikat.

Najib berkata, kerajaan turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tan Sri Datuk Seri Dr Zeti Akhtar Aziz di atas segala sumbangan cemerlang beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Gabenor bank Negara yang ketujuh.

Zeti merupakan gabenor wanita pertama negara telah menerajui Bank Negara Malaysia selama 16 tahun sebelum bersara pada bulan ini. -SH

Tuesday 26 April 2016

Keajaiban dunia ke-8 ditemui?


SEORANG pemburu emas Nazi, mendakwa bahawa dia telah menemui harta karun peninggalan Nazi pada era Perang Dunia Kedua yang dianggarkan bernilai  £350 juta.

Kurator Muzium, Bartlomiej Plebanczyk percaya, dia telah menemui bilik bawah tanah yang sebelum ini tidak diketahui orang, selepas dia menggeledah kompleks terowong Nazi dan kubunya.

Harta karun yang dikenali sebagai bilik 'Amber' itu berusia 300 tahun yang terletak di Catherine Palace, berhampiran St. Petersburg, hilang lebih daripada 70 tahun yang lalu dengan beberapa saksi mendakwa mereka pernah melihat  'harta'  itu sedang dimuatkan ke dalam kapal Jerman.

Sementara itu, Plebanczyk mendakwa penemuannya  itu adalah harta karun yang pernah disebut-sebut sebagai Keajaiban Dunia ke-8.

Dalam pada itu, memetik media tempatan Plebanczyk kini sedang memohon keizinan  untuk menggali lebih ke dalam  ruang bilik bawah tanah itu, agar membolehkannya  memasukkan kamera video untuk meninjau keadaannya.

"Saya akan cuba menggunakan radar, bagi membolehkan saya menyelongkar lebih lagi.

"Saya perlu menggerudi bilik bawah tanah itu dan akan cuba menurunkan video di sana.

"Bagaimanapun, saya perlu menunggu persetujuan pegawai pemuliharaan sejarah tempatan," katanya. -Express.co.uk

Sunday 24 April 2016

TMJ rancang beli AC Milan

TMJ merancang untuk membeli AC Milan.
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mungkin mencipta satu lagi sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air sekiranya hasratnya membeli kelab Itali, AC Milan menjadi kenyataan.

Cadangan itu dinyatakan TMJ dalam temubual eksklusif bersama media Singapura, The Straits Times Jumaat lalu, namun tetap menjelaskan betapa fokus utamanya kini tetap kepada Johor Darul Ta'zim (JDT). 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan perlu melihat dulu keadaan sebelum membuat sebarang keputusan untuk melakukan pelaburan besar buat kelab Itali yang diminatinya sejak kecil itu. 

"Saya merancang untuk membeli AC Milan, tetapi kita lihat macam mana keadaannya dulu. Saya suka Milan dan meminati kelab Itali itu sejak kecil. Tapi, fokus utama saya tetap kepada JDT. "Tapi, sekiranya saya boleh melabur untuk kelab bola sepak di Eropah, ia sudah pasti di AC Milan," kata TMJ yang turut menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan. 

TMJ kini sedang berusaha gigih untuk menjadikan JDT sebagai salah satu kelab yang digeruni lebih-lebih lagi dengan kemudahan latihan terbaharu yang dijangka menelan belanja RM15 juta dan stadium baharu berkapasiti 40,000 tempat duduk. Apapun, jika cadangan itu benar-benar menjadi kenyataan, TMJ bakal menjadi individu kedua yang melabur di kelab Itali selepas jutawan Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad membeli kelab Serie B, Bari FC 1908. 

AC Milan kini dimiliki bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang mana dikatakan sudah memberi isyarat untuk menjual kelab berkenaan. Selain itu, TMJ turut menjelaskan betapa beliau berharap dapat bekerjasama dengan kelab gergasi Itali itu pada masa hadapan. 

"Kita sangat berharap dapat menjalinkan kerjasama antara JDT dan AC Milan pada masa hadapan. Sama ada ia kolaborasi secara terus atau sekadar sumbangan kecil dari kelab berkenaan," katanya. -BH

Saturday 23 April 2016

Bahang kemarau hingga September

Seorang pengunjung, Amirul Shah Umor yang sedang bercuti hairan melihat kolam tadahan air Bukit Merah kering akibat fenomena El Nino di Bukit Merah, Taiping, Perak semalam.
TUARAN – Rakyat Malaysia terpaksa hidup sengsara dalam bahang kepanasan untuk tempoh lima bulan lagi apabila negara dijangka terus mengalami kemarau yang dibawa angin Monsun Barat Daya mulai bulan Mei hingga September ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, selepas empat bulan Malaysia negara dilanda panas melam­pau, musim kering yang dibawa Monsun Barat Daya bakal menyebabkan negara mengalami masalah bekalan air yang semakin meruncing.

Antara penduduk yang dijangka terjejas akibat penurunan ketara empangan di ne­geri masing-masing ialah Perlis, Kedah, Perak dan Johor.

“Masyarakat harus faham bahawa cuaca panas yang dialami kini adalah disebabkan fenomena El Nino yang bermula pada akhir tahun lalu.

“Kemuncak bagi El Nino ini pada bulan Februari lalu dan sekarang ini ia menjadi sederhana sebelum El Nino ber­ansur lemah dan menjadi neutral pada bulan Jun. -Kosmo

Thursday 21 April 2016

Pistol Pertama Buatan Malaysia Keluar Tak Lama Lagi


KUALA LUMPUR, 21 April - Syarikat pembuat pistol Malaysia, Aegis Malinnov Sdn Bhd mengorak langkah dalam industri keselamatan dan pertahanan tempatan dengan pengenalan pistol pertamanya iaitu Semi Automatik M1P 9MM Caliber yang dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini.

Menurut pengerusinya Tan Sri Hashim Meon, syarikat terbabit telah mendapat kelulusan untuk menjual senjata api dari Kementerian Dalam Negeri dan akan ke fasa seterusnya iaitu mendapatkan pengiktirafan ujian ketahanan pistol dari Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Menurut beliau, pihaknya menjangka proses itu akan memakan masa sekurang-kurangnnya dua hingga tiga bulan.

"Selepas itu, kita boleh memasarkan pistol keluaran pertama syarikat ini. Sebagai permulaan kita sasarkan jualan di peringkat dalam negara kepada pihak pegawai keselamatan seperti polis dan tentera serta pembeli peribadi yang mempunyai lesen sah untuk memiliki senjata api.

