Wednesday 30 November 2016

'Bonda', 2 lelaki dipercayai dalang sindiket jual bayi ditahan

ANGGOTA Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan suspek ketika serbuan sindiket penjualan bayi di sebuah klinik di Taman Puchong Indah.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai dalang utama kes penjualan bayi dan seorang doktor lelaki, ditahan dalam serbuan ke atas tujuh premis, termasuk tiga klinik sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, hari ini. 

Wanita terbabit yang dikenali sebagai 'Bonda' ditahan bersama anak lelakinya oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di Tanjung Sepat, Sepang, selepas disyaki menjadi orang tengah terhadap mana-mana pasangan suami isteri yang ingin mendapatkan bayi terutama anak luar nikah. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata dalam serbuan Operasi Baby (Op Baby) oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM D7C) itu, polis turut menahan seorang doktor lelaki berusia 54 tahun di sebuah klinik di Taman Puchong Indah, Puchong, petang tadi. 

"Lima lokasi lain yang diserbu adalah dua klinik di Klang, serta tiga unit kediaman di Sepang dan Klang di Selangor serta Labu, Negeri Sembilan," katanya, sebentar tadi. Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lain, termasuk bayi yang dijual susulan penangkapan tiga individu terbabit. 

Pada 25 November lalu, media antarabangsa Al Jazeera, dalam satu laporan video berdurasi 25 minit, memaparkan satu aktiviti penjualan bayi yang berlaku di negara ini didalangi seorang wanita dikenali sebagai `Bonda'. 

Dua hari kemudian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, memberitahu, aktiviti penjualan dan pemerdagangan bayi yang berlaku di sini, bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh Al Jazeera, namun berada dalam keadaan terkawal.

Katanya, pihak polis menerusi ATIPSOM dan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ, sentiasa melakukan pemantauan ke atas sebarang aktiviti penjualan bayi di seluruh negara.

Memeluk Islam Kerana Mengkaji Wudhu


Prof Leopold Werner von Ehrenfels, seorang psikiater dan sekaligus neurology dari Austria, menemui sesuatu yang menakjubkan terhadap wudhu. Ia mengemukakan satu fakta yang sangat mengejutkan.

Bahawa pusat-pusat saraf yang paling peka dari tubuh manusia ternyata berada di sebelah dahi, tangan, dan kaki.

Baron Omar Rolf von Ehrenfels.
Pusat-pusat saraf tersebut sangat sensitif terhadap air segar. Dari sini ia menemui hikmah di sebalik wudhu yang membasuh pusat-pusat saraf tersebut. Malah ia mencadangkan agar wudhu bukan hanya milik dan kebiasaan umat Islam, tetapi untuk umat manusia secara keseluruhan. Dengan sentiasa membasuh air segar pada pusat-pusat saraf tersebut, maka bererti orang akan memelihara kesihatan dan keselarasan pusat sarafnya. Pada akhirnya Leopold memeluk agama Islam dan mengganti fakta nama menjadi Baron Omar Rolf Ehrenfels.

Hikmah Wudhu


Ulama Fekah juga menjelaskan hikmah wudhu sebagai bahagian dari usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani. Anggota badan yang dibasuh dalam air wudhu, seperti tangan, kawasan muka termasuk mulut, dan kaki memang paling banyak bersentuhan dengan benda-benda asing termasuk kotoran. Kerana itu, wajar kalau anggota badan itu yang harus dibasuh.

Ulama tasawuf menjelaskan hikmah wudhu dengan menjelaskan bahawa anggota badan yang dibasuh air wudhu memang daerah yang paling sering berdosa. Kita tidak tahu apa yang pernah diraba, dipegang, dan dilakukan tangan kita. Banyak pancaindera tersimpul di bagian muka.

Berapa orang yang jadi korban setiap hari dari mulut kita, berapa kali berbohong, memaki, dan membicarakan aib orang lain. Apa saja yang dimakan dan diminum. Apa saja yang baru diintip mata ini, apa yang didengar oleh telinga ini, dan apa saja yang baru dicium hidung ini? Ke mana sahaja kaki ini berjalan setiap hari?

Tegasnya, anggota badan yang dibasuh dalam wudhu ialah anggota yang paling berisiko untuk melakukan dosa.Fakta Organ tubuh yang menjadi anggota wudhu disebutkan dalam ayat al-Maidah [5]:6, adalah wajah, tangan sehingga siku, dan kaki sehingga hujung kaki.

Kalangan ulama melarang mengeringkan air wudhu dengan kain kerana dalam redaksi hadis itu dikatakan bahawa proses pembersihan itu sampai titisan terakhir dari air wudhu itu (ma’a akhir qathr al-ma’).

Wudhu dalam Islam masuk di dalam Bab al-Thaharah (penyucian rohani), seperti halnya tayammum, syarth, dan mandi junub. Tidak disebutkan Bab al-Nadhafah (pembersihan secara fisik). Rasulullah SAW selalu berusaha mempertahankan keabsahan wudhunya.

Yang paling penting dari wudhu ialah kekuatan simboliknya, yakni memberikan rasa percaya diri sebagai orang yang ‘bersih’ dan setiap waktu dapat menjalankan ketaatannya kepada Tuhan, seperti mendirikan solat, menyentuh atau membaca mushaf Al-Quran.

Wallah hu a'lam.

Fenomena burung hijrah bukan petanda bencana

BURUNG memenuhi kawasan pantai di Ras Al-Khaima, Emiriah Arab Bersatu.

KUALA LUMPUR: Fenomena burung memenuhi kawasan pantai di Ras Al-Khaima, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadi viral di media sosial, bukan petanda bencana bakal melanda dunia.

Pakar Ornitologi, Dr Farah Shafawati Mohd Taib, berkata fenomena itu berlaku ketika benua utara mengalami musim sejuk yang mendorong ribuan spesies burung berhijrah ke benua selatan terutama di kawasan tropika termasuk Asia. 

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, burung hijrah yang singgah di pantai itu sedang melalui koridor penerbangan udara yang dikenali sebagai 'Palearctic-Asia Flyway', meliputi sebahagian rantau Eropah hingga Asia Barat. 

Perubahan iklim 


"Kecenderungan ribuan burung hijrah singgah ke pantai berkenaan dipengaruhi beberapa faktor termasuk perubahan iklim, kehilangan habitat semula jadi di kawasan bersempadan dengan Sahara, suasana padang pasir di Afrika dan kawalan perosak di Eropah. 

"Disebabkan usaha murni dilakukan kerajaan UAE dengan tanah yang sesuai untuk burung ini, tidak hairan mengapa semakin banyak burung hijrah singgah di sana," katanya. 

Sejak kelmarin, video memaparkan ribuan burung hijrah singgah di pantai Ras Al-Khaima, UAE menjadi viral di media sosial sehingga ada pihak mengaitkan ia sebagai petanda bencana buruk bakal melanda dunia.

Farah Shahwati berkata, persekitaran UAE yang kaya dengan habitat tanah lembab seperti dataran lumpur, lagun dan 'sabkha', menjadikan ia kawasan perlindungan dan bagi kebanyakan spesies burung termasuk burung hijrah.

Tuesday 29 November 2016

Pasukan Elit COBRA Kastam Ditubuhkan Secara Rasmi

Khazali memakaikan lencana pada baju seragam salah seorang anggota Cobra pada majlis pelancaran pasukan itu di Lapang Sasar Lembah Bidong, Setiu semalam.

SETIU – Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) akan ditugaskan untuk mengikuti setiap operasi berprofil dan berisiko tinggi bagi melindungi pegawai daripada ancaman dan ugutan pihak tertentu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pasukan taktikal tersebut ditubuhkan berikutan terdapat beberapa ancaman dan gangguan yang sering menimpa anggota penguat kuasa sehingga melibatkan kehilangan nyawa sejak akhir-akhir ini.

