Tuesday 28 February 2017

Berdengkur gejala penyakit berbahaya


MALAM itu, Nur Fatin Syuhada Mohd. Jafni, 26, terpaksa sekali lagi berjaga sehingga waktu tengah malam.

Dia perlu mencari bahan rujukan untuk tesis yang perlu dibentangkan kepada penyelia pada minggu depan.

Ketika sedang khusyuk menelaah, dia kemudiannya dikejutkan dengan bunyi dengkuran rakan sebilik yang sudah dibuai lena sejak dua jam lalu.

“Saya menganggap dengkuran sewaktu tidur adalah perkara biasa dan mungkin berlaku disebabkan kepenatan melampau pada siang hari.

“Namun, saya dapati rakan sebilik itu kerap mengalami selesema dan batuk. Perkara itu menyebabkan dia bertambah penat dan sukar untuk tidur lena,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelas pelajar Ijazah Doktor Falsafah Kesusasteraan Bahasa Inggeris Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, kunjungan ke sebuah hospital untuk melawat rakan yang bersalin beberapa minggu lalu telah menemukannya dengan risalah berkaitan masalah tidur berdengkur atau nama saintifiknya Obstructive Sleep Apnea (OSA).

Justeru, anak sulung daripada empat adik-beradik itu kemudiannya menyarankan rakan sebiliknya untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

Gangguan tidur


Natijahnya, rata-rata ahli masyarakat mengambil mudah masalah tidur berdengkur kerana berasakan ia sesuatu yang lazim berlaku.

Walhal, ia perlu dipandang serius kerana penyakit masalah tidur berdengkur boleh menyebabkan gangguan tidur yang memberi kesan kepada sistem tubuh, sekali gus mendedahkan kepada risiko penyakit berbahaya lain atau maut.

Konsultan Otorinolaringologi (ENT) Hospital Pakar KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr. Muhamad Noorhisyam Salleh Ajak memberitahu, selain membuat pemeriksaan awal bagi mengesan penyakit konvensional, pemeriksaan mengesan OSA juga perlu dilakukan.

“Ketika membuat pemeriksaan kesihatan, kita selalunya fokus untuk memeriksa gula, kolesterol atau penyakit konvensional lain yang mungkin timbul.

“Demikian juga halnya dengan orang yang mengalami masalah tidur berdengkur. Pemeriksaan perlu dibuat bagi mengesan punca penyakit itu,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, faktor perubahan gaya hidup rakyat Malaysia hari ini menjadi antara punca mereka mendapat penyakit OSA selain disebabkan oleh faktor fizikal.

“Gaya hidup tidak sihat seperti tabiat pemakanan yang menyebabkan obesiti, merokok, kurang bersenam, tidak cukup tidur akibat rutin hidup yang tidak teratur adalah antara faktor penyebab OSA,” katanya.

OSA yang tidak dirawat boleh mendedahkan pesakit kepada penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Tambah Muhamad Noorhisyam, OSA berlaku apabila saluran udara terhalang separuh atau sepenuhnya sewaktu tidur sehingga mengakibatkan kekurangan oksigen dalam badan.

Apabila ia terjadi, kandungan karbon dioksida yang tinggi menyebabkan tidur seseorang mudah terganggu.

Membawa maut


“Semasa tidur, organ menjalankan fungsi sepatutnya termasuk metabolisme badan akan berfungsi memecahkan glukos dalam badan. Jika tidur terganggu, ia akan menyebabkan risiko kesihatan yang lain,”katanya.

Lebih menakutkan, Muhamad Noorhisyam berkata, OSA boleh membawa maut sewaktu tidur sekiranya penghidap tidak dapat menyedut oksigen yang cukup ke dalam tubuh dan boleh menyebabkan kegagalan jantung berfungsi.

Justeru, mereka yang mengalami tidur berdengkur dinasihatkan membuat pemeriksaan di hospital bagi mengetahui punca dan mendapat rawatan awal.

Katanya, pemeriksaan dan ujian tidur akan dijalankan untuk memastikan jenis rawatan yang boleh dilakukan atau hanya menggunakan mesin continuous positive airway pressure (CPAP) yang dipakai semasa tidur.

“Jika terdapat punca lain seperti tonsil, ia boleh dirawat dengan pembedahan,” katanya.

Friday 24 February 2017

‘‘Saya kesal dengan apa yang saya lakukan’’ - Kisah mantan perisik Korea Utara

Wajah polos Hyon-hui pada tahun awal direkrut sebagai perisik.

‘‘SAYA selayaknya dihukum mati beratus kali disebabkan perbuatan saya,” bait kata itu diungkapkan ratu perisik Korea Utara, Kim Hyon-hui dengan linangan air mata ketika dihadapkan ke mahkamah Korea Selatan 30 tahun lalu.

Wanita itu terbabit dalam misi meletak bom di dalam pesawat penumpang Korea Selatan yang sedang transit dari Baghdad menuju Seoul. Ketika melintasi Myanmar, pesawat itu meledak di udara dan mengorbankan 115 nyawa.

Baru berusia 25 tahun ketika kejadian, dia bersama rakan setugasnya, Kim Seung-il, 72, berpura-pura seperti pasangan bapa dan anak menggunakan identiti palsu rakyat Jepun sebelum ditahan di Bahrain beberapa hari kemudian.

Pada tahun 1987, Korea Selatan sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Hyon-hui dimaklumkan oleh pihak pemerintah, tindakan meletakkan bom itu bertujuan membantu gerakan revolusi dan menyatukan kedua-dua negara Korea.

Hyon-hui dilahirkan pada tahun 1962. Dia menjadi aktres dan membintangi filem berwarna pertama di Korea Utara sebelum menyertai agensi perisikan elit yang terletak di sebuah gunung terpencil selama lapan tahun.

Latihan yang diikutinya meliputi ilmu pertahanan diri termasuk mempelajari selok belok bahasa Jepun di samping turut dihantar ke Macau untuk belajar bahasa Kantonis.

Dia juga dilatih berbelanja di kompleks beli-belah menggunakan kad kredit dan mengunjungi disko. Ia suatu kemudahan yang tidak terdapat di tanah airnya.

“Saya diajar bahawa pemimpin kami adalah tuhan. Korea Utara bukan sebuah negara. Ia adalah kultus (sistem pemujaan). Kami diajar meletakkan kepentingan pemerintah lebih daripada ibu bapa sendiri,” ujarnya dalam satu temu bual eksklusif bersama Perbadanan Penyiaran Australia pada 2013.

Ketika ditahan di Bahrain, dia cuba membunuh diri dengan menelan pil sianida yang disembunyikan dalam gulungan rokok namun dia berjaya diselamatkan.

