Tuesday 31 January 2017

Bangladesh akan pindahkan etnik Rohingnya ke sebuah pulau

Kawasan Pulau Hatiya (lingkungan merah) dicadangkan bagi menempatkan pelarian Rohingya dan Cox's Bazar yang menjadi penempatan sementara pelarian Rohingya di Bangladesh pada waktu kini.

DHAKA - Pihak berkuasa Bangladesh dijangka akan meneruskan rancangan untuk memindahkan ribuan pelarian etnik Rohingnya ke sebuah kepulauan terpencil dikenali sebagai Thengar Char berhampiran Pulau Hatiya, Teluk Bengal pada masa akan datang.

Pemindahan itu akan dilakukan ke atas warga Rohingnya yang tiba dari Myanmar ke negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Menurut laman sesawang kerajaan, satu jawatankuasa terdiri daripada pegawai kerajaan di daerah pesisir pantai ditubuhkan bagi membantu mengenal pasti dan memindahkan kumpulan ini ke kepulauan tersebut.

Kira-kira lebih 300,000 etnik Muslim Rohingya berada di Bangladesh ketika ini yang rata-ratanya melarikan diri daripada krisis keganasan terutamanya di Rakhine sejak Oktober tahun lepas. -AFP

Monday 30 January 2017

Anak bijak, berpangkat belum tentu mahu jaga ibu


“MEMPUNYAI anak yang ramai tidak bermakna hidup kita akan dilimpahkan dengan kesenangan semasa kita sihat atau ketika kita telah tua. Kerana belum tentu 10 anak yang dilahirkan boleh menjaga kita apabila kita tua nanti atau boleh bantu kita tatkala kita susah. Kadangkala anak-anak inilah yang akan beri kita ujian maha besar ketika membesarkan mereka atau ketika kita tua nanti.

“Saya tidak bercakap memperkecilkan pengorbanan ibu dan ayah membesarkan anak-anak mereka, kerana kehadiran anak amat mereka nantikan setelah berkahwin. Malah ada suami kahwin lagi kerana inginkan zuriat yang menjadi kebanggaan mereka. Tetapi setelah anak itu lahir, belum tentu anak itu boleh membahagiakan hidup mereka, baik ketika mudanya, atau setelah tua nanti.’’ Itu cerita Shaliza dalam e-mel pendeknya dan ketika ditemui oleh wartawan kami baru-baru ini.

“Apa yang saya ceritakan ini bukan bertujuan mengumpat, tetapi untuk beri kesedaran kepada ibu bapa, didiklah anak-anak lelaki dan perempuan sama rata, jangan bezakan antara mereka, khususnya antara anak bijak pandai dengan anak yang kurang pandai sambil mengharap anak yang lebih pandai dan bijak itu boleh membantu kita bila tua nanti. Sebaliknya yang tak punya harta dan tidak pandai itulah yang berkorban menjaga anda ketika tua dan nanti.

“Saya bercerita sekadar mengingatkan diri sendiri dan juga pembaca semua tentang apa yang berlaku dan melihat depan mata saya sendiri betapa perbuatan membezakan anak-anak ini membawa masalah kepada diri kita apabila tua. Contoh opah saya, punyalah sayangkan anak-anak lelaki dan anak perempuan yang bijak pandai kerana mereka dapat kerja yang baik-baik serta berpangkat, sementara yang tidak bekerja dan kurang pandai ini dipinggirkan.

“Seingat saya setiap kali pergi rumah opah, dia selalu puji pakcik dan makcik yang berpangkat, berkereta besar dan suruh saya rajin belajar supaya boleh jadi macam mereka. Bila pakcik dan makcik berkahwin dan ada anak, saya adik-beradik pulak merasa dipinggirkan sebab emak ayah kami tidak ada kereta besar. Kalau bercakap dan bercerita semua tentang cucu-cucu yang kaya ini sahaja yang dapat tempat di hati opah. Sementara kami dilupakan.

“Oleh sebab saya cucu kedua daripada emak yang juga anak sulung opah, tentulah saya dapat lihat sendiri perbezaan layanan opah. Pertama kerana emak tak bekerja dan ayah tak berpangkat. Awalnya memang abang dan saya dapat perhatian opah sebab cucu sulung. Tetapi berubah setelah pakcik dan makcik ada anak masing-masing. Bukan cemburu, tetapi nak cerita pasal perbezaan layanan opah, sebab akhirnya opah sendiri kecewa tidak mendapat layanan daripada anak-anak yang berpangkat dan bijak pandai seperti yang opah harapkan.

“Opah ada lima orang anak. Emak anak sulung, tak bekerja, tiga lagi adik emak semuanya bekerja dan bergaji besar, yang bongsu lagi pandai bekerja dan duduk luar negara, maklum ‘orang minyak’. Saya masih ingat lagi kalau opah bercerita dengan jiran dan saudara mara yang datang ketika Hari Raya atau kenduri, semua tentang anak-anak opah yang pandai, pasal gaji, rumah dan kereta besar mereka. Dan saguhati serta hadiah yang mereka beri kepada opah.

“Tetapi hari berubah apabila anak-anak opah berkahwin dan kemudian ada anak sendiri. Mereka mula kurang beri perhatian dan sagu hati pada opah. Saya dapat lihat pasangan mereka mula tidak suka balik rumah opah. Kalau balik pun setahun sekali dua saja. Alasan mereka sibuk, anak-anak sekolah, tusyen, kelas tambahan, anak periksa dan pelbagai alasannya.

“Apabila anak-anak mereka semakin besar, mereka juga jarang balik rumah opah kerana aktiviti seperti kelas muzik, sukan dan hal peribadi. Opah dan atuk semakin sunyi terutama apabila usia semakin tua. Dan opah semakin sibuk uruskan atuk yang sakit-sakit.

“Bila atuk masuk hospital, opah suruh emak telefon pakcik dan makcik suruh balik. Kerana atuk sering keluar masuk hospital, bukan selalu mereka boleh balik. Lagi sedih atuk duduk hospital kerajaan sebab atuk kakitangan kerajaan. Saya perhatikan banyak perbezaan antara atuk dengan adik atuk apabila sakit, anak-anak mereka masukkan ayah mereka di hospital swasta tapi atuk duduk hospital kerajaan. Sedangkan anak-anak atuk bergaji besar, konon.

“Ketika atuk meninggal dunia cuma emak, ayah dan kami adik-beradik yang mengadap. Anak-anak opah sampai setelah atuk dimandikan dan dikapankan, sementara yang di luar negara sampai sehari selepas atuk dikebumikan. Sementara cucu-cucu opah tidak semuanya dapat balik, termasuk menantu perempuan opah, sebab bekerja.

“Ketika atuk di hospital, emak dan opah sahaja yang sering datang menguruskan makan minum atok. Saya lihat opah memang sedih dan kecewa. Tapi opah diam. Lepas sehari atuk meninggal, masing-masing balik ke rumah mereka, tinggallah opah sendirian. Emak ajak opah tinggal bersama kami, tetapi opah tolak, dia tak mahu rumahnya tinggal. Jadi terpaksalah emak berulang alik jengok opah, dalam seminggu dua atau tiga kali.

“Untuk keselamatan opah, emak minta tolong saudara berdekatan datang jengok opah. Masa berlalu begitu pantas, ketika saya dan abang bekerja dan pindah ke bandar, emak terpaksa bawa opah tinggal bersamanya, sebab keadaan opah sering sakit dan emak tak mahu opah tinggal sendirian. Ada kalanya emak terpaksa tidur di hospital jaga opah beberapa hari.

“Sepanjang opah di rumah kami, saya dapat lihat dengan jelas anak-anak opah yang lain jarang datang jengok opah...,” Shaliza merumuskan ceritanya.