“Setakat tahun ini sahaja, pegawai dan anggota JKDM termasuk saya sendiri telah menerima sekurang-kurangnya 15 ancaman. Paling serius apabila seorang pegawai kastam cawangan Rantau Panjang maut akibat dirempuh ke­nderaan milik tonto di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan pada awal Oktober lalu.

“Cobra akan ditugaskan untuk mengikuti setiap operasi berprofil dan berisiko tinggi bagi melindu­ngi pegawai JKDM terlibat selepas ini,” katanya pada majlis pelancaran Cobra di Lapang Sasar Lembah Bidong di sini semalam.

Penebangan hutan punca ulat bulu menyerang di Kuala Kedah

SEORANG penduduk, Nur Azreen Ishak menyembur racun serangga untuk membunuh ulat bulu yang menyerang rumah beliau di Kampung Tepi Laut Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar semalam.
ALOR SETAR – Serangan ratusan ribu ulat bulu berwarna hitam berbelang jingga di Kampung Tepi Laut Tebengau, Kuala Kedah kelmarin mungkin berpunca daripada aktiviti penebangan hutan sehingga menyebabkan hidupan di kawasan berkenaan terjejas.

Penyelidik Lepidoptera Pusat Pengajian Sains Sekitar dan Sumber Alam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Norela Sulaiman berkata, hal tersebut menyebabkan ekosistem di kawasan tersebut terjejas sehingga hidupan di situ terpaksa berhijrah mencari penempatan baharu.

“Dalam konteks ini, ulat bulu dikelaskan sebagai mangsa manakala binatang lain seperti burung disebut sebagai pemangsa. Pemangsa menjadikan ulat bulu sebagai sumber makanan mereka.

“Apabila habitat me­reka musnah, pemang­sa akan mencari kawasan baharu sebagai habitat dan situasi tersebut menyebabkan ulat bulu lebih cepat membiak kerana tidak diburu pemangsa,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Monday 28 November 2016

Skim cepat 'miskin'

Datuk Seri S Vell Paari berucap di sidang media mangsa penipuan skim yayasan  pelaburan.
Kuala Lumpur: Menjual nama pemimpin bagi menarik orang ramai menyertai skim yayasan pelaburan milik pasangan suami isteri menyebabkan 300 mangsa kerugian RM2.2 juta.

Mangsa kebanyakan terdiri daripada pelajar, suri rumah dan golongan miskin dijanjikan keuntungan berganda dalam tempoh sebulan selepas melaburkan sejumlah wang ke dalam skim cepat kaya milik pasangan berkenaan.

Pelajar sebuah kolej swasta Benedict Chriss, 23, berkata, dia menggunakan sebahagian wang pinjaman pengajian RM4,000 untuk dilaburkan ke dalam yayasan itu.

“Saya menyerahkan wang itu kerana memikirkan ia akan menyelesaikan masalah kewangan saya untuk semester berikutnya lagipun saya daripada keluarga sederhana. Emak saya ibu tunggal.

“Keyakinan bakal diperoleh adalah sekali ganda dari duit pelaburan dalam tempoh singkat serta menyatakan pelaburan itu selamat kerana di bawah skim milik pemimpin menambah lagi keyakinan saya.

“Bukan saya saja, ibu juga mengeluarkan simpanan RM12,000 selepas melihat saya memperoleh wang pulangan RM6,000 selepas sebulan melabur, tetapi duit ibu habis macam itu saja sehingga sekarang tidak menerima imbuhan,” katanya.

Dia ditemui pada sidang media mangsa penipuan pasangan suami isteri itu, di sini, semalam yang dihadiri 200 mangsa penipuan pelaburan.

Hadir sama, Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari.

Menurut Benedict, berikutan yakin dengan skim itu dan menerima pulangan, dia turut mengajak 12 lagi rakan untuk turut melabur.

“Malangnya, rakan saya sehingga sekarang tidak menerima sebarang bayaran balik atau imbuhan,” katanya.

Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), S Suyamgasam, 61, berkata dia diperkenalkan dengan skim itu pada Mac lalu di sebuah majlis di Melaka.

“Tiada apa mencurigakan ketika saya mendengar mengenai skim itu, segala diberitahu meyakinkan saya untuk terus melabur.

“Akhirnya saya mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Kumpulan Wang Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM285,000.

“Dalam tempoh tiga bulan, saya menerima RM100,000 tetapi selepas Jun lalu sehingga sekarang duit saya belum dibayar.

“Apabila saya hubungi pihak penganjur skim itu, mereka mendakwa akan bayar selepas Deepavali, tetapi sekarang terus senyap,” katanya.

Suyamgasam berkata, selain tertarik dengan imbuhan bakal diterima dia melabur wang itu dengan tujuan dapat dimanfaatkan pada masa akan datang memandangkan sekarang dia tidak lagi bekerja.

Sementara itu, Vell Paari berkata, satu laporan polis dibuat dan beliau juga melantik peguam bagi mendapatkan balik hak mangsa berkenaan.

Beliau turut mendakwa kegiatan itu aktif sejak 2000 dan menganggarkan hampir belasan ribu mangsa terdiri dari kaum India tertipu.

“Pasangan suami isteri itu menipu mangsa kebanyakan orang miskin dengan mendakwa skim berkenaan milik pemimpin negara,” katanya.

Sunday 27 November 2016

Pengawal peribadi sebagai satu karier


DARI jauh, kelihatan sebuah kereta Proton Perdana menyusur masuk ke parkir sebuah pusat komersial di suatu kawasan terpencil. Pemilik kereta itu merupakan seorang ahli perniagaan terkenal yang ingin menyelesaikan beberapa urusan penting berkaitan di tempat itu.

Ditemani lima lelaki berbadan tegap, berjaket kulit dan berkaca mata hitam, dia keluar dari kereta menuju ke sebuah pejabat. Tanpa disedari lelaki itu dan pengawalnya, ada sepasang mata yang berdendam dengan lelaki itu sedang menunggu untuk menyerangnya.

Bersenjatakan sebilah parang, lelaki tadi menunggu ahli perniagaan tersebut dan kumpulan pengawal peribadinya melalui tempat yang dirancang sebelum membuka langkah untuk menyerang mereka.

Namun, serangan mengejut itu berjaya dipatahkan oleh dua orang pengawal peribadinya yang tangkas menangkis serangan itu sementara dua orang lagi dengan pantas menarik ahli perniagaan itu dan berlari memasuki keretanya. Pengawal lain pula berundur secara taktikal ke dalam kereta sebelum beredar dari tempat itu.

Jika tidak kerana tindakan pantas dan kecekapan pengawal periba­dinya, ahli perniagaan itu sudah pasti mengalami nasib malang akibat dise­rang sekumpulan penjahat tadi.

Simulasi itu antara latihan yang perlu dilalui bagi mempraktikkan kaedah dan teknik yang diajar sebelum menjadi pengawal peribadi atau bodyguard.

Tugas menjadi seorang bodyguard bukanlah semudah yang disang­ka. Mungkin ramai daripada kalangan masyarakat yang masih beranggapan bahawa menjadi penga­wal peribadi hanya memerlukan badan yang sasa dan karakter sebagai kaki pukul. Namun, stereotaip itu ternyata salah jika melihat sendiri kepada latihan yang harus dijalani.

Hakikatnya, seseorang yang berminat untuk menjadi pengawal peribadi memerlukan lebih daripada sekadar tubuh yang kuat dan imej yang ganas. Keikhlasan dan kejujuran dalam bekerja lebih penting memandangkan menjadi pengawal peribadi bermakna tanggungjawab melindungi nyawa, harta benda dan kepentingan orang yang dijaga terletak di bahu mereka.

Modul latihan


Menceritakan mengenai latihan yang perlu dilalui oleh pelatih pengawal peribadi, Pengarah Latihan Security Training Services, Afrol Faizal Chew Abdullah, 53, berkata, banyak kemahiran dan ilmu yang perlu diketahui dan dikuasai untuk menjadi pengawal peribadi, antaranya penggunaan senjata, seni membela diri, komunikasi dan konsep-konsep kawalan.

