Wednesday, 6 September 2017

Bukan Rohingya sahaja ditindas

PELARIAN Rohingya dari negeri Rakhine bergerak menuju ke sempadan Bangladesh untuk mencari perlindungan semalam.

BANGKOK – Penindasan sistematik terhadap penduduk minoriti Islam semakin meningkat di seluruh Myanmar dan tidak terhad kepada negeri Rakhine di mana keganasan baharu menyaksikan hampir 90,000 orang Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia Myanmar semalam.

“Kerajaan baharu selepas peralihan kepada sistem demokrasi dipengaruhi prejudis dan sentimen terhadap penduduk Islam apabila mereka dianggap sebagai orang asing di Myanmar, negara yang majoriti rakyatnya beragama Buddha,” kata Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) dalam laporannya.

Laporan itu dibuat berdasarkan 350 temu bual di lebih 46 buah bandar dan kampung selama lebih lapan bulan sejak Mac 2016.

Pihak berkuasa Myanmar menafikan mengamalkan diskriminasi dan berkata, pasukan keselamatan di Rakhine memperjuangkan kempen sah bagi memerangi pengganas yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA).

Selain penduduk Muslim Rohingya, BHRN turut membuat kajian tentang orang Islam berbilang etnik di Myanmar susulan keganasan kaum dalam tahun 2012 dan 2013.

Menurut laporan berkenaan, ramai orang Islam daripada etnik berbeza dinafikan hak untuk kad pengenalan, manakala akses ke masjid dan surau turut disekat di beberapa kawasan.

Sekurang-kurangnya 21 buah kampung di serata Myanmar mengisytiharkan kawasan mereka ‘zon larangan orang Islam’ dan disokong oleh pihak berkuasa.

Di negeri Rakhine pula, laporan BHRN tertumpu kepada pengasingan ketara antara penduduk Islam dan komuniti Buddha serta larangan perjalanan terhadap etnik Rohingya sekali gus menafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Berpuluh-puluh ribu orang Islam Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh sejak 25 Ogos lalu apabila pemberontak ARSA menyerang lebih 30 pos polis dan sebuah pangkalan tentera.

Serangan balas tentera Myanmar dan pertempuran yang berterusan meragut sekurang-kurangnya 400 nyawa setakat ini. – Reuters

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...