Thursday, 9 February 2017

Keluarga perlu bantu rawat gila meroyan

Sedutan akhbar tempatan mengenai ibu yang sanggup menikam anaknya sendiri akibat disyaki mengalami tekanan perasaan (penyakit gila meroyan) selepas bersalin.

JARANG sekali seorang ibu tidak bergembira dengan kelahiran anaknya.

Jika kelahiran itu menimbulkan perasaan negatif, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan psikologikal ibu tadi.

Begitulah yang boleh digambarkan dengan kejadian seorang ibu yang mengelar leher bayinya yang berusia dua bulan di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Dalam kehidupan yang normal, tidak ada ibu atau bapa yang sanggup menyakitkan anak mereka sendiri, apatah lagi untuk mencederakan anak kecil yang masih tidak memahami apa-apa.

Bagaimanapun, itulah sebahagian daripada rencam kehidupan yang berlaku di seluruh dunia.

Ibu muda itu berkemungkinan dilanda gejala post partum psychosis (PP) atau dalam bahasa yang selalu diguna orang awam sebagai gila meroyan.

Ibu muda itu mendakwa bahawa dia mendengar bisikan halus yang menyuruhnya berbuat demikian.

Sekali imbas, adalah tidak logik seseorang akan mendengar bisikan mistik seumpama itu.

Sebenarnya, bisikan-bisikan tersebut hanyalah reaksi minda yang sukar ditafsirkan. Ia kelihatannya seperti nyata, walaupun hakikatnya hanyalah ilusi.

Ada sesetengah orang akan mendengar bisikan tertentu yang menyuruh mereka melakukan sesuatu tindakan buruk.

Di Barat, kes melibatkan ibu bersalin dikenali sebagai depression. Kebanyakan kes di sana melibatkan pembunuhan bayi dan ahli keluarga yang lain.

Halusinasi


Bagi orang lain pula, mereka mungkin diserang dengan halusinasi bersifat visual, misalnya melihat serangga atau objek tertentu yang merayap pada tubuh mereka.

Halusinasi juga ada yang berbentuk haruman tertentu yang dapat dihidu oleh pesakit.

Ada juga yang berasakan terdapat makhluk atau objek tertentu mengekori mereka sekalipun dalam realitinya ia tidak wujud.

PP ini dianggap sebagai gejala psikologikal teruk kerana kebanyakan mereka yang mengalami sindrom ini akan mengalami gejala lain termasuk kemurungan, kebimbangan dan menangis.

Pada peringkat yang lebih teruk, mereka akan mengalami delusi atau perasaan negatif tentang diri sendiri atau bayi mereka.

Ada yang menggambarkan diri mereka sebagai manusia tidak berguna dan tidak mempunyai pengharapan dalam hidup.

Sebahagian yang lain, mereka akan terganggu dengan perasaan tidak rasional seperti ada orang yang akan menculik anak mereka atau mereka melahirkan anak yang memiliki ciri-ciri istimewa.

Dalam konteks masyarakat kita, gejala ini sering dikaitkan dengan gangguan makhluk halus.

Begitupun, hakikatnya ia merupakan antara simptom yang biasa berlaku dalam kadar satu atau dua kes daripada purata 1,000 ibu yang melahirkan anak.

Perubahan hormon, psikologikal dan fizikal yang ketara selepas bersalin dianggap sebagai punca kepada berlakunya PP.

Ibu yang melahirkan anak juga biasanya mengalami trauma yang teruk dengan kehilangan tenaga diakibatkan proses bersalin.

Semua ini akan memudahkan lagi seseorang itu mengalami PP. Simptom ini dianggap normal sekiranya ia hanya berlaku dalam masa yang pendek.

Bagaimanapun, sekiranya ia berpanjangan sehingga beberapa minggu atau beberapa bulan, mereka yang mengalaminya mestilah segera untuk mendapatkan rawatan pakar.

Ini kerana delusi yang dialami itu cenderung untuk mengubah pemikiran pesakit dengan dua perkara iaitu membinasakan diri sendiri atau orang lain.

Justeru itu, suami atau ahli keluarga yang terbabit tidak sepatutnya mengambil mudah sekiranya pasangan mereka yang baru bersalin menunjukkan reaksi pelik mengenai kehidupan mereka atau anak yang dilahirkan.

Ia tidak boleh dianggap sebagai hanya perkara normal atau sekadar cakap kosong kerana ada kemungkinannya ibu tadi sedang mengalami gejala mental diakibatkan oleh kelahiran anak.

Perubahan watak


Sebahagian daripada ibu tadi boleh dilihat dengan melihat perubahan watak yang sangat ketara selepas melahirkan anak.

Misalnya, seorang yang periang tiba-tiba mula menunjukkan riak wajah murung atau tidak ceria seperti yang sepatutnya.

Ahli masyarakat pula tidak wajar memberikan label yang tidak sewajarnya kepada ibu yang mengalami gejala gila meroyan.

Ia hanyalah sebahagian daripada penyakit psikologikal yang wujud dalam masyarakat.

Bagi yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit ini, kecenderungan untuk mereka mengalami sindrom sama juga adalah besar.

Justeru itu, sebelum mengambil keputusan melahirkan cahaya mata, mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dulu.

Penyakit gila meroyan ini dapat dikurangkan dengan ubat tertentu selain sokongan ahli keluarga sebagai terapi.

Kita tidak boleh beranggapan bahawa orang lain tidak mempunyai sebarang masalah setelah bersalin, maka pasangan atau ahli keluarga kita juga sepatutnya dalam keadaan yang sama.

Setiap manusia selalu diuji dengan ujian yang berbeza-beza sesuai dengan keupayaan masing-masing.

Mungkin ujian ini akan menjadi bekalan untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

DR. MOHD. AWANG IDRIS
Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan
Sosiologi, Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...