“Terdapat dua kaedah yang perlu dikuasai pengawal peribadi dalam mengendalikan tugas mereka iaitu pengunduran dan bertahan.

“Pengawal peribadi tidaklah menye­rang pihak yang mengancam sebaliknya hanya memberikan perlindungan kepada prinsipal mereka,” katanya ketika ditemui oleh kru Jurnal di pejabatnya di Cheras, Selangor baru-baru ini.


Afrol berkata, terdapat empat modul yang diajarkan kepada pelatih pengawal peribadi dalam kursus selama tujuh hari itu yang dikendalikan olehnya.

“Kita bermula dengan modul pembinaan di mana fizikal, kemahiran mental, karakter dan imej mereka dibina sepanjang kursus itu. Kemudian mereka akan diberi pemahaman mengenai undang-undang, peraturan dan garis panduan antara pengawal peribadi dengan majikan serta mengenali bentuk-bentuk ancaman.

“Perkara ini penting kerana ia memisahkan pengawal profesional daripada pengawal yang bersikap seperti kumpulan kongsi gelap,” ujarnya dengan nada tegas.

Modul ketiga pula ialah pelaksanaan teknik dan taktik serta kawalan pergerakan. Kaedah itu digunakan bagi mengawasi majikan di dalam dan luar kenderaan atau bangunan.

Modul terakhir ialah tindak balas yang mengajar pelatih bagaimana untuk bertindak terhadap masalah yang diberikan dan mengatasi ancaman.

Katanya, peserta kursus berlainan pada setiap siri, namun dia tidak mengambil lebih daripada 20 peserta untuk memaksimumkan kualiti pengajaran.

Afrol yang merupakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia menggunakan modul dan silibus yang menyerupai latihan UTK di mana antara tugas unit itu ialah untuk mengawal keselamatan orang kenamaan seperti Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga pemimpin luar negara yang datang ke negara ini.

Berbekalkan pengalaman selama 13 tahun dalam pasukan khas itu, tidak hairanlah jika sijil yang dikeluarkan Afrol mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Dia yang telah melatih penga­wal peribadi sejak 2010 itu berkata, bukan mudah ingin mencari calon-calon yang layak untuk menggalas tanggungjawab yang besar itu.

Kecerdasan minda


Bercerita lanjut, dia berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sepanjang kursus sebelum seseorang itu layak diberi sijil sebagai pengawal peribadi.

“Terdapat beberapa ujian fizikal, mental, daya tahan dan kekuatan berkumpulan yang perlu dipenuhi oleh pelatih.

“Jurulatih juga akan melihat bagaimana seseorang itu bertindak terhadap permasalahan yang diberi dan komitmen yang ditunjukkan. Dari situ kita dapat mengesan siapa yang benar-benar layak untuk diiktiraf menjadi pengawal periba­di,” jelasnya.

Menurutnya, ramai antara pelatihnya merupakan orang awam, namun tidak kurang juga daripada kalangan bekas anggota polis atau tentera yang berhenti tanpa pencen.

Seorang peserta kursus itu, Mohd. Azahari Ruslan, 30, menceritakan pengalamannya sepanjang menjadi pelatih pengawal peribadi kepada kru Jurnal.

“Sepanjang tempoh latihan, kami didedahkan dengan perancangan dan pelaksanaan teknik yang diperlukan bagi seorang pe­ngawal peribadi. Selain itu, kami diajar silibus yang sesuai dengan ancaman-ancaman terkini.
KEMAHIRAN menggunakan senjata api perlu dimiliki oleh pengawal peribadi.
“Sebenarnya, kecerda­san minda merupakan kunci kepada kerjaya pengawal peribadi yang berjaya. Ini kerana, seseorang yang ditugaskan menjaga nyawa orang lain perlu mempunyai res­pon yang cepat terhadap sesuatu situasi.

“Dalam situasi cemas, pengawal mempunyai dua saat untuk membuat sesuatu keputusan sebelum bertindak,” jelasnya yang bercadang untuk mengikuti kursus-kursus tambahan bagi memantapkan kemahirannya dalam bidang itu.

Azahari yang merupakan bekas anggota polis trafik menyertai kursus itu pada Oktober lalu bersama 17 peserta lain.

Akuinya, latihan yang diberikan seperti rentas halangan dan membuka pasang senjata dengan mata tertutup memang mencabar daya tahannya, namun itulah lumrah yang perlu dilalui sebelum menggalas amanah yang bakal diberikan majikan.

Selain daripada teknik umum yang perlu dikuasai oleh pengawal peribadi, terdapat juga kemahiran lain berkaitan dengan aktiviti yang diminati oleh majikan mereka yang perlu dikuasai mereka.

“Umpamanya, jika majikan itu minat selam skuba, pengawalnya juga perlu menguasai teknik-teknik berkaitan bagi menyelamatkan majikannya itu sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak diingini semasa menyelam,” tambah Azahari.

Seorang pengawal peribadi yang mempunyai kemahiran asas boleh mendapat gaji permulaan sebanyak RM3,500, manakala mereka yang bersenjata boleh mendapat gaji asas antara RM8,000 ke RM9,000. Pengawal peribadi dibayar berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki mereka dan gaji mereka boleh mencecah sehingga RM20,000 sebulan.

Peduduk Yahudi lari, kebakaran belukar merebak ke Tebing Barat

Sebuah pesawat Bomba Russia turut membantu memadamkan api yang baru merebak  di bandar Nataf berhampiran Tebing Barat yang diduduki oleh Israel secara haram.
BAITULMUQADDIS – Kebakaran belukar berdekatan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang dijajah Israel memaksa beratus-ratus orang meninggalkan kediaman mereka, kata polis semalam.

Situasi itu berlaku ketika anggota bomba Israel dan Palestin dengan dibantu sebilangan pesawat asing, bertungkus-lumus memadamkan kebakaran belukar yang tersebar akibat cuaca kering dan angin kencang.

Sebelum ini, lebih 80,000 orang di bandar ketiga terbesar di Israel, Haifa dan beberapa kawasan lain telah berpindah.

Sekitar 1,000 penduduk di penempatan Halamish dekat Ramallah terpaksa berpindah selepas 45 kediaman musnah atau rosak dalam kebakaran itu.

Kebakaran juga dilaporkan berlaku berdekatan penempatan ha­ram Doleve dan Karnei Shomron dekat Tebing Barat.

Sejumlah pesawat pemadam api adalah dari Israel dan negara-negara seperti Rusia, Turki, Greece, Perancis dan Kanada terus menggugurkan bertan-tan air di beberapa lokasi termasuk Kampung Nataf dekat Baitulmuqaddis.

Sementara itu, polis Israel mengumumkan telah menangkap 14 orang kerana disyaki cuai atau mencetuskan kebakaran dengan sengaja tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut tentang identiti mereka. – AFP

Saturday 26 November 2016

Proton lancar MPV Ertiga


SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd melancarkan model terbaharunya, Proton Ertiga iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak berstatus kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama negara.

MPV enam tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin 1.4 Liter VVT itu ditawarkan dalam varian transmisi manual lima kelajuan 1.4L Eksekutif (MT); transmisi automatik empat kelajuan 1.4L Eksekutif (CVT) dan 1.4L Eksekutif Plus (CVT). 

Varian 1.4L Eksekutif MT ditawarkan pada harga RM58,800, 1.4L Eksekutif CVT (RM61,800) dan Eksekutif Plus CVT (RM64,800). 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata Proton Ertiga adalah model pertama hasil kerjasama Proton dan Suzuki Motor Corporation Japan. 


