Sunday 5 May 2019

Rakyat boleh tanam padi waktu malam-Tun M


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, inisiatif itu juga sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing yang kini mencecah tujuh juta.

Selain itu katanya, kerajaan turut merancang pembinaan kilang yang mampu membina rumah sebagai sebahagian inisiatif tersebut.

“Kita sedang fikir sama ada kita boleh alih waktu kerja daripada siang hari kepada malam. Memanglah gelap, tapi orang kaya boleh main golf waktu malam, mungkin kita boleh tanam padi waktu malam sebab siang panas. Ini boleh kurangkan tekanan.

“Di sesetengah negara bila datang bulan puasa, mereka tidur siang dan malam bekerja. Jadi ia bukan sesuatu luar biasa. Sekarang ada lampu LED, tidak guna elektrik yang banyak.Ini antara langkah kerajaan yang sedang berusaha wujudkan banyak pekerjaan,” katanya ketika berucap dalam majlis Jamuan Makan Malam Tautan Muhibbah Parlimen Segambut 2019 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)di sini hari ini. 

Friday 5 October 2018

Duit gaji cepat habis


SAYA selalu kesempitan wang. Walaupun bekerja, duit habis kerana membayar hutang rumah, kereta dan pelbagai komitmen dalam masa singkat. Kadang-kadang majikan lewat membayar gaji menyebabkan saya mengalami kesukaran. Saya mohon petua, apakah ada amalan menarik rezeki dan bagaimana boleh menjadikan doa seseorang itu mudah diterima Allah SWT?

Shahrin, Johor

PETUA yang saya boleh berikan adalah memperbanyakkan istighfar. Jadikan istighfar sebagai pembuka pintu rezeki kerana ia jaminan daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Nuh, ayat 10 hingga 12 yang bermaksud: “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”

Mengapa Nabi Nuh meminta kaumnya beristighfar? Jawapannya, kerana kaumnya ketika itu banyak melakukan maksiat dan kafir terhadap Allah sehingga menyebabkan Allah tidak menurunkan mereka hujan dalam jangka masa yang panjang.

Bahkan, kemarau teruk melanda kaumnya menyebabkan wanita menjadi mandul. Disebabkan itu, mereka pergi kepada Nabi Nuh untuk meminta nasihat apa yang patut mereka lakukan.

Nabi Nuh akhirnya memberikan nasihat supaya mereka beristighfar kepada Allah SWT daripada dosa maksiat, syirik dan kekafiran mereka.

Al-Quran juga menyarankan ketika kita merasakan pintu rezeki seakan tertutup supaya menghadapinya dengan berusaha membuka pintu rezeki dengan istighfar kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 3 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu (daripada perbuatan syirik) dan bertaubat kepada-Nya (Jika kamu mengerjakan demikian), nescaya Dia akan memberi nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) kepadamu sampai waktu yang ditentukan dan (di akhirat pula) Dia akan memberikan kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal soleh) akan pahala kelebihan itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru haranya).”

Kisah Imam Ahmad boleh dijadikan pendorong. Diceritakan, pada akhir hayatnya, beliau tiba-tiba teringin untuk ke salah satu kota Baghdad, pada hal beliau tidak ada sebarang hajat dan keperluan untuk ke sana.

Beliau bergerak ke kota Baghdad sehinggalah sempat solat Isyak berjemaah di salah sebuah masjid di sana. Pada malam itu, beliau membuat keputusan untuk berehat dan tidur di masjid berkenaan.

Tiba-tiba siak masjid datang dan tidak mengizinkan Imam Ahmad tidur di dalam masjid. Siak masjid itu tidak mengenali wajah Imam Ahmad walaupun beliau ulama terkenal.

Beliau disuruh keluar lalu siak mengunci pintu masjid. Kemudian Imam Ahmad mengambil keputusan untuk berbaring di tepi masjid. Tiba-tiba datang lagi siak masjid tadi menghalau Imam Ahmad dalam keadaan marah-marah.

Beliau ditolak-tolak sehingga ke jalanan. Peristiwa itu disaksikan seorang penjual roti yang sedang membuat adunan. Penjual roti itu tinggal bersebelahan dengan masjid.

Dia pun memanggil Imam Ahmad dan mengajak menginap di rumahnya. Imam Ahmad duduk di belakang penjual roti itu dan hanya memperkenalkan dirinya sebagai musafir.