Sunday 29 January 2017

Sempadan dikuasai gengster


MUKADIMAH


PELBAGAI usaha dijalankan kerajaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan terutama di kawasan sempadan negara termasuk mengatur strategi baharu dan menjenamakan semula agensi serta pasukan yang dipertanggungjawabkan dalam mengawal kawasan terbabit.

Namun, apa yang menyedihkan, kawasan sempadan kira-kira sepanjang 108 kilometer yang memisahkan negara ini dan Thailand bermula dari Bukit Arang sehingga Bukit Batu Puteh, Perlis amat mudah dibolosi penyeludup.

Pagar sempadan di sepanjang kawasan terbabit berlubang-lubang, malah pintu utama sempadan iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar turut menjadi laluan sindiket penyeludupan.

Ikuti laporan wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMMAD YASIR JAAFAR yang membongkar kegiatan dan modus operandi sindiket penyeludupan di Padang Besar, Perlis - Wilayah Satun, Thailand yang bukan sahaja merugikan dari aspek ekonomi, malah membawa ancaman terhadap keselamatan negara.


KANGAR - Hanya dalam tempoh lima minit, sekumpulan lelaki selesai mengangkut ratusan guni putih yang dicampakkan di pagar sempadan sebelum dimuatkan dalam kenderaan yang menunggu di sebelah Thailand.

Itulah keadaan yang berlaku setiap hari di sepanjang pagar sempadan Padang Besar-Thailand yang menyaksikan sindiket begitu bebas menyeludup masuk dan membawa keluar pelbagai jenis barangan seperti daun ketum, bahan bersubsidi, barangan bercukai termasuk dadah dan senjata api.

Lebih mengejutkan, kegiatan itu dijalankan secara terang-terangan di kawasan awam dan tanah lapang, malah turut berlaku berhampiran kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) kedua-dua belah negara.

Hasil tinjauan Mingguan Malaysia mendapati pagar dawai yang menjadi pemisah bagi Padang Besar dan Wilayah Satun, Thailand itu banyak dipotong dan dilubangkan sekali gus menjadi laluan utama bagi kumpulan penyeludup membawa masuk dan keluar apa jua barangan.

Malah paling menyedihkan, beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai laluan utama penyeludup turut dibina kubu dan pos pengawal pasukan kese­lamatan, namun tiada anggota yang berada di lokasi terbabit.

Itu secara tidak langsung membolehkan ahli sindiket penyeludup terbabit menjalankan ke­giatan mereka pada bila-bila masa sehingga penduduk tempatan juga seperti tidak hairan dengan aktiviti kumpulan terbabit kerana menganggap perkara itu bukan sesuatu yang baharu.

Menurut sumber, kegiatan itu sudah berlanjutan sejak sekian lama dan kian berleluasa berikutan tiada pengawasan dan kelemahan penguatkuasaan.

“Masalah ini bukan sahaja meru­gikan kerajaan dari segi kutipan cukai termasuk terpaksa menanggung kos membaiki pagar yang ‘bocor’, malah amat membimbangkan dari segi keselamatan apabila barangan terlarang seperti dadah serta senjata api amat mudah diseludup keluar dan masuk ke negara ini.

“Bayangkan mereka (penyeludup) ini tetap beroperasi walaupun di siang hari secara terbuka tanpa risau dicekup pihak berkuasa,” katanya.

Ditanya punca utama masalah terbabit berlaku, sumber memberitahu, antaranya adalah kerana kelemahan penguatkuasaan dan tidak menolak kemungkinan telah ‘dibayar’ oleh sindiket berkenaan.

“Mereka bijak dua-dua belah penguat kuasa (Malaysia dan Thailand) sudah ‘dibayar’. Maka tidak hairanlah penguat kuasa bersikap ‘tutup mata’.

“Boleh dikatakan sempadan ini ‘milik’ gengster, mereka boleh bawa masuk dan keluar apa jenis barangan termasuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya.

Sehubungan itu tambah sumber, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah terbabit termasuk menyusun semula strategi demi memastikan tahap pengawasan sempadan berada pada tahap optimum.

Saturday 28 January 2017

MB kejar pencuri kabel

Status yang dimuat naik Dr. Zambry di laman Twitternya.

Manjung: Polis sedang menyiasat kegiatan curi kabel telekomunikasi yang semakin menjadi-jadi di daerah ini seperti didedahkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam Twitternya hari ini.

Zambry memuat naik status meminta polis menyiasat hingga ke akar umbi kegiatan curi kabel yang semakin serius di daerah itu dan menyatakan menerima maklumat terdapat tempat yang membeli hasil curi berkenaan.

Dalam satu lagi statusnya, Zambry turut memuat naik gambar pekerja syarikat telekomunikasi yang sedang memasang semula kabel telekomunikasi yang dicuri dengan status menyatakan beliau dan pengawalnya mengejar dua pelaku yang dipercayai sedang mencuri kabel pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, unit kereta peronda (MPV) polis sudah dihantar ke lokasi kejadian seperti yang dimaklumkan Menteri Besar dalam Twitter itu sebaik menerima maklumat.

Katanya, polis sentiasa memantau kegiatan itu namun maklumat diterima masih kurang sehingga menyukarkan tindakan diambil.

"Kurang maklumat diberikan oleh orang ramai seperti jam berapa kejadian itu berlaku, jenis kenderaan dan maklumat pelaku serta di mana kabel itu dijual menyukarkan tindakan diambil.

"Namun kita sentiasa memantau kegiatan ini dan akan mengambil tindakan sehingga ke akar umbi," katanya.

Friday 27 January 2017

Edar syabu guna kanak-kanak

Asisten Komisioner Azhar Hamin.
SANDAKAN - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran syabu menggunakan kanak-kanak berikutan penahanan tiga bersaudara dan merampas syabu seberat 1.05 kilogram di Flat Majlis Perbandaran Sandakan Karamunting di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Azhar Hamin hari ini berkata, seorang wanita berusia 37 tahun ditahan bersama remaja perempuan berusia 15 tahun dan kanak perempuan berusia sembilan tahun yang ketiga-tiganya mempunyai pertalian saudara.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sandakan membuat intipan dan tugas risikan dadah, di sebuah blok flat itu pada pukul 5 petang.

Menurutnya, mereka ternampak ketiga-tiga perempuan itu berada dalam keadaan mencurigakan sambil memegang satu plastik berwarna hitam.

"Ketiga-tiganya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dalam plastik hitam itu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini. - Bernama

Jamal sahut cabaran Mohamed Azmin serah katil ke pusat pemindahan banjir


SABAK BERNAM - Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sedia menyahut cabaran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta beliau menghantar set katil di pusat pemindahan banjir yang dibuka di daerah Sabak Bernam.


Beliau berkata, bagi tujuan itu set katil tersebut akan dihantar Pusat Pemindahan Banjir Dewan Parit Baru, dekat sini petang ini.


“Saya menerima pandangan menteri besar tersebut. Saya sentiasa menerima pandangan-pandangan baik dan akan hantar katil ini ke pusat banjir di sana pukul 4.30 ini. Saya akan berikan di sana nanti” katanya di sini hari ini.


Difahamkan, selain set katil Jamal turut akan menyediakan aiskrim untuk diberikan kepada anak-anak mangsa banjir.

Wednesday 25 January 2017

Seleweng dana Felda

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani.

KUALA LUMPUR - Salah guna kedudukan dan seleweng AS$10 juta (RM47.6 juta) dana Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sejak 2014.

