Saturday 30 September 2017

'Penjualan Plus Malaysia mungkin beri rakyat masalah'



KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta kerajaan menolak cadangan Maju Holdings Sdn Bhd untuk membeli Plus Malaysia Bhd, yang 51 peratus sahamnya dikuasai oleh UEM Group Berhad dan 49 peratus lagi dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Di dalam kenyataan hari ini, Naib Presiden Perkasa Datuk Ruhanie Ahmad berkata kerajaan harus menolaknya demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, Menteri Kewangan Kedua Datuk  Seri Johari Abdul Ghani telah berkata bahawa aset strategik ini dikhuatiri mungkin akhirnya jatuh ke tangan entiti asing, sekiranya Maju Holdings gagal membayar pinjaman yang digunakan untuk pembelian tersebut.

"Penjualan aset ini mungkin menimbulkan masalah kepada rakyat selaku pengguna seluruh rangkaian lebuh raya tersebut dan (mungkin) merugikan para pencarum KWSP,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Maju Holdings Sdn Bhd membuat tawaran lebih daripada RM36 bilion untuk mengambil alih Plus Malaysia Bhd. - Bernama

Friday 29 September 2017

2016 lahirkan paling ramai jutawan



HONG KONG – Bilangan jutawan di seluruh dunia meningkat hampir 8 peratus tahun lalu sekali gus menjadi angka tertinggi sepanjang zaman membabitkan kira-kira 16.5 juta orang dengan kekayaan terkumpul mencecah AS$63.5 trilion (RM268.6 trilion), kata firma perunding global, Capgemini dalam satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Aset individu dengan kekayaan bersih tinggi (HNWI) yang didefinisikan oleh Capgemini sebagai mereka yang mempunyai aset boleh labur bernilai AS$1 juta (RM4.2 juta) atau lebih tinggi, menokok 8.2 peratus dalam 2016 dan dijangka melepasi angka AS$100 trilion (RM423 trilion) menjelang tahun 2025.

Menurut laporan tersebut, kira-kira 1.15 juta orang menjadi jutawan baharu pada tahun lalu.

Amerika Syarikat(AS), Jepun, Jerman dan China mencatat paling ramai jutawan dengan ketiga-tiga negara itu merangkumi hampir dua pertiga bilangan jutawan di dunia.

Di AS pula, bilangan jutawan bertambah daripada 4.46 juta kepada 4.8 juta orang, manakala jumlah jutawan di China meningkat kepada 1.13 juta berbanding kira-kira sejuta orang.

Rantau Asia-Pasifik, Eropah dan Amerika Utara menyumbang sama rata kepada peningkatan kekayaan itu dengan Rusia, Brazil serta Kanada mengubah trend penurunan bilangan jutawan yang berlaku setahun lalu, kata Capgemini.

Rusia yang dibantu pemulihan dalam pasaran sahamnya, menyaksikan bilangan jutawan di negara itu dan kekayaan mereka bertambah sebanyak 20 peratus.

Perancis mengatasi Britain dalam aspek bilangan jutawan pada kedudukan lima teratas, manakala Sweden mengambil alih tempat ke-25 daripada Singapura. – Reuters

Thursday 28 September 2017

Pendaftaran pemilih secara dalam talian, media sosial tidak sah



PUTRAJAYA - Pendaftaran pemilih secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial adalah tidak dibenarkan dan tidak sah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah.

Sejak kebelakangan ini, katanya, terdapat pihak menyebarkan maklumat kononnya pendaftaran pemilih boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial dengan hanya menghantar gambar kad pengenalan MyKad mereka ke nombor talian telefon tertentu dan mereka akan didaftarkan segera sebagai pemilih.

"SPR ingin menegaskan bahawa kaedah itu adalah tidak dibenarkan dan tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hashim menegaskan, bahawa kaedah pendaftaran yang diguna pakai sekarang memerlukan individu itu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR.

Mereka perlu membawa bersama MyKad yang asal, mengisi Borang A dan menandatangani borang tersebut, katanya. - Bernama

Setiausaha politik menteri ditahan

Mejar (B) Datuk Peter Runin.

SEBERANG PERAI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan setiausaha politik kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Satu sumber memberitahu, Mejar (B) Datuk Peter Runin, 61, ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya akan membuat permohonan reman ke atas individu berkenaan di mahkamah di Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan.

“Tangkapan terbaharu ke atas seorang setiausaha politik sebuah kementerian bagi membantu siasatan kes penyelewengan dalam PTPK merupakan tangkapan kelima selepas empat yang lain telah dibebaskan dengan jaminan agensi itu sebelum ini,” kata beliau selepas program Kembara Jelajah Antirasuah 2017 di Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang, Kepala Batas di sini.

Wednesday 27 September 2017

Gelandangan kini dikenali rakan jalanan

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berucap pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Rakan Jalanan di Pusat Latihan Khidmat Negara Geo Kosmo, Kuala Kubu Bharu,

KUALA KUBU BHARU: Gelandangan yang merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan dan penempatan tetap serta tinggal di jalanan, kini diberikan jolokan baharu iaitu rakan jalanan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata gelaran berkenaan adalah antara aspirasi golongan itu sendiri pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Rakan Jalanan yang diadakan di sini, yang bertujuan memberikan gambaran yang lebih positif terhadap mereka.

"Ini cadangan dan kehendak mereka, jadi kita pakai nama itu dahulu supaya nanti akan menjadi kebiasaan.

"Malah, ada segelintir (daripada) mereka sebenarnya ada rumah, ada keluarga dan datang ke Kuala Lumpur mahu cari pekerjaan tapi pekerjaan yang mereka dapat itu tidak sesuai dengan jiwa mereka. Jadi mereka malu untuk pulang bertemu dengan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi dialog itu yang diadakan di Pusat Latihan Khidmat Negara Geo Kosmo, di sini hari ini.

Rohani berkata, antara perkara lain yang dibangkitkan golongan itu pada sesi dialog berkenaan adalah mengenai tawaran peluang pekerjaan yang lebih sesuai selain penyediaan tempat tinggal untuk mereka.

Penganjuran program itu adalah siri Dialog TN50 oleh kementerian itu bersama kumpulan sasar bagi memberi peluang mereka menyuarakan harapan bagi meningkatkan taraf hidup mereka. - BERNAMA

Tuesday 26 September 2017

Harga minyak cecah paras tertinggi sejak Julai 2015



NEW YORK: Harga minyak dunia melonjak lebih tiga peratus dengan Brent mencecah paras tertingginya dalam tempoh lebih dua tahun.

Peningkatan itu didorong beberapa faktor, terutama perakuan pengeluar minyak utama dunia bahawa pasaran global kini dalam proses kembali seimbang selain ancaman Turki untuk menyekat minyak daripada rantau Kurdistan Iraq ke pelabuhannya.

Kontrak penanda aras antarabangsa, Brent bagi November naik AS$2.16, atau 3.8 peratus kepada AS$59.02 setong iaitu paras tertingginya sejak Julai 2015.

Dagangan bagi kontrak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) bagi November pula naik AS$1.56, atau tiga peratus kepada AS$52.22 setong iaitu paras tertingginya sejak April.

Jurang antara WTI dan Brent semakin meluas kepada AS$6.61, iaitu paras paling ketara sejak Ogos 2015.

Turki dalam pengumumannya berkata ia akan melaksanakan pemotongan bekalan menerusi saluran paip yang membawa minyak dari utara Iraq ke pasaran global.

Ia sekali gus memberi kesan lebih besar kepada rantau Kurdish yang bergelut menjayakan referendum kemerdekaannya.