Penjual roti itu tidak berkata apa-apa sekiranya Imam Ahmad tidak bertanya. Dia hanya meneruskan kerjanya membuat adunan roti. Tetapi Imam Ahmad memperhatikan penjual roti itu lidahnya sentiasa menyebut “Astaghfirullah” sama ada ketika meletakkan garam, memecahkan roti, mencampurkan gandum dan sebagainya.

Imam Ahmad bertanya: “Sudah berapa lama kamu membuat sebegini?” Penjual roti itu menjawab: “Sudah 30 tahun iaitu sejak saya mula-mula bekerja membuat roti.”

Imam Ahmad bertanya: “Apa hasilnya daripada perbuatan kamu ini?” Penjual roti itu menjawab: “Tidak ada hajat yang saya minta melainkan Allah SWT pasti memakbulkannya.”

Lalu penjual roti itu berkata: “Cuma satu hajat yang aku pohon belum dikabulkan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah hajat yang kamu pohon itu?”

Penjual roti itu menjawab: “Saya memohon supaya Allah mempertemukan saya dengan Imam Ahmad.”

Imam Ahmad bertakbir dan berkata: “Allahuakbar, Allah datangkan saya jauh dari Baghdad pergi ke Bashrah, bahkan sampai ditolak-tolak oleh tukang siak masjid hingga ke jalanan kerana istighfarmu.”

Penjual roti itu terkejut dan memuji Allah apabila dia mengetahui di hadapannya ialah Imam Ahmad. Begitulah besarnya kelebihan istighfar.

*Penulis ialah pendakwah

Tuesday 12 June 2018

Wawasan 2020 boleh dicapai pada 2025 - Dr. Mahathir

Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo.

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 menyatakan matlamat wawasan itu hanya dapat dicapai menjelang tahun 2025 atau mungkin lebih awal lagi.  

Dr. Mahathir berkata, kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan usaha mencapai aspirasi Wawasan 2020.           

Dengan hanya dua tahun lagi menjelang tahun 2020, Dr. Mahathir menyuarakan keraguan tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa itu.

"Walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada tahun 2020.

“Mungkin ia akan (mengambil masa) agak lama daripada itu, mungkin tahun 2025 atau mungkin lebih (awal) jika kita mengamalkan dasar yang betul," kata beliau pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia semasa beliau mengilhamkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju ketika itu.

Beliau menjadi Perdana Menteri dari  tahun 1981 hingga 2003.

Dr. Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun termasuk untuk menghadiri Persidangan Nikkei itu. - Bernama 

Sunday 3 June 2018

ATM bakal terima Panglima baharu

Perlantikan tersebut yang berkuat kuasa 20 Jun ini telah pun dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera yang bersidang Khamis lalu.

KUALA LUMPUR - Tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal bertukar apabila Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin disebut akan dilantik ke jawatan tersebut.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Moha­med Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara pada Disember nanti.

Difahamkan perlantikan tersebut yang berkuat kuasa 20 Jun ini telah pun dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera yang bersidang Khamis lalu.

Zulkifli, 60, sebelum ini merupakan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan Naib Canselor (NC) Universiti Pertahanan Nasional (UPNM).

Beliau yang sepatutnya bersara wajib pada 30 November ini telah pun menyerahkan tugas sebagai NC UPNM kepada penggantinya, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal pada Mei lepas.

Bagaimanapun, Zulkifli dipanggil semula untuk berkhidmat bagi menerajui ATM sebagai PAT ke-20.

Zulkifli yang dilantik sebagai PTD pada 2011 melepaskan jawatan itu dua tahun kemudian dan dipindahkan ke UPNM sebagai NC buat kali kedua selepas kali pertama pada 2008.

Beliau yang memulakan kerjaya ketenteraan pada 1978 memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dan pemerintahan. - KOSMO

Saturday 26 May 2018

Pembayaran BR1M sebelum Aidilfitri



KUALA LUMPUR - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dibayar kepada penerima bulan hadapan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menerusi laman Twitter rasminya hari ini, beliau berkata bantuan kewangan itu akan diberi nama baharu.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai bantuan itu akan diumumkan minggu depan.

"Sepertimana yang diarahkan oleh (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad)  @chedetofficial, BR1M (yang akan diberikan nama lain) akan dibayar pada bulan Jun sebelum Hari Raya Aidilfitri," kata Lim dalam catatan itu.

Perdana  Menteri sebelum ini memaklumkan pemberian BR1M yang diteruskan di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan dikaji semula bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerimanya. - Bernama