Itu kegiatan dua pegawai dan tiga bekas pegawai syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk seorang bergelar Datuk yang ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara pukul 11.30 pagi dan 6 petang hari ini menerusi Op Caviar yang dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang bergelar Datuk berusia 57 tahun itu merupakan bekas Pengarah Besar Felda manakala empat lagi adalah bekas Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) Felda berusia 53 tahun; bekas pegawai projek ikan sturgeon berusia 30 tahun; Ketua Hartanah Felda di London berusia 38 tahun dan Penolong Pegawai Tadbir Felda berusia 33 tahun.

Menurut sumber, turut dirampas adalah beberapa utas rantai dan gelang emas, sebuah kereta Mercedes-Benz dan wang tunai yang nilainya masih belum diketahui.

Katanya, dua bekas pegawai tertinggi Felda berusia 57 dan 53 tahun yang ditahan itu turut menandatangani satu perjanjian bernilai AS$45 juta (RM146.25 juta) dengan sebuah syarikat penternakan ikan sturgeon di Korea setelah menubuhkan sebuah syarikat dengan nama Felda Carviative Sdn. Bhd. (FCSB) pada Januari 2014.

Jelas sumber, suspek telah menyalahgunakan kedudukan mereka kerana syarikat tersebut ditubuhkan tan­pa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan Felda.

“Satu mesyuarat ber­hubung projek itu telah diadakan pada 2013 dan lembaga pengarah meminta suspek berusia 53 tahun untuk menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek itu untuk dibentangkan.

“Walau bagaimanapun, projek berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar Pahang, namun disebabkan unit kewangan turut berada di bawah pengawasan suspek, dia bertindak meluluskan dana seterusnya membuat pembayaran kepada syarikat Korea tersebut seminggu selepas penubuhan FCSB,” kata sumber di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, perjanjian ditandatangani dua suspek utama itu merupakan kontrak bagi projek ikan sturgeon yang meliputi pelaksanaan Perjanjian Perkhidmatan Pemindahan Teknologi (TTSA) dan Perjanjian Reka Bentuk dan Pembinaan (DBCA).

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan kesemua tangkapan tersebut dan memaklumkan pihaknya turut merampas dokumen-dokumen berhubung projek berkenaan yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM.

Menurut Simi, kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman esok.

Penjaja tikam leher pegawai dengan lidi sate

Pegawai perbandaran yang cedera selepas ditikam dengan lidi sate ketika beliau cuba merampas gerai penjaja terbabit.
Chongqing (China): Seorang penjaja makanan di sini menikam leher seorang pegawai perbandaran dengan lidi sate selepas mangsa cuba merampas gerai wanita berkenaan.

Kejadian berlaku ketika sekumpulan pegawai perbandaran cuba merampas barangan jualan seorang wanita tua yang berniaga secara haram di tepi jalan.

Bagaimanapun, perbalahan berlaku apabila wanita itu cuba menghalang gerainya daripada dirampas pegawai perbandaran berkenaan.

Ketika pergelutan wanita itu tiba-tiba mencapai sosej yang dicucuk dengan lidi sate dan terus menikam leher pegawai itu.

Gambar insiden berkenaan termasuk imej lidi sate yang tercacak di leher pegawai itu menjadi tular di media sosial di China, baru-baru ini.

Pegawai lelaki itu kelihatan terkejut dan dipapah beberapa rakannya untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Namun, pegawai itu bernasib baik kerana kecederaan yang dialaminya tidak serius.

Menurut polis, wanita terbabit ditangkap tidak lama selepas kejadian dan didakwa menyerang dan mencederakan pegawai kerajaan.

Kejadian berkenaan itu bukanlah kali pertama perbalahan membabitkan pihak berkuasa dengan penjaja kecil yang mencari rezeki di tepi jalan di China.

Pada 2015, seorang penjual buah strawberi di bandar Dalian menikam hingga mati seorang pegawai perbandaran yang cuba merampas gerai dan hasil jualannya.

Tuesday 24 January 2017

Sambung bayar, cari bala

Datuk Nadzim Johan.
Kuala Lumpur: Sambung bayar umpama mencari bala. Perumpamaan itu diberikan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung isu sambung bayar kenderaan yang merekodkan kerugian lebih RM1 juta sepanjang tahun lalu.

Ia membabitkan kaedah bayaran bulanan kepada bank tanpa menukar nama menyebabkan pemilik kenderaan mengalami kerugian selepas syarikat jualan kereta terpakai 'gulung tikar' dan gagal dikesan.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, aduan isu berkenaan semakin meningkat kebelakangan ini selepas pengadu berdepan kemungkinan muflis akibat kegagalan pihak ketiga membayar ansuran.

"Rekod kita mendapati ia semakin meningkat. Pembeli asal menyerahkan kereta kepada syarikat jualan, namun tanpa pengetahuan mereka, ia diserahkan kepada pihak ketiga secara sambung bayar.

"Bagaimanapun, mereka gagal membayar dan beban itu ditanggung pemilik seperti disenarai hitamkan. Ada juga kes syarikat sudah tutup dan enggan bertanggungjawab kerana kenderaan diserahkan kepada orang lain," katanya pada sidang media hari ini.

Friday 20 January 2017

RM1.1 juta ditemukan dalam rumah penolong jurutera JKR

Wang tunai berjumlah kira-kira RM 1.1 juta ditemukan di dalam dinding papan di bilik tidur utama rumah penolong jurutera JKR (gambar kiri) di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR – Penahanan seorang penolong jurutera Ja­ba­tan Kerja Raya (JKR) yang dipercayai terlibat dengan kes rasuah dan salah guna kuasa semalam membawa kepada penemuan wang tunai kira-kira RM1.1 juta tersorok di dalam rumah suspek hari ini.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad, pihaknya yang menggeledah rumah tersebut pa­da pukul 3 petang menemukan wang berkenaan disembunyikan pada bahagian dalam din­ding papan yang diubah suai di bilik tidur utama rumah suspek.

“Kita menggeledah rumah sus­pek hasil soal siasat ke atas saksi yang kemudian membawa kepada penemuan wang tunai sebanyak RM1.1 juta yang disim­pan suspek berusia 56 tahun itu dalam bekas plastik dan tin coklat sebelum disembunyikan dalam dinding yang diubah suai di bilik utama rumahnya.

“Berdasarkan siasatan, kita mempercayai penyelewengan yang dilakukan suspek mungkin mencecah sehingga RM3 juta. Siasatan akan diteruskan ke atas suspek setelah kita mendapat tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat SPRM negeri di sini hari ini.

Mohd. Fauzi menambah, wang berkenaan dipercayai ha­sil pembayaran rasuah daripada kontraktor kroni kepada suspek secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau kenderaannya.
“Sehingga kini SPRM sudah merakam percakapan 20 saksi termasuk keluarga suspek, kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh kontraktor kroni,” kata­nya.

Dalam pada itu, perintah tahanan reman ke atas suspek yang bermula hari ini itu dike­luarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaludin Elias.

Suspek dibawa ke pekara­ngan lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar pada pukul 10.10 pagi sebelum beredar kira-kira 50 minit kemudian diiringi oleh pegawai SPRM.

Kes tersebut kini disiasat me­ngikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Suspek merupakan penjawat awam yang ditahan SPRM dalam Op Block semalam di rumahnya di Kampung Sungai Daun di sini kerana disyaki menyalah guna kuasa dan meminta rasuah daripada beberapa kontraktor sebagai dorongan untuk memastikan mereka berjaya ditawarkan projek kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan.

Wednesday 18 January 2017

Peragut toreh muka jururawat

Keadaan Normalia yang parah akibat ditoreh oleh peragut.
Lahad Datu: Jururawat ditoreh mukanya dengan pisau oleh peragut yang cuba meragut beg tangannya di kawasan parkir pasar raya di Bandar Sri Perdana, Jalan silam, di sini, kelmarin.