"Selepas yakin dan mengukuhkan reputasi di segmen pasaran tempatan, barulah kita akan mula meneroka pasaran yang lebih luas di luar negara," katanya sebagaimana lapor Bernama.

Menurut Hashim juga, kejayaan menghasilkan pistol seberat 830 gram yang berkualiti setaraf jenama antarabangsa dengan hasil kepakaran tempatan bukan perkara mudah.

Jelas beliau, masa lebih lima hingga enam tahun diambil oleh pasukan R&D syarikat tersebut untuk menghasilkan pistol yang menepati piawaian antarabangsa dan kehendak pasaran.

"Kebanyakan anggota pasukan R&D itu mempunyai latar belakang ketenteraan serta memiliki kemahiran tinggi dalam pengendalian senjata seperti bekas anggota Unit Tindakan Khas dan pengalaman berkenaan sangat membantu untuk menghasilkan satu produk terbaik dari kilang di Taman Teknologi Malaysia, di sini.

"Mereka dilantik menjadi penasihat dalam hal berkaitan kualiti tembakan. Dalam aspek penghasilan reka bentuk pula kita juga mengunakan kepakaran anak tempatan. Bagaimanapun, kita masih menggunakan mesin pembuatan yang diimport dari luar," katanya. -SH



Berikut adalah spesifikasi pistol berkenaan:

Barrel length: 119.1 mm
Weight: 830gm
Caliber: 9MM
Overall length: 210mm
Height: 139.1mm
Width: 35mm
Magazine capacity: 16
Action: Double Action



Abu Kedah terbunuh di Syria

Mohamad Fuzi sahkan laporan kematian Abu Kedah.
Kuala Lumpur: Seorang lagi rakyat Malaysia yang menyertai Daish, Abd Ghani Yaacob, 31, dilaporkan terbunuh di Wilayah Al Khair, Syria.

Abd Ghani yang turut dikenali sebagai Abu Kedah difahamkan terbunuh ketika bertempur dengan tentera Bashar Al-Assad 17 April lalu.

Dia yang berasal dari Pendang, Kedah, dikatakan menyertai kumpulan militan itu menerusi laman sosial Facebook sejak 2013 selepas terpengaruh dengan fahaman Salafi Jihadi.


Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Mohd Harun ketika dihubungi mengesahkan laporan kematian Abu Kedah.

Sebelum ini difahamkan seorang rakyat Malaysia yang dikenali Ahmad Salman Abdul Rahim turut terbunuh selepas bertempur dengan tentera sama di negara bergolak itu.

Kematian Abu Kedah menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang terbunuh seramai 19 orang. -myMetro

Wednesday 20 April 2016

Polis pandang serius anggota peras wang pelajar

Rakaman video yang memaparkan tindakan dua anggota polis memeras wang dari seorang lelaki yang didakwa sebagai pelajar sekolah.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius berhubung video yang memaparkan tindakan dua anggota polis yang dilihat memeras wang daripada seorang lelaki yang didakwa sebagai pelajar sekolah.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Datin Asmawati Ahmad berkata, insiden tersebut secara terang-terangan telah mencemar imej dan kredibiliti pasukan.

“Polis memohon kerjasama mangsa dan mana-mana pihak yang menyaksikan insiden tersebut atau yang mempunyai maklumat untuk tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Kita tidak mengamalkan “Blue Wall Of Silence” dan tak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh pegawai atau anggota,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Video berduarasi dua minit 52 saat telah mula viral di alaman sosial facebook dan telah menerima pelbagai reaksi dari masyarakat. -SH



Tuesday 19 April 2016

Manila, kota yang murtad!


Sungai Pasig yang menyimpan seribu satu sejarah Kota Manila.
BARU-baru ini, penulis menjejakkan kaki buat kali pertama di Manila untuk menghadiri persidangan Publish Asia 2016, acara tahunan Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Seluruh Dunia (WAN-Ifra) Asia Pasifik.

Pertama kali ke Manila dan tanpa sebarang nasihat atau pedoman, penulis berhadapan dengan pengalaman sukar hendak mendapatkan makanan halal di ibu kota Filipina itu terutama pada hari pertama. Hotel Manila, penginapan kami yang juga venue persidangan berlokasi di Teluk Manila, agak terpinggir dari pusat kota.

Untuk itu, kami terpaksa keluar ke Makati dengan teksi bertambang 200 Pesos (RM17) sehala pada waktu biasa. Pada waktu jalan sesak teruk – kesesakan paling teruk di Kuala Lumpur adalah biasa bagi Manila – tambang diminta 400 Pesos (RM34). Ada pemandu yang minta 700 Pesos (RM60) untuk perjalanan sehala sedangkan kalau hendak dikira jarak tidaklah begitu jauh.

Itu hanya untuk mendapatkan makanan halal sedangkan sepanjang waktu siang, kami terperangkap di dalam dewan persidangan dengan makanan yang disediakan oleh penganjur amat dicurigakan status halalnya. Pihak hotel pula hanya menyediakan makanan halal yang boleh dikira meyakinkan pada waktu sarapan.

Itulah situasi di Manila, kota metropolitan yang tidak ramai orang tahu bahawa suatu ketika dahulu adalah sebuah kota Islam. Raja Islam yang terakhir memerintah Manila ialah Raja Soliman @ Sulaiman.  Sebelum itu, Manila diperintah oleh bapa saudaranya yang bernama Raja Matanda dan Lakandula.  

Apabila disebut Islam di Filipina, fikiran kebanyakan kita tertumpu di selatan negara itu, Mindanao dan kepulauan sekitarnya. Tidak ramai yang tahu bahawa sebelum penjajahan Sepanyol, 98 peratus daripada penduduk wilayah kepulauan itu beragama Islam.

Manila, pernah diusahakan untuk jadi ibu kota Islam di Nusantara. Malangnya, penjajahan Sepanyol yang begitu berdendam terhadap orang Islam susulan apa yang berlaku di tanah air mereka, telah ‘memurtadkan’ terus Manila malah seluruh Filipina hingga hari ini.

Yang tinggal Islam daripada 94 juta populasinya sekarang hanya lima peratus!
Bagaimana hilangnya Islam di Andalusia, begitulah juga hilangnya Islam di Filipina.

Arab

Manila, nama asalnya Kota Seludong mendapat nama  daripada  perkataan Arab,  ‘Amanillah’ ataupun ‘Fi amanillah’ yang bermaksud ‘Kota Aman Lindungan ALLAH’.

