Friday 17 February 2017

Nak taubat bila tua

Suspek yang berusia 30 tahun ditahan semula selepas sehari keluar penjara.

BACHOK – “Belum masa nak berubah. Lambat lagi nak mati, nanti sempatlah saya bertaubat bila tua,” itu alasan seorang lelaki yang ditahan akibat dadah selepas sehari dibebaskan dari penjara.

Lelaki bujang berusia 30 tahun itu positif dadah ketika ditahan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di kediamannya di Pantai Senak.

Ketua Unit Penguatkuasa AADK Bachok, Muhammad Rustam Mohd Aluwi berkata, ketika ditahan, suspek ingin makan nasi terlebih dahulu sebelum dibawa ke pejabat AADK Bachok.


“Suspek akan dimasukkan ke Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) Gambang selama dua tahun. Dia sebelum ini pernah dipenjarakan empat bulan kerana ujian air kencing positif dadah.

“Suspek antara yang ditahan dalam operasi dijalankan sekitar Kampung Pantai Senak, Melawi, Beris Lalang dan Kampung Aman.

"Operasi ini bertujuan mengesan kes tangkapan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 yang gagal hadir untuk pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil operasi, lapan kes berjaya dikesan dan kes didakwa di Mahkamah Majistret Bachok di bawah Seksyen 6(1)(a)/6(1)(b) Akta Penagihan Dadah 1983 iaitu menjalani pemulihan di CCRC Gambang dan pengawasan AADK Bachok diperintahkan majistret bertugas.

Muhammad Rustam berkata, semua suspek ditahan berusia antara 21 hingga 47 tahun.

“Kami turut menahan mereka disyaki penagih dadah. Seramai 13 orang menjalani ujian air kencing dan tujuh positif pil kuda,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...