Tuesday 23 May 2017

Dua bekas pegawai TUDM didakwa rasuah

Kamal BAHARIN (kiri) dan Fadzil (kanan) dibawa anggota SPRM keluar dari Mahkamah Seksyen Shah Alam selepas didakwa memperoleh dan bersubahat menerima suapan pada 14 Disember 2011.


SHAH ALAM – Dua bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperoleh dan bersubahat menerima suapan berjumlah RM600,000 daripada seorang pemilik syarikat, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Leftenan Kolonel (B), Kamal Baharin Nali, 48, dan Kapten (B), Fadzil Noor Alias, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Kamal Baharin dan Fadzil yang bertugas di Jabatan Arah Perundangan, Kementerian Pertahanan bersara pilihan masing-masing pada tahun 2016 dan 2015 telah memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Kamal Baharin didakwa telah secara rasuah memperoleh satu suapan daripada pemilik ARG Tech Sdn. Bhd., Ab. Rahim Ghalim melalui seorang peguam, Wan Ahmad Idzham Wan Sulaiman dalam bentuk dua keping cek Affin Bank Berhad bernombor siri 377728 dan 377715 berjumlah RM600,000.

Suapan itu kononnya sebagai upah membantu Ab. Rahim mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM14.5 juta bagi 52 invois ARG Tech Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja kontrak.

Sementara itu, Fadzil pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dan membantu Kamal Baharin menerima suapan daripada Ab. Rahim melalui Wan Ahmad dalam bentuk dua keping cek bernilai RM600,000 yang kononnya sebagai upah mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM14.5 juta untuk kerja-kerja kontrak yang dilakukan ARG Tech.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...