“Sebelum tidak sedarkan diri, wajah terakhir yang saya ingati ialah ibu saya.

“Sehingga hari ini saya tidak tahu apa yang terjadi kepada keluarga saya. Kira-kira 15 tahun lalu, seorang pelarian senegara saya pernah memberitahu melihat keluarga saya berada di kem tahanan,” ujar ibu kepada dua anak itu.

Hyon-hui, 55, yang sepatutnya menjalani hukuman mati bagaimanapun diberi pengampunan oleh pihak pemerintah Korea Selatan selepas bersetuju untuk mendedahkan segala maklumat yang diketahuinya sebagai balasan.

Dia yang tinggal dalam persembunyian di sebuah lokasi dirahsiakan turut lantang mengkritik pemerintahan rejim tanah airnya. Kesal dengan apa yang telah berlaku, mengakui ia menghantui kehidupannya sepanjang hayat.


Berbahaya


Wajah terkini Kim Hyon-hui.
“Saya kesal apa yang saya lakukan dan saya bertaubat. Sebagai satu-satunya saksi, ia adalah takdir saya untuk memberitahu kebenaran,” tuturnya. Lebih separuh abad, Korea Utara mempunyai sejarah dalam merekrut dan menghantar perisik wanita dalam melakukan tugasan yang diklasifikasikan sebagai berbahaya dan boleh membawa maut.

Ahli politik, ahli perniagaan dan wartawan dilapor menjadi sasaran ejen-ejen terlatih yang dihantar Pyongyang. Bagi kebanyakan kes, mereka turut mengandungkan bayi individu yang disasarkan untuk tujuan memeras ugut.

Dalam hal ini, ahli-ahli politik akan dieksploitasi untuk meluluskan undang-undang yang memihak kepada Korea Utara atau meningkatkan bantuan demi kepentingan parti pemerintah.

Wartawan akan diminta melaporkan berita positif atau menyembunyikan maklumat tertentu dengan ahli perniagaan serta digesa menjalinkan usaha sama dengan perusahaan tempatan.

Jang Jin-sun yang pernah berkhidmat sebagai pegawai propaganda dan risikan sebelum berpaling tadah pada tahun 2004 mendedahkan, program dikenali sebagai ‘perangkap madu’ itu diilhamkan Kim Jong-il iaitu bapa kepada pemerintah tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Tambahnya, wanita-wanita berpenampilan menarik dipilih dari universiti dan sekolah tinggi untuk dilatih mempelajari seni perisikan termasuk teknik mempertahankan diri, mengintip, menggunakan senjata api dan membuat bom.

Mereka kemudiannya ditugaskan mengendalikan sasaran berkepentingan dengan bertugas sebagai penterjemah, pembantu peribadi, pemandu pelancong dan penghibur.

Hubungan istimewa


“Sasaran rejim adalah rakyat asing yang kemudiannya menjalin hubungan istimewa dengan perisik-perisik berkenaan. Setelah meninggalkan Pyongyang, mangsa diberitahu wanita tersebut telah melahirkan anak mereka.

“Terdapat wilayah di Pyongyang yang menjadi lokasi rahsia kanak-kanak berdarah kacukan ini dibesarkan,” kata Jang, 46, dalam buku tulisannya yang berjudul, Dear Leader.

Anak-anak tersebut tidak sekadar disimpan untuk tujuan memeras ugut. Identiti yang samar membolehkan mereka menjadi ejen sempurna dan boleh digunakan untuk menyusup ke luar negara pada masa depan.

Pengkritik berprofil tinggi yang juga bekas komando Korea Utara, An Chan-il pernah dipetik portal The Japan Times sebagai berkata, rejim pemerintah dilihat cenderung meminggirkan ejen lelaki dan memberi keutamaan kepada ejen wanita dalam sesuatu tugasan risikan.

“Mereka (ejen wanita) boleh dengan mudah menyembunyikan penyuntik racun mini dalam alat solek seperti gincu yang diperbuat daripada plastik. Ia pasti sukar dikesan dalam kawalan di lapangan terbang,” katanya yang mendapat suaka politik di Korea Selatan sejak 1970-an.

Dalam pada itu, menurut bekas ahli elit di Bahagian Pembangunan Penyatuan Korea Utara, Kang Myong-do, perisik memainkan peranan besar dalam mengekalkan kuasa dan pengaruh pemerintah sama ada di dalam atau di luar negara.

Berkhidmat sekitar tahun 1984, Myong-do berkata, salah satu daripada peranan yang dimainkan bahagian itu ialah menempatkan penugasan perisik di Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.

“Saya melihat pemerintah melayan mereka dengan baik pada tahap sama seperti jeneral dan diberi pendidikan pada tahap tertinggi. Jadi adalah adil untuk mengatakan peranan yang dimainkan perisik sangat penting,” katanya.

Pada tahun 2008, Korea Selatan mengeluarkan amaran kepada anggota tentera dan ahli perniagaan mengenai skim ‘perangkap madu’ tersebut ekoran penahanan Won Jeong-hwa iaitu seorang daripada pengintip dari negara tersebut.

Menteri Pertahanannya, Lee Sang-see, mendedahkan, wanita berusia 34 tahun itu telah ditauliahkan Pyongyang untuk mendapatkan maklumat sulit daripada seorang kapten tentera berusia 26 tahun yang turut sama diberkas.

Jeong-hwa dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun kerana didakwa menggoda pegawai tersebut secara seksual dan turut digelar media sebagai Mata Hari mengambil nama perisik jelita dari Jerman yang dihukum bunuh semasa Perang Dunia Pertama.

Begitupun, selepas bebas dari penjara Jeong-hwa berkata, imej Mata Hari itu sengaja diperbesarkan untuk mensensasikan berita dan mendakwa benar-benar mencintai pegawai muda itu.

Ia bukanlah suatu pembongkaran baharu memandangkan pada Disember 1992, agensi perisikan Korea Selatan telah mengumumkan penahanan 62 individu yang terlibat menubuhkan cawangan rahsia Parti Pekerja di negara mereka yang telah beroperasi selama sedekad. Ia diterajui seorang wanita bernama Lee Sun-sil yang didakwa menempati tangga ke-22 dalam hierarki politik di Korea Utara dan akhirnya dihantar pulang ke negara asalnya.

“Ini bermakna Korea Utara masih tidak berubah dan cuba untuk mengukuhkan usaha menyebarkan revolusi di Korea Selatan. Kita perlu memahami dengan jelas bahawa mana-mana pegawai tentera boleh menjadi sasaran,” tambah Lee.

