Paolo Duterte. |
MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata beliau bersedia membunuh anak lelakinya sendiri jika benar dakwaan terhadap ahli politik muda itu yang dikatakan terlibat dalam pengedaran dadah.
Duterte turut menegaskan bahawa, anggota polis yang membunuh anaknya juga akan dilindungi daripada sebarang pendakwaan.
Bulan ini, seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa Paolo Duterte, 42, terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dadah China. Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan selepas satu siasatan Senat dilakukan.
Paolo didakwa cuba membantu menyeludup penghantaran sejumlah besar dadah jenis kristal methamphetamine dari China.
Biarpun, Duterte tidak merujuk kepada sebarang dakwaan secara khusus, namun mengulangi kenyataan yang dibuat dalam kempen pilihan raya umum pada tahun lalu bahawa tiada seorang anaknya terlibat dalam dadah.
“Saya pernah memberi arahan sebelum ini: ‘Jika anak saya terlibat dalam dadah, bunuh mereka’, jadi orang ramai tidak akan menuduh sembarangan.
“Jadi, saya memberitahu kepada Pulong (nama panggilan Paolo): Pesanan saya adalah untuk membunuh kamu jika kamu ditangkap. Malah, saya akan melindungi polis yang membunuh kamu sekiranya dakwaan itu benar,” katanya dalam satu ucapan kelmarin.
Dalam sesi pendengaran Senat pada bulan ini, seorang anggota parti pembangkang berkata, Paolo yang merupakan Timbalan Datuk Bandar Davao bersama menantu lelaki Duterte dikatakan terlibat dalam sindiket jenayah yang dikenali sebagai Kumpulan Davao.
Sebaliknya, kedua-dua individu itu menafikan melakukan sebarang salah laku. – AFP
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...