MALAM itu, Nur Fatin Syuhada Mohd. Jafni, 26, terpaksa sekali lagi berjaga sehingga waktu tengah malam.
Dia perlu mencari bahan rujukan untuk tesis yang perlu dibentangkan kepada penyelia pada minggu depan.
Ketika sedang khusyuk menelaah, dia kemudiannya dikejutkan dengan bunyi dengkuran rakan sebilik yang sudah dibuai lena sejak dua jam lalu.
“Saya menganggap dengkuran sewaktu tidur adalah perkara biasa dan mungkin berlaku disebabkan kepenatan melampau pada siang hari.
“Namun, saya dapati rakan sebilik itu kerap mengalami selesema dan batuk. Perkara itu menyebabkan dia bertambah penat dan sukar untuk tidur lena,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Jelas pelajar Ijazah Doktor Falsafah Kesusasteraan Bahasa Inggeris Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, kunjungan ke sebuah hospital untuk melawat rakan yang bersalin beberapa minggu lalu telah menemukannya dengan risalah berkaitan masalah tidur berdengkur atau nama saintifiknya Obstructive Sleep Apnea (OSA).
Justeru, anak sulung daripada empat adik-beradik itu kemudiannya menyarankan rakan sebiliknya untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital.
Gangguan tidur
Natijahnya, rata-rata ahli masyarakat mengambil mudah masalah tidur berdengkur kerana berasakan ia sesuatu yang lazim berlaku.
Walhal, ia perlu dipandang serius kerana penyakit masalah tidur berdengkur boleh menyebabkan gangguan tidur yang memberi kesan kepada sistem tubuh, sekali gus mendedahkan kepada risiko penyakit berbahaya lain atau maut.
Konsultan Otorinolaringologi (ENT) Hospital Pakar KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr. Muhamad Noorhisyam Salleh Ajak memberitahu, selain membuat pemeriksaan awal bagi mengesan penyakit konvensional, pemeriksaan mengesan OSA juga perlu dilakukan.
“Ketika membuat pemeriksaan kesihatan, kita selalunya fokus untuk memeriksa gula, kolesterol atau penyakit konvensional lain yang mungkin timbul.
“Demikian juga halnya dengan orang yang mengalami masalah tidur berdengkur. Pemeriksaan perlu dibuat bagi mengesan punca penyakit itu,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, faktor perubahan gaya hidup rakyat Malaysia hari ini menjadi antara punca mereka mendapat penyakit OSA selain disebabkan oleh faktor fizikal.
“Gaya hidup tidak sihat seperti tabiat pemakanan yang menyebabkan obesiti, merokok, kurang bersenam, tidak cukup tidur akibat rutin hidup yang tidak teratur adalah antara faktor penyebab OSA,” katanya.
OSA yang tidak dirawat boleh mendedahkan pesakit kepada penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.
Tambah Muhamad Noorhisyam, OSA berlaku apabila saluran udara terhalang separuh atau sepenuhnya sewaktu tidur sehingga mengakibatkan kekurangan oksigen dalam badan.
Apabila ia terjadi, kandungan karbon dioksida yang tinggi menyebabkan tidur seseorang mudah terganggu.
Membawa maut
“Semasa tidur, organ menjalankan fungsi sepatutnya termasuk metabolisme badan akan berfungsi memecahkan glukos dalam badan. Jika tidur terganggu, ia akan menyebabkan risiko kesihatan yang lain,”katanya.
Lebih menakutkan, Muhamad Noorhisyam berkata, OSA boleh membawa maut sewaktu tidur sekiranya penghidap tidak dapat menyedut oksigen yang cukup ke dalam tubuh dan boleh menyebabkan kegagalan jantung berfungsi.
Justeru, mereka yang mengalami tidur berdengkur dinasihatkan membuat pemeriksaan di hospital bagi mengetahui punca dan mendapat rawatan awal.
Katanya, pemeriksaan dan ujian tidur akan dijalankan untuk memastikan jenis rawatan yang boleh dilakukan atau hanya menggunakan mesin continuous positive airway pressure (CPAP) yang dipakai semasa tidur.
“Jika terdapat punca lain seperti tonsil, ia boleh dirawat dengan pembedahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...