Akibatnya, wanita itu parah di dahi, hidung dan mulut.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa Normalia Tuang, 43, yang bertugas klinik swasta di Kinabatangan, dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Lahad Datu, di sini, oleh orang awam dan dilaporkan stabil.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa baru selesai membeli kelengkapan dapur di pasar raya berkenaan lalu menuju ke kenderaan di kawasan parkir untuk menyimpan barang.

Ketika sedang memunggah barang ke dalam kenderaan di pintu belakang sebelah kanan, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali cuba menarik beg tangannya menyebabkan dia melawan.

Suspek yang gagal melarikan beg tangan itu kemudian menoreh muka mangsa menggunakan pisau sebelum melarikan diri.

Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis sebelum menghantar mangsa ke Hospital Lahad Datu, untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner M Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa menerima rawatan di Hospital Lahad Datu dan dilaporkan stabil.

"Polis sedang mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Bank Britain didakwa biayai kemusnahan hutan Indonesia

JAKARTA – Pertubuhan alam sekitar antarabangsa, Greenpeace semalam mendakwa gergasi perbankan, HSBC memberikan bantuan kewangan berbilion dolar kepada syarikat-syarikat perladangan yang dipersalahkan berhubung kemusnahan hutan hujan yang luas di Indonesia.

Greenpeace berkata, garis panduan HSBC sendiri melarang sokongan diberikan kepada syarikat-syarikat kelapa sawit yang terlibat dengan amalan pembakaran hutan.

Menurutnya, Bank yang beribu pejabat di Britain itu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang memberikan pinjaman berjumlah AS$16.3 bilion kepada pihak berkenaan sejak 2012. Bank itu juga terlibat dalam pemberian bon korporat berjumlah hampir AS$2 bilion (RM8.9 bilion), kata Greenpeace dalam satu laporan baharunya.

“HSBC mendakwa bahawa ia merupakan sebuah bank berkaliber yang mengamalkan dasar bertanggungjawab berhubung kemusnahan hutan. Namun, kata-kata indah ini dilupakan semasa menandatangani kontrak pinjaman,” kata aktivis kanan perhutanan Greenpeace bagi rantau Asia Tenggara, Annisa Rahmawati.

Dalam laporannya, Greenpeace turut menyenaraikan enam syarikat yang didakwa terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan dan menerima bantuan kewangan daripada HSBC.

Syarikat-syarikat berkenaan ialah Bumitama Agri, Goodhope Asia Holdings, IOI Group, Noble Group, Posco Daewoo dan Salim Group.

Mengulas dakwaan itu, HSBC berkata bahawa pihaknya tidak menyedari telah memberikan perkhidmatan untuk menyokong syarikat-syarikat ladang kelapa sawit yang melanggar dasarnya berhubung aktiviti pemusnahan hutan

Kawasan hutan yang luas di Indonesia telah dibersihkan sejak beberapa tahun lalu untuk membuka ladang-ladang bagi memenuhi permintaan minyak kelapa sawit dunia yang digunakan untuk membuat pelbagai barangan termasuk syampu dan biskut.

Perkembangan tersebut membawa kepada kemusnahan habitat haiwan terancam seperti orang utan.

Kaedah membakar hutan untuk membuka ladang juga mengakibatkan masalah jerebu yang merebak ke beberapa negara jiran Indonesia di Asia Tenggara. – AFP

Tuesday 17 January 2017

Larangan kapcai tidak dilaksana masa terdekat

Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.
KUALA LUMPUR - Cadangan larangan motosikal berenjin kecil atau lebih dikenali sebagai 'kapcai' memasuki pusat bandar raya ini akan dikaji selepas projek pengangkutan awam siap kelak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, buat masa ini cadangan itu tidak akan dilaksanakan kerana perlu melibatkan perbincangan dan kajian berhubung kesesuaian dengan pelbagai pihak.

"Justeru, cadangan larangan kapcai itu tidak berlaku dalam masa terdekat dan perlu dilihat sehingga projek pengangkutan awam siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung projek-projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Bos CIA beri amaran kepada Trump

John Brennan.
WASHINGTON – Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Brennan (gambar) memberi amaran kepada bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin supaya berhati-hati dengan percakapan beliau dan menyifatkan Trump tidak memahami cabaran yang dihadapi AS berhubung Rusia.

Trump, 70, yang akan mengambil alih pentadbiran AS pada Jumaat ini dikecam kerana memuji Presiden Rusia, Vladimir Putin secara berlebihan.

Trump pernah berkata bahawa jika pe­mimpin Rusia itu menyukainya, ia merupakan aset untuk membantu memulihkan hubungan tegang antara Washington dengan Moscow.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Perisikan Senat telah me­lancarkan siasatan berhubung campur tangan Moscow dalam politik AS yang boleh memaksa pentadbiran Presiden Barack Obama dan Kabinet Trump dipanggil untuk memberi kete­rangan.

“Saya tidak fikir beliau sedar sepenuhnya tentang ancaman Rusia, begitu juga dengan tindakan dan niat Rusia.

“Saya berpendapat bahawa Trump perlu sangat disiplin tentang apa yang diperkatakannya kepada umum,” kata Brennan dalam wawancara bersama saluran Fox News kelmarin.

“Beliau akan menjadi Presiden AS dalam beberapa hari lagi sekali gus orang paling berkuasa di dunia dan saya fikir beliau perlu sedar bahawa kata-kata­nya akan mendatangkan kesan,” tambahnya.

Brennan berkata, Trump mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu untuk keselamatan negara dan tidak hanya bercakap atau mengeluarkan kenyataan di Twitter.

“Mengeluarkan kenyataan spontan bukan sesuatu yang boleh melindungi keselamatan negara,” ujarnya lagi.

Agensi Perisikan AS itu sebelum ini mendakwa bahawa Putin mengarahkan campur tangan dalam pilihan raya AS untuk menaikkan Trump dan menjejaskan seterunya, Hillary Clinton. – AFP

Monday 16 January 2017

Armada TLDM dipecahkan kepada pemerintahan Armada Barat dan Timur - Panglima TLDM

Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
KUALA LUMPUR - Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dipecahkan kepada dua iaitu pemerintahan Armada Barat dan Armada Timur untuk memberi tumpuan dan perhatian yang tinggi kepada keselamatan terutama di Sabah dan Sarawak.

Panglima TLDM ,Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pemecahan ini berdasarkan perspektif yang ada iaitu Malaysia sebuah negara maritim yang banyak sumber dan kepentingan negara seperti gas asli dan minyak yang perlu dijaga.

Katanya, sebelum ini pemerintahan TLDM berpusat di pangkalan TLDM Lumut, di bawah Panglima Armada TLDM.

"Kerajaan telah meluluskan melalui Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk armada TLDM ini dipecahkan kepada dua yang mana pemerintahan Armada Barat di Lumut dan pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu.

"Dari segi keselamatan pula, kita dapat lihat sejak kebelakangan ini tumpuan dan perkembangan (aktiviti) di Laut China Selatan dan perkembangan maritim di perairan Sulu di Sabah Timur memerlukan kerajaan memberi fokus tinggi, dan menjaga keselamatan maritim terhdap kedua-dua negeri (Sabah dan Sarawak)," katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM dan Pegawai Kehormatan Pegawai Simpanan Sukarela (PSSTLDM) di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, di sini, hari ini.

Majlis ini menyaksikan pegawai kanan TLDM yang dinaikkan pangkat, Laksamana Muda Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, menjadi Panglima Armada Timur pertama yang akan mengetuai pemerintahan Armada Timur.

Ahmad Kamarulzaman menjelaskan ia sejajar plan transformasi TLDM dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan strategik dan kemampuan kerajaan.