Kerajaan Iraq tidak mengiktiraf referendum itu dan meminta campur tangan negara asing untuk memberi tekanan dengan menghentikan import minyak Kurdish.

"Sekiranya saranan boikot ini berjaya sekitar 500,000 tong minyak mentah akan berkurangan setiap hari daripada pasaran minyak global," kata Commerzbank dalam notanya. - Reuters

Monday 25 September 2017

Rahsia pembinaan The Great Pyramid of Giza dibongkar

SEKUMPULAN ahli arkeologi akhirnya berjaya membongkar rahsia bagaimana The Great Pyramid of Giza dibina di Mesir.

KAHERAH – Selepas berabad-abad lamanya dianggap se­bagai misteri, sekumpulan ahli ar­­­­­­keologi akhirnya berjaya membongkar rahsia bagaimana The Great Pyramid of Giza dibina di Mesir.

Mail Online melaporkan, an­ta­ra rahsia tersebut termasuk bagaimana penduduk Mesir pada ketika itu mengangkut bongkah batu seberat dua setengah tan dengan menempuh perjalanan sejauh lebih 800 kilometer (km).

Difahamkan, bongkah ter­diri daripada batu kapur dan granit itu digunakan untuk membina makam buat Firaun Khufu sekitar tahun 2,600 sebelum Masehi.

Pada ketinggian melebihi 146 meter, makam tersebut dianggap sebagai piramid terbesar pernah dibina pada Zaman Pertengahan dan struktur binaan buatan manusia terbesar di muka bumi ketika itu.

Berdasarkan kajian kumpu­lan ahli arkeologi terbabit, ri­buan pekerja mahir dikerah untuk mengangkut kira-kira 170,000 tan bongkah batu di sepanjang Sungai Nil menggunakan bot kayu yang diikat dengan beberapa utas tali.

Satu terusan khas turut dibina bagi memudahkan bongkah batu itu diangkut terus ke kawasan pem­binaan piramid.

Selain itu, kumpulan ahli arkeo­logi tersebut juga menjumpai satu skrol daripada kertas papirus purba di jeti Wadi Al-Jarf yang menjelaskan peranan bot berkenaan dalam proses pembinaan piramid.


SKROL daripada kertas papirus purba yang menjelaskan mengenai peranan bot kayu dalam mengangkut bongkah batu untuk pembinaan piramid ditemukan di jeti Wadi Al-Jarf di Mesir.

Ditulis oleh Merer yang bertanggungjawab menyelia pasukan pembinaan yang terdiri daripada 40 pekerja elit, tulisan tersebut bukan sahaja menceritakan pembinaan The Great Pyramid, malah turut memperincikan bagaimana bongkah batu itu diangkut dari Tura ke Giza.

Dalam diarinya, Merer menjelaskan bagaimana pekerja itu terlibat dalam mentransformasikan landskap, membina tembok yang sangat besar bagi melencongkan air dari Sungai Nil sebelum menya­lurkan air itu ke arah piramid melalui terusan buatan manusia.

Penemuan baharu itu turut didedahkan menerusi rancangan dokumentari bertajuk Egypt’s Great Py­ramid: The New Evidence di Channel 4.

Sunday 24 September 2017

Disamun RM39,800 di puncak bukit

Pemandangan dari puncak Bukit Keluang, Besut.

KUALA TERENGGANU – Empat wanita termasuk dua beranak kerugian RM39,800 apabila disamun dua lelaki ketika mendaki Bukit Keluang, Besut kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, mangsa berusia 21 hingga 55 tahun itu disamun pada pukul 2.30 petang ketika berada di puncak bukit tersebut.

“Penjenayah yang menutup muka dan bersenjatakan pisau serta kayu memaksa kesemua mangsa menyerahkan barang kemas, telefon dan wang yang kesemuanya bernilai RM39,800 jika tidak mahu dirogol atau dibunuh.

Saturday 23 September 2017

Individu rajin buat kerja rumah panjang umur



ONTARIO, KANADA – Kajian terbaharu oleh pakar kesihatan di sebuah universiti dekat sini mendapati, aktiviti berkebun, mencuci lantai atau membersihkan dapur mampu menyelamatkan nyawa.

Laporan kajian dari McMaster University itu mendapati, melakukan kerja rumah lima kali seminggu selama setengah jam dapat mengurangkan risiko kematian sebanyak 28 peratus dan penyakit jantung sebanyak 20 peratus.

Lebih banyak kerja rumah yang dapat membantu individu untuk kekal aktif selama 750 minit seminggu juga didapati mengurangkan peluang untuk kematian awal hampir 40 peratus.

Hasil kajian tersebut diperoleh berdasarkan kajian terperinci aktiviti harian seramai 130,000 individu berusia 35 hingga 70 tahun dari 17 negara berbeza selama hampir tujuh tahun.

Kajian tersebut turut mendapati bahawa jika setiap individu melakukan aktiviti fizikal 150 minit setiap minggu kadar masalah kardiovaskular juga akan berkurangan hampir lima peratus.

Pakar yang mengetuai kajian tersebut, Dr. Scott Lear seperti dipetik Daily Mail berkata, laporan ber­­kenaan akan menggalakkan orang ramai terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk sentiasa kekal aktif walaupun mereka tidak mempunyai akses ke gim.

“Hasil kajian ini menekankan bahawa apa sahaja jenis aktiviti fizikal yang dilakukan secara rutin sama ada membersihkan rumah atau berjalan cepat untuk bekerja pada waktu pagi membantu kita kekal cergas dan sihat.

“Cara tersebut juga me­rupakan pendekatan kos rendah untuk mencegah penyakit kardiovaskular dan kajian kami menyediakan bukti kukuh untuk menyokong campur ta­ngan badan kesihatan awam bagi meningkatkan semua bentuk aktiviti fizikal di rantau ini,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyor­kan orang dewasa berusia 18 hingga 64 tahun perlu melakukan senaman selama 150 minit setiap minggu di samping latihan kecergasan dua kali seminggu.

Tetapi anggaran menunjukkan bahawa hanya satu perempat penduduk di se­luruh dunia memenuhi garis panduan tersebut.

Friday 22 September 2017

Presiden Filipina sedia bunuh anak jika terlibat dadah

Paolo Du­terte.

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata beliau bersedia membunuh anak lelakinya sendiri jika benar dakwaan terhadap ahli politik muda itu yang dikatakan terlibat dalam pengedaran dadah.

Duterte turut menegaskan bahawa, anggota polis yang membunuh anaknya juga akan dilindungi daripada sebarang pendakwaan.

Bulan ini, seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa Paolo Du­terte, 42, terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dadah China. Bagaima­napun dakwaan itu dinafikan selepas satu siasatan Senat dilakukan.

Paolo didakwa cuba membantu menyeludup penghantaran sejumlah besar dadah jenis kristal methamphetamine dari China.

Biarpun, Duterte tidak merujuk kepada sebarang dakwaan secara khusus, namun mengulangi kenya­taan yang dibuat dalam kempen pilihan raya umum pada tahun lalu bahawa tiada seorang anaknya terlibat dalam dadah.

“Saya pernah memberi arahan sebelum ini: ‘Jika anak saya terlibat dalam dadah, bunuh mereka’, jadi orang ramai tidak akan menuduh sembarangan.

“Jadi, saya memberitahu kepada Pulong (nama panggilan Paolo): Pesanan saya adalah untuk membunuh kamu jika kamu ditangkap. Malah, saya akan melindungi polis yang membunuh kamu sekiranya dakwaan itu benar,” katanya dalam satu ucapan kelmarin.

Dalam sesi pendengaran Senat pada bulan ini, seorang anggota parti pembangkang berkata, Paolo yang merupakan Timbalan Datuk Bandar Davao bersama menantu lelaki Duterte dikatakan terlibat dalam sindiket jenayah yang dikenali sebagai Kumpulan Davao.

