Monday, 22 May 2017

China bunuh, penjarakan 20 perisik AS



WASHINGTON – Beijing secara sistematik mematahkan usaha pengintipan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di China mulai tahun 2010 dengan berpuluh-puluh ejen rahsia sama ada dibunuh atau dipenjarakan, lapor akhbar The New York Times semalam.

The New York Times yang memetik kenyataan 10 pegawai dan bekas pegawai Amerika Syarikat (AS), menyifatkan pembongkaran perisikan itu sebagai antara terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Menurut akhbar berkenaan, pegawai-pegawai perisikan kini tidak pasti sama ada AS dikhianati oleh orang dalam CIA atau China telah menggodam sistem rahsia yang digunakan oleh CIA untuk berkomunikasi dengan sumber asing.

Tindakan itu memberi kesan paling buruk ke atas rangkaian pengintipan AS paling produktif itu.

Akhbar berkenaan melaporkan, se­kurang-kurangnya berpuluh-puluh ejen CIA dibunuh antara penghujung tahun 2010 hingga akhir 2012.

Ia termasuk insiden seorang ejen ditembak di hadapan rakan sekerjanya yang disifatkan sebagai amaran kepada sesiapa sahaja yang terbabit dengan pengintipan di China, kata akhbar berkenaan.

Secara keseluruhan, kira-kira 18 hingga 20 ejen CIA di China telah sama ada dibunuh atau dipenjarakan, demikian menurut dua bekas pegawai kanan AS.

Kegagalan itu dianggap tamparan hebat kepada CIA yang giat meningkatkan usaha perisikan sejak beberapa tahun lalu. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...