Selain itu, Ahmad Kamarulzaman berkata dengan pembahagian dua armada itu maka operasi akan datang akan menjadi lebih mantap dan efektif serta masa tindak balas dapat dipertingkatkan.

Tambah beliau, perintahan dwi wilayah (dua wilayah-Barat dan Timur) ini secara rasmi akan berkuatkuasa pada bulan April atau Mei ini. - BERNAMA

Russia mahu lebih gah di Asia Barat

RUSSIA merancang menambah baik dan memperbesar operasi pangkalan tentera laut serta udaranya di Syria, selaras usaha mengukuhkan kehadiran di Asia Barat.
MOSCOW: Russia merancang menambah baik dan memperbesar operasi pangkalan tentera laut serta udaranya di Syria, selaras usaha mengukuhkan kehadiran di Asia Barat. 

Agensi berita Interfax yang memetik laporan sumber enggan dikenali berkata, ia adalah satu-satunya penempatan tentera Russia di luar negara. 

Sumber memberitahu Interfax, Russia akan mula memperbaiki landasan kedua di pangkalan udara Hmeimin berhampiran Latakia, manakala pangkalan tentera laut Tartus akan dinaiktaraf bagi mengendalikan kapal lebih besar seperti kapal perang. 

Presiden Vladimir Putin turut mengumumkan pengunduran sebahagian tenteranya dari Syria selepas sekian lama membantu askar setia kepada Presiden Bashar al-Assad. Bagaimanapun, Moscow mahu tenteranya kekal di Hmeimin dan Tartus. 

Sumber berkata, Russia masih menggunakan sistem pertahanan permukaan ke udara S-300 dan pelancar peluru berpandu pantai Bastion, di Tartus. - AGENSI

Sunday 15 January 2017

Eropah bakal jadi negara Islam

GAMBAR fail sekumpulan masyarakat Islam berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di hadapan Colosseum di Rom, Itali pada 21 Oktober lalu.

POMPEII, Itali – Seorang ketua biskop dari sebuah gereja Katolik di sini memberi amaran bahawa Eropah dan Itali akan menjadi sebuah negara Islam di­sebabkan peningkatan rakyat di negara itu yang menjadi ateis, lapor MailOnline.

Carlo Liberati yang juga merupakan Biskop Emeritus Pompeii mendakwa, selain kejahilan beragama dalam kalangan penduduk, pertambahan imigran beragama Islam ke Eropah juga bakal menjadikan Islam menjadi agama utama di rantau ini.

“Dalam tempoh 10 tahun, kita semua akan jadi orang Islam kerana kebodohan dan kejahilan diri sendiri. Itali dan Eropah mengamalkan gaya hidup secara pagan dan ateis, mereka akan membuat undang-undang menentang tuhan dan mengamalkan tradisi fahaman jahiliah.

“Semua keruntuhan moral dan agama ini akan memberi kele­bihan kepada Islam. Kita mempunyai kepercayaan lemah terhadap agama Kristian. Gereja kini tidak berperanan dengan baik dan seminar yang diadakan sentiasa kurang mendapat sambutan,” katanya semasa berucap dalam satu seminar di sini kelmarin.

Itali menjadi destinasi utama imigran beragama Islam dengan ketibaan kira-kira 330,000 imigran melalui laluan laut dari Afrika, Asia Barat dan Asia sejak dua tahun lalu.

Jumlah penduduk beragama Islam di Itali juga meningkat dari­pada 2,000 orang pada 1970-an kepada lebih 2 juta pada akhir tahun 2015, menurut statistik pihak berkuasa tempatan.

Biskop itu juga menegur tindakan gereja-gereja Katolik ke­rana memberi sumbangan wang kepada kumpulan imigran baru-baru ini.

“Tindakan memberi wang kepada imigran yang berlegar-legar di kawasan bandar adalah salah dari segi moral kerana kita menggalakkan tingkah laku mereka dan mereka akan terbiasa dengan cara itu.

“Jangan lupa bahawa kita juga sudah memberi mereka makan,” katanya. – Agensi

Saturday 14 January 2017

Hantaran perlu munasabah – Mufti

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.
PIHAK keluarga perempuan sebenarnya tidak boleh terlalu bergantung dengan wang hantaran yang dihadiahkan oleh pihak lelaki, sebaliknya wajar menggunakan simpanan sendiri untuk mengadakan kenduri perkahwinan.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad (gambar) berkata, tindakan segelintir keluarga perempuan menetapkan jumlah hantaran yang terlalu tinggi terhadap pihak lelaki adalah tidak munasabah.

“Kita sedia maklum dalam Islam, hanya mas kahwin yang wajib dibayar oleh pihak lelaki kepada pengantin perempuan.

“Namun kebanyakan pihak keluarga meminta hantaran tinggi atas alasan mahu menampung perbelanjaan kos kenduri di sebelah keluarga perempuan sehingga ada yang terlalu membebankan pihak lelaki,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Beliau berkata, tidak wajar apabila ada yang menetapkan wang hantaran sehingga RM50,000 dengan alasan kos perbelanjaan majlis yang semakin meningkat.

Mohd. Yusof menambah, perbincangan terperinci dan kata sepakat antara keluarga perlu ada bagi mengelakkan masalah ketika majlis berlangsung.

“Elak buat bajet sendiri untuk meletakkan nilai hantaran kerana perkara ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati keluarga kedua-dua pihak. Pastikan pasangan pengantin berbincang bersama keluarga semasa rombongan merisik tentang nilai wang hantaran yang ditetapkan.

“Kita mempunyai adat. Ambil peluang untuk berbincang nilai wang hantaran yang dipersetujui kedua-dua belah pihak agar majlis perkahwinan sempurna,” katanya.

Berkahwin bukan untuk sehari. Peruntukan untuk hidup berumahtangga sehingga akhir hayat lebih utama daripada mengadakan majlis perkahwinan yang gemilang dengan kos yang membebankan.

Tauke luar negara taja penceroboh di Cameron Highlands

Pasukan tentera dikerah bagi melaksanakan Ops Gading.

KANGAR – Majlis Ke­selamatan Negara (MKN) mendedahkan tauke-tauke kaya dari luar negara dikesan menaja penduduk tempatan dan warga asing di negara ini bagi melakukan pencerobohan secara berterusan tanah-tanah di Cameron Highlands.

Dengan modal tajaan yang besar, penduduk tempatan dan warga asing sanggup membelakangkan undang-undang dengan menggondolkan semula tanah-tanah di sekitar pusat peranginan itu tanpa mengira amaran pe­nguat kuasa kerajaan.

Ops Gading yang digerakkan MKN pada Disember 2014 bagi menyelamatkan Cameron Highlands secara tidak langsung dilihat gagal mengawasi pencerobohan yang masih berlangsung di tanah tinggi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mendedahkan perkara itu berkata, siasatan mendapati kerja-kerja pencerobohan di Cameron Highlands yang aktif semula kira-kira enam bulan lalu sebahagiannya ditaja oleh tauke-tauke kaya dari seberang laut.

Friday 13 January 2017

Jumlah pegawai penyiasat polis perlu ditambah

KETUA Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

PUTRAJAYA: Jumlah pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu ditambah bagi meningkatkan kecekapan penyiasatan sekali gus mempercepatkan perbicaraan kes jenayah di mahkamah. 

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, berkata kesulitan timbul apabila seorang pegawai penyiasat perlu menghadiri perbicaraan untuk lebih daripada satu kes dalam masa yang sama.

Katanya, perkara seumpama itu kebanyakannya berlaku di Selangor, yang mana seorang Pegawai Penyiasat perlu menghadiri sehingga tiga perbicaraan kes jenayah di mahkamah berbeza serta perlu menyelesaikan tugas siasatan. 