Sebaliknya, kedua-dua individu itu menafikan me­lakukan sebarang salah laku. – AFP 

Ahli kerabat diraja dituduh hisap syabu

Tunku Alang Reza (kiri) didakwa atas kesalahan menghisap dan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Kerabat diraja Johor, Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga pertuduhan iaitu menghisap syabu dan memiliki dadah jenis sama serta ganja di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berumur 31 tahun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atas­nya dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan dadah syabu di Balai Polis Bandar Utama di sini pada pukul 2.20 pagi 4 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim juga sebelum ini terpalit dengan kes pembunuhan membabitkan kematian seorang model kelahiran Estonia yang juga merupakan bekas teman wanitanya.

Walaubagaimanapun, beliau dibebaskan setelah siasatan dilakukan mendapati beliau tidak bersalah dengan tertangkapnya dua orang suspek yang menjadi dalang dalam kes pembunuhan terancang tersebut.

Thursday 21 September 2017

PM Bangladesh minta Myanmar bawa pulang Rohingya

PELARIAN Rohingya berlindung di dalam paip simen di kem pelarian Kutupalong yang terletak di daerah Ukhia, Bangladesh semalam.


DHAKA, Bangladesh – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina semalam menggesa Myanmar mengambil semula sebahagian daripada 420,000 etnik Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di negara yang didominasi penganut Buddha itu.

Hasina yang bercakap kepada aktivis Bangladesh di New York ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa tekanan lebih hebat antarabangsa terhadap Myanmar berhubung krisis terbaharu yang berlaku sejak tiga minggu lalu, lapor media.

“Kami telah memberitahu Myanmar, mereka adalah rakyat kamu dan kamu mesti mengambil mereka semula, memberikan mereka perlindungan, memastikan mereka selamat dan tiada lagi penindasan serta penyeksaan,” katanya pada mesyuarat lewat kelmarin di New York.

Tambahnya, Bangladesh sedang melakukan usaha-usaha diplomatik untuk memujuk Myanmar membawa pulang pelarian Rohingya.

“Tetapi kerajaan Myanmar tidak bertindak balas terhadap gesaan itu. Malah, Myanmar meletakkan halangan di sepanjang sempadan untuk menghentikan kepulangan etnik Rohingya ke tanah air mereka,” katanya.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi berkata dalam satu ucapan pada awalnya bahawa negara itu akan mengambil semula pelarian yang telah disahkan.

Myanmar menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menolak kewarganegaraan mereka, walaupun telah hidup di negara itu sejak beberapa dekad.

Dalam satu mesyuarat negara-negara Islam di luar perhimpunan PBB tersebut, Hasina berkata, Yangon mengetuai kempen propaganda untuk menggelar etnik Rohingya sebagai Benggali, sambil menambah bahawa mereka perlu diberi kerakyatan Myanmar.

Hasina turut meminta bantuan kemanusiaan segera daripada negara-negara Islam untuk mengatasi kemasukan etnik Rohingya yang melarikan diri dengan apa yang digelar pembersihan etnik, lapor agensi berita BSS.

“Ia adalah malapetaka kemanusiaan yang tidak dapat ditanggung. Saya telah melawat mereka dan mendengar cerita-cerita tentang penderitaan mereka, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

“Saya ingin anda semua datang ke Bangladesh dan mendengar daripada mereka tentang kekejaman di Myanmar,” katanya.

Seramai 420,000 etnik Rohingya kini berlindung di khemah pelarian dekat bandar sempadan Cox’s Bazar akibat keganasan tentera di Myanmar. – AFP

Wednesday 20 September 2017

Datuk Seri 'makan' seorang RM3.75j

 Acryl Sani Abdullah Sani.


Kuala Lumpur: Daftar keahlian dengan bayaran RM1,700 dan dijanjikan bonus antara RM800 hingga RM1,200 selepas tempoh tiga bulan.

Itu janji syarikat dimiliki seorang lelaki bergelar Datuk Seri kepada 800,000 pelabur yang menyertai skim ‘cepat kaya’ membabitkan kerugian RM3.75 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kegiatan penipuan itu terdedah susulan 113 laporan polis diterima.

Susulan laporan diterima itu, polis menahan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang juga dalang utama skim pelaburan itu di sebuah rumah di Melaka, pagi semalam.

Menurutnya, suspek berusia 39 tahun itu adalah pengerusi syarikat berkenaan.

“Siasatan yang dijalankan mendapati syarikat itu ditubuhkan pada 2015 dan masih aktif beroperasi sehingga kini. Syarikat itu mendakwa menjalankan perniagaan dengan objektif utama membantu peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menjual produk dihasilkan melalui stokis milik syarikat.

“Pelabur perlu mendaftar dengan membayar yuran keahlian dan dijanjikan bonus selepas tiga bulan,” katanya.

Namun beliau berkata, bonus yang dijanjikan tidak dibayar, sekali gus menyebabkan pelabur membuat laporan polis.

Acryl Sani berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda model Range Rover, telefon pintar iPhone 7 Plus dan pelbagai dokumen milik suspek.

Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan. Masyarakat diminta membuat semakan dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, sekali gus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Tuesday 19 September 2017

Harussani bimbang perpecahan Melayu terlalu parah

Tan Sri Harussani Zakaria.

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa sedih melihat orang Melayu yang berpegang pada agama Islam tetapi berusaha menjatuhkan bangsa sesama sendiri.

Menyifatkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sebagai terlampau parah, beliau berharap penyatuan dalam kalangan bangsa kembali bertaut dengan berpaksikan kepada agama Islam.

“Jika kita baca pendapat-pendapat sarjana dunia yang mengkaji mengenai hal ehwal manusia dan undang-undang, semuanya mengatakan Islam itulah yang paling baik. Namun, manusia ini dia sombong, walaupun mengakuinya, tetapi dia tidak melakukannya.

“Kita tengok orang India dan Cina, mereka juga berselisih dari segi politik, tetapi tidak dari segi bangsa. Namun, orang Melayu ini susah, sedikit sahaja perselisihan pendapat, mereka tidak bertegur.

“Padahal kata nabi, perbezaan pendapat itu merupakan satu rahmat kerana ia membuka kepada pemikiran supaya kita lebih maju,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Ke-200 di Pusat Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

India tidak mahu etnik Rohingya

PELARIAN Rohingya dilihat di luar pondok mereka di sebuah kawasan setinggan di New Delhi kelmarin.

NEW DELHI – Kerajaan India memberitahu Mahkamah Agung semalam bahawa sebilangan imigran Islam Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar mendatangkan ancaman serius kepada negara berkenaan.

New Delhi merancang untuk mengusir sehingga 40,000 pelarian Rohingya di India.

Pegawai kanan kementerian dalam negeri, Mukesh Mittal berkata, Mahkamah Agung seharusnya membenarkan kerajaan membuat keputusan itu demi kepentingan orang ramai ekoran sebahagian daripada imigran Rohingya mempunyai rekod pelampau.

“Sebilangan imigran Rohingya ini mempunyai latar belakang militan dan amat aktif di Jammu, Delhi, Hyderabad dan Mewat sekali gus berisiko mengancam keselamatan negara,” kata Mukesh dalam satu kenyataan bertulis kepada mahkamah.

Kenyataan sama menyebut bahawa penduduk India yang beragama Buddha juga berisiko menjadi sasaran keganasan oleh imigran Rohingya.

Etnik Rohingya sebelum ini menafikan mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan militan.