Raja Sulaiman memerintah di delta Sungai Pasig, bersemayan di tapak asal bandar Manila, tidak jauh dari Hotel Manila sekarang. Selain beliau, bapa saudaranya, Lakandula memerintah kerajaan Tondo yang menguasai muara Sungai Pasig. Meskipun wilayah mereka tidak seluas mana, kedua-duanya memerintah dengan makmur.   
    
Lakandula yang menguasai pelabuhan, membeli semua barangan yang dibawa oleh pedagang terutama dari China dan beliau membayar terus separuh harga untuk setiap barangan itu sebelum menjual semula kepada mereka yang mahu membelinya di wilayah pedalaman dan kepualuan sekitar. Separuh lagi harga dibayar kepada pedagang terbabit apabila mereka datang semula ke Manila setahun kemudiannya.

Raja Sulaiman pula mengambil alih pemerintahan daripada bapa saudaranya, Raja Matanda. Raja Sulaiman adalah raja Islam yang terakhir di Manila. Anak Lakandula, Magat Salamat yang juga putera mahkota, tidak sempat naik takhta ekoran kemasukan Sepanyol.

Wakil Hispanik yang pertama kali menjejak kaki ke Filipina (ketika itu, belum ada nama Filipina) ialah Ferdinand Magellan yang mendarat di Pulau Cebu pada 16 Mac 1521. Cebu ketika itu diperintah oleh Raja Humabon. Pembantu Magellan ketika di Cebu ialah Panglima Awang, seorang anak muda Melayu yang ditawannya di Melaka. Magellan berasal dari Portugal namun dalam misinya di Nusantara, beliau mewakili Sepanyol.

Disebabkan bahasa Melayu hampir sama dengan bahasa tempatan, Awang diminta jadi penterjemah kepada Magellan.

Dengan pengaruh Magellan, Raja Humabon bersama pengikutnya bersetuju untuk tukar agama. Mereka jadi kumpulan yang pertama murtad di Filipina lalu digelar oleh Magellan sebagai ‘Warga Tuhan Sepanyol’. Persetujuan Raja Humabon adalah disebabkan janji Magellan untuk membantunya memerangi pemberontak Mactan yang diketuai Lapu Lapu.

Buluh

Magellan bersama 60 anggota delegasinya menyerang Lapu Lapu dengan senapang, meriam dan segala jenis senjata besi. Lapu Lapu bersama 1,500 pahlawan Mactan pula hanya bersenjata buluh runcing dan panah beracun. Magellan terkena panah beracun dan temui ajalnya di situ manakala pengikutnya lari lintang pukang balik ke kapal. Panglima Awang juga turut tercedera.

Usaha Sepanyol dalam misi Gold, Glory and Gospel diketuai oleh Magellan tidak begitu berjaya. Bagaimanapun mereka telah dapat menanam benih Kristianisasi dengan murtadnya Raja Humabon dan pengikutnya.

Sejak itu, beberapa lagi misi dihantar ke Filipina hinggalah ia mula memberi kesan melalui pertapakan Miguel Lopez de Legazpi di Cebu pada 1565. Cebu yang telah dikristiankan menerusi pemurtadan Raja Humabon yang sudah pun mempunyai nama baharu, Carlos (bersempena dengan nama Raja Sepanyol) menyambut baik kehadiran de Legazpi.

Sejak itu, Cebu menjadi pusat pemerintahan penjajah Sepanyol. Nama Filipina juga mula digunakan, iaitu ‘Islas de las Felipina’ yang mengambil nama raja muda Sepanyol, Felipe.

de Legazpi bagaimanapun tetap tidak berpuas hati kerana belum menguasai Manila yang didengarinya lebih strategik untuk dijadikan pusat pemerintahan.  Beliau mengatur rancangan untuk menyerang Manila dan menghantar Martin de Goiti dan Juan de Salcedo sebagai utusan untuk rundingan ‘persahabatan’ dengan Raja Sulaiman. Pada mulanya, mereka disambut baik, namun apabila menyedari muslihat Sepanyol, Raja Sulaiman enggan menyerah kalah lalu berlaku pertempuran pada 1570.

Pertempuran demi pertempuran terus meletus hingga 1574, yang akhirnya menyaksikan ketewasan di pihak Raja Sulaiman yang dibantu oleh bapa saudaranya, Lakandula. Raja Sulaiman juga dibantu oleh seorang lagi pemerintah Islam bernama Tarik Sulaiman dari Macabebe dalam Perang Bangkusay.

Bagaimanapun kecanggihan senjata Sepanyol tidak dapat ditandingi.

Setelah kekalahan Raja Sulaiman, penjajah Sepanyol terus memperlihatkan dendam kesumat mereka yang begitu membara. Mereka meruntuhkan tapak kerajaan Raja Sulaiman di bandar Manila lalu mendirikan kota di sekeliling ibu pejabat mereka yang diberi nama Fort Santiago.

Kawasan di dalam kota itu dikenali sebagai Intramuros yang jadi tumpuan pelancong hingga hari ini.

Ada riwayat menyebut, Lakandula selepas itu mengambil tindakan berkompromi dengan penjajah, dan telah murtad bersama keluarganya. Beliau menukar nama kepada Don Carlos Lacandola. Dalam rekod sejarah Sepanyol, Lakandula dianggap seorang pemerintah yang bijak kerana memilih untuk berdamai dan keluarga serta keturunannya diberikan beberapa keistimewaan oleh penjajah.

Ada disebutkan bahawa beberapa nama besar Filipina hari ini termasuk bekas Presiden Diosdado Macapagal dan anaknya yang juga bekas Presiden, Gloria Macapagal Arroyo adalah daripada keturunan Lakandula. Keturunannya yang lain termasuk dua bekas presiden Senat, Jovito Salonga dan Gil Puyat; selebriti antarabangsa, Lea Salonga dan tokoh perniagaan, Gonzalo Puyat.

Sementara Raja Matanda pula ketika terlantar sakit dikatakan telah minta untuk dibaptiskan. Yang kekal Islam hingga menemui syahid dalam peperangan menentang penjajah, adalah Raja Sulaiman, seorang penganut Islam yang taat daripada aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Sama ada cerita kemurtadan raja-raja Manila ini benar ataupun sekadar propaganda penjajah, tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti lebih 90 peratus penduduk Filipina hari ini beragama Katholik, agama yang dibawa oleh Sepanyol dan mereka adalah daripada keturunan nenek moyang yang beragama Islam.