"Sehubungan itu, saya berharap PDRM khususnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mengambil perhatian berhubung isu ini dan menambah bilangan Pegawai Penyiasat yang bertugas. 

"Kita cuba untuk mempercepatkan perbicaraan kes, tetapi beberapa kekangan dihadapi. Bukan saja pengawai penyiasat kurang malah pegawai kimia dan peguam yang mengendalikan kes jenayah juga tidak ramai," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. 

Selain itu, katanya jumlah pegawai kimia yang bertanggungjawab membuat analisis bagi kes jenayah di mahkamah juga harus ditambah kerana berlaku pertindihan kes seperti mana pegawai penyiasat.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui faktor kekurangan peguam yang mengendalikan kes jenayah juga kurang menyebabkan perbicaraan kes jenayah mengambil masa yang lama justeru mencadangkan supaya Majlis Peguam memainkan peranan menggalakkan lebih ramai peguam muda menceburi bidang itu.

36 biji telur, 3 kg daging sehari

ARBAB (tengah) bercita-cita menjadi lelaki terkuat di dunia.
Mardan, Pakistan: Seorang pemuda di bandar ini memakan 36 biji telur ketika sarapan dan tiga kilogram daging sehari dalam usahanya menjadi lelaki paling kuat di dunia.

Arbab Khizer Hayat yang memiliki berat badan mencecah 435 kilogram terkenal sebagai lelaki paling kuat di Pakistan tetapi dia tidak berpuas hati dan mahu menjadi juara dunia dalam acara sukan angkat berat.

Pemuda berusia 25 tahun itu popular selepas memuat naik video menunjukkan dia menahan traktor dan kereta daripada bergerak menggunakan tangan.

“Saya bercita-cita menjadi juara dan bersyukur kepada tuhan kerana mengurniakan tubuh yang besar ini.

“Saya yakin, saya hanya menunggu masa untuk bertanding dalam pertandingan angkat berat dan menjadi juara dunia,” katanya.

Thursday 12 January 2017

Penjawat awam sering ditaja?

SPRM Kedah dedahkan terdapat penjawat awam di Kedah yang bercuti melalui hasil tajaan oleh individu berkepentingan.
Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mendedahkan terdapat penjawat awam di negeri ini yang bercuti hasil tajaan oleh individu yang mempunyai kepentingan dengan jabatan kerajaan terbabit sehingga menjurus kepada rasuah.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, perkara itu seperti menjadi fenomena bagi mereka (penjawat awam) untuk bercuti sama ada bersendirian, bersama kakitangan bawahannya atau bersama keluarga menggunakan tajaan individu terbabit yang boleh menjurus kepada rasuah.

Menurutnya, sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad turut membangkitkan kecenderungan penjawat awam yang bermain golf, ada teman wanita, perempuan simpanan dan sebagainya yang menjurus ke arah rasuah.

"Kita tidak maksudkan tidak boleh bermain golf atau sebagainya namun elakkan jika ia membabitkan individu yang berkepentingan untuk berlakunya rasuah.

"Hal ini perlu dilihat secara serius di mana ketua-ketua jabatan masing-masing juga perlu memantau perkara ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, tadi.

Mohd Fauzi berkata, tahun lalu sahaja SPRM Kedah menahan seramai 76 individu yang terbabit dalam gejala rasuah di mana 53 individu adalah penjawat awam.

"Kita membuka kertas siasatan sebanyak 46 kes membabitkan 50 orang terdiri penjawat awam," katanya.

Wednesday 11 January 2017

Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia

Tan Sri Adenan Satem.
KUCHING - Negeri Sarawak mengumumkan esok sebagai cuti umum sebagai menghormati kematian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan negeri juga mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari bermula esok.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang, manakala semua acara rasmi akan ditangguhkan buat sementara waktu.

"Jenazah Allahyarham (Adenan) akan dibawa dari kediaman rasminya di Damai Jaya, Santubong ke Masjid Jamek Negeri untuk majlis penghormatan terakhir oleh pemimpin kenamaan dan rakyat pada pukul 10.30 pagi esok.

"Selepas itu, jenayah Allahyarham akan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini sebentar tadi.

Abang Johari menambah, Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir esok untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Dalam nada sedih, Abang Johari turut menyifatkan kematian Adenan sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan Malaysia.

"Semasa hayat, beliau merupakan seorang pemimpin yang bijaksana dan cukup dekat di hati rakyat," katanya.

Sebelum ini, Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan di sini pada pukul 1.20 petang ini.

Monday 9 January 2017

SPRM pastikan 'jerung' tidak terlepas - TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Pengisytiharan Daerah Bagan Datuk di Bagan Datuk, sebentar tadi.
BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penangkapan seorang Ketua Setiausaha kementerian menunjukkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya menahan 'ikan bilis' tetapi juga 'jerung' yang terbabit rasuah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penangkapan itu amat dialu-alukan memandangkan kedudukan Malaysia yang agak tinggi dalam Indeks Amalan Rasuah yang disenaraikan oleh pihak antarabangsa.

"Oleh itu, kita berharap ia diteruskan, jangan ada kompromi kerana ia meletakkan imej yang baik kepada negara," katanya pada sidang media selepas majlis Pengisytiharan Daerah Bagan Datuk di sini sebentar tadi. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berharap tindakan penangkapan 'jerung' rasuah itu bukan langkah bermusim, sementara atau kes terasing tetapi usaha berterusan SPRM setiap masa.

Beliau yakin kepemimpinan SPRM sekarang memiliki keazaman yang kuat dan jitu bagi membanteras amalan rasuah dan menahan 'jerung' yang terbabit dalam kegiatan tersebut.

Bekas CEO TEKUN pula ditahan

ABDUL RAHIM yang ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan kes menerima rasuah akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam yang terletak di Bangunan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.
PUTRAJAYA – Seorang bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) bergelar Datuk yang baru balik daripada menunaikan umrah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM36,000.

Menurut sumber, Datuk Abdul Rahim Hassan, 59, ditahan di kediamannya di Bukit Bandaraya, Shah Alam pada pukul 5.15 petang dan beliau difahamkan baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah, Sabtu lalu.

“Berdasarkan siasatan, seorang individu dipercayai telah menerima wang suapan tersebut sebagai dorongan untuk membantu mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang berjumlah RM360,009 pada 15 Januari 2015.

“Wang suapan bernilai RM36,000 tersebut merupakan 10 peratus daripada hasil kutipan hutang lapuk TEKUN Nasional bagi November 2014,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sunday 8 January 2017

Lagi rampasan wang tunai di rumah KSU KKLW

Pelbagai mata wang asing yang dirampas oleh SPRM dalam serbuan di sebuah rumah millik Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Subang Jaya, Selangor, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas lagi wang tunai berjumlah lebih RM550,000 dari rumah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang direman atas kesalahan menyalahgunakan kuasa dan rasuah bersama dua anaknya kelmarin.

Difahamkan, wang tersebut disembunyikan oleh salah seorang anak suspek dalam rumahnya di USJ, Subang Jaya di sini sekali gus menjadikan kese­luruhan aset yang dirampas dalam kes berkenaan mencecah RM6.5 juta.

Menurut sumber, wang tunai yang berjumlah RM550,000 itu termasuk mata wang pound, euro dan dolar Singapura dirampas di rumah berkenaan yang disorokkan dalam bilik orang gajinya malam semalam.

“Kita telah merakamkan percakapan anak suspek yang ber­usia dalam lingkungan 20-an itu bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati wang tersebut pada mulanya berada di bilik utama sebelum di­­sem­bunyikan di bilik orang gaji, kita percaya wang itu cuba dibawa keluar dari rumah ber­kenaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi hari ini mengesahkan rampasan wang tunai itu.