Bos imigresen Perak direman


IPOH – Pengarah Imigresen Perak, Yaacob Haron yang belum setahun dilantik menerajui agensi penguat kuasa di negeri itu direman bersama menantu dan dua individu lain bagi membantu siasatan berkaitan dengan kes rasuah melibatkan rumah urut dan pusat hiburan.

Dua lagi yang direman masing-masing melibatkan dua orang ahli perniagaan berusia 30 tahun. Menantu Yaacob yang dikatakan bekerja sebagai mekanik berumur 26 tahun dan hanya dikenali sebagai Syafiq.

Keempat-empat lelaki yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) warna jingga dilihat tiba di Mahkamah Majistret Ipoh di sini pada pukul 10.45 pagi dengan menaiki dua buah kenderaan.

Perintah tahanan reman lima hari ke atas mereka dikeluarkan oleh Majistret Siti Hanum Mohmad Sah bermula semalam sehingga Isnin depan.

Wednesday 22 February 2017

Kebas duit syarikat RM80,000 untuk kurus



Kuala Lumpur : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengurus Besar Kanan, Bahagian Sumber Manusia Malaysia Aiports Holding Berhad (MAHB) kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dengan meluluskan peruntukkan kira-kira RM80,000 bagi tujuan rawatan kecantikan kulit serta pelangsingan badan untuk diri sendiri, hari ini.

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras kira-kira jam 11 pagi tadi.

Menurut sumber, suspek dikatakan mempunyai masalah obesiti dan disyaki menyalahgunakan kad kredit korporat yang dibekalkan oleh MAHB kepadanya untuk menjalani satu rawatan yang tidak ada dalam kontrak faedah.

Difahamkan, MAHB akan membekalkan kad kredit korporat kepada pegawai yang layak untuk kegunaan rasmi.

Melalui maklumat yang dikumpulkan, kad kredit korporat itu hanya boleh digunakan untuk kegunaan rasmi termasuk pembelian tiket kapal terbang, penginapan, keraian dan belanja mesyuarat seperti yang dinyatakan dalam standard prosedur syarikat berkenaan.

Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.

Tuesday 21 February 2017

Wanita mengandung maut ditembak ketika memandu

KERETA jenis BMW yang dipandu seorang wanita terperosok di hadapan sebuah rumah teres selepas dia dipercayai mati ditembak dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di persimpangan jalan Taman Pekaka - Bukit Gambir, Pulau Petang petang tadi.
PULAU PINANG - Seorang wanita dipercayai maut selepas ditembak dua lelaki yang menaiki motosikal dalam kejadian di persimpangan jalan Taman Pekaka - Bukit Gambir petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, wanita berkenaan yang memandu kereta jenis BMW berwarna putih ditembak lebih enam das dari jarak dekat.

Akibat tembakan itu yang dipercayai turut terkena bahagian kepala mangsa, kereta wanita berkenaan yang memandu bersendirian itu merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum tersadai di hadapan sebuah rumah.

Bagaimanapun setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak polis berhubung kejadian itu dan Unit Forensik dilihat masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Monday 20 February 2017

SPRM tahan dua pegawai agama disyaki terima rasuah


JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan dua pegawai agama hari ini kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat yang mencetak buku bagi Sekolah Agama Rakyat Johor.

Pegawai berkenaan yang masing-masing berumur 45 dan 55 tahun, bertugas di Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Johor Bahru.

Kedua-duanya ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 4.15 petang ketika hadir untuk dirakam percakapan berhubung siasatan ke atas mereka.

Difahamkan seorang daripada mereka terbabit dalam persatuan yang menyelaras dan menguruskan jualan buku serta peralatan kepada 550 sekolah agama rakyat di Johor yang mempunyai kira-kira 175,000 murid.

Menurut sumber SPRM, mereka disyaki menerima wang rasuah daripada syarikat percetakan yang dilantik persatuan itu sebagai balasan memberi projek mencetak buku dan kitab sekolah agama rakyat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5 juta sejak 2015 sehingga sekarang.

Pegawai SPRM Johor kemudian turut menyita enam kenderaan milik kedua-dua mereka yang dipercayai dibeli daripada hasil wang rasuah yang diterima itu.

Antara kereta yang disita adalah Toyota Alphard, Chevrolet Malibu, Toyota Hilux, Mini Cooper, Honda CRV dan Perodua Axia.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata mereka dijangka direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk membantu siasatan, esok.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(b) Akta SPRM 2009, katanya. - Bernama

Sunday 19 February 2017

Dadah 'Strawberry quick' belum masuk Malaysia

'Strawberry Methamphetamine' atau ‘Strawberry Quick' yang popular di Amerika dan India.

Melaka: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan kemasukan dadah baru dikenali sebagai 'Strawberry Methamphetamine' atau ‘Strawberry Quick' di negara ini seperti yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Pengarah AADK Datuk Izhar Abu Talib berkata dadah berkenaan mula diedar dan digunakan di Amerika Syarikat dan Arab diikuti benua India dan Asia Tenggara namun ia masih tidak memasuki Malaysia.

“Ia (dadah itu) hanya diedar dan digunakan pelajar sekolah di New Delhi, India sebelum digunakan lebih meluas pada 2010. Asalnya diguna dan diedarkan di Amerika Syarikat pada 2007," katanya selepas perasmian Program Harm Reduction: Melaka Menuju Bebas HIV 3.0 bersempena Melaka Car Free Zone di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Izhar berkata walaupun dadah berkenaan belum dikesan di pasaran negara ini, masyarakat khususnya ibu bapa disaran tidak memandang ringan atau lepas tangan terhadap isu dadah baru itu.

Beliau berkata, tidak mustahil dadah itu akan memasuki Malaysia dan ibu bapa perlu peka terhadap pergerakan, pergaulan serta tingkah laku anak serta anggota keluarga.

“Kemunculan dadah baru berkenaan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan pembungkusannya menyasar pelajar sekolah," katanya.

Saintis temui 'benua tersembunyi'

Benua tersembunyi itu didakwa berukuran dua pertiga saiz Australia.

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Benua berukuran dua pertiga saiz Australia ditemui di bawah permukaan barat daya Lautan Pasifik, menurut saintis seperti dilapor dalam jurnal Persatuan Geologi Amerika Syarikat.

Jisim tanah berkeluasan 4.5 juta kilometer persegi itu meliputi 94 peratus di bawah air dan hanya bahagian tertinggi, New Zealand serta New Caldeonia muncul di permukaannya.

