Tuesday 31 May 2016

Takut dilabel miskin punca graduan dibelenggu hutang - AKPK

KUALA NERUS 31 Mei - Terlalu mementingkan gaya hidup mewah dan takut dilabel sebagai miskin menjadi faktor utama kebanyakan graduan berumur bawah 30 tahun terperangkap dengan hutang dan seterusnya mengundang kepada muflis.
Azaddin Ngah Tasir

Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir berkata, kebanyakan graduan membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit semata-mata untuk hidup mewah meskipun sebenarnya ia di luar kemampuan mereka.

"Graduan ini biasanya berumur di bawah 30 tahun yang mana mereka baru menamatkan pengajian dan baru saja memasuki alam pekerjaan dan biasanya mereka masih belum mempunyai simpanan yang banyak tetapi mereka sangat cenderung untuk terikut-ikut dengan gaya hidup mewah.

"Kebanyakkan mereka membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit untuk membeli gajet terbaharu dan pakaian mengikut trend selain untuk tujuan membeli kereta dan membayar pinjaman perumahan," kata Azaddin kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara AKPK dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan UniSZA, Prof. Dr. Izah Mohd Tahir dan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Puad Mat Som.

Mengulas mengenai MoU itu, Azaddin berkata, AKPK akan bekerjasama dengan UniSZA dari segi khidmat nasihat, kerjasama dalam latihan industri yang membolehkan pelajar dan kakitangan UniSZA ditempatkan di AKPK dan pegawai AKPK juga berpeluang melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

"Kita berterima kasih kepada UniSZA yang sudi menjalinkan kerjasama dengan pihak kami dan kerjasama ini diharapkan dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak," katanya. - BERNAMA

Malaysia sertai kelompok negara maju 2021

RAJIV BISWAS
KUALA LUMPUR 30 Mei - Malaysia bakal menyertai kelompok negara-negara maju menjelang tahun 2021, apabila pendapatan perkapita setiap penduduk negara ini diramal mencecah AS$15,000 (RM61,200) setahun daripada AS$9,900 (RM40,392) setahun setakat 2016.

Ramalan itu dibuat apabila nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka mencecah AS$500 bilion (RM2.04 trilion) pada tahun 2021 berbanding AS$300 bilion (RM1.124 tri­lion) pada tahun ini.

Malah menurut firma penyelidikan IHS Global Insight, pendapatan perkapita itu dijangka mencecah AS$30,000 (RM122,400) setahun pada tahun 2030, apabila KDNK Malaysia akan bernilai AS$1 trilion (RM4.08 trilion).

Ketua Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas berkata, ia adalah hasil penyertaan Malaysia di dalam perjanjian-perjanjian perdagangan global serta perkembangan era digital yang dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Ekonomi Malaysia akan tumbuh secara purata lima peratus dalam tempoh sedekad. Apabila KDNK melepasi nilai AS$1 trilion, Malaysia akan menjadi ekonomi kedua terbesar ASEAN selepas Indonesia,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Pendapatan per kapita dicapai apabila membahagikan nilai KDNK dengan jumlah penduduk negara. Pendapatan RM61,200 setahun ini bermakna pendapatan bulanan purata rakyat Malaysia pada 2021 ialah RM5,100 dan RM10,200 sebulan pada 2030.

Kata Biswas, nilai pendapatan perkapita itu adalah berdasarkan ramalan makro ekonomi yang dijalankan oleh IHS Global Insight terhadap Malaysia.

Jelasnya lagi, de­ngan peningkatan pendapatan isi rumah dan golongan berpendapatan menengah, perbelanjaan terhadap barangan seperti rumah, perabot, kesihatan, produk kewangan dan pendidikan akan menjadi enjin utama aktiviti ekonomi tempatan.

Selain itu katanya, sektor-sektor yang akan mengalami perkembangan yang baik ialah perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, perniagaan penyumberan luar, penerbangan komersial, per­khidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan pelanco­ngan.