Kenyataan Mukesh sebagai menjawab sebuah petisyen yang dikemukakan kepada Mahkamah Agung untuk mencabar keputusan kerajaan mengusir imigran Rohingya walaupun ramai antara mereka telah menetap di India sejak satu dekad lalu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terdapat 16,000 pelarian Rohingya berdaftar di India namun, lebih ramai dipercayai tinggal di negara itu secara haram.

Kerajaan India menyatakan bahawa 40,000 imigran Rohingya berada di negara itu dengan kira-kira 7,000 daripada mereka tinggal di wilayah Jammu. – AFP

Monday 18 September 2017

Jabatan Kastam akan dikorporatkan pada Januari depan



KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam akan dikorporatkan pada Januari depan, lewat daripada jadual asal, disebabkan pelaksanaan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

"Ia kini dalam proses. Menjelang Januari 2018, saya harap Jabatan Kastam dikorporatkan,” katanya pada Persidangan GST 2018 di sini hari ini.

Pada 13 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, bahawa pengkorporatan itu merupakan ganjaran kerajaan kepada jabatan itu atas kecemerlangannya dan menambah para petugas akan menikmati skim perkhidmatan yang lebih baik.

Najib turut memuji jabatan itu yang merupakan penyelamat negara, dengan berkata, perlaksanaan GST telah menyelamatkan ekonomi negara.

Meskipun GST dikritik hebat, beliau berkata, ia merupakan langkah berani kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terbela.

Sementara itu, Irwan berkata, Malaysia kini dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus bagi 2017, susulan pertumbuhan ekonomi yang baik yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini.

"Tahun depan, angkanya akan lebih rendah dan diharapkan pada satu hari kelak, kita akan dapat mencatat bajet seimbang,” katanya.

Keluaran dalam negara kasar Malaysia berkembang melepasi jangkaan pada 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, melepasi unjuran pasaran pada 5.4 peratus tahun ke tahun, sebahagian besarnya disokong oleh penggunaan swasta, yang berkembang 3.8 peratus, diikuti pelaburan sebanyak 1.1 peratus.

Ekonomi negara meningkat 5.6 peratus pada suku pertama, menjadikannya purata pertumbuhan kepada 5.7 peratus pada separuh pertama tahun ini. - Bernama

Geng Budak Jahat Keramat popular

Kereta lama di tempat letak kenderaan di Taman Tasik Datuk Keramat turut menjadi lokasi melepas gian tujuh remaja ditahan.

KUALA LUMPUR – Rata-rata penduduk di sekitar Jalan Keramat Hujung di sini mengenali ketujuh-tujuh remaja digelar Geng Budak Jahat Keramat yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sehingga meragut nyawa 21 pelajar dan dua gurunya pada Khamis lalu.

Penduduk sekitar memang mengelar kumpulan remaja lelaki itu sebagai Geng Budak Jahat Keramat ekoran sikap mereka yang gemar melepak hampir setiap malam di Taman Tasik Datuk Keramat untuk merokok, menghidu gam dan membuat bising ikut suka hati.

Kedudukan Taman Tasik Datuk Keramat dan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kira-kira 50 meter.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Izwani berkata, dia dan penduduk lain terkejut apabila wajah ketujuh-tujuh remaja yang ditahan polis dan tular di laman sosial itu merupakan individu dikenali mereka dengan gelaran Geng Budak Jahat Keramat.

Sunday 17 September 2017

Kebanyakan pusat tahfiz menepati garis panduan

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pusat tahfiz di negara ini sudah menepati garis panduan keselamatan yang ditetapkan kerajaan negeri masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha, berkata hanya sebahagian kecil yang perlu diteliti semula aspek keselamatan bangunan mereka.

"Pematuhan itu berdasarkan pemeriksaan dan latihan bomba yang diadakan secara berkala.

"Jakim sebagai sekretariat dalam penggubalan dasar tahfiz negara menyediakan garis panduan kepada pusat tahfiz seperti kurikulum, tenaga pengajar, prasarana dan aspek keselamatan.

"Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memantau tahap keselamatan serta isu berkaitan tugas pengetua pusat tahfiz mereka," katanya di HKL di sini, hari ini.

Anggota AADK cedera dilibas parang

Anggota AADK cedera di perut ketika melakukan serbuan.

Tanah Merah: Seorang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cedera di perut selepas diserang dengan parang oleh penagih dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Kechik, Bukit Panau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa berusia 40 tahun cedera ringan di perut sebelum dibawa ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk rawatan lanjut.

Mangsa dilaporkan stabil manakala suspek yang berusia 26 tahun ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, beberapa hari sebelum kejadian, AADK membuat serbuan dan cuba menahan suspek namun diugut dengan sabit sebelum lelaki itu melarikan diri.

“Semalam (kelmarin), AADK bersama polis sekali lagi ke rumah suspek untuk menahannya. Sebaik tiba, kami masuk ke rumah dan mendapati suspek berada di dalam bilik.

“Kami beberapa kali mengetuk pintu bilik namun suspek enggan membukanya dan polis memecahkan pintu berkenaan sebelum lelaki itu bertindak agresif dengan menendang anggota AADK sambil melibas parang yang terkena perut mangsa,” katanya.

Saturday 16 September 2017

Gaji doktor perlu disemak semula: TPM

AHMAD Zahid melihat gigi pelajar, Mohd Isyraq Hadif Abd Aziz, 15, yang menjalani pemeriksaan gigi ketika melawat pameran selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di Bagan Datuk, hari ini.

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menyemak semula skim dan struktur gaji profesional kesihatan bagi mengelak masalah kehilangan tenaga mahir ke luar negara atau 'brain drain'.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun Kementerian Kesihatan melakukan fleksibiliti tugasan iaitu membenarkan mereka bertugas di sektor awam dan swasta sekali gus, ia masih tidak mampu menghalang masalah 'brain drain'.

"Sudah tiba masanya JPA melihat semula skim dan struktur gaji profesional perubatan.

"Walaupun ia akan membabitkan pelbagai sektor lain dalam perkhidmatan awam, kita tidak mahu kehilangan tenaga pakar dalam bidang kesihatan.

"Kita sudah banyak melabur dalam latihan dan keperluan lanjutan bidang tertentu kesihatan sedangkan negara berkenaan tidak mengeluarkan apa-apa," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini tawaran imbuhan dan gaji bagi profesional perubatan termasuk doktor serta jururawat di luar negara adalah tinggi.

Bagaimanapun, katanya, wujud kekangan sektor awam untuk menawarkan imbuhan sama kerana profesional dalam bidang lain akan menuntut perkara sama.

Justeru, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan JPA melakukan penilaian dan semakan semula itu bagi melihat semula keperluan demi mengekalkan tenaga pakar dan profesional kesihatan dalam negara.

Katanya, tenaga pakar dan profesional kesihatan harus dikekalkan dalam negara kerana wujud besar pelancongan kesihatan di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggalakkan pelancongan kesihatan kerana caj serta bayaran perkhidmatan di Malaysia adalah rendah sedangkan kualiti perubatan di negara ini adalah lebih tinggi atau setara dengan negara lain.

Korea Utara mahu setanding AS

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong Un merasmikan pelancaran peluru berpandu Hwasong-12.

SEOUL: Korea Utara berhasrat mencapai 'keseimbangan' kekuatan tentera dengan Amerika Syarikat (AS), kata agensi negara itu.

Kenyataan dikeluarkan sehari selepas pemimpinnya, Kim Jong-Un, mengarahkan ujian peluru berpandu jarak sederhana dan jauh, Hwasong-12, yang terbang melepasi Jepun sebelum jatuh ke dalam Lautan Pasifik.

"Matlamat utama kami adalah memastikan keseimbangan tentera dengan AS dan menjadikan negara itu takut bercakap mengenai pilihan ketenteraan terhadap Korea Utara," Kim dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.