Kelmarin, seorang KSU ber­usia 59 tahun ditahan reman selama tujuh hari bersama dua anaknya kerana dipercayai terlibat dalam kes penyalahgunaan kuasa untuk menerima rasuah.

Hasil siasatan lanjut, SPRM turut menemukan wang tunai dan jongkong emas bernilai RM2.6 juta disimpan dalam tiga peti besi keselamatan di dua bank tempatan di sekitar Lembah Klang.

Suspek dikatakan turut mempunyai lebih 10 lot tanah di Sela­ngor atas nama ahli keluarganya.
SPRM semalam turut me­rampas beberapa dokumen yang disyaki mempunyai maklumat berkaitan dengan kes penyelewengan dan perbuatan ra­suah tersebut.

Saturday 7 January 2017

Punca pemberi rasuah sukar diambil tindakan

 Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
KUALA LUMPUR - Kegagalan individu yang cuba disogok rasuah melaporkan tindakan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebabkan jenayah rasuah sukar dibendung dan pemberi rasuah sukar diambil tindakan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sebelum berlakunya sebarang transaksi pemindahan wang, individu yang cuba disogok perlu melaporkan kepada SPRM agar tindakan yang sepatutnya dapat diambil kerana jika sudah berlaku transaksi, penerima rasuah akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kekurangan bukti dan saksi menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mendakwa pemberi rasuah, seperti yang dilihat hari ini ramai daripada mereka yang didakwa terdiri daripada mereka yang menerima rasuah.

“Oleh itu kerjasama daripada mereka yang cuba disogok amat penting bagi memastikan jenayah rasuah ini tidak terus berleluasa dan menjadi satu ‘penyakit’ dalam masyarakat kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas tangkapan dan pendakwaan yang dilakukan SPRM ke atas individu-individu termasuk dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan bagi membendung jenayah tersebut. Bagaimanapun daripada penelitian, hampir kesemua kes didakwa melibatkan penerima, manakala pemberi rasuah masih bebas.

Sementara itu, Pengamal Undang-Undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata, siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan kepada mereka yang memberi rasuah dan jangan terlalu memberi tumpuan kepada mereka yang menerima sahaja.

“Ini kerana undang-undang sedia ada iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM 2009) (Akta 694) telah memperuntukkan bahawa pemberi dan penerima boleh dikenakan tindakan jika melakukan jenayah rasuah.

“Jika ada pihak ketiga yang melaporkan tentang individu yang menerima rasuah, pihak berkuasa perlu siasat siapa individu atau pihak yang memberi sogokan kepada penerima rasuah itu,” ujarnya.

Menara berkembar paling tinggi di dunia dibina di Phnom Penh

Lakaran artis menunjukkan bangunan menara berkembar yang akan di bina di Phnom Penh.
Phnom Penh: Dua syarikat China menandatangani perjanjian usaha sama untuk membina menara berkembar teringgi di dunia di ibu negara Kemboja ini.

Apabila siap kelak, menara berkenaan yang akan mempunyai 133 tingkat dan setinggi 560 meter akan lebih tinggi 108 meter berbanding pemegang rekod ketika ini, Menara Petronas di Kuala Lumpur.

Ia juga akan lebih tinggi sebanyak 372 meter daripada bangunan paling tinggi yang ada di Phnom Penh sekarang.


Sino Great Wall International dan Kumpulan Wuchang Shipbuilding Industry memperoleh kontrak membina menara berkenaan dengan bidaan sebanyak AS$2.7 bilion (RM12 juta).

Projek itu juga disokong oleh syarikat tempatan, Kumpulan Thai Boon Rong dan Kumpulan Sun Kian Ip dari Macau.

Pembinaan akan bermula sejurus selepas syarikat terbabit memuktamadkan perjanjian pembiayaan mereka dan ia dijangka siap lima tahun selepas itu.

Menara berkembar itu yang akan dibina di tebing Sungai Mekong akan mengandungi hotel mewah, apartmen, ruang pejabat dan kawasan perniagaan selain dilengkapi dewan pameran, pawagam dan restoran.

Dengan ketinggian 560 meter, menara Phnom Penh itu akan menjadi bangunan kelima teringgi di dunia.

Bagaimanapun, sebuah akhbar tempatan menulis, ia tidak pasti sama ada Phnom Penh boleh menampung kehadiran pencakar langit.

Bangunan tertinggi di bandar raya itu ketika ini, Vattanac Capital yang siap pada 2014 masih kosong.

Satu lagi projek besar, Gold Tower 42, yang dibina sejak 2008 kini berdepan dengan masalah untuk disiapkan. - Agensi

Friday 6 January 2017

Lacurkan isteri sendiri kepada pekerja asing

  Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa.

ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan dipercayai melacurkan isterinya sendiri di sebuah rumah di Bandar Aman Jaya di Sungai Petani semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, wanita 23 tahun itu mendakwa dipaksa melacur kepada seorang warga Bangladesh dengan bayaran RM50 ketika ditangkap berkhalwat di rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa berkata, wanita itu mendakwa terpaksa mengikut arahan suaminya yang kini tidak lagi bekerja kerana takut dipukul.

"Wanita itu mengaku dipaksa melacur selepas rumah itu diserbu rukun tetangga yang menerima aduan terdapat kes khalwat di situ. Suami wanita yang menunggu di dalam kereta turut berjaya ditahan manakala lelaki Bangladesh tersebut dapat melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan.

"Lelaki berkenaan direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes itu, " katanya.

Lelaki obes 300kg mati sesak nafas

Anggota bomba membantu membawa Mohd. Hafis turun dari tingkat empat Pangsapuri Desa Pandan, Kuala Lumpur semalam sebelum HKL mengesahkan dia meninggal dunia akibat sesak nafas.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mengalami masalah obesiti meninggal dunia akibat sesak nafas ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Pangsapuri Desa Pandan, Jalan Kampung Pandan di sini semalam.

Mangsa, Mohd. Hafis Suleman, 30, terpaksa menerima bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur untuk dipindahkan dari tingkat empat kediamannya ke dalam sebuah ambulans kerana terlalu berat.

Menurut jurucakap bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.44 petang sebelum tiga buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLCC, Pudu dan Hang Tuah dikerahkan ke rumah mangsa.

“Seramai 14 pegawai dan anggota membantu mengusung mangsa seberat 300 kilogram (kg) itu dari rumahnya di tingkat empat sehingga ke tingkat bawah sebelum menaiki sebuah ambulans menuju ke HKL.

“Setibanya di HKL, lelaki terbabit dipindahkan ke bilik rawatan namun pihak perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat masalah sesak nafas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Thursday 5 January 2017

Bekas ustaz ke tali gantung


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang bekas guru sebuah sekolah agama di Arau, Perlis kerana menyebabkan kematian muridnya yang berusia tujuh tahun, hampir enam tahun.

Panel lima hakim diketuai oleh Tan Sri Suriyadi Halim Omar sebaliknya memerintahkan Hanif Mohamad Ali, 33, menjalani hukuman gantung mandatori di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya.

Beliau yang bersidang bersama Tan Sri Abu Samah Nordin, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha turut menolak rayuan balas Hanif terhadap hukuman penjara 20 tahun.

Hanif disabitkan membunuh pelajar tahun satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di antara pukul 6 petang dan 12 tengah malam, 31 Mac 2011 di bilik warden asrama putera di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Kampung Jejawi Dalam, Arau.

Hanif diwakili oleh peguam-peguam Ariff Azami Hussein dan Azizzul Shariman Mat Yusof manakala Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin bertindak selaku perayu.

Wednesday 4 January 2017

SPRM cekup KSU kerana salah guna kuasa


SUBANG JAYA - Seorang ketua setiausaha sebuah kementerian bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah salah guna kuasa.

