Sunday 19 February 2017

Dadah 'Strawberry quick' belum masuk Malaysia

'Strawberry Methamphetamine' atau ‘Strawberry Quick' yang popular di Amerika dan India.

Melaka: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan kemasukan dadah baru dikenali sebagai 'Strawberry Methamphetamine' atau ‘Strawberry Quick' di negara ini seperti yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Pengarah AADK Datuk Izhar Abu Talib berkata dadah berkenaan mula diedar dan digunakan di Amerika Syarikat dan Arab diikuti benua India dan Asia Tenggara namun ia masih tidak memasuki Malaysia.

“Ia (dadah itu) hanya diedar dan digunakan pelajar sekolah di New Delhi, India sebelum digunakan lebih meluas pada 2010. Asalnya diguna dan diedarkan di Amerika Syarikat pada 2007," katanya selepas perasmian Program Harm Reduction: Melaka Menuju Bebas HIV 3.0 bersempena Melaka Car Free Zone di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Izhar berkata walaupun dadah berkenaan belum dikesan di pasaran negara ini, masyarakat khususnya ibu bapa disaran tidak memandang ringan atau lepas tangan terhadap isu dadah baru itu.

Beliau berkata, tidak mustahil dadah itu akan memasuki Malaysia dan ibu bapa perlu peka terhadap pergerakan, pergaulan serta tingkah laku anak serta anggota keluarga.

“Kemunculan dadah baru berkenaan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan pembungkusannya menyasar pelajar sekolah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...