Saturday, 19 November 2016

SANGGUP FITNAH NEGARA SENDIRI UNTUK VISA PERLINDUNGAN

Kerjaya sebagai pengutip buah merupakan pekerjaan yang paling ramai diceburi oleh pekerja haram dari Malaysia di Australia.

Para pekerja haram Malaysia yang terdesak untuk mendapatkan visa perlindungan di Australia sanggup memfitnah negara sendiri dengan maklumat palsu sewaktu mengisi borang permohonan yang akhirnya memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

Abu, seorang pekerja haram berusia awal 20-an yang berasal dari Kuala Lumpur mendedahkan kepada penulis tentang alasan yang paling popular iaitu terlibat dengan pertubuhan haram Bersih sehingga diburu oleh polis dan kerajaan Malaysia.

“Alasan diburu kerajaan Malaysia selepas terlibat dengan Bersih amat popular, tetapi kita kena pastikan yang sebelum kita datang memang ada perhimpunan yang besar. Baru nampak lojik.

“Ejen-ejen visa pun guna alasan ini, kita macam ada satu set alasan popular yang tidak memerlukan pembuktian secara berdokumen dan perkara ini sudah tersebar dari mulut ke mulut, jadi semua orang guna alasan yang sama,” katanya yang sudah lebih setahun di Australia.

 Jelas Abu, turut popular adalah alasan palsu kononnya diburu oleh ah long dan berdepan dengan ancaman bunuh.

Dia juga mendakwa pernah menerima visa perlindungan selama enam bulan sebelum ditarik balik berikutan kesilapan mengisi maklumat peribadi.

“Saya bagi alasan sepupu pinjam duit dengan ah long dan sepupu saya lari ke luar negara sehingga saya yang diburu dan diugut bunuh.

“Saya kata sudah adu kepada polis tetapi tidak dipedulikan. Hujah saya ialah menyalahkan kerajaan dan sebab tertekan, saya buat cerita terpaksa lari ke Australia,” katanya.

Sewaktu penulis menyelinap masuk ke dalam pasaran buruh haram di ladang Cutri Fruit, dua daripada rakan serumah penulis dalam proses mengisi borang visa perlindungan.

Zizi, pekerja haram yang baharu tiba dua bulan lalu mengakui dia akan memberi alasan terlibat dengan Bersih manakala Osman, juga baru tiba dari Malaysia akan menggunakan alasan lari daripada ah long selepas diugut bunuh.

Kedua-dua mereka sepakat untuk menghantar sendiri permohonan dengan alasan tidak mahu ditipu ejen.
Penulis juga cuba mendapatkan maklumat mengenai ejen permohonan visa sewaktu mengunjungi sebuah restoran Malaysia di Swan Hill.

Menurut seorang pekerja haram, kosnya pelbagai bergantung kepada jenis visa dengan rekod termahal yang pernah didengarinya adalah AUD$5,000.

“Ini pakej lengkap tapi abang kena hati-hati, di sini ramai ejen menipu, jangan mudah percaya orang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...