Difahamkan, penahanan Datuk berkenaan dibuat kira-kira 8 pagi tadi di rumahnya di Subang Jaya, hari ini.

Difahamkan Beliau disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya meminta rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

Difahamkan, siasatan awal mendapati suspek mempunyai kebebasan dalam menentukan dan melantik kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan tertentu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, KSU tersebut yang berusia 59 tahun dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

“Setakat ini, SPRM telah merampas dan menyita wang tunai dan jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

"Turut ditahan adalah seorang individu lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, suspek kedua ditahan sekitar Subang Jaya juga.

Difahamkan, kedua suspek akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya pagi esok untuk mendapatkan perintah reman.

Pegawai kanan kerajaan pelihara perempuan simpanan

Hasil risikan SPRM mendapati terdapat segelintir pegawai kanan kerajaan bermain golf bersama kontraktor dan pembekal di luar negara.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan wujud segelintir pegawai kanan Persekutuan dan negeri bertindak membawa kesemua kakitangan pejabatnya bermain golf di luar negara bersama pihak yang mempunyai kepentingan dalam urusan perniagaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki (gambar kecil) berkata, pihaknya berjaya mengesan perkara itu berdasarkan hasil risikan menerusi tindak-tanduk pergerakan mereka yang sering ke luar negara.

Azam berkata, petunjuk yang digunakan oleh pihaknya bagi mengenal pasti penjawat awam terlibat dengan rasuah ialah mereka kerap ke luar negara, memiliki perempuan simpanan dan gaya hidup mewah termasuklah bermain golf.

“Meskipun bermain golf di luar negara tidak salah, tetapi yang menjadi kesalahan adalah apabila aktiviti ini melibatkan kontraktor dan pembekal yang mempunyai kaitan dengan urusan rasmi.

“Kita mempunyai maklumat risikan berhubung perkara itu dan ia bukan hanya melibatkan pegawai kerajaan persekutuan tetapi juga pegawai peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam wawancara khas bersama saluran radio dalam talian, MACC.fm, di sini semalam.

Tuesday 3 January 2017

Cedera ditumbuk lelaki gila seks


PASIR GUDANG – Seorang gadis bukan sahaja terpaksa menanggung trauma selepas seorang lelaki ‘gila seks’ bertindak melondeh seluar me­nunjukkan kemaluannya, malah lebih teruk mangsa kemudian ditumbuk bertubi-tubi di muka sehingga berlumuran darah di hadapan rumahnya sendiri di Taman Tanjung Puteri Resort di sini pada Khamis lalu.

Akibat perbuatan lelaki gila seks berkenaan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu terpaksa menerima 14 jahitan pada bahagian pipi kiri.

Mangsa difahamkan ditumbuk lebih empat kali oleh lelaki ber­kenaan.

Menurut mangsa, Rochell Wayne Ubong, 20, kejadian berlaku sekitar pukul 1 pagi ketika dia baru meletakkan kereta di hadapan rumahnya selepas pulang daripada menghadiri satu majlis kesyukuran rakannya di Kampung Pasir Putih di sini.

“Selepas keluar dari kereta, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 30 tahun tiba-tiba meluru ke arah saya dan bertindak membuka seluar sambil menunjukkan kemaluannya.

“Saya menjerit sekuat hati sebelum ibu dan bapa saya yang pada ketika itu sedang tidur di dalam rumah tersedar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Rochell yang sedang menjalani latihan industri di sini, lelaki berkenaan kemudiannya bertindak cuba merampas beg silangnya dan berlaku pergelutan antara dia bersama lelaki terbabit.

“Tindakan saya yang tidak melepaskan beg tangan saya menyebabkan lelaki berkenaan menumbuk saya lebih daripada empat kali sebelum melarikan diri kerana gagal mengambil beg saya,” ceritanya yang merupakan pelajar Politeknik Mersing.

Akui Rochell, dia masih berada dalam keadaan trauma kerana kejadian itu merupakan pertama kali berlaku di kawasan perumahannya.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terdengar cerita mengenai kejadian seperti ini di kawasan perumahan saya. Bagaimanapun, selepas ini, saya akan mengambil langkah berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superinten­dan Jokhiri Abd. Aziz mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan usaha mengesan suspek masih lagi giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Sek­syen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan samun dan menyebabkan kecederaan.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu memberi kerjasama atau menyalurkan maklumat melalui talian 07-386 4222,” katanya.

Monday 2 January 2017

Mes pegawai rendah polis Sabah pertama di Malaysia

Datuk Abdul Rashid Harun.
KOTA KINABALU - Mes Pegawai Rendah 3S di Sabah merupakan mes pertama bagi pegawai polis berpangkat rendah di negara ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun hari ini.

Menurutnya, mes bagi anggota berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar (SM) dan Sub Inspektor (SI) itu ditubuhkan bagi mengangkat martabat anggota berpangkat rendah kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Setakat ini, terdapat 979 Sarjan, Sarjan Mejar serta SI di seluruh Sabah yang boleh menggunakan Mes Pegawai Rendah 3S ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mes Pegawai Rendah 3S di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain serta Ketua Cawangan Khas Sabah, Datuk Md. Zainal Rahmat.

Abdul Rashid juga berkata penubuhan mes pegawai rendah itu adalah antara usaha menyemai semangat setiakawan selain merapatkan hubungan dalam kalangan warga PDRM.

Terdahulu, Abdul Rashid menutup Latihan Tempur Pasukan Tindak Pantas Siri 4 yang dijalankan di seluruh negeri melibatkan kira-kira 2,000 pegawai dan anggota.

Beliau berkata peserta diberi latihan tempur bagi membantu meningkatkan keyakinan diri dan kesiapsiagaan dalam berdepan ancaman keselamatan di Sabah.

"Keadaan geografi kita yang jauh menyebabkan saya membuat keputusan supaya pasukan ini dapat bertindak pantas tanpa menunggu bantuan pasukan khas dari Bukit Aman.

"Oleh itu, saya berharap agar latihan tempur ini diteruskan bagi memastikan pegawai dan anggota kita walaupun di pejabat mempunyai ilmu pertempuran, sekali gus boleh berkhidmat apabila negara berdepan ancaman," katanya. - Bernama

32 kes potong cincin pada zakar


KUALA LUMPUR – Walaupun perbuatan menyarung cincin pada kemaluan lelaki bagi tujuan seks mengundang padah, namun masih ramai yang me­lakukannya.

Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menunjukkan 80 peratus atau 32 daripada 40 kes yang dilaporkan dalam tempoh tiga tahun membabitkan khidmat bantuan pemotongan cincin pada kemaluan lelaki.

Daripada jumlah itu, sebanyak 20 peratus iaitu lapan kes sahaja membabitkan pemotongan cincin pada jari di tangan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani (gambar kecil) berkata, pelbagai jenis cincin digunakan termasuk jenis besi, logam dan aluminium menyebabkan pihak bomba mengalami kesukaran untuk memotong cincin berkenaan.

Katanya, teknik pemotongan menjadi lebih sukar apabila cincin yang tebal dan keras itu disarungkan pada kemaluan lelaki berikutan keadaan struktur zakar itu tidak bertulang berbanding jari di tangan.

“Pada 2014 sebanyak 10 kes membabitkan khidmat potong cincin dilaporkan dan diikuti dengan 22 kes bagi tahun 2015 dan terbaru tahun 2016 sebanyak lapan kes.

“Rata-rata mangsa mementingkan keseronokan diri sendiri tanpa memikirkan kesakitan yang bakal ditimpa khususnya ketika kerja-kerja pemotongan cincin itu dilakukan di mana mereka perlu menahan kesakitan berjam-jam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.