KUALA KUBU BHARU: Gelandangan yang merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan dan penempatan tetap serta tinggal di jalanan, kini diberikan jolokan baharu iaitu rakan jalanan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata gelaran berkenaan adalah antara aspirasi golongan itu sendiri pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Rakan Jalanan yang diadakan di sini, yang bertujuan memberikan gambaran yang lebih positif terhadap mereka.
"Ini cadangan dan kehendak mereka, jadi kita pakai nama itu dahulu supaya nanti akan menjadi kebiasaan.
"Malah, ada segelintir (daripada) mereka sebenarnya ada rumah, ada keluarga dan datang ke Kuala Lumpur mahu cari pekerjaan tapi pekerjaan yang mereka dapat itu tidak sesuai dengan jiwa mereka. Jadi mereka malu untuk pulang bertemu dengan keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi dialog itu yang diadakan di Pusat Latihan Khidmat Negara Geo Kosmo, di sini hari ini.
Rohani berkata, antara perkara lain yang dibangkitkan golongan itu pada sesi dialog berkenaan adalah mengenai tawaran peluang pekerjaan yang lebih sesuai selain penyediaan tempat tinggal untuk mereka.
Penganjuran program itu adalah siri Dialog TN50 oleh kementerian itu bersama kumpulan sasar bagi memberi peluang mereka menyuarakan harapan bagi meningkatkan taraf hidup mereka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...