"Jika kita menarik 'palamnya', ia jelas menunjukkan kewujudan rantaian gunung dan benua berdiri tinggi di atas kerak lautan," kata ahli geologi di GNS Science di Dunedin, New Zeland, Nick Mortimer yang juga penulis utama kertas kajian 'Zealandia: Benua tersembunyi bumi'.

Jelasnya, penyelidik pada abad sebelum itu turut menemui granit dari kepulauan sub-antartik berhampiran New Zealand dan batuan metafomik di New Caledonis yang menjadi petunjuk kepada geologi benua. - Reuters

Saturday 18 February 2017

Duit cacat juga ada nilai

Muslim (kiri) dan Abdul Aziz menunjukkan wang kertas lama milik mereka
SEBUT sahaja wang lama, mungkin ada segelintir masyarakat berpendapat ia tidak bernilai langsung, tetapi bagi mereka yang mempunyai obsesi dengan syiling dan wang kertas lama tentunya mempunyai tanggapan berbeza.

Hobi mengumpul syiling dan wang kertas lama sebagai koleksi bukan semudah disangka kerana banyak ciri yang perlu diambil kira terutama keadaan fizikal wang dan tahun wang tersebut dikeluarkan.

Bagi pengumpul syiling dan wang kertas lama, Muslim Abdul Aziz, 53, dia jatuh cinta dengan hobi mengumpul duit lama sejak 30 tahun lalu dan sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan wang yang dinginkan sebagai koleksi atau untuk dijual semula kepada peminat lain.


“Ramai yang anggap makin lama usia duit itu, makin tinggi nilainya. Sebenarnya duit baru yang masih sah di pasaran juga ada nilai tinggi kalau duit itu ada kesilapan atau kecacatan yang tidak disengajakan ketika dicetak,” katanya.

Menurutnya, selain usia dan keadaan fizikal, jumlah yang dikeluarkan serta nombor siri juga antara penentu nilai wang berkenaan.

Katanya, kebiasaannya ciri-ciri wang yang mempunyai nilai tinggi hanya diketahui oleh mereka yang benar-benar berminat untuk mempelajarinya atau pengumpul itu sendiri berbekalkan pengalaman yang ada.

Mampu jual berkali ganda daripada nilai asal


Mengumpul wang lama juga boleh diibaratkan sebagai pelaburan kerana mampu memberi keuntungan berlipat kali ganda dalam jangka masa pendek dan panjang.

Menurut Muslim, dia pernah memiliki sekeping wang kertas RM1 baharu yang senget cetakannya dan mampu menjualnya kepada seorang pengumpul wang dengan harga RM1,350 beberapa bulan lalu.

“Siri wang kertas cetakan terhad atau siri awal seperti A1 serta siri Z yang sukar diperoleh antara wang kertas yang tinggi nilainya sehingga puluhan malah ratusan kali ganda daripada nilai sah lakunya di pasaran.

“Saya selalu menjelajah ke beberapa negeri untuk penuhkan koleksi saya dan mungkin saya dah belanjakan puluhan ribu ringgit untuknya,” katanya.

Menurutnya, ketika ini pelbagai jenis mata wang dan syiling lama serta baharu yang dianggarkan nilainya mencecah RM500,000 berada dalam simpanannya.

Terpengaruh dengan rakan


Sementara itu, Abdul Aziz Rahim, 60, berkata, dia baru berjinak-jinak secara serius sebagai pengumpul mata wang selepas berkenalan dengan Muslim sejak dua tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia pernah menyimpan beberapa syiling lama namun kesemuanya hilang ketika dia melakukan kerja-kerja mengubahsuai rumah 15 tahun lalu.

“Walaupun nilai wang yang berada dalam simpanan saya tak sebanyak Muslim, saya tak berani nak simpannya di rumah sebab serik dengan kejadian dulu.

“Saya akan bawa wang itu bersama atau minta Muslim tolong simpankan kalau saya pulang ke kampung atau tinggalkan rumah dalam tempoh yang lama,” katanya.

Friday 17 February 2017

Nak taubat bila tua

Suspek yang berusia 30 tahun ditahan semula selepas sehari keluar penjara.

BACHOK – “Belum masa nak berubah. Lambat lagi nak mati, nanti sempatlah saya bertaubat bila tua,” itu alasan seorang lelaki yang ditahan akibat dadah selepas sehari dibebaskan dari penjara.

Lelaki bujang berusia 30 tahun itu positif dadah ketika ditahan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di kediamannya di Pantai Senak.

Ketua Unit Penguatkuasa AADK Bachok, Muhammad Rustam Mohd Aluwi berkata, ketika ditahan, suspek ingin makan nasi terlebih dahulu sebelum dibawa ke pejabat AADK Bachok.


“Suspek akan dimasukkan ke Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) Gambang selama dua tahun. Dia sebelum ini pernah dipenjarakan empat bulan kerana ujian air kencing positif dadah.

“Suspek antara yang ditahan dalam operasi dijalankan sekitar Kampung Pantai Senak, Melawi, Beris Lalang dan Kampung Aman.

"Operasi ini bertujuan mengesan kes tangkapan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 yang gagal hadir untuk pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil operasi, lapan kes berjaya dikesan dan kes didakwa di Mahkamah Majistret Bachok di bawah Seksyen 6(1)(a)/6(1)(b) Akta Penagihan Dadah 1983 iaitu menjalani pemulihan di CCRC Gambang dan pengawasan AADK Bachok diperintahkan majistret bertugas.

Muhammad Rustam berkata, semua suspek ditahan berusia antara 21 hingga 47 tahun.

“Kami turut menahan mereka disyaki penagih dadah. Seramai 13 orang menjalani ujian air kencing dan tujuh positif pil kuda,” katanya.

Monday 13 February 2017

Belajar undang-undang selama 16 tahun untuk saman kilang

Wang Enlin.
Qiqihar (China): Seorang petani menghabiskan masa selama 16 tahun untuk mempelajari undang-undang supaya dia boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap sebuah kilang kimia yang membuang sisa toksik di kampungnya.

Wang Enlin, 65, dari kampung Yushutun di wilayah Heilongjiang memberitahu, tanah dan ladang milik penduduk tercemar dengan sisa toksik yang dibuang kilang milik kerajaan sejak 2001.

Katanya, pada tahun yang sama, dia membuat aduan kepada Biro Sumber Tanah Qiqihar tetapi pegawai meminta bukti kampung mereka dicemari dengan sisa toksik.


“Saya tahu saya di pihak yang benar tetapi saya tidak tahu apakah kesalahan dari segi undang-undang yang dilakukan syarikat itu dan apakah bukti yang perlu kami ada.

“Cara yang mudah adalah mengambil peguam tetapi kami sangat miskin untuk berbuat demikian,” katanya.

