Monday 7 November 2016

Syor ganjaran kepada penguat kuasa, orang awam


ALOR SETAR: Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian ganjaran dalam bentuk insentif kepada pasukan penguat kuasa yang berjaya mengesan dan melaksanakan tugas mencegah penyeludupan. 

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, sebagai langkah memastikan kegiatan haram itu tidak terus berleluasa, apatah lagi ia turut menjadi punca stok terhad minyak masak di pasaran ketika ini. 

Beliau berkata, selain pasukan penguat kuasa, penghargaan harus diberikan kepada masyarakat yang memberikan maklumat sehingga terbongkar dan tertangkapnya mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan. 

"Minyak masak diseludup dengan sewenangnya ke negara jiran sejak sekian lama dan nampaknya belum ada penyelesaian muktamad. Malah terbaharu aktiviti penyeludupan dilaporkan antara punca kekurangan minyak masak paket dalam pasaran negara. 

"Penyeludupan mengakibatkan puluhan juta ringgit wang subsidi mengalir keluar. "Justeru, pemberian insentif kepada penguat kuasa yang berjaya menjalankan tugas mengekang penyeludupan dan ganjaran kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat, cukup berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Selain itu, Syed Mohd Johan berkata, hukuman lebih berat termasuk sebatan dan hukuman mandatori pada individu terbabit penyeludupan juga boleh membantu mengekang kegiatan itu, malah lesen pengilang, pemborong juga harus dibatalkan serta merta sekiranya didapati mereka bersekongkol dengan penyeludup. 

Mengenai rasionalisasi subsidi harga minyak masak yang diperkenalkan kerajaan mulai bulan ini pula, katanya, ia adalah langkah ke hadapan bagi mengelakkan wang subsidi tiris kepada pihak lain dan penjimatan daripada wang subsidi itu boleh disalurkan kepada perkara lain.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...