Selain menawarkan penjimatan minyak, katanya, MPV kompak EEV pertama di Malaysia itu turut menepati cita rasa dinamik dan gaya hidup keluarga moden masa kini. "Ia direka dengan menawarkan keluasan ruang dan keselesaan," katanya pada pelancaran Proton Ertiga di Pusat Konvensyen Setia Alam. 

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil. MPV keluarga itu dilengkapi enjin 1.4 VVT yang diperbuat daripada aluminium ringan untuk semua varian. 


Selain itu, teknologi drive-by-wire memantapkan lagi prestasi kereta untuk lebih responsif. Proton Ertiga kini boleh dipandu uji dan ditempah di semua cawangan Proton Edar seluruh negara. 

Info: 

  • Proton Ertiga turut menawarkan tempat duduk fabrik kalis air 
  • Saiz tangki 45 liter untuk perjalanan lebih jauh

Anak timbalan menteri ditangkap

Firdaus (dalam bulatan) antara 11 individu yang ditahan polis semalam.
KUALA LUMPUR – Anak lelaki kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Firdaus Tajuddin, 34, bersama sembilan individu lain yang dipercayai terlibat dalam insiden kekecohan di kawasan bangunan Parlimen ditahan polis semalam.

Selain mereka, seorang wanita berusia 54 tahun menyerah diri di Balai Polis Sentul sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 11 orang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Menurut Amar, selain Firdaus yang merupakan anak kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abd. Rahman, individu lain yang ditangkap polis ialah Mohd. Rizal Shafie, 37, Ariffin Mohamed Ali, 32, Hasnah Md. Razali 68 dan Erwan Halmi, 36.

“Enam lagi ialah Sapiah Aini Sulaiman, 34, Norfirdaus Ahmad Zanian, 30, Azmir Ahmad, 41, Mohd. Saffek Mohd. Salleh, 28, Mohd. Faizal Saidina Omar, 34 dan terakhir yang menyerah diri, Norbaiti Taha,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Friday 25 November 2016

Suami isteri dipenjara gunakan kekerasan halang tugas anggota penguatkuasa MBSA

Pasangan yang mengganggu penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika melakukan tugas.
SHAH ALAM  - Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah setelah didapat bersalah mengunakan kekerasan dengan niat menakutkan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Majistret, P. Sarulatha menetapkan hukuman berkenan termasuk denda sebanyak RM3,000 seorang selepas kedua-dua tertuduh masing-masing Lor Ka Hoo, 35 dan Tan Sit Fun, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka. 

Kedua-dua tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, yang ketika kejadian sedang melakukan kewajipannya.

Perbuatan kedua-dua tertuduh berniat  menakutkan penjawat awam itu salah dan dari segi undang-undang ia merupakan satu kesalahan di bawah akta Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Thursday 24 November 2016

Derita 6,000 tumor tumbuh seluruh badan

Pembedahan berkenaan dijangka akan menelan kos sebanyak $23,500 (RM103, 401).

INDIANA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita yang menderita penyakit kulit yang jarang berlaku merayu bantuan bagi membuang 6,000 tumor yang tumbuh di seluruh badanya.

Ekoran penyakitnya itu, Elizabeth Huffer, 44, sering dibuli malah terpaksa menukar namanya.

Elizabeth disahkan menghidap neurofibromatosis (NF) tahap 1 ketika berusia lima tahun, namun hidupnya berubah ketika remaja selepas ratusan tumor mula tumbuh di seluruh badanya.

Keadaan bertambah buruk selepas ketulan tumbuh di muka sehingga ke kakinya dan mengalami sakit kronik kerana hormon menyebabkan ribuan tumor bukan kanser tumbuh.

Pembedahan yang dilakukan sebelum ini gagal malah lebih banyak tumor tumbuh kembali selepas menjalani 10 pembedahan untuk membuangnya.

Harapan terakhirnya adalah mendapatkan rawatan pakar untuk memusnahkan tumor berkenaan dalam rawatan yang dijangka mengambil masa lima jam

"Tumor boleh tumbuh di mana-mana saraf badan saya. Ia tumbuh lebih 5,500.

"Tumor seluruh belakang saya menyebabkan rasa sakit sepanjang masa sekaligus menjadikan sukar untuk tidur, walaupun saya mengambil 13 ubat yang berbeza," katanya dipetik Mirror.uk.

Menurutnya, dia sering dibuli dan terpaksa menukar nama Elizabeth ke Libby malah aspek kehidupan terjejas terutamanya dalam komunikasi seharian, mendapat pekerjaan serta  pasangan.

Selepas 10 kali gagal pembedahan, wanita itu mula mengumpul wang untuk menjalani pembedahan electrodessication yang menggunakan arus elektrik untuk membunuh tisu neurofibroma dalam badannya.

Anak beranak bertikam kerana duit

Azrul (gambar kecil) ditemui mati di ruang tamu rumah selepas bergaduh dengan bapanya malam kelmarin.
JOHOR BAHRU – Pertengkaran dua beranak yang sama-sama menganggur berpunca daripada ma­salah kewangan berakhir de­ngan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati ditikam dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Ehsan Jaya, Desa Cemerlang di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam, Azrul Hanafi, 23, mati selepas dia cedera di dada kiri. Mayat Azrul ditemui di ruang tamu rumah. Bapa Azrul yang berusia 54 tahun pula cedera terkena tikaman di dada kiri dan perut.

Azrul merupakan anak sulung daripada empat beradik. Kejadian menyedihkan itu disaksikan ibu mang­sa, Nor Hasidah Hashim, 49.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd. Aziz berkata, siasatan tragedi itu dikatakan berpunca daripada mangsa yang didakwa tidak berpuas hati dengan bapanya berkaitan kewangan.

Menurut beliau, masalah dan perselisihan faham antara kedua-dua beranak yang tidak bekerja itu sudah lama dan pergaduhan malam kelmarin merupakan kemuncaknya.

“Ketika polis tiba di rumah teres dua tingkat itu, kita mengambil masa kira-kira sejam untuk memujuk dan berunding dengan si bapa yang enggan menyerah diri.

Wednesday 23 November 2016

Petua Orang Kampung Rawat Mata Rabun


Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Jadi tak perlu mengeluh saat nikmat dari sudut fizikal ditarik atau mula 'hilang'. Beberapa petua ini mungkin akan jadi salah satu penawar bagi anda yang ada masalah rabun mata. Jom, semak...


1. Wap nasi
Apabila memasak nasi, halakan mata ke arah wap yang keluar dari periuk nasi. Amalkan setiap kali masak nasi.

2. Sawi
Rebus secekak sawi dengan 2 gelas air sehingga mendidih dan tutup api. Minum setelah sejuk pada suhu bilik. Amalkan 3 kali seminggu.

3. Lobak merah
Boleh makan mentah-mentah atau minum air lobak merah. Amalkan selalu InsyaAllah semakin baik nanti. Lobak merah kaya dengan Betacaotene (pelopor kepada Vitamin A, nutrien yang diperlukan untuk penglihatan), Lycopene (nutrien perlindungan sinaran UV pada mata) dan Lutein (nutrien yang melindungi kerosakan pada radikal mata). Jika anda mengalami masalah penglihatan, disarankan makan lebih banyak lobak merah.

4. Teh
Mencegah katarak mata. Teh membantu mengawal pertumbuhan darah baru di belakang mata. Pakar menjelaskan jika terlalu banyak saluran darah di sebalik retina, ini akan menyebabkan kebocoran darah dan cecair yang menjurus kepada bintik buta.

5. Bawang Putih & Bawang Merah
Bawang putih dan merah sangat penting dalam pengeluaran Glutation, sejenis sulfur yang bertindak sebagai anti oksidan untuk kanta mata.

6. Kacang Walnut
Kacang Walnut mengandungi sumber Omega- 3, Vitamin E dan antioksidan yang tinggi. Nutrien ini amat penting dalam memerangi radang mata.