Keadaan telah berubah begitu drastik hingga untuk mendapat makanan halal pun begitu sukar di Manila!

Bukanlah tidak ada orang Islam di Manila, masjid pun ada namun bilangan mereka adalah sangat sedikit berbanding keseluruhan populasi. Kebanyakannya bertumpu di Quiapo District, dan apa yang menyedihkan ialah dari sudut sejarahnya. Hilangnya Islam di Manila (dan hampir seluruh Filipina) adalah kerana pemurtadan nenek moyang mereka!

Sejak era Christopher Columbus yang tersesat ke Amerika dalam pelayaran ke India, setiap orang tempatan yang ditemui digelar Indian. Di Filipina, penjajah Sepanyol menggelar penduduk tempatan yang telah dikristiankan sebagai Indios manakala penduduk di kepulauan selatan (Mindanao dan lain-lain) yang beragama Islam sebagai Moro. Ini adalah berkaitan dengan pengalaman mereka di Sepanyol yang mana orang Islam digelar ‘Moor’ sebagai gelaran penghinaan.

Sulu

Selepas menguasai Manila dan sebahagian besar wilayah Filipina, Sepanyol cuba untuk mara ke selatan. Bagaimanapun mereka menghadapi tentangan sengit daripada penduduk di sana. Sepanyol tidak pernah berjaya menjajah wilayah selatan Filipina.  Orang Suluk atau Tausug di selatan Filipina sejak abad ke 14 lagi sudah mempunyai empayar kesultanan yang kuat.

Dengan sejarah gemilang sebagai pemilik empayar Sulu, sukar bagi Sepanyol untuk  menewaskan mereka, tidak seperti di utara. Bagaimanapun Sepanyol menggunakan jalan selamat untuk tidak menggunakan orangnya sendiri di barisan hadapan sebaliknya menghantar penduduk Filipina sendiri yang telah dikristiankan untuk memerangi saudara mereka yang masih Islam.

Ini terus berlaku hinggalah kekuasaan bertukar tangan. Pada 1898, pengakhiran Perang Sepanyol – Amerika Syarikat telah membawa Amerika sebagai penjajah baharu Filipina.

Penduduk selatan Filipina cuba untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah mereka yang tidak pernah dijajah oleh Sepanyol namun tidak diendahkan oleh Amerika Syarikat.

Ternyata Amerika mendapat kekuasaan ke atas wilayah itu dengan muslihat. Ini kerana berdasarkan rekod yang ia tidak pernah dijajah oleh Sepanyol, mana mungkin Sepanyol menyerahkan begitu sahaja wilayah tersebut kepada Amerika Syarikat sedangkan Sepanyol sendiri tidak mempunyai kuasa di situ.

Bagaimanapun, keadaan sudah tidak berupaya untuk diperbaiki lagi. Kekallah wilayah selatan Filipina di bawah pentadbiran Amerika Syarikat melalui ‘penjajahan di atas kertas’ hingga 1946 (tahun Filipina mendapat kemerdekaan) yang kemudian disambung dengan pemerintahan kerajaan Pusat oleh anak watan dari Manila.

Apa pun, nasib penduduk selatan terutama di Mindanao tidak pernah berubah. Mereka dipinggirkan dari arus pembangunan dengan persengketaan yang berterusan, yang bermula sejak zaman penjajahan Sepanyol yang telah mencetuskan konflik agama antara selatan dengan utara.

Mengikut rekod, penjajah sememangnya pernah cuba mengkristiankan selatan Filipina hingga seorang Sultan Sulu, Sultan Azimuddin @ Alimuddin I pernah dibaptiskan di Manila pada 1750. Beliau menukar nama kepada Don Fernando de Alimuddin, The Christian Sultan of Jolo.

Berdasarkan undang-undang kesultanan Sulu yang ketat, hak beliau dan keturunannya gugur secara automatik apabila meninggalkan Islam. Sultan yang murtad itu malah telahpun memberikan kebenaran kepada mubaligh Kristian untuk menyebarkan agama mereka di wilayahnya.  

Lantaran itu, berlaku perbalahan antara beliau dengan kerabat diraja yang lain hingga akhirnya, Raja Muda Bantilan dilantik menggantikan Sultan Alimuddin I dengan gelaran Sultan Bantilan Muizuddin.

Dengan itu, gagallah usaha untuk mengkristiankan selatan Filipina sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh penjajah Sepanyol di kepulauan utara.

Sultan yang terbuang akibat murtad itu bersama keluarga dan pengikutnya berhijrah ke Zamboanga, kemudian ke Manila dan diberi sambutan mesra oleh Sepanyol.

Ada maklumat mengatakan, beliau kemudiannya kembali semula ke Sulu dan bertaubat, namun kesahihan maklumat itu tidak dapat dipastikan.

Ganas

Ironinya, kedudukan umat Islam di Filipina hari ini amat menyedihkan. Mereka bukan sahaja telah bertukar daripada majoriti menjadi minoriti malahan diperangi dan dianggap pengganas oleh dunia.

Memang benar ada segelintir daripada mereka yang beraksi sebagai pengganas namun siapakah yang meletakkan mereka dalam kancah ketidakadilan hingga terpaksa jadi begitu?

Meskipun negara telah mencapai kemerdekaan, hak mereka sebagai pribumi terus menerus dipinggirkan. Ruang untuk mereka berekonomi secara selesa dinafikan sehingga mencetus berbagai-bagai masalah sosial.

Setelah keluarnya penjajah asing, mereka tetap juga diberi kan ayanan yang tidak adil dalam pemerintahan oleh anak bangsa. Ini dilakukan atas dasar perbezaan agama.
Itulah dilemanya!

Penduduk selatan yang digelar Bangsamoro ini boleh dianggap mangsa keadaan setelah nenek moyang mereka memilih untuk kekal dalam Islam dan beriman, tidak sebagaimana saudara mereka di Cebu, Luzon atau di mana-mana wilayah Filipina yang lain.

Mereka boleh sahaja memilih untuk hidup senang, aman dan kaya raya dalam arus perdana negara jika sanggup untuk murtad dan bersekongkol dengan penjajah yang telah merampas negara, hasil mahsyul malah agama nenek moyang mereka.   Siapa yang sebenarnya mencetuskan keganasan?

Itulah ceritanya 'keadilan' dunia yang berlaku di Filipina! - MUHAMAD MAT YAKIM

Gempa 'mega' mungkin melanda

JAMBATAN sepanjang 200 meter yang mrentasi
Sungai Kurokawa musnah dalam gempa 7.3 magnitud.
LEBIH 40 orang mati apabila gempa bumi kedua
melanda Jepun minggu lalu.