Walaupun kecewa, Wang tidak berputus asa dan dia mengambil keputusan belajar undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap syarikat itu.

Kerana tidak mampu membeli buku, Wang membaca buku undang-undang di sebuah kedai buku dan menyalin nota dengan menulis pada kertas hampir setiap hari.

Pada 2007, selepas mengumpul semua bukti, Wang dan penduduk kampung berusaha untuk memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan.

Wang juga bernasib baik apabila sebuah firma perundangan menawarkan bantuan secara percuma selepas kagum dengan usaha lelaki itu.

Perbicaraan itu bermula pada 2015 dan baru-baru ini mahkamah mengarahkan syarikat terbabit membayar ganti rugi 820,000 yuan (RM529,227) kepada setiap penduduk kampung.

Mahkamah juga mengarahkan syarikat itu membersihkan sisa toksik yang dibuang di kampung itu sejak 16 tahun lalu. - Agensi

Sunday 12 February 2017

Skim baju celoreng tipu RM55 juta

Mazelan (dua dari kiri) menunjukkan dokumen palsu penghantaram pesanan yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsa pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Kegiatan satu sindiket penipuan pelaburan palsu tender pakaian seragam tentera yang menyebabkan kerugian RM55 juta tumpas selepas polis menangkap empat dalang utama skim tersebut termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Wira di tiga lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang.

Datuk Wira berusia 47 tahun itu ditahan di Puchong Rabu lalu, manakala rakan subahatnya iaitu sepasang suami isteri masing-masing berusia 31 dan 30 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Bukit Jelutong di sini pada Isnin lalu.

Dalang keempat sindiket itu yang juga seorang wanita berusia 30 tahun ditahan pada Khamis lalu di Kajang.

Difahamkan sindiket itu te­lah beroperasi sejak Ogos 2015 dan berselindung di sebalik perniagaan kosmetik serta jamu milik pasangan suami isteri itu di Taman Me­lawati, Kuala Lumpur.

Sindiket itu juga telah memperdaya lebih 1,000 pelabur yang terdiri daripada penduduk luar bandar di Pantai Timur dan Selangor terma­suk yang berpangkat Datuk dengan anggaran kerugian kira-kira RM55 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Superintendan Mazelan Paijan berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila seorang wanita berusia 29 tahun membuat laporan polis di Kajang pada September tahun lalu.

Katanya, wanita yang juga seorang pelabur dalam sindiket itu membuat laporan selepas curiga dengan pula­ngan keuntungan yang dijanjikan kerana dia bersama 40 pelabur lain telah mengalami kerugian RM1.7 juta.

Saturday 11 February 2017

Faridah anak Melayu pertama menjadi Profesor di AS


KUALA LUMPUR: Bukan mudah bagi warga asing untuk membina kerjaya di Amerika Syarikat terutama dalam bidang pendidikan, apatah lagi diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai profesor penuh di universiti tempatan negara itu, sejak 2011 hingga sekarang. 

Namun, anak Malaysia yang berasal dari Endau, Johor ini, Prof Dr Faridah Awang, 51, membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya mempunyai keazaman kuat dalam mengejar apa yang diimpikan. 

Dengan pengalaman selama 29 tahun dalam bidang pendidikan dan 22 tahun merantau di negara orang, Faridah boleh berbangga apabila beliau mungkin menjadi satu-satunya wanita Islam asing yang pernah diberi tanggungjawab sebagai profesor penuh dalam bidang Teknologi dan Komunikasi Korporat, Fakulti Pentadbiran, Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Eastern Kentucky, Amerika Syarikat. 

Semangat kental ibu tunggal ini yang baru mendapat kerakyatan Amerika Syarikat, Julai tahun lalu terserlah apabila beliau pernah meraih anugerah tertinggi dan berprestij di negara itu menerusi kajian tesis bagi melengkapkan pengajian ijazah sarjana dan doktor falsafah di Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat. 

Keunikan pada nama


"Semuanya bermula dengan cita-cita saya sejak kecil lagi iaitu untuk mencipta kelainan diri bagi membezakan dengan orang lain. Ini kerana nenek yang membesarkan saya pernah mengatakan bahawa nama Faridah yang diberikan itu mempunyai keunikan tersendiri. 

"Jadi untuk menyerlahkan keunikan berkenaan saya perlu melakukan sesuatu yang berbeza daripada orang lain iaitu dengan menonjol dalam bidang pelajaran," katanya kepada wartawan, ketika kunjungan singkat ke tanah air. 

Mengimbau pendidikan awalnya, Faridah berkata, walaupun cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau memilih melanjutkan pengajian ke sekolah vokasional dalam bidang perdagangan dan seterusnya ke Institut Teknologi Mara (ITM) dalam bidang sains kesetiausahaan. 

Atas kecemerlangan juga beliau ditawarkan menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Manjung, Perak sebelum mendapat tajaan melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat pada 1994.

Namun, beliau tidak melalui jalan yang mudah untuk menggenggam ijazah yang diidamkan apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan ujian termasuk diminta pulang ke tanah air berikutan masalah kegawatan ekonomi yang melanda sekitar 1999 hingga 2000.

Pernah sehari tidak makan 


"Saya cuma tinggal satu semester lagi untuk menamatkan pengajian di peringkat sarjana sebelum kerajaan memutuskan untuk memanggil pulang semua pelajar yang belajar di luar negara. 

"Tetapi saya bertegas untuk tidak pulang hingga biasiswa dan gaji saya dihentikan. Saya hilang sumber kewangan bagi meneruskan pengajian dan kehidupan bersama anak tunggal saya, Hafiz yang ketika itu berusia sembilan tahun," katanya mengimbas kenangan masa lalunya. 

Biarpun perit sehingga ada kalanya kedua beranak itu tidak makan seharian kerana tidak mempunyai wang, Faridah mampu membuktikan semua itu tidak mengubah impian asalnya berada di negara Uncle Sam itu. 

Beliau semakin bersemangat apabila dimaklumkan pensyarah mengenai kejayaannya memperoleh markah penuh 100 peratus dalam salah satu subjek penting bagi peperiksaan akhir sekali gus mencatat sejarah tersendiri bagi dirinya. 

"Saya masih ingat pensyarah saya memaklumkan sepanjang 30 tahun beliau mengajar itu adalah kali pertama pelajarnya mendapat markah cemerlang berkenaan. Ini menjadi dorongan kuat untuk saya meneruskan pengajian. "Atas bantuan profesor berkenaan juga selepas menyedari masalah kami dua beranak, saya mendapat kerja sebagai tukang cuci di universiti tempat saya belajar bagi menampung pengajian termasuk menyambungnya ke peringkat doktor falsafah (PhD)," katanya. 