7. Tomato
Tomato juga mengandungi dua nutrien penting untuk mata iaitu lycopene dan lutein. Tomato juga berkesan mencegah kanser mata.

8. Kacang Soya
Kacang soya mengandungi antioksidan yang kuat yang dipanggil isoflavon. Antioksidan ini melindungi mata daripada sindrom mata kering.

9. Telur
Sebatian sulfur, protein dan cysteine dalam telur membantu melindungi mata daripada pertumbuhan katarak. Makan telur sehari sekali sudah memadai bagi penjagaan mata.

10. Brokoli
Brokoli mengaktifkan enzim anti – radang dalam badan untuk menggalakkan detoksifikasi termasuk mencegah keradangan di bahagian belakang mata.

Sumber: Mingguan Wanita

Tuesday 22 November 2016

Halang pingat palsu


KUALA LUMPUR  - Selepas pendedahan bersiri Utusan Malaysia mengenai gejala penipuan dan penyalahgunaan anugerah kebesaran, kerajaan bertindak dengan menggubal Rang Undang-undang Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016.

Inilah langkah paling konkrit dilaksanakan bagi menangani kes-kes melibatkan anugerah kebesaran palsu yang berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya.

Rang undang-undang itu yang dibacakan untuk kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mencadangkan individu yang disabitkan kesalahan melibatkan penerimaan dan penggunaan anugerah kebesaran tidak diiktiraf dipenjara sehingga tiga tahun.

Selain itu, hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dicadang­kan bagi individu yang disabitkan kesalahan lain yang berkaitan seperti menghadiri istiadat pengurniaan serta membuat atau memiliki lambang kebesaran.

Kesalahan-kesalahan lain di ba­wah rang undang-undang tersebut adalah menyamar sebagai pemegang anugerah Yang di-Pertuan Agong dan menggunakan anugerah Yang di-Pertuan Agong yang telah dibatalkan atau ditarik balik.

Turut menjadi kesalahan adalah perbuatan menerima dan menggunakan anugerah asing daripada ketua negara yang tidak diiktiraf.

Contohnya, bagi Indonesia dan Filipina, kerajaan hanya mengiktiraf anugerah yang dikurniakan oleh Presiden kedua-dua republik berkenaan.

Rang undang-undang itu juga menetapkan, setiap warganegara kecuali raja-raja dan permaisuri serta Yang Dipertua Negeri dan pasangan mereka hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis Yang di-Pertuan Agong sebelum menerima anugerah asing.

Individu yang disabitkan kesalahan menerima dan menggunakan anugerah asing tidak diiktiraf boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Sementara itu, hukuman penjara maksimum 20 tahun boleh dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah melakukan rasuah berkaitan pengurniaan anugerah kebesaran sama ada yang diiktiraf atau sebaliknya.


Huraian rang undang-undang tersebut menyatakan, kerajaan memutuskan langkah itu diambil bagi mengekang kegiatan penganugerahan gelaran dan kebesaran yang semakin menjadi-jadi oleh orang tanpa kuasa dari segi Perlembagaan Persekutuan serta individu yang bukan ketua negara.

Isu penggunaan anuge­rah kebesaran tidak diiktiraf termasuk dari negara asing didedahkan Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia dalam siri laporan eksklusif mulai 10 Januari lalu.

Kontroversi berhubung darjah dan pingat yang tidak diiktiraf di negara ini antaranya melibatkan individu yang mengaku ‘Sultan Melaka’, wanita tukang urut mendakwa sebagai ‘Raja Kerinchi Tinggi Sumatera, Indonesia’ atau Bonda Ratu, Kesultanan Sulu yang dianugerah oleh Jamalul Kiram III, keturunan Naning dan Raja Sukakata, Paku Buwono XIII.

Malah, ada individu yang sanggup membayar sehingga RM100,000 semata-mata untuk mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri’ daripada pihak-pihak yang tidak diiktiraf itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Azalina turut membentangkan Rang Undang-undang Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016 bagi mencadangkan hukuman maksimum dinaikkan kepada denda RM20,000 dan tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Hukuman bagi individu yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang berkenaan sebelum ini adalah denda tidak mele­bihi RM1,000.

Leftenan Komander TLDM dipenjara, denda

Kuvendran (kanan) dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.
IPOH – Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM104,971.97 berkaitan urusan pembekalan barangan kepada TLDM dua tahun lalu.

Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan tertuduh, Lef­tenan Komander K. Kuvendran, 32, menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa semalam dan tambahan hukuman penjara setahun lagi jika dia gagal membayar de­nda berkenaan.

Kuvendran membayar denda tersebut.

Terdahulu, tertuduh Kuvendran yang pernah bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut menukar pengakuan kepada bersalah atas empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Monday 21 November 2016

Ringgit: Gabenor luah kekecewaan

Datuk Muhammad Ibrahim
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) meluahkan kekecewaan disebabkan tindakan pemain-pemain industri tempatan menjadikan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) atau dagangan ringgit di luar pesisir sebagai rujukan bagi menentukan nilai mata wang tersebut, berbanding membuat penentuan sendiri.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, tindakan tersebut me­ngakibatkan kadar tukaran ringgit tidak menentu sejak tahun lalu termasuk berubah 23.1 peratus dalam tempoh sebulan sekali gus menjadi antara mata wang serantau paling tidak menentu tahun ini.

Tambahnya, selain tindakan pedagang-pedagang mata wang tempatan yang lebih meninjau kadar ringgit di dalam pasaran NDF sebelum menentukan harga ringgit masing-masing, pihak media serta orang ramai juga terpengaruh dengan kadar tukaran yang ditentukan oleh pasaran luar pesisir.

“Aktiviti dalam pasaran luar pesisir khususnya pasaran NDF telah membawa kesan buruk kepada pasaran dalam negara. Apa yang mengecewakan kami, pemain-pemain industri tempatan sebaliknya lebih menjadi pengikut pasaran itu dan bukannya memimpin dalam menentukan kadar tukaran domestik,” katanya dalam ke­nyataan sempena Ulang Tahun Makan Malam Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (PPKM), kelmarin.

Setakat kelmarin, ringgit berlegar sekitar RM4.4165 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu paras terburuk mata wang Malaysia itu sejak September 2015.

Kata Muhammad lagi, pasaran luar pesisir didorong oleh kepentingan bersifat spekulatif tanpa berlandaskan maklumat kepelbagaian pasaran tempatan.

Tambahnya, hal itu dinyatakan oleh Bank Rizab Persekutuan New York pada tahun 2005, dengan menganggarkan 60 hingga 80 peratus jumlah dagangan NDF ditentukan secara spekulatif.

“Di dalam pasaran luar pesisir, kadar ringgit boleh ditentukan berdasarkan satu arah tertentu atau sentimen yang sentiasa berubah. Malah ia juga mengikut kedudukan spekulator yang sememangnya tidak sesuai untuk mewakili proses menentukan harga ringgit,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad berkata, BNM sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah me­laksanakan beberapa tindakan bagi mengurangkan ruang kepada spekulator untuk menentukan nilai ringgit.

Jelasnya, pada tahun lalu, BNM telah mengambil tindakan langsung untuk mengurangkan hubungan harga ringgit antara pasaran tempatan dan pasaran luar pesisir.

Awal minggu lalu, BNM me­nyatakan ringgit kekal sebagai mata wang yang tidak diurusniagakan pada peringkat antarabangsa, sekali gus apa-apa urus niaga luar pesisir seperti NDF bagi ringgit adalah tidak diiktiraf.

Bank pusat itu turut meng­i­ngatkan semua peserta pasaran supaya mematuhi peraturan Pentadbiran Peraturan Pertukaran Asing (FEA) sedia ada dan institusi kewangan berlesen di Malaysia supaya menghindari apa-apa urus niaga pertukaran asing yang boleh dikaitkan de­ngan aktiviti pasaran NDF.

