Friday, 12 May 2017

Kulit kepala tercabut dalam mesin

 


Beijing: Seorang pekerja kilang plastik nyata panjang umur apabila terselamat walaupun kulit kepalanya tersiat selepas rambutnya tersangkut dalam mesin.

Dalam kejadian di Jinhua, wilayah Zhejiang, timur China itu, pekerja yang cuma dikenali sebagai Yang itu berkata, ketika kejadian dia membongkok untuk mengambil sesuatu apabila tiba-tiba rambutnya tersangkut pada alat penggiling menyebabkan kulit kepalanya tersiat.

Yang tidak pengsan, malah masih mampu berlari mendapatkan bantuan rakannya selepas kejadian itu.

Mereka terkejut melihat kepala Yang berlumuran darah dan terus mengeluarkan kulit kepala serta rambutnya dari mesin berkenaan yang diserahkan kepada paramedik yang tiba beberapa minit kemudian.

Yang dalam keadaan terkejut ketika dibawa ke hospital untuk pembedahan segera dan doktor mengambil masa lapan jam untuk menyambungkan semula kulit kepalanya.

Dr Li Bin berkata, pembedahan itu amat mencabar kerana kulit kepala Yang tersiat sepenuhnya dari bawah kening, telinga dan tengkuk.

“Dia mengalami trauma dan kehilangan banyak darah,” katanya.

Dr Li turut mengingatkan pekerja kilang sentiasa mengikat rambut mereka dan menutup kepala untuk mengelak kejadian seumpama itu berlaku. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...