Wednesday 31 May 2017

Kapten ‘Cef ganja’, isteri diberkas STING

Chez CHIANG (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai produk makanan dicampur ganja yang dirampas daripada ‘cef ganja’ pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera bersara menyalahgunakan kreativiti dirinya apabila menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan dadah jenis ganja sebelum dijual secara meluas menerusi Facebook.

Lelaki berusia 58 tahun berketurunan India dengan dibantu oleh isterinya, seorang wanita Indonesia berusia 35 tahun, menghasilkan pelbagai makanan yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Makanan yang diadun dengan ganja itu kononnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, sawan, kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi.

Antara makanan yang bercampur ganja dan mendapat permintaan ramai ialah mi­nyak, coklat, madu, marjerin, susu, kek dan pelbagai jenis pes. Lebih menarik pe­langgan juga boleh memberi cadangan kepada lelaki digelar ‘cef ganja’ untuk itu menghasilkan makanan berasaskan dadah tersebut mengikut cita rasa masing-masing.

Semua adunan makanan bercampur dengan ganja ditawar dengan harga mampu dibeli oleh pelanggan dan suspek mempromosi dan menjual ‘kepakarannya’ yang didakwa mujarab memulihkan pelbagai penyakit itu di media sosial.

Bagaimanapun, kegiatan suspek yang beroperasi di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang itu hanya bertahan lima bulan sebelum diserbu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari, polis menangkap pesara tentera berpangkat kapten, isterinya dan seorang pembantu pasangan berkenaan yang merupakan lelaki berketurunan India berusia 32 tahun.

“Tangkapan tersebut merupakan kejayaan pertama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada tahun ini dalam membongkar kegiatan mempromosi dan mengedar dadah melalui platform laman sosial,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...