Saturday 19 November 2016

SANGGUP FITNAH NEGARA SENDIRI UNTUK VISA PERLINDUNGAN

Kerjaya sebagai pengutip buah merupakan pekerjaan yang paling ramai diceburi oleh pekerja haram dari Malaysia di Australia.

Para pekerja haram Malaysia yang terdesak untuk mendapatkan visa perlindungan di Australia sanggup memfitnah negara sendiri dengan maklumat palsu sewaktu mengisi borang permohonan yang akhirnya memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

Abu, seorang pekerja haram berusia awal 20-an yang berasal dari Kuala Lumpur mendedahkan kepada penulis tentang alasan yang paling popular iaitu terlibat dengan pertubuhan haram Bersih sehingga diburu oleh polis dan kerajaan Malaysia.

“Alasan diburu kerajaan Malaysia selepas terlibat dengan Bersih amat popular, tetapi kita kena pastikan yang sebelum kita datang memang ada perhimpunan yang besar. Baru nampak lojik.

“Ejen-ejen visa pun guna alasan ini, kita macam ada satu set alasan popular yang tidak memerlukan pembuktian secara berdokumen dan perkara ini sudah tersebar dari mulut ke mulut, jadi semua orang guna alasan yang sama,” katanya yang sudah lebih setahun di Australia.

 Jelas Abu, turut popular adalah alasan palsu kononnya diburu oleh ah long dan berdepan dengan ancaman bunuh.

Dia juga mendakwa pernah menerima visa perlindungan selama enam bulan sebelum ditarik balik berikutan kesilapan mengisi maklumat peribadi.

“Saya bagi alasan sepupu pinjam duit dengan ah long dan sepupu saya lari ke luar negara sehingga saya yang diburu dan diugut bunuh.

“Saya kata sudah adu kepada polis tetapi tidak dipedulikan. Hujah saya ialah menyalahkan kerajaan dan sebab tertekan, saya buat cerita terpaksa lari ke Australia,” katanya.

Sewaktu penulis menyelinap masuk ke dalam pasaran buruh haram di ladang Cutri Fruit, dua daripada rakan serumah penulis dalam proses mengisi borang visa perlindungan.

Zizi, pekerja haram yang baharu tiba dua bulan lalu mengakui dia akan memberi alasan terlibat dengan Bersih manakala Osman, juga baru tiba dari Malaysia akan menggunakan alasan lari daripada ah long selepas diugut bunuh.

Kedua-dua mereka sepakat untuk menghantar sendiri permohonan dengan alasan tidak mahu ditipu ejen.
Penulis juga cuba mendapatkan maklumat mengenai ejen permohonan visa sewaktu mengunjungi sebuah restoran Malaysia di Swan Hill.

Menurut seorang pekerja haram, kosnya pelbagai bergantung kepada jenis visa dengan rekod termahal yang pernah didengarinya adalah AUD$5,000.

“Ini pakej lengkap tapi abang kena hati-hati, di sini ramai ejen menipu, jangan mudah percaya orang,” katanya.

Friday 18 November 2016

Panglima ATM diiktiraf Arab Saudi

Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menerima anugerah daripada Putera Mohammed Salman.
Kuala Lumpur: Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dianugerahkan Bintang ‘The Order of King Abdulaziz (Excellent Grade)’ di Royal Court, Riyadh, Arab Saudi, Isnin lalu.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataannya, memaklumkan istiadat terbabit disempurnakan oleh Timbalan Putera Mahkota dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammed Salman sempena lawatan persaraan Panglima ATM ke Arab Saudi.

"Pengurniaan itu telah dimasyhurkan sebagai pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang dan khidmat bakti serta sumbangan signifikan yang dicurahkan oleh Zulkifeli dalam mewujudkan kerjasama, persefahaman dan hubungan pertahanan antara Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Menurutnya, Zulkifli adalah satu-satunya penerima bintang terbabit dari rantau Asia Tenggara bagi kategori tentera.

Katanya, penganugerahan itu menjadi satu menifestasi pencapaian gemilang dilakukan Zulkifeli dan ia menjadi mercu tanda kebanggaan bagi warga ATM.

Suami culik bayi demi isteri

Pasangan suami isteri yang disyaki menculik bayi perempuan dari Hospital Tanah Merah lebih banyak mendiamkan diri ketika ditahan reman.
KOTA BHARU – Siasatan lanjut polis berhubung kes penculikan seorang bayi perempuan berusia lima hari di Wad Kanak-kanak Hospital Tanah Merah Selasa lalu mendapati si suami bertindak demikian ke­rana tidak mahu melihat isterinya terus murung selepas keguguran Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad (gambar kecil) berkata, pasangan berusia 26, dan 23 tahun itu juga lebih banyak berdiam diri ketika direman sejak kelmarin.

Katanya, si isteri terlalu inginkan cahaya mata sejak berkahwin dua tahun lalu namun kecewa dan sedih selepas anak yang dikandung pula gugur.

Setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada lima individu iaitu pasangan itu, doktor, jururawat serta pengawal keselamatan yang bertugas pada hari kejadian.

“Mekanik itu sanggup menculik sebagai salah satu usaha untuk menggembirakan wanita itu yang kemurungan selepas keguguran.

“Wanita itu masih membayangkan se­olah-olah baru semalam dia keguguran walaupun kejadian itu berlaku lima bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Wednesday 16 November 2016

3 orang kuat syarikat GLC direman

Datuk, adik dan seorang pengarah urusan sebuah syarikat GLC direman seminggu oleh Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA – Seorang pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama adiknya direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan menerima suapan lebih RM39.9 juta.

Lelaki bergelar Datuk berusia 50 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam, Selangor pada pukul 5 petang kelmarin kerana disyaki memberikan projek kepada syarikat yang berkepentingan ketika memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat GLC lain sebelum dia meletakkan jawatan pada tahun lalu.

Dua lagi yang ditahan ialah adik kepada Datuk berkenaan yang berusia 35 tahun dan seorang lelaki berusia 61 tahun. Adik kepada Datuk tersebut merupakan pengarah di syarikat GLC lama abangnya manakala lelaki berusia 61 tahun itu pula memegang jawatan sebagai pengarah urusan di syarikat sama dengan adik Datuk ber­kenaan.

Perintah reman yang berkuat kuasa semalam sehingga Selasa ini dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman selepas ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke mahkamah di sini.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima dan memberi suapan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Tuesday 15 November 2016

Kes rumah tangga roboh meningkat

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan perceraian pasangan suami isteri Islam.
KUALA LUMPUR – Sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan dalam tempoh Januari hingga 10 Julai tahun ini iaitu meningkat enam peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun (gambar kecil)berkata, daripada jumlah tersebut, tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi perceraian ialah Selangor (7,731) diikuti Sabah (6,638) dan Johor (4,700).

“Kajian mendapati keba­nyakan perkahwinan kali pertama yang berakhir de­ngan perceraian atau perpisahan adalah dalam tempoh lima tahun dan ke bawah.

“Antara punca utama perceraian yang dikenal pasti ialah tiada persefahaman (56.2 peratus), suami tidak bertanggungjawab (15.2 pe­ratus) dan isteri curang (11.8 peratus),” kata beliau ketika menjawab soa­lan Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) pa­da persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Thursday 10 November 2016

Lebih 800 polis tagih dadah

Datuk Jalaluddin Abdul Rahman
Kota Bharu: Seramai 883 daripada 130,000 anggota polis di Malaysia dikesan terbabit dengan penagihan dadah dalam tempoh tiga tahun lalu.

Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, susulan itu pihaknya aktif mengesan anggota polis yang menjadi penagih tegar dan mereka akan dihantar ke pusat serenti di Sungai Besi, Kuala Lumpur, untuk pemulihan.

Menurutnya, antara 30 hingga 50 anggota menjalani pemulihan bagi setiap tiga bulan mengikut kewajaran.