Monday 30 May 2016

Kisah Dato' Khalid Yunus dan Datuk Seri Samy Vellu "menawan" Kedutaan Indonesia

KHALID Yunus dan Samy Vellu menaikkan bendera Malaysia di Kedutaan Indonesia dan menurunkan lambang Pancasila.
SEKALIPUN Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman menyedari perasaan marah rakyat Malaysia sedang memuncak terhadap Presiden Sukarno yang melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia, tetapi apabila sekumpulan pemuda yang menunjuk perasaan pada 17 September 1963 di Kuala Lumpur meminta supaya beliau memijak simbol Pancasila negara Indonesia, Tunku enggan berbuat demikian.

Simbol itu telah diturunkan dari bangunan Kedutaan Indonesia di Jalan Ampang dan diheret dengan skuter dan motosikal ke kediaman Perdana Menteri di Jalan Dato Onn.

Khalid Yunus pemberita Utusan Melayu yang dihantar untuk meliputi tunjuk perasaan itu telah bertukar menjadi penunjuk perasaan yang menurunkan simbol itu dari anjung bangunan kedutaan.

Menurut Khalid apabila sampai di kediaman Tunku, mereka telah memanggil Tunku keluar dan kemudian mengusung Tunku dan menyuruh Tunku, "pijak! pijak! pijak!" simbol yang dibawa oleh mereka itu tetapi apabila Tunku enggan, mereka meletakkan Tunku di atasnya. Tunku berkata "awatlah hampa buat aku macam ni".

Khalid nampak air mata Tunku tergenang tetapi tidak tahu sebabnya sama ada kerana terpaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan jiwanya atau kerana terharu dengan sikap mereka.

Datuk Seri Samy Vellu
Dato' Khalid Yunus

Sebagai Ketua Pemberita pada masa itu saya telah menugaskan Khalid untuk meliputi suatu perhimpunan yang dirancang secara kilat bagi membalas tindakan pemuda-pemuda Indonesia di Medan menunjuk perasaan dan menawan Konsul Malaysia di Medan.

Saya yang turut hadir di perhimpunan itu akhirnya terpaksa mengambil alih tugas Khalid membuat liputan dan menulis berita mengenainya kerana beliau tidak lagi menjalankan tugasnya sebaliknya berada di barisan depan pemuda-pemuda yang berarak dari suatu perhimpunan ramai yang bermula dari Padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru.

Perhimpunan itu telah mendengar ucapan-ucapan penuh bersemangat dan berapi-api mengecam konfrontasi. Di antara pemidatonya ialah Ketua Pengarang Utusan Melayu, Melan Abdullah yang muncul sebagai Ketua Barisan Bertindak Rakyat Malaysia yang ditubuhkan secara kilat untuk melancarkan perang saraf ke seluruh negara bagi memerangi konfrontasi Indonesia.

Perarakan ke Jalan Ampang itu membawa sepanduk anti Parti Komunis Indonesia (PKI) dan mengecam Menteri Luar Indonesia Subandrio dan Presiden Sukarno. Salah satu sepanduk itu berbunyi "Sukarno kuda tunggangan Aidit."

Perisytiharan

Tunjuk perasaan itu berlaku menjelang perisytiharan penubuhan Malaysia pada petangnya tanpa mempedulikan bantahan Indonesia yang menganggapnya sebagai gagasan penjajah. Pada hari itu juga hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia diputuskan.

Dalam perisytiharan penubuhan Malaysia itu Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman memberitahu perhimpunan lebih 20,000 orang di Stadium Merdeka.

''Kami bersedia untuk mengawal dan mempertahankan negara kami daripada serangan musuh dengan apa juga kuasa yang ada pada kami dan juga dengan nyawa kami" (lihat Looking Back )

Dalam perang saraf menentang Indonesia, Malaysia menumpukan serangan kepada PKI yang dipimpin oleh D.N. Aidit dan juga Subandrio. Sukarno lebih dilihat sebagai telah dipergunakan oleh PKI.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie telah mendapat maklumat dari berbagai sumber, tentang Sukarno tidak lagi dapat menolak kekuatan PKI. Antaranya ialah dari Duta Indonesia di Singapura, Sugiharto yang merupakan orang Sukarno.