Martabatkan wanita Islam 


Tidak berakhir di situ, Faridah berkata, beliau sekali lagi diuji apabila ditimpa kemalangan jalan raya bersama anaknya, Hafiz menyebabkan beliau terlantar selama enam bulan. Itu juga tidak melemahkan semangat dan cita-citanya untuk menjadi pensyarah di universiti di Amerika Syarikat sehingga berjaya berada di kedudukan sekarang.

Melihatkan latar belakang pengajiannya dalam tiga bidang berbeza, Faridah berkata, beliau sememangnya merancang sedemikian untuk menjadikan dirinya mudah bersaing dalam pasaran kerja di peringkat global. 

"Malah azam utama saya sebelum memutuskan untuk menetap di Amerika Syarikat ini adalah untuk memartabatkan Islam selain memberi mesej positif mengenai agama suci ini terutama apabila memperkatakan soal wanita Islam."

Thursday 9 February 2017

Keluarga perlu bantu rawat gila meroyan

Sedutan akhbar tempatan mengenai ibu yang sanggup menikam anaknya sendiri akibat disyaki mengalami tekanan perasaan (penyakit gila meroyan) selepas bersalin.

JARANG sekali seorang ibu tidak bergembira dengan kelahiran anaknya.

Jika kelahiran itu menimbulkan perasaan negatif, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan psikologikal ibu tadi.

Begitulah yang boleh digambarkan dengan kejadian seorang ibu yang mengelar leher bayinya yang berusia dua bulan di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Dalam kehidupan yang normal, tidak ada ibu atau bapa yang sanggup menyakitkan anak mereka sendiri, apatah lagi untuk mencederakan anak kecil yang masih tidak memahami apa-apa.

Bagaimanapun, itulah sebahagian daripada rencam kehidupan yang berlaku di seluruh dunia.

Ibu muda itu berkemungkinan dilanda gejala post partum psychosis (PP) atau dalam bahasa yang selalu diguna orang awam sebagai gila meroyan.

Ibu muda itu mendakwa bahawa dia mendengar bisikan halus yang menyuruhnya berbuat demikian.

Sekali imbas, adalah tidak logik seseorang akan mendengar bisikan mistik seumpama itu.

Sebenarnya, bisikan-bisikan tersebut hanyalah reaksi minda yang sukar ditafsirkan. Ia kelihatannya seperti nyata, walaupun hakikatnya hanyalah ilusi.

Ada sesetengah orang akan mendengar bisikan tertentu yang menyuruh mereka melakukan sesuatu tindakan buruk.

Di Barat, kes melibatkan ibu bersalin dikenali sebagai depression. Kebanyakan kes di sana melibatkan pembunuhan bayi dan ahli keluarga yang lain.

Halusinasi


Bagi orang lain pula, mereka mungkin diserang dengan halusinasi bersifat visual, misalnya melihat serangga atau objek tertentu yang merayap pada tubuh mereka.

Halusinasi juga ada yang berbentuk haruman tertentu yang dapat dihidu oleh pesakit.

Ada juga yang berasakan terdapat makhluk atau objek tertentu mengekori mereka sekalipun dalam realitinya ia tidak wujud.

PP ini dianggap sebagai gejala psikologikal teruk kerana kebanyakan mereka yang mengalami sindrom ini akan mengalami gejala lain termasuk kemurungan, kebimbangan dan menangis.

Pada peringkat yang lebih teruk, mereka akan mengalami delusi atau perasaan negatif tentang diri sendiri atau bayi mereka.

Ada yang menggambarkan diri mereka sebagai manusia tidak berguna dan tidak mempunyai pengharapan dalam hidup.

Sebahagian yang lain, mereka akan terganggu dengan perasaan tidak rasional seperti ada orang yang akan menculik anak mereka atau mereka melahirkan anak yang memiliki ciri-ciri istimewa.

Dalam konteks masyarakat kita, gejala ini sering dikaitkan dengan gangguan makhluk halus.

Begitupun, hakikatnya ia merupakan antara simptom yang biasa berlaku dalam kadar satu atau dua kes daripada purata 1,000 ibu yang melahirkan anak.

Perubahan hormon, psikologikal dan fizikal yang ketara selepas bersalin dianggap sebagai punca kepada berlakunya PP.

Ibu yang melahirkan anak juga biasanya mengalami trauma yang teruk dengan kehilangan tenaga diakibatkan proses bersalin.

Semua ini akan memudahkan lagi seseorang itu mengalami PP. Simptom ini dianggap normal sekiranya ia hanya berlaku dalam masa yang pendek.

Bagaimanapun, sekiranya ia berpanjangan sehingga beberapa minggu atau beberapa bulan, mereka yang mengalaminya mestilah segera untuk mendapatkan rawatan pakar.

Ini kerana delusi yang dialami itu cenderung untuk mengubah pemikiran pesakit dengan dua perkara iaitu membinasakan diri sendiri atau orang lain.

Justeru itu, suami atau ahli keluarga yang terbabit tidak sepatutnya mengambil mudah sekiranya pasangan mereka yang baru bersalin menunjukkan reaksi pelik mengenai kehidupan mereka atau anak yang dilahirkan.

Ia tidak boleh dianggap sebagai hanya perkara normal atau sekadar cakap kosong kerana ada kemungkinannya ibu tadi sedang mengalami gejala mental diakibatkan oleh kelahiran anak.

Perubahan watak


Sebahagian daripada ibu tadi boleh dilihat dengan melihat perubahan watak yang sangat ketara selepas melahirkan anak.

Misalnya, seorang yang periang tiba-tiba mula menunjukkan riak wajah murung atau tidak ceria seperti yang sepatutnya.

Ahli masyarakat pula tidak wajar memberikan label yang tidak sewajarnya kepada ibu yang mengalami gejala gila meroyan.

Ia hanyalah sebahagian daripada penyakit psikologikal yang wujud dalam masyarakat.

Bagi yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit ini, kecenderungan untuk mereka mengalami sindrom sama juga adalah besar.

Justeru itu, sebelum mengambil keputusan melahirkan cahaya mata, mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dulu.

Penyakit gila meroyan ini dapat dikurangkan dengan ubat tertentu selain sokongan ahli keluarga sebagai terapi.

Kita tidak boleh beranggapan bahawa orang lain tidak mempunyai sebarang masalah setelah bersalin, maka pasangan atau ahli keluarga kita juga sepatutnya dalam keadaan yang sama.

Setiap manusia selalu diuji dengan ujian yang berbeza-beza sesuai dengan keupayaan masing-masing.