"Setakat ini kita sedang mengumpul maklumat dan mereka yang jadi penagih tegar akan ditempatkan dulu di pusat itu selewat-lewatnya bulan depan.

"Langkah pemulihan akan membantu anggota terbabit tidak hanyut lebih jauh," katanya selepas taklimat dan penyampaian buku pelan intergriti dan kod etika di Dewan Sri Nilam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman dan Ketua Polis Daerah dan Ketua Jabatan Kontinjen Kelantan.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, hanya 1.3 peratus pegawai dan anggota polis negara ini terbabit dalam salah laku sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, antara kesalahan itu ialah dadah, pemerasan dan curi.

Wednesday 9 November 2016

UUM raih emas Green World Award 2016


KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) mengharumkan nama negara di Bucheon, Korea Selatan apabila berjaya merangkul pingat Global Gold di Green World Award 2016 bagi kategori pendidikan dan latihan baru-baru ini.

Sebagai pemenang pingat emas, UUM bukan sahaja menerima trofi Green Apple, sijil dan logo pemenang Green World Awards, malah turut dipilih sebagai Duta Green World 2016/2017.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pencapaian itu sangat membanggakan UUM kerana menerima anugerah bertaraf dunia yang mengiktiraf usaha universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra alam sekitar.

“Kita berjaya mengetepikan sebanyak 500 pesaing lain dari seluruh dunia dalam Green World Awards for Environmental Best Practice iaitu anugerah yang diberi bagi mengiktiraf negara, syarikat dan masyarakat yang paling hijau di dunia.

“Dengan kejayaan yang diraih ini, saya mahu semua warga kampus memanfaatkan alam semula jadi yang dimiliki dan membantu menaikkan nama UUM sebagai universiti dalam rimba hijau bukan sahaja dalam negara, malah di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tuesday 8 November 2016

Mansuhkan subsidi minyak masak sepenuhnya

PENGERUSI Eksekutif Link Holders Packing Industries Sdn Bhd, Gan Leong Piow (kanan) bersama pekerjanya menunjukkan minyak masak yang masih mencukupi untuk dijual kepada pembekal dan orang ramai ketika ditemui di Pengkalan Chepa.
Kota Bharu: Sebuah syarikat pembekal minyak masak di negeri ini mencadangkan supaya subsidi barang keperluan itu dimansuhkan sepenuhnya bagi mengelakkan pembaziran selain penyeludupan.

Kerajaan ketika ini hanya mengekalkan subsidi untuk minyak masak paket satu kilogram yang wajib dijual pada harga RM2.50.

Namun Pengerusi Eksekutif Link Holders Packaging Industries Sdn Bhd, Gan Leong Piow berkata, ada peniaga di Kelantan yang menjual produk itu pada harga antara RM3 ke RM3.50.

"Jika kerajaan mansuh terus subsidi ini dan mengapungkan harga bahan mentah mengikut pasaran terbuka, maka ia akan dijual sekitar RM3 ke RM4.

"Jadi tidak banyak beza dengan situasi sekarang, di mana ada peniaga yang menjualnya tanpa mengikut peraturan kerajaan (lebih RM2.50).

"Di kawasan pedalaman pun ada peniaga yang jual sehingga RM3.50 berdasarkan maklum balas pembeli. Sebab itulah saya cadangkan supaya dimansuhkan saja subsidi bagi elak terus berlaku pembaziran dan penyeludupan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Padang Tembak, di sini, hari ini.

Gan berkata, beliau yakin jika subsidi dimansuhkan, harga minyak masak paket masih jauh lebih rendah berbanding dijual di dalam botol yang ketika ini berharga RM4.20 untuk setiap kilogram serta berubah mengikut pasaran.

Beliau juga memberitahu bekalan minyak masak untuk pengguna mencukupi malah syarikatnya membekalkan 60 metrik tan sehari untuk seluruh Kelantan, Jerteh dan Besut.

"Saya akui ada peniaga Thailand memohon untuk membeli secara borong dengan syarikat tapi kita tidak pernah menawarkan kepada pihak ini.

"Selama 10 tahun saya amalkan kaedah pembekalan kepada peniaga tempatan dengan cara menunjukkan lesen perniagaan mereka.

"Jika subsidi dimansuhkan, mungkin pembekal seperti saya boleh fikirkan peluang eksport ke luar negara termasuk Thailand secara sah. Tak ada penyeludupan lagi dan lebih ramailah pengeluar berlumba pasarkan produk mereka yang nanti boleh turunkan harga pasaran (disebabkan pengeluaran tinggi)," katanya.

Hampir 150 doktor pakar letak jawatan setiap tahun

Daripada Januari hingga September tahun ini, 128 doktor pakar telah meletakkan jawatan, manakala 124 orang mengambil langkah yang sama tahun lepas.
KUALA LUMPUR - Hampir 150 doktor pakar yang bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan jawatan setiap tahun sejak enam tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, daripada Januari hingga September tahun ini, 128 doktor pakar telah meletakkan jawatan, manakala 124 orang mengambil langkah yang sama tahun lepas.

"Unjuran sejak enam tahun lepas masalah doktor pakar yang meletakkan jawatan adalah hampir 150 orang setahun, kita terus kehilangan mereka menyebabkan antara faktor kurangnya doktor pakar," katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ikmal Hisham ingin tahu keseriusan masalah kekurangan doktor pakar di negara ini dan sama ada Malaysia mampu mencapai sasaran nisbah satu doktor kepada 400 pesakit menjelang 2020.

Hilmi berkata, antara penyebab doktor pakar meletakkan jawatan ialah mereka menunggu terlalu lama untuk dinaikkan pangkat.

Katanya, doktor pakar gred U53 dan U54 didapati paling ramai meletakkan jawatan apabila terpaksa menunggu sehingga 10 tahun untuk dinaikkan pangkat.

"Sehubungan itu kita sedang melakukan pelbagai langkah untuk memastikan mereka kekal dengan memperkenalkan satu lapis gred iaitu Gred 56 yang masih lagi dalam perincian Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Selain itu katanya, faktor pendapatan pakar di hospital kerajaan yang lebih rendah berbanding hospital swasta juga antara perkara yang diberi perhatian oleh kerajaan iaitu dengan memperluaskan polisi 'Pesakit Bayar Penuh' di hospital KKM untuk membantu pakar menambah pendapatan mereka.

Beliau turut memaklumkan, sehingga September tahun ini terdapat lebih 4,000 doktor pakar berkhidmat dengan KKM dalam pelbagai bidang kepakaran.

"Walaupun terdapat peningkatan bilangan doktor pakar saban tahun, namun kita kekurangan doktor pakar selaras peningkatan penduduk, beban penyakit dan sebagainya," katanya. - BERNAMA

Monday 7 November 2016

Syor ganjaran kepada penguat kuasa, orang awam


ALOR SETAR: Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian ganjaran dalam bentuk insentif kepada pasukan penguat kuasa yang berjaya mengesan dan melaksanakan tugas mencegah penyeludupan. 

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, sebagai langkah memastikan kegiatan haram itu tidak terus berleluasa, apatah lagi ia turut menjadi punca stok terhad minyak masak di pasaran ketika ini. 

Beliau berkata, selain pasukan penguat kuasa, penghargaan harus diberikan kepada masyarakat yang memberikan maklumat sehingga terbongkar dan tertangkapnya mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan. 

"Minyak masak diseludup dengan sewenangnya ke negara jiran sejak sekian lama dan nampaknya belum ada penyelesaian muktamad. Malah terbaharu aktiviti penyeludupan dilaporkan antara punca kekurangan minyak masak paket dalam pasaran negara. 