Ghazali telah bertanya kepada Sugiharto kenapa Presiden Sukarno nampak bimbang dengan beberapa pihak yang dijemput untuk menyertai persidangan puncak antaranya dengan Tunku Abdul Rahman di Tokyo pada Jun 1963. Sugiharto memberitahu Ghazali bahawa PKI adalah sangat tidak senang dengan rancangan pertemuan ini. (Lihat buku Ghazali Shafie terbitan UKM: Memoir on The Formation of Malaysia)

Ini, kata Ghazali menghairankan kerana selalunya Sukarno bercakap besar mendakwa beliau dapat mengawal PKI dan juga PKI tidak boleh mempengaruhinya, malah ini dipercayai oleh Amerika. Sugiharto memberitahu itu "hanyalah gendang kosong" dan beliau meminta Malaysia tidak menjadikan ini sebagai propaganda. Ghazali segera sedar bahawa Sugiharto adalah president's man yang anti komunis.

Perkara ini lebih jelas lagi dalam buku Leftenan Jeneral Kemal Idirs "Bertarung dalam Revolusi. Beliau yang tidak bersetuju dengan Sukarno telah ditugaskan dalam masa konfrontasi untuk menyusun gerakan menyerang Malaysia dari Sumatera.

Mencerminkan

Di muka 191 buku ini, Kemal menulis, ''Perubahan politik Bung Karno mencerminkan suasana yang makin keruh. Semula dia beranggapan dengan karisma dan kepimpinannya dia dapat menguasai PKI. Ini meniupkan angin sejuk bagi mereka yang bergerak di tengah PKI dengan politik Nasakom (Gagasan Sukarno untuk menyatukan nasionalis, agama dan komunis).

''PKI tidak mensia-siakan kesempatan itu. Mereka duduk di pundak Bung Karno, secara cerdik mempergunakan kesempatan untuk kepentingan mereka sekali gus memupuk kekuatan di tengah masyarakat. Pada tahun 1965, pada perayaan hari ulang tahun PKI, suasana di tiap kota berubah bagaikan lautan komunis. Bendera merah bergambar pada palu arit berkibar di depan rumah anggota mahupun simpatisannya sepanjang hari baik di kota mahupun di desa.

''Bung Karno selalu merasa mampu mengatasi PKI kerana menganggap mereka adalah Komunis Nasional. Apakah Bung Karno tidak mengetahui hubungan PKI dengan China Komunis itu sangat erat? Bahkan pola PKI adalah juga pola China Komunis yang sudah beralih dari Rusia," kata Kemal.

Sebenarnya punca ketakutan di pihak tentera dan nasionalis Indonesia itu yang anti komunis adalah juga merupakan ketakutan yang pada Tunku Abdul Rahman. Tunku takut kepada komunis kerana komunis di Malaysia adalah sebahagian besar orang Cina.

Tunku telah pun memberitahu Sukarno ketika beliau menemuinya sebagai Ketua Menteri Malaya dalam tahun 1956 bahawa orang Melayu di negara kecil Malaya melihat Indonesia sebagai negara yang dapat memberikan pimpinan dan bantuan sekalipun telah merdeka dan berdaulat (Lihat Looking Back).

Tunku tentu mempunyai banyak sebab untuk tidak mahu memijak simbol negara Indonesia. Di antaranya ialah kerana sikap beliau yang sederhana yang selalu tergambar dalam pendekatan politiknya dan juga dalam sikap hidupnya.
Khalid Yunus yang mencatat sejarah sebagai orang yang berada di barisan depan dalam tunjuk perasaan yang pertama di negara ini terhadap Indonesia telah meninggalkan bidang kewartawanan di usia mudanya. Beliau menyertai politik.

Beliau antara lain pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian Tan Sri Samad Idris, Setiausaha Parlimen dan juga Timbalan Menteri Penerangan.

