BURUNG memenuhi kawasan pantai di Ras Al-Khaima, Emiriah Arab Bersatu. |
KUALA LUMPUR: Fenomena burung memenuhi kawasan pantai di Ras Al-Khaima, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadi viral di media sosial, bukan petanda bencana bakal melanda dunia.
Pakar Ornitologi, Dr Farah Shafawati Mohd Taib, berkata fenomena itu berlaku ketika benua utara mengalami musim sejuk yang mendorong ribuan spesies burung berhijrah ke benua selatan terutama di kawasan tropika termasuk Asia.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, burung hijrah yang singgah di pantai itu sedang melalui koridor penerbangan udara yang dikenali sebagai 'Palearctic-Asia Flyway', meliputi sebahagian rantau Eropah hingga Asia Barat.
Perubahan iklim
"Kecenderungan ribuan burung hijrah singgah ke pantai berkenaan dipengaruhi beberapa faktor termasuk perubahan iklim, kehilangan habitat semula jadi di kawasan bersempadan dengan Sahara, suasana padang pasir di Afrika dan kawalan perosak di Eropah.
"Disebabkan usaha murni dilakukan kerajaan UAE dengan tanah yang sesuai untuk burung ini, tidak hairan mengapa semakin banyak burung hijrah singgah di sana," katanya.
Sejak kelmarin, video memaparkan ribuan burung hijrah singgah di pantai Ras Al-Khaima, UAE menjadi viral di media sosial sehingga ada pihak mengaitkan ia sebagai petanda bencana buruk bakal melanda dunia.
Farah Shahwati berkata, persekitaran UAE yang kaya dengan habitat tanah lembab seperti dataran lumpur, lagun dan 'sabkha', menjadikan ia kawasan perlindungan dan bagi kebanyakan spesies burung termasuk burung hijrah.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...