Beberapa siri gempa bumi yang melanda Asia dan Amerika Selatan sepanjang beberapa hari lalu mungkin diikuti dengan satu gempa ‘mega’ tidak lama lagi, kata seorang saintis.

Pada Khamis dan Sabtu lalu, dua gempa melanda Jepun, meagut sekurang-kurangnya 41 nyawa, menyebabkan tanah runtuh dan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur.

Ia diikuti dengan gempa sekuat 6.1 magnitud di Tonga, negara pulau di Lautan Pasifik. Bagaimanapun, tidak ada laporan mengenai kerosakan mahupun kecederaan.

Di satu lagi hujung Lingkaran Api, Ecuador dilanda gempa berukuran magnitud 7.8, awal kelmarin.
Seramai 272 orang terbunuh setakat semalam dan jumlah itu dijangka meningkat.

Pakar seismologi di Universiti Colorado, Amerika Syarikat, Roger Bilham berkata: “Keadaan sekarang mungkin menyebabkan sekurang-kurangnya empat gempa bumi berukuran lebih 8.0 magnitude. Dan jika itu tidak berlaku, gempa bumi berukuran lebih kuat daripada itu mungkin berlaku, menyebabkan lebih banyak kemusnahan,” katanya.

Selain empat gempa bumi yang berlaku sejak Khamis lalu, beberapa gempa turut menggegarkan Filipina, Vanuatu dan Myamar. Semuanya berlaku di negara yang terletak di atas apa yang dipanggil Lingkaran Api.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, agensi bebas yang mengawasi bencana semula jadi seperti gempa bumi berkata, gempa bumi ‘mega’ jarang berlaku, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil.

Menurutnya, tidak ada garisan sesar - kawasan tempat plat beralih yang membentuk pertemuan kerak bumi - diketahui boleh menyebabkan gempa sekuat 10 magnitud.

Bagaimanapun, saintis tidak menolak sama sekali kemungkinan berlaku gempa bumi ‘mega’ kerana mereka baru saja mula mengukur aktiviti seismik sejak 100 tahun lalu. -Agensi

ANGKA kematian akibat gempar di Ecuador meningkat melebih 270 orang.

Monday 18 April 2016

Sukarkah ambil anak angkat Syria atau kahwini gadisnya?

Gambar anak-anak Syria di penempatan Jordan.
BERKULIT putih,  bermata hijau itulah rata-rata rupa paras anak-anak Syria, maka tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia yang tertarik untuk mengambil anak-anak Syria ini untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Selain mempunyai sifat empati terhadap anak-anak comel yatim piatu ini dek kerana peperangan yang melanda negara mereka menjadi faktor ‎ramai rakyat Malaysia ingin memiliki anak-anak ini untuk dibawa pulang ke Malaysia untuk dipelihara.

Namun, mungkin hasrat rakyat Malaysia itu terpaksa dilupakan kerana sepanjang temuramah Sinar Harian dengan ibu bapa pelarian Syria di Jordan serta pengalaman ‎rakyat Malaysia di Jordan hasrat tersebut sangat sukar direalisasikan.

Menurut Ketua Biro Kemanusiaan Haluan Siswa Jordan, ‎Muhammad Sheikh Zaki berkata, dia pernah beberapa kali diminta oleh rakyat Malaysia untuk mengambil beberapa orang anak Syria untuk dijadikan anak angkat namun pada saat akhir hasrat tersebut terpaksa dilupakan dek kerana beberapa kekangan.

"Ada orang kaya Malaysia yang minta saya tolong carikan anak angkat Syria di kem pelarian Syria di Jordan.

"Namun di saat akhir si empunya ‎permintaan (orang kaya) tersebut terpaksa membatalkan hajatnya," katanya kepada Sinar Harian.

Faktor kesukaran

Jelas Muhammad faktor rakyat Malaysia menarik diri adalah kerana kesukaran keluarga mereka untuk melepaskan anak-anak mereka di tangan orang luar.

"Dari segi undang-undang insya-ALLAH kita boleh selesaikan walaupun berhadapan dengan cabaran yang agak mencabar, kerana kita kena melalui banyak proses.

"Yang kes rakyat Malaysia itu, apa yang membuatkan dia membatalkan hasrat adalah kerana jika dia mahu mengambil anak angkat itu dia perlu membawa sekali keluarga terdekat atau sebuah keluarga itu untuk dijaga di Malaysia.

"Dari satu segi saya melihat bahawa walaupun mereka susah namun kasih sayang antara mereka tidak boleh dipisahkan," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata,  keluarga Syria kini juga berhati-hati untuk memilih keluarga untuk mengambil anak angkat.

‎"Ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak pelarian ini, jadi kini mereka lebih berhati-hati," katanya lagi.

Kahwini gadis Syria

Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana caranya untuk mengahwini gadis-gadis Syria, Muhammad berkata, keluarga Syria sangat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang berhasrat mengakhiri gelaran bujang dengan gadis Syria.

"Mereka sangat mengalu-alukan," katanya.

Sementara itu, menurut Muhammad dia menasihati agar mereka yang berhasrat memiliki gadis Syria agar bersikap jujur dan mempunyai kewangan kukuh.

"Apa yang keluarga mereka tanya adalah, adakah mereka mampu untuk menjaga anak mereka.

"Daripada segi duit hantaran dan sebagainya mereka boleh berbincang dengan keluarga tersebut," katanya.

Sinar Harian kini bersama  NGO Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Astro Prima memulakan misi ke kem pelarian Syria  di Jordan yang mengambil  masa selama 11 hari di bumi Jordan bermula 12 April lalu.

Ketiga-tiga agensi ini yang disatukan dalam satu tim, ke kem pelarian Syria di Jordan adalah bagi memberi sumbangan berbentuk ubat-ubatan, makanan dan sumbangan yang lain.