Mungkin ujian ini akan menjadi bekalan untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

DR. MOHD. AWANG IDRIS
Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan
Sosiologi, Universiti Malaya.

Tuesday 7 February 2017

Lindsay Lohan kongsi pengalaman berpuasa Ramadan

LINDSAY Lohan (kiri) di samping peminat.

JEDDAH: Pelakon Hollywood, Lindsay Lohan berkata bersolat, berpuasa dan mendengar bacaan al-Quran memberi ketenangan kepadanya. 

Baru-baru ini, dalam temu bual dengan Shoaib Rashid, pengacara rancangan hiburan TV Arab, Siwar Shoaib, pelakon Mean Girls itu menceritakan pengalamannya bersolat seperti umat Islam dan puasa selama tiga hari pada Ramadan yang lalu.

"Saya pernah berpuasa selama tiga hari dengan rakan di Kuwait. Memang susah tetapi ia bagus. Perasaan yang amat menyenangkan," katanya. 

Pelakon berusia 30 tahun ini juga memberitahu sudah membaca 15 laman al-Quran dan berlatih menulis beberapa ayat dalam bahasa Arab, malah mendengar bacaan ayat menerusi aplikasi telefon bimbit.

 Ketika ditanya jika beliau berasa sesuatu yang istimewa ketika membawa al-Quran, Lohan menjawab: "Saya rasa tenang." Mengenai kisah beliau memegang al-Quran dan menjadi viral di media sosial baru-baru ini, 

Lohan berkata bukan niatnya untuk berbuat begitu, sebaliknya beliau berasakan kitab itu 'memberi ketenangan dan rasa selamat.' Lohan meluahkan rasa kecewa terhadap peminat di negaranya yang mengutuknya selepas aksinya itu menjadi viral. 

Sebelum mengakhiri temu bual itu, Shoaib berkata kepada Lohan: " Terima kasih Lindsay, dengan izin Tuhan, moga bertemu kamu di syurga." Lohan menjawab dengan berjenaka: "Harap tidak mati terlalu awal." - AGENSI

Gangguan mental ibarat bom jangka


SAYA ingin mengulas kes menyedihkan melibatkan seorang ibu bertindak kejam membunuh bayi sendiri dengan mengelar leher menggunakan sebilah pisau pemotong sayur dalam kejadian di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kelantan, pada 4 Februari lalu.

Bayi perempuan berusia dua bulan yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di atas sebuah tilam di ruang tamu rumah berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian leher.

Suspek berusia 32 tahun yang tidak melarikan diri ditahan polis yang tiba di kediaman berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada jiran wanita itu.

Hasil siasatan awal polis yang mengaitkan masalah gangguan emosi sebagai punca wanita itu tergamak membunuh anak sendiri tidaklah mengejutkan.

Ini selari dengan perangkaan didedahkan badan penyelidikan swasta pada 2015 yang mendapati setiap seorang daripada tiga penduduk Malaysia berpotensi menghidap penyakit mental.

Penyakit itu berpunca daripada tekanan perasaan akibat perubahan gaya hidup masyarakat yang lebih mementingkan kebendaan dan prestasi.

Satu kajian lain yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada tahun sama iaitu Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 juga menghasilkan keputusan serupa iaitu satu daripada tiga orang dewasa di negara ini bergelut dengan masalah mental sama ada mereka sedar atau tidak.

Kajian itu mendapati gangguan mental paling tinggi dalam kalangan remaja yang berumur antara 16 hingga 19 tahun dan individu daripada keluarga berpendapatan rendah.

Antara faktor yang menyumbang kepada gangguan mental adalah masalah kewangan, tiada pekerjaan dan tekanan di tempat kerja. Masalah lain adalah perceraian suami isteri dan penyalahgunaan dadah.

Walaupun kerajaan menyediakan perkhidmatan rawatan sakit mental, individu yang mengalami kemurungan lazimnya tidak tampil mendapatkan bantuan disebabkan bimbang digelar ‘orang gila’ berikutan sikap masyarakat yang memandang serong kepada mereka yang mempunyai sejarah penyakit berkenaan.

Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tampil untuk mengatasi masalah berkenaan termasuk pertama, keluarga yang mempunyai individu disyaki mengalami tanda-tanda awal gangguan mental perlulah memainkan peranan bagi memastikan pesakit diperiksa oleh pakar psikiatri dan mendapat rawatan lanjut.

Orang ramai juga perlu lebih peka untuk menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan yang didapati menunjukkan tanda-tanda masalah emosi atau kemurungan. Bantulah dengan cara mendengar luahan hati mereka dan bawa mendapatkan bantuan pakar sekiranya diperlukan.

Kedua, kerajaan memberikan insentif kepada klinik swasta di seluruh negara untuk menyediakan kaunselor yang berupaya memberikan kaunseling kepada mereka yang menghadapi tekanan perasaan.

Pada masa sekarang, perkhidmatan kaunselor hanya disediakan di 671 klinik kesihatan kerajaan.

Ketiga, lebih banyak kajian harus dilakukan oleh universiti tempatan bagi mencari kaedah baharu untuk merawat pesakit mental. Teknik rawatan juga perlu dipelbagaikan dan tidak hanya menjurus kepada memakan ubat-ubatan antipsikotik.

Saya tertarik dengan kaedah terbaharu yang popular di Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang dinamakan sebagai Access Consciousness yang dikatakan cukup berkesan untuk merawat pesakit mental.

Kaedah yang diperkenalkan oleh dua pakar, Gary Douglas dan Dr. Dain Heer melibatkan teknik urutan di 32 bahagian di kepala pesakit.

Seperti akupuntur, urutan itu dikatakan dapat membantu individu membebaskan segala emosi dan trauma yang dipendam dalam diri yang sekiranya dibiarkan akan menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan perasaan.

Saya berharap masalah gangguan mental dalam kalangan masyarakat diatasi dengan sebaik mungkin. Jangan biarkan pesakit menjadi bom jangka yang bila-bila masa boleh meletup.

GURU MUDA

Sungai Buloh, Selangor

Monday 6 February 2017

Guru besar dipenjara 8 bulan kerana rasuah

BEKAS Guru Besar, M. Subramaniam dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sessyen Shah Alam selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM4400.00 daripada pengusaha kantin sekolah bagi melanjutkan kontrak peniagaan kantin, hari ini.
SHAH ALAM - Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,400 tiga tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin memerintahkan tertuduh, M. Subramaniam, 56, dipenjarakan berasingan masing-masing empat bulan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang didakwa menerima cek bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,900 daripada seorang pengusaha kantin untuk melanjutkan kontrak kantin sekolah.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di kantin sekolah berkenaan pada 30 Januari dan 8 Oktober 2014.

