NORHASLINDA (kanan) dan madunya, Nadhrah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat semalam atas tuduhan mencuri barang kemas seorang suri rumah bernilai RM25,000 pada April lalu. |
BATU PAHAT – Wanita yang hidup bermadu biasanya jarang boleh bertemu mata, apatah lagi melakukan pelbagai aktiviti bersama.
Tapi lain pula ceritanya dengan dua wanita yang hidup bermadu di Johor apabila mereka dituduh sepakat menjadi pencuri dengan menyamar sebagai jururawat.
Mereka dituduh mencuri barang kemas seorang suri rumah bernilai RM25,000 April lalu.
Tertuduh, Norhaslinda Resat, 36, bersama madunya, Nur Hidayatul Nadhrah Misman, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan ketika didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, Norhaslinda dan Nur Hidayatul Nadhrah didakwa secara bersama mencuri seutas rantai emas, tiga gelang emas dan tiga cincin emas bernilai RM25,000 milik suri rumah, Zabaidah Aspan di Kampung Parit Selamat, Yong Peng pada 7 April lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...