Sejak persaraannya dari politik, Khalid aktif dalam bidang kesukanan. Beliau sekarang menjadi Presiden Persatuan Kembara Malaysia. Jika dalam usia mudanya beliau memanjat dan memacakkan bendera Malaysia di bangunan Kedutaan Indonesia, di dalam usianya yang menjangkau 70-an beliau telah mendaki beberapa gunung di dalam dan di luar negara dan memacak bendera Malaysia di mana beliau sampai.

Di antara gunung yang telah didakinya ialah di gunung tertinggi di Perancis Mont Blanc, gunung tertinggi di benua Amerika Selatan Gunung Acongcagoa Argentina, gunung tertinggi di Afrika, Kilimanjaro Tanzania, Gunung Kerinci di Indonesia dan Gunung Everest. Sekalipun beliau tidak sampai ke puncaknya tetapi setakat mana beliau sampai di sana beliau memacakkan bendera negara. -Utusan

BERDEPAN dengan cuaca ekstrem di bawah paras beku antara pengalaman yang pernah dilalui Khalid ketika misi menawan puncak Everest satu ketika dahulu.

Ramadan: Hotel digesa denda pelanggan membazir

Keratan Akhbar Mengenai Statistik Pembaziran Makanan Yang Sering Terjadi di Malaysia Sewaktu Bulan Ramadhan
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pengusaha hotel atau restoran yang menawarkan hidangan buffet berbuka puasa agar mengenakan denda ke atas mereka yang membazir sepanjang bulan Ramadan ini.    

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata tindakan tersebut perlu kerana pembaziran merupakan budaya yang merugikan selain ia menjejaskan kemanisan ibadah puasa.     

"Selain mendenda pelanggan, hotel juga boleh mengedarkan makanan (makanan yang tidak disentuh) kepada mereka yang memerlukan seperti pelajar, golongan gelandangan, rumah kebajikan atau dihantar ke masjid," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

"Elak pembaziran buffet Ramadan, pihak berkuasa tempatan diminta kuatkuasa denda" di sini hari ini.    

Beliau berkata, pengusaha juga boleh menyediakan alternatif lain seperti membungkusnya agar pelanggan boleh membawa pulang makanan yang tidak habis dimakan.    

"Sebagai langkah untuk mengawal dan mengurangkan pembaziran ini, saya cadangkan agar kerajaan wujudkan garis panduan dan polisi berhubung pembaziran makanan dan menubuhkan satu jawatankuasa untuk kendalikannya," katanya.     

Nadzim berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jumaat lepas bagi mencari kaedah terbaik mengurangkan pembaziran di bulan Ramadan. - Bernama

'Reunion' isteri bawa petaka

ANGGOTA polis menahan isteri Zamri bersama teman lelakinya di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Chow Kit.
Kuala Lumpur: “Angkara majlis pertemuan semula, rumah tangga kami musnah apabila cinta monyet isteri dengan rakan sekolah kembali berputik hingga terjerumus ke lembah zina,” kata seorang suami yang mahu dikenali Zamri, 47, selepas isterinya ditangkap khalwat bersama bekas rakan sekolah di sebuah hotel di Jalan Chow Kit, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, hati Zamri hancur selepas dimaklumkan polis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) isterinya berusia 52 tahun ditangkap khalwat bersama bapa enam anak.

Menurut Zamri, dia tidak menyangka tindakan ibu kepada empat anak dan dua cucu terbabit membuat permohonan cerai sebelum ini hanya kerana mahu bersama dengan lelaki yang dipercayai bekas kekasihnya ketika di bangku sekolah dulu.

Katanya, perubahan sikap isterinya itu mula dikesan selepas dia menghadiri majlis pertemuan semula yang diadakan bagi mengumpulkan rakan sekolahnya di Setapak Rampai, di sini, pada September tahun lalu. -myMetro

Sunday 29 May 2016

Terkuburnya kota Mesir Purba Heracleion


LAUT Mediterranean yang terbentang dengan panorama indah berlatarkan air laut berwarna biru kehijauan menyajikan pemandangan hebat buat para pelancong.