Kira-kira 10 orang krew yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut iaitu terdiri daripada Penerbit Program Hajat Astro Prima,  Azmee Mahmud; Pengarah Hajat Musim ke-5, Lokman Hakim Mustapha; Pengacara Hajat Musim ke-5 Pencetus Ummah, PU Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil; Pengacara bersama, PU Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi; dua orang doktor daripada NGO (HALUAN) iaitu Ketua Biro Kemanusiaan, Dr Baharuddin Suri; ‎Ketua Unit Latihan Biro Kemanusiaan, Dr Mohtar Ibrahim; Aktivis Kemanusiaan Haluan, Muhammad Qawiem bin Abdul Baki; Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan Haluan, Muhammad Shakir Sabarudin; Aktivis Kemanusiaan Haluan yang juga merangkap Jurugambar Haluan, Abdullah Afiq Nashiron dan wartawan Sinar Harian, Muhammad Shamsul Abd Ghani. -SH

Sunday 17 April 2016

Menteri Belgium dakwa Muslim 'bergembira' selepas serangan

Seorang pemuda bertopeng membuat ejekan provokasi terhadap
 polis Belgium di Daerah Brussels di Molenbeek, Belgium.
BRUSSELS: Menteri Dalam Negeri Belgium, Jan Jambon, mencetuskan kontroversi pada Sabtu apabila mendakwa ada sebahagian penduduk Islam negara itu meraikan serangan, sekali gus menyalahkan dasar kerajaan kerana gagal menyatukan pendatang dengan masyarakat tempatan. 

Beliau, bagaimanapun, tidak merujuk dengan jelas adakah serangan yang dimaksudkannya merujuk kepada kejadian di lapangan terbang dan sistem kereta api bawah tanah di Brussels bulan lalu yang mengorbankan 32 orang."

Ada sebahagian komuniti Islam 'menari' apabila serangan berlaku," katanya dalam temubual dengan akhbar De Standaard. 

Beliau juga menuduh penduduk Islam di penempatan Molenbeek di Brussels, menyerang polis ketika operasi bulan lalu untuk menangkap suspek berkaitan serangan maut di Paris November lalu. 

"Mereka membaling botol ke arah polis dan media ketika penangkapan Salah Abdelslam. Ini masalah sebenar."Kita boleh menangkap pengganas, mengeluarkan mereka daripada masyarakat tetapi tindakan berkenaan hanyalah di permukaan. 

Di bawahnya ada barah yang lebih sukar dirawat. Kita boleh melakukannya tetapi bukan dalam masa singkat," kata Jambon. - Agensi

Saturday 16 April 2016

Menara kayu 80 tingkat dirancang di London

LUKISAN pereka menunjukkan bangunan pencakar langit yang akan dibuat daripada kayu.
London: Sepasukan arkitek terkenal mendedahkan rancangan membina bangunan pencakar langit pertama yang dibuat daripada kayu.

Pasukan dari Universiti Cambridge itu mahu membina bangunan setinggi 305 meter berkenaan di tebing Barbican di sini dan berharap ia boleh menempatkan 1,000 rumah di 80 tingkat menara itu.

Menara Oakwood itu akan menggunakan rangka kayu seluruhnya. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada Datuk Bandar London Boris Johnson. Sekiranya diterima, ia akan menjadi bangunan kedua tertinggi di London selepas The Shard - dan struktur kayu tertinggi di dunia.

Pengarah Pusat Inovasi Bahan Asli Cambridge, Michael Romage berkata: “Menara itu sudah pasti akan menjadi daya tarikan kerana keunikannya.”

Menara kayu tertinggi di dunia ketika ini ialah apartmen 14 tingkat di Bergen, Norway. Beberapa lagi bangunan seumpama itu dirancang dibina di Perancis dan Sweden.

Bulan lalu, arkitek Perancis, Jean Paul Viguier mengumumkan cadangan untuk membina tiga menara kayu di Bordeaux sementara syarikat arkitek Sweden Tham & Videgrd berkata, ia sudah merangka rancangan membina beberapa apartmen kayu di Stockholm.

Bercakap mengenai rancangan membina bagunan pencakar kayu di London, seorang arkitek terkenal, Kevin Flanagan berkata: “Penggunaan kayu akan mengubah cara kita membina bangunan di bandar raya ini. Bangunan kayu berpotensi mewujudkan suasana santai dan kreatif di kawasan bandar.” 
- Agensi

Thursday 14 April 2016

Membenihkan Awan Tidak Semudah Membenihkan Jagung

Fahamilah, Membenihkan Awan Tidak Semudah Membenihkan Jagung


1
Ramai yang tidak faham dengan prinsip sains di sebalik ‘cloud seeding’. Mereka sangka pembenihan awan itu senang macam mengeluarkan benih sendiri menerusi proses senggama dan onani. Boleh dibikin sukahatimakbapak bila-bila masa, di mana-mana. Asalkan ada nafsu dan berahi, terus saja boleh on. TIDAK. Cloud seeding bukan semudah begitu. Yes, it is a ‘proven technology’ to produce rain. Tapi semua teknologi dunia yang telah terbukti pun, masih perlukan PRA-SYARAT. 

Misalnya teknologi kereta. Memang ia terbukti sebagai jentera bergerak yang boleh memindahkan manusia dan barangan dari satu tempat ke tempat yang lain secara efektif. Kerana mantapnya teknologi ini, maka jumlah kereta yang terjual di seluruh dunia bagi tahun 2015 saja, melebihi 72 juta unit. Kalau bilangan ini dihantar ke Malaysia, setiap penduduk negara di segenap ceruk akan memiliki sekurang-kurangnya dua buah kereta seorang, termasuklah bayi yang baru dlahirkan tiga minit tadi. Banyak, kan?

Tetapi secanggih mana pun teknologi kereta ini hingga digilai manusia serata global, ia cuma boleh berfungsi JIKA DAN HANYA JIKA pra-syaratnya dipenuhi. Apa? Ia perlukan jalanraya. Kalau kamu tinggal dalam sampan di tengah lautan Atlantik, satu billion kereta pun tidak berguna. Atau kalau kamu berkampung di lereng pergunungan Himalaya yang paling curam; jangan bilang kereta berenjin, kereta lembu atau kereta babi pun belum tentu boleh pakai.

2
So sekarang kamu faham tidak, apa sebenarnya prinsip asas dalam semua proses dan mekanisme sains? Ia perlukan situasi yang ideal dan optimum sebelum teknologi dapat dioperasikan.

Begitu juga 'cloud seeding’. Ia ada PRA SYARAT yang ditentukan oleh faktor semulajadi, di luar kawalan kepintaran manusia dan kecanggihan teknologi. Untuk membolehkan pembenihan itu hasilkan hujan, perlu ada awan towering cumulus. Ini sejenis awan perolakan yang lazimnya nampak seperti letupan atom Hiroshima. Rimbun berpupul-pupul, menjulang tinggi ke langit. Ketika episod El Nino begini, yang mana cuaca sangat kering dan nilai lembapan di tanah dan udara begitu rendah, olakan wap air untuk menghasilkan awan jenis ini sangat sukar berlaku. Lebih-lebih lagi Sabah, iaitu salah satu tempat di Malaysia yang paling prone dan fragile kepada impak El Nino.