Sunday 5 February 2017

Bisikan suara ghaib dorong ibu kelar anak

Meriam (kanan) ketika ditemui wartawan di rumahnya malam tadi.
TUMPAT - Bisikan suara 'ghaib' dikatakan menjadi punca kepada seorang ibu, Fadhilah Mohd. Zin, 32, bertindak luar kawalan sehingga sanggup mengelar leher anaknya yang berusia 2 bulan dalam kejadian di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas petang semalam.

Ibu wanita berkenaan, Meriam Ismail, 56, berkata bisikan tersebut telah menyuruh Fadhilah supaya membunuh anaknya.

"Fadhilah beritahu saya, suara itu menyuruhnya menutup Nur Areesa Sofea Jiry, 2, (mangsa) menggunakan bantal.

"Bukan itu sahaja, suara tersebut juga menyuruh Fadhilah mengelar anaknya itu menggunakan pisau," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jal Kechik di sini malam tadi.

Dalam kejadian kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam, seorang bayi perempuan dikelar ibunya yang berusia 32 tahun, di kuarters tentera di Kok Lanas, di sini.

Saturday 4 February 2017

Batu Puteh bukan dalam Singapura - dokumen

Pulau Batu Puteh.
KUALA LUMPUR: Pentadbiran penjajah British di Singapura dalam urusan surat-menyurat dan petanya sekitar 1958-60an tidak meletakkan Batu Puteh dalam wilayahnya. Penemuan fakta baharu itu terkandung dalam tiga dokumen yang dikemukakan oleh Malaysia sebagai menyokong permohonan semakan semula penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberi hak kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.

Dokumen itu menunjukkan pegawai tertinggi pejabat penjajah British dan pentadbiran Singapura menggunakan tetapan Batu Puteh bukan sebahagian wilayah kedaulatan Singapura dalam urusan surat menyurat dalam tempoh 1958-1960an.

Permohonan semakan semula yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada 2 Februari lalu, kini boleh didapati menerusi laman web mahkamah berkenaan.

Dalam permohonan itu, Malaysia mengemukakan penemuan tiga dokumen di Arkib Negara United Kingdom (UK) dalam tempoh 4 Ogos 2016 hingga 30 Januari 2017 sebagai fakta baharu. Fakta baharu itu adalah urusan surat menyurat dalaman pihak berkuasa penjajah Singapura pada tahun 1958; laporan kejadian oleh pegawai angkatan tentera laut British yang difailkan pada tahun 1958 dan peta beranotasi operasi tentera laut dari 1960-an.

PETA menunjukkan kedudukan Batu Puteh.

Malaysia mendakwa dokumen berkenaan membuktikan fakta baharu yang menyebut: "Officials at the highest levels in the British colonial and Singaporean administration appreciated that Pedra Branca/Batu Puteh did not form part of Singapore's sovereign territory" during the relevant period.

("Pegawai tertinggi pejabat penjajah British dan pentadbiran Singapura menggunakan tetapan bahawa Pedra Branca/Batu Puteh bukanlah sebahagian daripada wilayah kedaulatan Singapura pada tempoh berkaitan). 

Sehubungan itu, Malaysia menegaskan ICJ akan mencapai keputusan berbeza mengenai persoalan kedaulatan Batu Puteh jika mahkamah mengetahui bukti baharu berkenaan. 

"Berhubung dengan peruntukan perkara 61 Statut ICJ, Malaysia menegaskan fakta baharu itu tidak diketahui oleh Malaysia atau mahkamah ketika keputusan dibuat kerana "fakta itu hanya ditemui ketika menyemak fail arkib Pejabat Pentadbiran Kolonial British selepas dokumen berkenaan dibuka untuk kegunaan awam oleh Arkib Negara UK selepas penghakiman dibuat pada 2008. 

"Selain itu, Malaysia menegaskan pihaknya yang tidak mengetahui kewujudan fakta baharu itu, bukan disebabkan oleh kecuaian kerana dokumen berkenaan adalah dokumen rahsia yang tidak boleh diakses oleh orang awam selagi tidak dijadikan dokumen awam oleh Arkib Negara UK," katanya.

Malaysia berkata, permohonan itu juga memenuhi tempoh yang diperuntukkan oleh Statut, iaitu memfailkan permohonan dalam tempoh enam bulan penemuan fakta baharu pada atau selepas 4 Ogos 2016. 

Katanya, selain itu permohonan dikemukakan sebelum tamat tarikh tempoh 10 tahun dari penghakiman pada 23 Mei 2008. Berikutan itu, Malaysia memohon kepada ICJ untuk memutuskan dan mengisytiharkan bahawa permohonan semakan semula keputusan 2008 boleh diterima sekali gus memohon supaya mahkamah menetapkan tempoh masa untuk mendengar merit permohonan.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dalam satu kenyataan menyatakan, Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge). Permohonan berkenaan difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada Khamis.

Thursday 2 February 2017

TM antara syarikat paling teruk dimaki oleh Netizen


KEBIASAANNYA, ramai di antara kita menggunakan sambungan internet di rumah melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Telekom Malaysia. Baik Streamyx mahupun Unifi kedua-dua produk sambungan internet ini sudah tidak asing lagi dikalangan pengguna warga tempatan. 

Namun, dalam kerancakan penyedia perkhidmatan komunikasi di Malaysia yang sering bersaing bagi mempromosi produk dan perkhidmatan mereka timbul pula isu-isu yang menyebabkan rasa ketidakpuasan hati pengguna terhadap prestasi perkhidmatan yang ditawarkan ketika ini.

Antara isu-isu tersebut ialah seperti prestasi kelajuan internet tidak seperti yang dijanjikan ketika promosi, yuran langganan bulanan yang mahal dan sambungan internet yang tidak stabil serta sering putus-putus.

Setelah diteliti, syarikat Telekom Malaysia (TM) adalah antara syarikat yang paling teruk dikecam dan dikritik hebat oleh pelanggan mereka mengenai prestasi perkhidmatan pembekalan internet di laman rasmi perkongsian video Youtube mereka.



Antara luahan ketidakpuasan hati pelanggan terhadap prestasi perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM.
Sebagai sebuah syarikat utama bagi penyediaan rangkaian perkhidmatan internet di Malaysia, harapannya agar TM dapat memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan ketika ini dapat diperbaiki di masa hadapan.  Tambahan pula, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan sepatutnya berbaloi dengan apa yang telah dibayar oleh pengguna kepada mereka.