Pyongyang menembak peluru berpandu kedua ke arah Jepun dalam masa tidak sampai sebulan semalam, memaksa AS menyatakan ia mempunyai pilihan tindakan ketenteraan ke atas Korea Utara.

Kenyataan AS itu jelas menunjukkan tahap kesabaran untuk melaksanakan misi diplomatik dengan Korea Utara, semakin menipis. - REUTERS

Friday 15 September 2017

Dihukum hafaz surah al-Kahfi

Di Mahkamah Rendah Syariah Klang inilah pelajar sebuah universiti awam dituduh berkhalwat dengan bekas guru wanitanya semalam.

KLANG – Seorang pelajar yang baru mendaftar pengajian di sebuah universiti awam dikenakan bon berkelakuan baik bersama menghafaz surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 selama setahun selepas dia me­ngaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini atas tuduhan berkhalwat dengan bekas guru wanitanya di tempat kerjanya dekat sini, April lalu.

Tertuduh berusia 20 tahun yang hadir ke mahkamah ditemani ibunya turut diarah menyertakan salinan transkrip keputusan selama dua semester sepanjang pengajiannya di universiti tersebut.

Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh yang baru mendaftarkan diri di sebuah universiti di Terengganu pada 4 September lalu.

“Setelah setahun iaitu pada 13 September 2018 nanti, kamu datang ke sini bawa salinan laporan keputusan peperiksaan untuk memastikan kamu benar-benar belajar serta membaca surah al-Kahfi di depan saya. Surah itu diberikan bagi menyedarkan diri kamu selain hikmahnya bagi mengelakkan gangguan dajal,” katanya.

Thursday 14 September 2017

RM40 juta dana PTPK diseleweng



PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk seorang yang bergelar Datuk kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Mereka yang ditahan terdiri daripada Ketua Eksekutif PTPK berusia 58 tahun, Setiausaha PTPK berusia 34 tahun, Penolong Pegawai Kewangan PTPK berusia 32 tahun dan seorang pengarah sebuah syarikat yang juga bergelar doktor berusia 38 tahun.

Keempat-empat individu itu ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur antara pukul 4.30 petang dan pukul 6 petang dalam satu operasi dilancarkan oleh SPRM.

Wednesday 13 September 2017

Malaysia ‘juara’ guna WhatsApp

Pengguna internet kerap menggunakan WhatsApp kerana ia lebih mudah dan cepat.

KUALA LUMPUR – Laporan The Digital News Report 2017 mendapati pengguna internet di Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp terbanyak di dunia iaitu 51 peratus bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak­ berkata, menurut laporan itu juga, media sosial lain yang popular di Malaysia ialah Facebook iaitu sebanyak 58 peratus pengguna, YouTube (26 peratus) dan WeChat serta Instagram (masing-masing 13 peratus).

Menurutnya, laporan itu turut menyatakan rakyat Malaysia mendapatkan berita menerusi media sosial sebanyak 86 peratus, bercetak (45 peratus), televisyen (54 peratus) dan radio (15 peratus).

“Selain itu, peranti utama yang digunakan adalah telefon pintar iaitu sebanyak 65 peratus, kompu­ter 45 peratus dan tablet 18 peratus,” katanya dalam catatan terbaru di laman blog www.sskeruak.blogspot.my semalam.

Salleh memberitahu, kajian lain yang dibuat oleh organisasi berbeza, TNS Global juga mendapati Malaysia adalah negara terbanyak menggunakan WhatsApp de­ngan jumlah 77 peratus, diikuti Facebook Messenger (41 peratus).

Tuesday 12 September 2017

Dalai Lama kata Buddha akan bantu Rohingya

DALAI LAMA beramah mesra bersama pimpinan Islam dari Turtuk di Disket, India.

NEW DELHI – Pemimpin kerohanian, Dalai Lama berkata bahawa Buddha sendiri akan membantu etnik Islam Rohingya meninggalkan keganasan di Myanmar yang majoriti rakyatnya beragama Buddha.

“Mereka (penganut Buddha) yang mengganggu orang Islam, mereka harus ingat akan Buddha,” kata Dalai Lama kepada pemberita ketika ditanya mengenai krisis di negeri Rakhine pada petang Jumaat lalu.

“Beliau pastinya akan memberi bantuan kepada orang Islam yang miskin itu. Saya berasa begitu. Sangat sedih,” katanya.

Pemimpin tertinggi Buddha itu merupakan pemenang anugerah Nobel Keamanan terbaharu yang menentang keganasan tersebut.

Baru-baru ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, tentera Myanmar dipercayai membunuh lebih 1,000 orang di Rakhine, kebanyakannya, penduduk Islam Rohingya.

Majoriti penduduk Myanmar adalah penganut Buddha. Mereka membenci masyarakat Rohingya yang dinafikan kerakyatan dan dilabelkan sebagai pendatang tanpa izin Bengali.

Beratus-ratus ribu penduduk Rohingya tiba di Bangladesh sejak beberapa minggu lalu selepas keganasan tercetus di negeri Rakhine.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi pula dikecam kerana enggan campur tangan untuk membantu masyarakat Rohingya termasuk oleh pemenang anugerah Nobel, Malala Yousafzai dan Desmond Tutu.

“Jika menutup mulut adalah harga untuk kamu terus berkuasa di Myanmar, harga itu terlalu mahal,” kata Tutu dalam satu kenyataan pada minggu lalu.– AFP

Sambut hari jadi dalam penjara

AH LAI mengaku salah atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM300 kepada seorang pegawai SPRM ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori terpaksa melupakan hasrat untuk me­raikan hari jadinya apabila dia dijatuhkan hukuman penjara selama seminggu dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam tahun lalu

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu ke atas How Ah Lai, 45, selepas tertuduh me­ngaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan sebanyak RM300 kepada Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Izham Mohd Hashim sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah akta SPRM 2009.

Perbuatan itu dilakukan di Ta­nah Rizab Kerajaan Taman Selatan dan Tapak Perlombongan Presint 20, antara pukul 1 petang hingga 1.30 petang pada 11 Februari 2016.

Monday 11 September 2017

Sultan Kedah mangkat



SULTAN Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar, 2:30 petang tadi.

Pengumuman rasmi mengenai kemangkatan baginda akan dibuat oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sidang media khas di Wisma Darul Aman, 6 petang ini.

Almarhum yang berusia 89 diputerakan 28 November 1927 adalah Sultan Kedah ke-27 dan mewarisi takhta Kedah pada Julai 1958 daripada ayahandanya dan ditabalkan pada Februari 1959.

Almarhum meninggalkan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan tiga puteri, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz serta kembar, Tunku Soraya dan Tunku Sarina.

Rakyat mahu GST turun jadi 4%


SHAH ALAM - Cadangan supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan atau kadarnya dikurangkan antara yang dikemukakan rakyat negara ini menerusi laman sesawang https://bajet2018.najibrazak.com.

Pandangan supaya kerajaan menurunkan GST daripada enam peratus kepada empat peratus  antara cadangan daripada pengguna yang mendapat sokongan tertinggi bagi kategori kos sara hidup.

Cadangan daripada pengguna bernama Faraniza di laman web berkenaan turut disokong oleh 140 pelayar lain menerusi butang suka. 

Alasan supaya kadar itu diturunkan adalah supaya dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Ia antara cadangan yang menerima sokongan tertinggi daripada pelayar di bahagian kos sara hidup laman sesawang berkenaan, yang disediakan kerajaan untuk mendapatkan input, maklum balas dan cadangan rakyat bagi membentuk bajet tahunan negara.

