WAN RUKMAN (kiri) menunjukkan sebahagian daripada wang palsu RM100 yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam semalam. |
SHAH ALAM – Sindiket pencetakan dan pengedaran wang palsu yang aktif sejak setahun lalu tumpas dalam tempoh sembilan jam setelah enam individu termasuk ketua mereka diberkas dalam tiga serbuan berasingan dekat sini kelmarin.
Penahanan kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu melibatkan empat lelaki dan dua wanita dilakukan bermula pukul 2.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Kesemua mereka ditahan di hotel bajet dan rumah di sekitar Bukit Tinggi di Klang, Taman Kandis di Shah Alam dan Puchong.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, semasa serbuan terhadap tiga lokasi terbabit didapati mereka sedang giat mencetak wang kertas palsu bernilai RM100 dan RM20.
Katanya, ini berikutan penemuan tiga set barangan dan peralatan mencetak serta wang palsu yang telah siap diproses bernilai RM12,500.
“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini mempunyai kepakaran tinggi berikutan wang kertas yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi.
“Mereka mampu menghasilkan kira-kira RM10,000 wang palsu dalam satu hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...