Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Sharil Ridza Ridzuan menyampaikan maklumat pada Majlis Taklimat Media Penambahbaikan Skim KWSP di Bangunan KWSP hari ini. |
KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan Akaun Emas untuk ahli yang masih bekerja selepas berusia 55 tahun mulai 1 Januari 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengeluaran penuh KWSP pada usia 55 tahun bagaimanapun tidak terjejas.
Menurutnya, Akaun Emas adalah sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan skim KWSP, di mana sumbangan selepas 55 tahun akan secara automatik diletakkan di bawah tabung persaraan kedua ini.
"Ia hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai usia 60 tahun bagi memastikan mereka mempunyai simpanan persaraan mencukupi apabila mencapai usia berkenaan," kata Shahril Ridza pada taklimat media mengenai penambahbaikan Skim dan Dasar KWSP di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, ahli yang mencapai usia 55 tahun mempunyai pilihan sama ada mengeluarkan semuanya atau terus menyimpannya manakala sumbangan baharu mereka akan dimasukkan ke Akaun Emas.
Shahril Ridza berkata, ahli akan menikmati dividen yang sama bagi kedua-dua akaun.
"Apabila mencapai usia 60, simpanan ahli dalam Akaun 55 dan Akaun Emas akan disatukan untuk tujuan pengeluaran," jelasnya.
Shahril Ridza berkata, pekerja melepasi usia 60 masih boleh terus menyumbang dan membuat simpanan dengan KWSP sehingga mereka mencapai usia 100 tahun untuk terus menikmati bayaran dividen.
Akaun Emas adalah antara inisiatif yang dibentang di Parlimen tahun lepas dan diwartakan pada 18 Februari tahun ini.
Lain-lain inisiatif penambahbaikan termasuk perubahan kepada dasar penamaan, peningkatan dalam kuantum simpanan asas, pengeluaran sebelum persaraan untuk pekerja asing serta penambahbaikan pentadbiran dasar.
Semua inisiatif tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2017. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...