Bagi pengguna laman web itu Mohd Yazid Abd Rahim, dia berpendapat pemansuhan atau penurunan GST enam peratus kepada dua peratus akan disambut baik rakyat negara ini.

Katanya, ia selaras dengan slogan kerajaan iaitu rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Menurut Wendy Dorothy pula, GST perlu dimansuhkan kerana ia antara punca peningkatan kos sara hidup.

“Sebelum GST diperkenalkan, rakyat berpendapatan rendah mampu membeli berbanding sekarang. Diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Menurut Muhammad Firdaus Amran, dia mencadangkan kepada kerajaan supaya GST dimansuhkan dan digantikan dengan cukai yang lebih mesra rakyat.

“Sebagai contoh cukai yang hanya dikenakan kepada mereka tertentu sahaja bukan keseluruhan rakyat dan ini satu cukai yang boleh dianggap tidak mesra rakyat kerana semua tidak kira pesara, orang kurang upaya, suri rumah, warga emas terpaksa bayar GST,” katanya.

Manakala bagi Mohamed Ibrahim, GST perlu dimansuhkan dan bagi mengimbanginya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga perlu dihentikan.

“Ini kerana BR1M diberikan hanya kepada golongan tertentu dan GST pula dikenakan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, terdapat juga cadangan agar kelengkapan bayi seperti susu formula, lampin pakai buang dan makanan bayi usia 6 tahun dan ke bawah tidak dikenakan GST kerana terdapat keluarga mempunyai anak ramai dan jarak antara adik beradik yang rapat.

Sebelum ini Najib  menyatakan GST penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara keseluruhannya.

Jelasnya, harga minyak rendah menyebabkan penyusutan pendapatan yang boleh  menjejaskan negara.

Sunday 10 September 2017

Lapor rasuah dapat ganjaran wang

PELBAGAI rampasan termasuk wang jutaan ringgit dilakukan SPRM dalam membanteras gejala rasuah yang semakin diperhebatkan di seluruh negara.

TAWAU – Penjawat awam yang melaporkan kes rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menerima pengiktirafan berbentuk insentif wang yang sama dengan nilai rasuah yang ditawarkan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi (gambar kecil) berkata, ganjaran itu akan diberikan dengan syarat kes itu disiasat dan tertuduh didakwa serta disabit kesalahan.

Menurutnya, ganjaran itu bagi menggalakkan penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah sekali gus mampu menghapuskan amalan buruk tersebut dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Virtsim mantapkan kesiagaan anggota Tentera Darat


SUSUK tubuh lima anggota tentera itu bergerak perlahan-lahan secara taktikal sambil memegang raifal M4. Kelihatan salah seorang daripada mereka berjaga di bahagian belakang, manakala empat yang lain bergerak secara serentak menggeledah sebuah bangunan terbiar untuk mencari musuh.

Anggota tentera itu menyusup masuk dari satu tingkat ke tingkat dan menembak musuh satu persatu. Setelah beberapa ketika, kesemua musuh ditewaskan oleh mereka.

Menariknya, jika senario tersebut ditonton secara langsung, penonton hanya dapat melihat anggota tentera sahaja manakala bangunan dan musuh di lokasi berkenaan tidak kelihatan.

Situasi pertempuran itu sebenarnya tidak berlaku di alam realiti sebaliknya hanya dilakukan secara maya melalui paparan skrin pada peranti yang dikenali sebagai Head-Mounted Display (HMD).

Simulasi tempur itu merupakan sebahagian daripada Simulasi Latihan Maya (Virtsim) yang mula diguna pakai oleh Tentera Darat (TD) sejak dua bulan lalu.

Virtsim merupakan teknologi latihan pertempuran menggunakan simulasi arena realiti maya berbentuk tiga dimensi (3D).

Menerusi teknologi tersebut, anggota tentera boleh melaksanakan latihan pertempuran seolah-olah seperti berada dalam situasi pertempuran sebenar selepas pergerakan dan tubuh anggota diselaraskan dalam sistem maya mengikut pergerakan sebenar.

Teknologi itu yang dibangunkan oleh syarikat Motion Reality Inc. dari Georgia, Amerika Syarikat sebelum ini telah digunakan dalam pembikinan filem seperti The Lord of The Rings, Avatar dan The Avengers.

Sistem latihan pertempuran canggih itu memberi peluang kepada kru Jurnal untuk menyaksikan sendiri simulasi berkenaan di Pusat Simulasi Visual Tentera Darat yang terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat (POP TD) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pusat Simulasi Visual itu turut menempatkan ruang latihan dan pengendali, bilik pemerhati, bilik persiapan, tempat menunggu dan bilik ulang kaji.

Ruang latihan bersaiz 420 meter persegi dibina daripada satu set kekuda besar yang terdiri daripada 16 tiang teras.

Kit kekuda itu menempatkan 98 kamera menangkap pergerakan (motion capture) dengan diod pemancar cahaya (LED) yang disambung kepada stesen pengesan prestasi tinggi.

Kit tersebut juga menempatkan dua buah televisyen bertujuan untuk menayangkan aksi latihan kepada pemerhati, sementara ruang pengendali menempatkan peralatan komputer Virtsim.

Anggota Komando 21 GGK menunjukkan demo dalam latihan peperangan menggunakan Simulator Arena Realiti Maya 3D.

Pelbagai senario


Menurut Pengarah POP TD, Kolonel Abdul Razak Hussain, objektif utama Virtsim adalah untuk meningkatkan kecekapan dan ketangkasan bertempur anggota dalam aspek keupayaan menembak, ketangkasan bertindak balas sewaktu bertempur dan keupayaan mengatur gerak anggota.

“Virtsim berupaya melaksanakan latihan pertempuran antara pelatih dengan kecerdasan buatan (AI) atau antara pelatih dengan pelatih.

“Perancangan bagi penggunaan sistem ini adalah untuk melatih setiap anggota infantri dan Grup Gerak Khas (GGK) yang terlibat dalam operasi khas dan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia dilengkapkan dengan 48 senario pertempuran antaranya di kawasan padang pasir, lapangan terbang, dan kawasan yang mempunyai bangunan. Senario kawasan hutan, paya dan sungai masih dalam pembangunan oleh syarikat pembekal,” katanya kepada kru Jurnal baru-baru ini.

Tambahnya, Virtsim terbahagi kepada empat peringkat latihan iaitu persiapan, penyelarasan, latihan dan ulang kaji. Terdapat dua senjata yang dibekalkan semasa latihan simulasi iaitu raifal M4 dan pistol Sig Sauer P226.

Untuk setiap simulasi, seramai 12 orang anggota boleh dilatih pada satu-satu masa dan tahap latihan pula terdiri daripada tahap permulaan (beginner), pertengahan (intermediate), lanjutan (advanced) dan pakar (expert).

Antara manfaat sistem itu termasuklah keperluan ruang latihan yang kecil dan boleh digunakan dalam apa jua keadaan cuaca, mengolah senario pertempuran tanpa had berdasarkan objektif latihan, menukar senario dalam masa singkat selain sesi latihan boleh direkod dan diulang tayang dari semua sudut latihan bagi memudahkan perbincangan ulang kaji.

PUSAT Simulasi Visual terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.


Tahap kesiagaan


Sementara itu, Leftenan Jusman Muktar daripada 21 GGK yang telah menguji sistem tersebut berkata, menerusi latihan itu tahap kesiagaan anggota dapat ditingkatkan semasa operasi.

“Pelatih akan terkena sedikit renjatan elektrik dan sistem anggota akan dimatikan jika terkena tembakan.

“Selain itu, latihan ini menuntut kita untuk berkomunikasi dengan anggota lain bagi mencapai objektif dengan lebih efisien,” ujarnya.