Itulah punca sebenar kenapa ‘cloud seeding’ masih belum dioperasikan di Sabah. Bukan sebab tiada arahan atau kedekut bajet atau tiada kepakaran dan teknologi. Bukan juga sebab agensi yang bertanggungjawab sengaja lengah-lengahkan tindakan. Pasukan Jabatan Meteorologi Malaysia dan TUDM sudah siap-siaga untuk membenihkan awan bila-bila masa. But the ideal climatic condition is yet there for the seeding to take place. 

3
Ada juga yang bising-bising: siapa bilang tiada awan? Ada hujan bah di Sabah dalam sehari dua ini. Itu bukti bahawa memang ada awan yang cukup. Tembirang saja Jabatan Meteorologi ini!

Wah, pintar dan cerdik sungguh homosapien Malaysia sekarang. Semua orang berduyun-duyun boleh jadi meteorologist dan climatologist tersohor, dengan hanya memandang langit dan mengintai hujan di celah tingkap. Kalau begitu, saya cadangkan kerajaan hentikan semua biasiswa untuk taja pengajian di universiti. Buat apa membazir duit juta-juta bagi melahirkan pakar pelbagai bidang, kalau akhirnya diagnosis dan penilaian mereka hanya dimomok-momok. Orang lebih percaya pada saintis jadi-jadian yang graduate secara percuma dari Universiti Facebook dan Kolej Sains Twitter.

Hujan secara semulajadi memang boleh dihasilkan oleh pelbagai awan lain, misalnya alto-kumulus. Tapi awan jenis ini tidak boleh dibenihkan dengan efektif. So, bila ada hujan secara natural, bukan bererti ada awan towering cumulus yang sesuai untuk pembenihan. Sehingga semalam (6 April 2016), pemantauan pihak berautoriti yang merupakan gandingan pakar teknikal dan sains atmosfera (dengan menggunakan teknologi satelit dan pelbagai kaedah tinjauan lapangan yang lain), telah mendapati bahawa awan yang ideal untuk pembenihan belum muncul dalam ruang angkasa di kawasan-kawasan yang berjerebu.

Mungkin awan jenis itu ada di Malindi, Kenya, atau barangkali di Dataran Tinggi Korat, Thailand. Tapi kita bukan mau benihkan awan di sana, kan?

4
Ada juga menyinga dengan cara lain, hingga hilang kawalan dan harga diri. Kata mereka: Ini soal nyawa. Kalau pun ‘awan yang ideal’ tidak ada, tiada salah mencuba bah. Kita mesti berusaha. Jangan lagi fikir pasal duit atau kos. Yang penting MENCUBA!

Kita mesti ingat, belanja operasi pembenihan awan ini sangat mahal. Jadi setiap cubaan mestilah ada justifikasi dan logik yang kukuh. Bukan cuba sekadar cuba. Duit itu bukan kepunyaan Jabatan Meteorologi Malaysia. Ia juga bukan milik nenek moyang kita yang telah bertahun-tahun meninggal dunia, dan boleh diagih-agih sebagai amal jariah sesuka hati. Duit itu milik rakyat, hasil dari keringat, darah dan airmata. Jadi, pihak yang diberi tanggungjawab mengurusnya tentulah mahu pertahankan sifat amanah. Bukan kamurang saja bah yang mau masuk syurga. Orang lain pun mau juga ke sana.

Agama menyuruh kita menuntut ilmu sains dan teknologi untuk apa? Supaya kita dapat terjemah pengetahuan itu ke dalam bentuk pertimbangan-pertimbangan yang munasabah. Jadi segala sumber yang dikurnia oleh Tuhan dapat dimanfaatkan secara optimum, setelah risiko untung-rugi dinilai sebaik-baiknya. Bukan dibazir-bazir sesuka jiwa raga, macam iblis yang tak sayang rezeki dan tak reti bersyukur.

Kalau kebarangkalian berjaya cuma 0.5%, kenapa perlu belanja puluh ribu ringgit untuk jalankan operasi yang akhirnya 99.5% menemui kegagalan? Lebih mulia jika dana itu disalur sebagai belanja mitigasi pelbagai isu-isu kemanusiaan lain bersabit kes cuaca panas dan jerebu. Misalnya, bayar kos penghantaran air. Bayar overtime bomba yang memadam kebakaran, etc. Kita perlu adil mengurus dana publik, berdasarkan analisis kos-efektif yang tepat. Itulah tanggungjawab penjawat awam. Bukan semata-mata sebab didesak orang ramai dan takut dimaki-hamun, maka kita belanja duit terhegeh-hegeh tanpa asas pertimbangan. Ini bukan soal populariti. Ini soal berhemah dalam tindakan, jujur dalam tugasan.

5
Ya, saya sangat faham situasi orang Sabah sekarang. I was also in KK last weekend. I saw and experienced the severe haze. It was not pleasant. Di kawasan pedalaman barat Sabah, di mana punca kebakaran dikesan, sudah tentu keadaannya lebih teruk daripada KK. I honestly can empathise it. Memang begitu menjerihkan. 

Tapi kalau perit sangat pun, kita janganlah taksub sampai mahu menjadi Tuhan. Seolah-olah sistem fizikal dunia ini boleh tunduk menerima arahan manusia. 

Kun faya kun. Aku kata jadi, maka jadilah. 

Percayalah, kita sebagai manusia tidak mempunyai kuasa sakti sebegitu. 

6
There is a limit for everything, including science and technology. Let’s acknowledge that. Mari kita sama-sama belajar menjadi insan semula. Yang selalu sedar di mana letaknya batasan kudrat makhluk. Juga, yang saling menghargai usaha orang lain, walau sekecil mana pun usaha itu di mata kita.

This is Rem Dambul writing, in his capacity as a professional climatologist, a true Sabahan and a patriotic Malaysian. Sekian, terima kasih kerana sudi membaca.

KJ sedia berdebat dengan TMJ

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyatakan kesediaan untuk berbahas dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaysia sejak kebelakangan ini.

