Thursday 21 September 2017

PM Bangladesh minta Myanmar bawa pulang Rohingya

PELARIAN Rohingya berlindung di dalam paip simen di kem pelarian Kutupalong yang terletak di daerah Ukhia, Bangladesh semalam.


DHAKA, Bangladesh – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina semalam menggesa Myanmar mengambil semula sebahagian daripada 420,000 etnik Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di negara yang didominasi penganut Buddha itu.

Hasina yang bercakap kepada aktivis Bangladesh di New York ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa tekanan lebih hebat antarabangsa terhadap Myanmar berhubung krisis terbaharu yang berlaku sejak tiga minggu lalu, lapor media.

“Kami telah memberitahu Myanmar, mereka adalah rakyat kamu dan kamu mesti mengambil mereka semula, memberikan mereka perlindungan, memastikan mereka selamat dan tiada lagi penindasan serta penyeksaan,” katanya pada mesyuarat lewat kelmarin di New York.

Tambahnya, Bangladesh sedang melakukan usaha-usaha diplomatik untuk memujuk Myanmar membawa pulang pelarian Rohingya.

“Tetapi kerajaan Myanmar tidak bertindak balas terhadap gesaan itu. Malah, Myanmar meletakkan halangan di sepanjang sempadan untuk menghentikan kepulangan etnik Rohingya ke tanah air mereka,” katanya.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi berkata dalam satu ucapan pada awalnya bahawa negara itu akan mengambil semula pelarian yang telah disahkan.

Myanmar menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menolak kewarganegaraan mereka, walaupun telah hidup di negara itu sejak beberapa dekad.

Dalam satu mesyuarat negara-negara Islam di luar perhimpunan PBB tersebut, Hasina berkata, Yangon mengetuai kempen propaganda untuk menggelar etnik Rohingya sebagai Benggali, sambil menambah bahawa mereka perlu diberi kerakyatan Myanmar.

Hasina turut meminta bantuan kemanusiaan segera daripada negara-negara Islam untuk mengatasi kemasukan etnik Rohingya yang melarikan diri dengan apa yang digelar pembersihan etnik, lapor agensi berita BSS.

“Ia adalah malapetaka kemanusiaan yang tidak dapat ditanggung. Saya telah melawat mereka dan mendengar cerita-cerita tentang penderitaan mereka, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

“Saya ingin anda semua datang ke Bangladesh dan mendengar daripada mereka tentang kekejaman di Myanmar,” katanya.

Seramai 420,000 etnik Rohingya kini berlindung di khemah pelarian dekat bandar sempadan Cox’s Bazar akibat keganasan tentera di Myanmar. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...