Jelas Jusman, anggota harus lebih berhati-hati jika melawan AI di tahap pakar kerana musuh akan sentiasa menembak tepat ke arah anggota.

“Kita juga mengulang kaji dengan melihat semula taktikal anggota menerusi rakaman video untuk mengenal pasti kesilapan,” tambahnya.

Sebelum bermula latihan, Jusman turut menunjukkan cara-cara pemakaian sut latihan.

“Pertama, anggota akan memakai pin pengesan pergerakan di kedua-dua pergelangan kaki, lutut, lengan dan pergelangan tangan. Kemudian peranti renjatan elektrik akan dipakaikan pada lengan.

“Selepas itu, anggota akan memakai beg yang mengandungi sistem Virtsim dan HMD sebelum dibekalkan dengan senjata,” katanya.

Anggota kemudiannya akan dibawa untuk penyelarasan pergerakan. Latihan akan berjalan mengikut objektif dan selepas itu, anggota akan dibawa untuk melihat rakaman latihan bagi tujuan ulang kaji.

Saturday 9 September 2017

ATM sedia hantar misi kemanusiaan ke Rakhine



KUALA LUMPUR – Angkatan Ten­tera Malaysia (ATM) bersedia menyertai misi kemanusiaan untuk membantu masyarakat Ro­hingya di Ra­khine, Myanmar, jika diperlukan, ka­ta Panglima ATM, Jene­ral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (gambar).

Beliau berkata, ATM sebagai sebuah organisasi yang lengkap dan mempunyai pe­ngalaman luas dalam beberapa misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa memang mempunyai satu batalion khas untuk melaksanakan tugas-tugas khas seperti dalam misi pengaman dan kemanusiaan.

“Semalam saya dapat arahan daripada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) untuk kita melihat apa keperluan yang kita boleh kita sedia untuk membantu masyarakat Rohingya di Rakhine dan yang berlindung di sempadan Bangladesh.

“Kita mampu me­ngerak­kan (misi kemanusiaan) sekiranya perlu, sekiranya kalau perubatan diperlukan kita hantar satu hospital lapangan, kita mempunyai keupayaan tersebut,” katanya ke­­pada pemberita pada sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-84 pada 16 September ini

Beliau berkata, ATM pernah menyertai be­­­­berapa misi kemanusiaan seperti di Lebanon, Congo, Somalia, Namibia dan Kemboja selain pernah membuat misi kemanusiaan di Aceh, Indonesia dan Filipina.

Beliau berkata pengalaman menyertai misi-misi berkenaan selain Malaysia yang dikenali sebagai negara bersemangat muhibah akan memudahkan ATM menyertai misi kemanusiaan dan pengaman.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam beberapa misi pengaman dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat pengiktirafan Jabatan Operasi Pengaman PBB.

Satu pasukan ATM disokong oleh Sukarelawan iM4U dijangka akan menghantar satu pasukan tinjauan bagi misi kemanusiaan ke Dhaka dan Chittagong, Bangladesh, berikutan krisis kemanusiaan yang berlaku di Rakhine dan sempadan Bangladesh ketika ini. – BERNAMA

Friday 8 September 2017

Awas pelaburan dana PRU-14

ANAS menunjukkan laporan polis yang dibuat.

Seremban: “Biarpun saya sudah mendapat semula wang itu, tetapi saya tidak mahu perkara sama berlaku kepada orang lain,” kata Anas Salmee Syed Mohammad, 49, yang mendakwa hampir ditipu seorang lelaki menawarkan pelaburan dana bagi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), awal bulan ini.

Wanita dari Taman Matahari Height, Senawang, di sini, berkata kejadian itu berlaku ketika dia melayari laman sosial Facebook sebelum berkenalan dengan seorang lelaki berusia 49 tahun pada 3 Ogos lalu.

Katanya, lelaki terbabit mendakwa berstatus Datuk Seri dari Shah Alam, Selangor dan memiliki sebuah syarikat penerbitan di Lembah Klang yang turut menjalankan aktiviti pelaburan dana bagi PRU14.

“Saya berjumpa dengannya pada keesokkan hari di sebuah restoran di Senawang, di sini, pada jam 10.30 pagi. Pertemuan berlangsung hampir sejam dan lelaki itu mengajak saya melabur bersamanya.

“Malah, lelaki itu memberitahu wang sumbangan akan disalurkan kepada parti politik dan 14 hari kemudian, jumlah wang akan berganda,” katanya yang berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, lelaki itu cuba meyakinkannya dan menawarkan janji manis supaya dia terjebak dalam pelaburan berkenaan.

“Saya seperti terpukau dengan tawaran lalu memasukkan wang RM3,200 dalam akaun lelaki terbabit menerusi mesin deposit tunai di sebuah bank di Senawang,” katanya.

Anas Salmee yang bekerja sendiri, berkata dia menghubungi lelaki itu pada 20 Ogos lalu bagi bertanyakan pulangan wang pelaburan tetapi pelbagai alasan diberikan sebelum menghilangkan diri.

“Kesal dengan perbuatannya, saya membuat laporan di Balai Polis Senawang pada 28 Ogos lalu bagi menuntut pembelaan,” katanya.

Sehari selepas laporan dibuat, Anas Salmee memberitahu lelaki itu bahawa dia sudah membuat laporan polis menyebabkan wang terbabit dipulangkan.

“Saya tahu lelaki itu cuba menipu dan tidak mahu orang ramai menjadi mangsa,” katanya sambil berharap polis menjalankan siasatan menyeluruh ke atas skim pelaburan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kataya, siasatan mendapati memang wujud cubaan menipu dan pihaknya akan menyiasat mengenai skim pelaburan berkenaan.

Thursday 7 September 2017

Badan jadi belon


Keadaan Martinez selepas dada dan tangannya menggelembung akibat penyakit dekompresi.

Pisco, Peru: Badan seorang nelayan menggelembung akibat satu keadaan luar biasa selepas timbul ke permukaan terlalu cepat ketika menyelam di lautan baru-baru ini.

Berat badan Alejandro Ramos Martinez juga meningkat hampir 30 kilogram selepas dada dan tangannya menggelembung.

Martinez berkata, dia menyelam di dasar lautan untuk menangkap udang dan ikan sebelum naik ke permukaan terlalu cepat.

Kesilapan itu menyebabkan gas nitrogen di dalam darahnya bertukar menjadi gelembung, satu keadaan yang dikenali sebagai ‘bends’ atau penyakit dekompresi.

Keadaan itu yang berpunca daripada naik ke permukaan terlalu cepat boleh membawa maut dan sangat ditakuti oleh penyelam.

Bagaimanapun, dalam kes Martinez, gelembung nitrogen terperangkap di sekitar ototnya dan ia sangat jarang berlaku serta unik.

Doktor juga masih berusaha mendapatkan rawatan yang sesuai untuk Martinez.

Martinez kini diberi rawatan oksigen dalam kebuk tekanan tinggi.

Seorang doktor di Hospital San Juan de Dios, Miguel Alarcon berkata, pihaknya sehingga kini berjaya mengeluarkan 30 peratus nitrogen daripada badan lelaki itu.

“Kami juga menjalankan kajian terhadap penyakit dekompresi yang dialami Martinez kerana kami tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini,” jelasnya.

Keadaan itu menyebabkan Martinez sering berasa sakit dan sukar berjalan serta mengalami tekanan darah tinggi.

Wednesday 6 September 2017

Penagih internet sanggup pakai lampin

Rutin latihan kawad dan perbarisan bertujuan mendisiplinkan pelatih.

“IBU bapa menipu saya. Saya berteriak dan menjerit: Saya mahu keluar! Saya tidak mahu tinggal di sini.