Tanpa mendedahkan tarikh dan tempat debat berkenaan, Khairy berkata beliau sanggup berdebat dengan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim itu sekiranya ia dapat meningkatkan semula prestasi skuad kebangsaan yang mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak selepas jatuh dalam ranking ke-174 dunia, kedudukan terendah dalam ranking FIFA yang diperkenalkan pada Dis 1992.

"Ya bermaksud ya, saya seorang lelaki yang sederhana. Ini satu perkara yang baik untuk (pasukan) bola sepak (kita).

"Nanti orang kata tak nak bersemuka lah, apalah...," kata Khairy pada sidang media sebelum menghadiri majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2015 di sebuah hotel di Petaling Jaya, malam tadi.

Pada Selasa, Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers, dilaporkan mahu berdebat dengan Khairy dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mencari punca dan juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.   

Baginda pada masa sama mahu dilaporkan sebagai berkata mahu perdebatan itu melibatkan para penyokong yang dibenarkan menyuarakan pendapat masing-masing dan menanyakan sebarang soalan yang dikehendaki.

Ia susulan kenyataan Khairy sebelum ini yang mendakwa bahawa pemain bola sepak tempatan kurang berkualiti.  - Bernama

Wednesday 13 April 2016

TAN SRI SYED AZMAN SYED IBRAHIM BILIONAIR MELAYU 'LOW PROFILE'

TAN SRI SYED AZMAN SYED IBRAHIM...
BILIONAIR MELAYU 'LOW PROFILE' YANG MEMILIKI 4 JET EKSEKUTIF & LEBIH 40 BUAH HELIKOPTER!


Beliau asalnya adalah seorang pegawai perisikan tentera yang berkhidmat selama 13 tahun dalam ATM hingga memperoleh pangkat Mejar. Pada tahun 1993, setelah berhenti dari tentera, beliau dan isteri memulakan perniagaan kereta terpakai. Anak jati Sungai Petani, Kedah ini kemudiannya mula berulang-alik ke London untuk membeli kereta terpakai sebelum menjualnya di Malaysia. Masa tu beliau tidak memiliki AP namun dia berkongsi AP dengan rakan-rakan yang memiliki permit tersebut. Lama kelamaan beliau berjaya juga memiliki AP dari kerajaan dan perniagaan keretanya semakin menjadi sebutan.

Kemudian kerajaan mengambil keputusan memberhentikan pemberian AP terbuka dan hanya menawarkan franchise AP. Untuk mendapatkan franchise AP, Syed Azman perlu dilantik oleh syarikat kereta asing sebagai pengedar then barulah permit itu dianugerahkan kepadanya. Nasib menyebelahinya apabila beliau berjaya mendapatkan kepercayaan daripada Honda untuk melantiknya sebagai pengedar beberapa jenis kereta tersebut di Malaysia antaranya Honda Jazz. Kemudian Syed Azman mendapat hak untuk mengedar pula Chevrolet dan Suzuki.

Dalam satu temubual dengan akhbar The Star tak lama dulu, Syed Azman berkata, selama menjalankan urusan perniagaan, beliau bosan kerana masanya banyak habis di jalan lalu rakannya mencadangkan beliau membeli helikopter saja untuk ke sana dan ke sini. Pada tahun 2003, beliau membeli sebuah helikopter dengan harga US$1.5 juta bagi kegunaan hariannya, bila heli itu tidak digunakannya, beliau sewakan saja pada mereka yang berminat. Ketika itulah beliau sedar yang permintaan untuk helikopter ini tinggi di Malaysia. Lima tahun kemudian, beliau berjaya mendapatkan kontrak pertama untuk menyediakan perkhidmatan helikopter untuk membawa pekerja sektor minyak dan gas ke pelantar.


Dan hari ini, pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS) itu memiliki lebih 40 buah helikopter, empat buah jet persendirian dan beliau juga memiliki kontrak bernilai RM8 billion bagi membawa pekerja pelantar minyak hingga menjadikannya antara lelaki Melayu terkaya di Malaysia ketika ini. Ini belum campur perniagaan peluru berpandu, peralatan pertahanan, hartanah, kenderaan, pembinaan etc. Walaupun harta dan asetnya mencecah bilion ringgit, Syed Azman enggan menyatakan jumlahnya. Beliau hanya menjawab: "Saya tak boleh beritahu jumlah harta saya, mak saya tak suka"

Hehehe...comel tak jawapan tu?

Sumber: Syahril A. Kadir

Tuesday 12 April 2016

Kesan sampingan jika terlebih minum air detoks lemon

BAGI yang sedang diet air lemon ini memang tak asing lagi. Ia menjadi sebahagian minuman untuk tujuan detoks membuang toksin yang juga salah satu cara untuk menurunkan berat badan.

Botol air berisi hirisan lemon ini selalunya bekalan wajib mereka yang berdiet hingga kadang-kadang ada yang membawa beberapa botol besar untuk minuman seharian di tempat kerja.

Tapi tahukah anda bahawa air lemon ini kalau diminum berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik untuk tubuh.

Tiga perkara berikut mungkin anda alami jika mengambilnya terlalu banyak. Kurangkan pengambilannya jika kesan ini sudah anda rasai.

1. Hakisan gigi

Terlalu banyak mengambil makanan atau minuman berasid seperti air lemon bergelas-gelas akan menyebabkan gigi turut kerap diselaputi asid.

Ia mampu menghakis enamel gigi dan membuat gigi semakin sensitif pada makanan sejuk dan panas. Bagi melindungi gigi ketika minum minuman berasid sebaiknya gunakan straw.

2. Pedih ulu hati

Minum air lemon juga boleh mencetuskan pedih ulu hati. Ia akan menjadi lebih serius jika anda pernah mengalaminya sebelum ini.

Pedih ulu hati ini akan menyebabkan rasa panas dan juga sakit di bahagian dada. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman berasid untuk mengelak serta mengurangkan simptom pedih ulu hati.

3. Kerap buang air dan dehidrasi

Ini juga salah satu kesan sampingan yang mungkin anda alami jika terlebih minum air lemon. Buah ini mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.

Nutrien ini memang bersifat diuretik yang bermakna ia meningkatkan penghasilan urin oleh buah pinggang untuk membantu tubuh mengeluarkan cecair dan sodium berlebihan dengan cepat.

Sekiranya anda merasai tanda-tanda dehidrasi seperti mulut kering, haus, pening kepala atau mengantuk segera kurangkan pengambilan air lemon.

Apa-apa makanan pun kalau diambil berlebihan tak elok, jadi bersederhanalah. jangan kerana mahu kurus cepat, penyakit lain pula yang datang. -SH