Sunday, 12 February 2017

Skim baju celoreng tipu RM55 juta

Mazelan (dua dari kiri) menunjukkan dokumen palsu penghantaram pesanan yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsa pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Kegiatan satu sindiket penipuan pelaburan palsu tender pakaian seragam tentera yang menyebabkan kerugian RM55 juta tumpas selepas polis menangkap empat dalang utama skim tersebut termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Wira di tiga lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang.

Datuk Wira berusia 47 tahun itu ditahan di Puchong Rabu lalu, manakala rakan subahatnya iaitu sepasang suami isteri masing-masing berusia 31 dan 30 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Bukit Jelutong di sini pada Isnin lalu.

Dalang keempat sindiket itu yang juga seorang wanita berusia 30 tahun ditahan pada Khamis lalu di Kajang.

Difahamkan sindiket itu te­lah beroperasi sejak Ogos 2015 dan berselindung di sebalik perniagaan kosmetik serta jamu milik pasangan suami isteri itu di Taman Me­lawati, Kuala Lumpur.

Sindiket itu juga telah memperdaya lebih 1,000 pelabur yang terdiri daripada penduduk luar bandar di Pantai Timur dan Selangor terma­suk yang berpangkat Datuk dengan anggaran kerugian kira-kira RM55 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Superintendan Mazelan Paijan berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila seorang wanita berusia 29 tahun membuat laporan polis di Kajang pada September tahun lalu.

Katanya, wanita yang juga seorang pelabur dalam sindiket itu membuat laporan selepas curiga dengan pula­ngan keuntungan yang dijanjikan kerana dia bersama 40 pelabur lain telah mengalami kerugian RM1.7 juta.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...