“Perbuatan itu tidak berguna. Tanpa menghiraukan saya mereka berlalu begitu sahaja,” ujar Xiong Chengzuo ketika mengenang detik dimasukkan ke sebuah sekolah pemulihan ketagihan internet di Huai’an, Timur China baru-baru ini.

Sebelum itu, Chengzuo, 16, ‘terpedaya’ dengan ajakan ibu bapanya untuk keluar makan bersama-sama. Sebaliknya, dia dihantar kira-kira 600 kilometer (km) dari rumahnya ke sebuah bangunan yang baginya kelihatan tidak ubah seperti penjara.

Seorang lagi yang mempunyai ketagihan yang teruk pada telefon pintar ialah Bing Jiaying, 18. Pada Mei lalu, dia dimasukkan ibunya ke sekolah tersebut. Sebelum itu, ibunya menyatakan ingin membawanya melawat saudara di sekolah tersebut.

“Saya benci awak! Itu yang saya katakan kepada ibu. Saya dimasukkan di sini secara paksa,” imbaunya.

Gadis itu mengakui, hampir setiap masa tangannya tidak lekang dengan iPhone 6 Plus. Dia akan berborak berjam-jam lamanya di laman sosial WeChat dan aplikasi QQ tanpa mengira siang atau malam.

Begitupun dia sedikit bimbang memikirkan kehidupan baharunya yang diibaratkan seperti tentera. Pendek kata, ia bukan sesuatu yang menggembirakan. Apatah lagi dia perlu melalui rutin tersebut selama setahun.

Kedatangan Chengzuo dan Jiaying disambut bekas Tentera Liberalisasi Rakyat, Xu Xiangyang. Lelaki berusia 57 tahun itu kini berjuang dalam misi yang disifatkannya sebagai menyelamatkan golongan muda daripada neraka maya.

Gangguan klinikal


Sejak tahun 2008, China menjadi negara pertama mengisytiharkan kecanduan internet sebagai gangguan klinikal. Awal tahun ini, China merekodkan 731 juta pengguna internet.

Jumlah itu meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2009. Dianggarkan terdapat 24 juta penagih internet di republik tersebut.

“Saya benar-benar menentang permainan dalam talian. Ia merosakkan kesihatan seseorang. Ia turut membuatkan seseorang itu bagai tidak mempunyai perkara yang lebih penting dalam hidup.

“Pada saya, mereka hanyut dalam dunia yang langsung tidak bermakna mahupun membawa erti positif terhadap keluarga dan insan di sekeliling mereka,” tuturnya.

Apabila Xiangyang membuka sekolah tersebut pada tahun 1997, penagih internet tidak begitu ramai. Menurut data rasmi, China ketika itu hanya mempunyai kira-kira 300,000 komputer dengan sekitar 620,000 mempunyai akses terhadap internet.

Sekolah yang menelan kos operasi 36,000 yuan setahun (RM23,280) itu mempunyai liputan Wi-Fi tetapi tiada kata laluan disediakan untuk pelajar.

April lalu, seorang remaja berusia 17 tahun dari Guangzhou dilaporkan mengalami strok selepas bermain permainan yang dipanggil League of Legends selama 40 jam tanpa henti.

Menyorot sebuah dokumentari yang dibuat tahun 2014, ketua sebuah kem pemulihan mendakwa penagih internet sanggup memakai lampin bagi menghalang mereka meninggalkan skrin komputer. Disebabkan itu, gejala tersebut dipanggil heroin elektronik.


Terapi

SESI pemulihan secara psikoterapi turut dijalankan secara berkumpulan.

Tidak jauh dari sekolah Xiangyang, terdapat sebuah kem yang menggunakan terapi elektrokonvulsif iaitu terapi arus elektrik untuk merawat ketagihan internet.

“Ia tidak boleh ditanggung. Ada ketikanya kami diminta menutup mata menggunakan kain dengan ketat,” dedah seorang pesakit berusia 22 tahun kepada laman web berita China, Sixth Tone baru-baru ini.

Begitupun, Xiangyang menegaskan, beliau menolak kaedah yang tidak rasional dan tidak berperikemanusiaan. Kurikulum yang disusunnya mempengaruhi penagih internet untuk berpijak di bumi nyata menerusi aktiviti seperti balet, muzik dan persembahan komedi.

Menjengah ke salah sebuah kelas di sekolah tersebut, puluhan warganya kelihatan ceria ketika dalam sesi pengajaran mendengar dan melagukan puisi klasik China.

Guru seninya, Zhang Yifan menjelaskan, tugas guru sekolah adalah menjaga dan mendidik pelajar-pelajarnya melihat keindahan dunia.

“Sesetengah ibu bapa menggunakan kaedah yang teruk, seperti bergaduh, memarahi dan memukul anak-anak mereka. Ia membuatkan anak menjadi lebih jauh dan berhati keras,” katanya.

Tidak jauh dari situ, kedengaran riuh rendah sorakan sekumpulan pelajar yang sedang mengikuti kelas renang di kolam yang terletak di belakang bangunan sekolah.

Selain itu, dengan semangat perajurit mengalir di dalam darahnya, Xiangyang turut melatih pelajarnya dengan disiplin kawad dan perbarisan.

Tiga kali setahun, penuntut sekolah itu dibawa dalam perjalanan merentasi kawasan pedalaman sejauh 300 kilometer dan singgah di desa Bafang yang permai selama sebulan sebelum kembali ke pangkalan.

Ketenteraan


SEORANG pelatih dipakaikan alat pengimbas elektroensefalogram untuk merakam aktiviti otak.

“Setiap hari, kami perlu berjalan sejauh 40 kilometer. Dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius, saya berasa seperti terbakar.

“Kadangkala kaki saya melepuh. Proses ini membuatkan saya berfikir apa yang telah saya lakukan selama ini. Lama-kelamaan saya menikmati rumah baharu ini. Ia tempat yang baik,” ujar seorang pelajar yang dikenali sebagai Jian.

Seperti Xiangyang, ahli psikiatri dari Pusat Rawatan Ketagihan Daxing, Tao Ran turut menggunakan elemen ketenteraan untuk mengatasi ketagihan.

“Ketagihan internet membawa kepada masalah di otak yang serupa dengan penggunaan heroin. Ia merosakkan tubuh dan memusnahkan hubungan tanpa disedari.

“Kesemua yang terlibat mempunyai masalah penglihatan, sakit belakang dan mengalami gangguan makan. Kami dapati kapasiti otak mereka berkurang sekitar lapan peratus,” jelasnya.

Menurutnya, pusat yang ditubuhkan pada 2013 itu menganggap seseorang yang menghabiskan masa selama enam jam atau lebih di internet, mengalami masalah ketagihan.

Beliau yang juga merupakan pesara Tentera Liberalisasi Rakyat berpangkat kolonel mendedahkan, 90 peratus pesakit yang dimasukkan ke situ mengalami kemurungan teruk sementara 57 peratus tergamak menyerang ibu bapa sendiri.

“Ini satu petanda buruk, saya khuatir trend ini akan meningkat,” tuturnya.

Rakan tenaga pengajarnya, Ma Liqiang berkata, golongan muda terbabit perlu belajar mengenal jati diri dan hidup mengikut peraturan. Mereka juga perlu belajar erti menghormati.

“Kebanyakan mereka sangat angkuh apabila mula-mula tiba di sini. Keupayaan fizikal dan stamina mereka teruk. Mereka akan termengah-mengah selepas berjoging beberapa langkah.

“Proses membentuk mereka mungkin sukar, tetapi ia tidak mustahil. Mereka masih mempunyai harapan. Hasilnya dapat dilihat dalam beberapa bulan,” ungkapnya optimis.