"Penyeludupan mengakibatkan puluhan juta ringgit wang subsidi mengalir keluar. "Justeru, pemberian insentif kepada penguat kuasa yang berjaya menjalankan tugas mengekang penyeludupan dan ganjaran kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat, cukup berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Selain itu, Syed Mohd Johan berkata, hukuman lebih berat termasuk sebatan dan hukuman mandatori pada individu terbabit penyeludupan juga boleh membantu mengekang kegiatan itu, malah lesen pengilang, pemborong juga harus dibatalkan serta merta sekiranya didapati mereka bersekongkol dengan penyeludup. 

Mengenai rasionalisasi subsidi harga minyak masak yang diperkenalkan kerajaan mulai bulan ini pula, katanya, ia adalah langkah ke hadapan bagi mengelakkan wang subsidi tiris kepada pihak lain dan penjimatan daripada wang subsidi itu boleh disalurkan kepada perkara lain.

Awas individu guna PhD palsu


KUALA LUMPUR – Awas kepada mana-mana individu yang menyalahgunakan gelaran akademik palsu di negara ini terutamanya doktor.

Ini kerana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menubuhkan pejabat pendaftaran bagi semua pemegang doktor falsafah (PhD) di Malaysia bagi mengatasi penularan kes penggunaan gelaran akademik palsu itu.

KPT dalam satu kenya­taan malam tadi berkata, pejabat pendaftaran itu di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi akan secara automatik mendaftar semua lulusan PhD di dalam negeri.

Bagi lulusan PhD seberang laut, pengesahan akan diperoleh daripada universiti-universiti ber­kenaan.

“Penubuhan pejabat pendaftaran ini bertujuan memudah dan membantu undang-undang sedia ada, selain perlindungan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan, yang memboleh­kan tindakan jenayah diambil terhadap pengeluaran dan penggunaan gelaran akademik palsu,” kata kenyataan itu.

Sunday 6 November 2016

Minyak masak Malaysia berlambak di Thailand

WARTAWAN Mingguan Malaysia menemu bual seorang peniaga barangan runcit di pekan Danok, Thailand.
SUNGAI GOLOK (Thailand) - Mudah diperoleh. Itulah ungkapan pertama yang keluar daripada mulut para peniaga kedai runcit di pasar Sungai Golok di sini ketika ditanya mengenai lambakan minyak masak keluaran Malaysia di premis mereka.

Situasi itu jelas menimbulkan persoalan memandangkan sejak minggu lalu bekalan minyak masak didapati berkurangan di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara sehingga menimbulkan keluhan ramai pengguna.

Tinjauan Mingguan Malaysia di pasar Sungai Golok dan kawasan sekitarnya mendapati hampir semua kedai runcit menjual minyak masak keluaran Malaysia, selain beberapa barangan kawalan lain seperti tepung gandum, bawang merah dan telur.

Seorang peniaga barangan runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Nong, 30, memberitahu, dia menjual minyak masak keluaran Malaysia kerana barangan keperluan itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di kawasan ini.

Katanya, dia memperoleh be­kalan minyak masak bersubsidi itu daripada rakyat Malaysia sendiri yang menjual secara borong kepadanya tanpa perlu melalui orang tengah.

“Kedai saya hanya menju­al minyak masak peket satu ki­logram dengan harga sekitar RM3.50 sehingga RM4. Harga tersebut membolehkan saya mendapat untung antara RM1 atau lebih bagi setiap satu kilogram.

“Pembekal saya juga terdiri daripada peniaga kedai runcit di Malaysia sendiri. Di Malaysia mereka menjual minyak masak dengan harga RM2.50, namun mereka tolak kepada saya antara harga RM2.70 atau RM2.80,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Somcat, 28, berkata, minyak masak keluaran Malaysia memang mendapat permintaan tinggi di sini kerana kualitinya berbanding Thailand yang menggunakan kacang soya.

“Selain kualiti, minyak masak Malaysia juga dijamin halal sekali gus menarik ramai pembeli beragama Islam di sini. 

Selain mendapatkan secara borong da­ripada pembekal Malaysia, saya kadang-kadang membeli sendiri di sekitar Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kota Bharu dengan kuantiti sedikit, namun berulang kali,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Ming­­guan Malaysia juga mendapati kawalan serta pemeriksaan khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Rantau Panjang masih longgar dan dilakukan secara ala kadar, sekali gus memudahkan kende­raan keluar masuk.

Keadaan itu mungkin dise­babkan hubungan yang rapat antara penduduk dengan pihak berkuasa sehingga orang ramai mudah berulang-alik membawa barangan keperluan termasuk yang bersubsidi dan tertakluk di bawah harga kawalan ke negara jiran itu.

Malah seorang wanita tidak takut menunggang motosikal da­ri CIQ Rantau Panjang dengan membawa lima hingga 10 papan telur untuk masuk ke bandar ini.

Friday 4 November 2016

Jack Ma dilantik penasihat ekonomi digital kerajaan Malaysia

Datuk Seri Najib Razak bersama Jack Ma ketika melancarkan Pavilion Alitrip Malaysia Tourism di China World Hotel, di Beijing.

BEIJING: Pengerusi Eksekutif Alibaba dan usahawan internet, Jack Ma dilantik penasihat ekonomi digital kepada kerajaan, umum Datuk Seri Najib Razak hari ini. 

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan Pavilion Alitrip Malaysia Tourism di China World Hotel, di sini, sebentar tadi. 

Najib berkata, beliau tidak sabar untuk berkongsi berita gembira mengenai perkara itu. 

"Jack Ma sudah menerima pelawaan untuk menjadi penasihat kepada Kerajaan Malaysia mengenai ekonomi digital. "Beliau akan menasihatkan kita dan membantu dalam menerokai, memajukan dan menentu hala tuju masa depan kita dalam sektor ini," katanya. 

Najib berkata, Ma juga bersetuju menyertai Forum Transformasi Global Malaysia ketika lawatannya ke negara ini ketika berlangsungnya persidangan e-Free Trade Zone, Mac tahun depan. 

"Kita berusaha pantas untuk menjadikan perkara ini (ekonomi digital) sebagai kenyataan," katanya.

Thursday 3 November 2016

KWSP perkenal akaun emas

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Sharil Ridza Ridzuan menyampaikan maklumat pada Majlis Taklimat Media Penambahbaikan Skim KWSP di Bangunan KWSP hari ini.

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan Akaun Emas untuk ahli yang masih bekerja selepas berusia 55 tahun mulai 1 Januari 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengeluaran penuh KWSP pada usia 55 tahun bagaimanapun tidak terjejas.

Menurutnya, Akaun Emas adalah sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan skim KWSP, di mana sumbangan selepas 55 tahun akan secara automatik diletakkan di bawah tabung persaraan kedua ini.

"Ia hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai usia 60 tahun bagi memastikan mereka mempunyai simpanan persaraan mencukupi apabila mencapai usia berkenaan," kata Shahril Ridza pada taklimat media mengenai penambahbaikan Skim dan Dasar KWSP di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, ahli yang mencapai usia 55 tahun mempunyai pilihan sama ada mengeluarkan semuanya atau terus menyimpannya manakala sumbangan baharu mereka akan dimasukkan ke Akaun Emas.

Shahril Ridza berkata, ahli akan menikmati dividen yang sama bagi kedua-dua akaun.    

"Apabila mencapai usia 60, simpanan ahli dalam Akaun 55 dan Akaun Emas akan disatukan untuk tujuan pengeluaran," jelasnya.

Shahril Ridza berkata, pekerja melepasi usia 60 masih boleh terus menyumbang dan membuat simpanan dengan KWSP sehingga mereka mencapai usia 100 tahun untuk terus menikmati bayaran dividen.

Akaun Emas adalah antara inisiatif yang dibentang di Parlimen tahun lepas dan diwartakan pada 18 Februari tahun ini.

Lain-lain inisiatif penambahbaikan termasuk perubahan kepada dasar penamaan, peningkatan dalam kuantum simpanan asas, pengeluaran sebelum persaraan untuk pekerja asing serta penambahbaikan pentadbiran dasar.

Semua inisiatif tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2017. - Bernama