Terletak pada kedudukan di antara Eropah di bahagian utara, Afrika di selatan dan Asia di timur, Laut Mediterranean dengan keluasan 2.5 juta kilometer persegi turut menyimpan khazanah alam laut yang cukup bernilai.

Kepelbagaian hidupan marin seper­ti terumbu karang, anjing laut serta bermacam-macam spesies ikan termasuk ikan lumba-lumba dan paus pembunuh menjadi antara penghuni kejernihan dasar Laut Mediterranean.

Lautan yang dikelilingi dengan tiga dataran daripada benua berbeza menambahkan lagi keunikan lokasi Laut Mediterranean yang terletak berhampiran dengan Selat Gibraltar iaitu tempat yang memisahkan laut tersebut dengan Lautan Atlantik.

Tumpuan ratusan ikan lumba-lumba dan ikan tuna biru di perairan tersebut turut menjadi daya tarikan utama serta pendapatan sumber rezeki para nelayan tempatan.

Lautan terpisah

Perkataan ‘Mediterranean’ yang membawa maksud lautan di tengah-tengah daratan dikelilingi lebih daripada 15,000 gunung berapi aktif di 21 buah negara sekitar Laut Mediterranean seperti Turki, Algeria, Itali dan Greece.

Lima juta tahun lalu, Laut Mediterranean yang wujud pada hari ini merupakan sebahagian daripada Lautan Atlantik yang terpisah oleh dinding batu yang terbentuk akibat letusan gunung berapi di dasar laut di Selat Gibraltar.

Pembentukan dinding batu sepanjang 14 kilometer itu akhirnya membentuk lautan baharu yang dikenali sebagai Laut Mediterranean.

Apa yang menarik, air Laut Mediterranean yang telah terpisah dengan Lautan Atlantik bagaimanapun tidak bercampur, malah kedua-dua lautan tersebut mempunyai tahap kemasinan air laut yang berbeza di mana air daripada Laut Mediterranean lebih masih berbanding air di Lautan Atlantik.

Keindahan dasar Laut Mediterra­nean yang membiru bagaimanapun juga tidak terlepas daripada beberapa peristiwa hitam dalam tragedi yang telah meragut ribuan nyawa.

Tahun lalu, dunia digemparkan dengan beberapa insiden bot karam yang membawa ratusan pelarian dari negara-negara bergolak seperti Somalia, Sudan, Ethiopia dan Mesir di Laut Mediterranean.

ARTIFAK berbentuk teko yang diperbuat daripada tembaga membuktikan kemajuan peradaban masyarakat Mesir purba sejak 2,000 tahun lalu.
Menurut agensi pemantau pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 700 pendatang yang berlepas dari Tobruk, Libya disahkan mati lemas di Laut Mediterranean selepas bot yang mereka naiki terbalik dan karam akibat terlebih muatan pada 20 April tahun lalu.

“Mangsa yang ditemui hidup membabitkan 37 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun,” kata Carlotta Sami, jurucakap Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Kejadian tersebut yang disifatkan antara nahas paling buruk berlaku dalam krisis migrasi selama berdekad membabitkan pendatang di Laut Mediterranean menjadikan jumlah korban sejak awal tahun lalu adalah sebanyak 1,500 mangsa.

Maka tidak hairanlah, kerana kedudukannya yang menghubungkan tiga daratan benua berbeza, Laut Mediterranean menjadi laluan strategik menghubungkan banyak negara sejak dahulu apabila para pedagang terutamanya dari Mesir, Yunani Kuno, Rom Kuno dan Asia Barat menjadikan Laut Mediterranean sebagai laluan perdagangan yang penting.

Kota purba

Penemuan kota legenda Mesir purba yang tenggelam di dasar Laut Mediterranean menyingkap bukti kewujudan sebuah bandar suatu ketika dahulu sebelum lenyap ditelan lautan.

Pada 29 April 2013, sekumpulan pakar arkeologi telah berjaya mengesan dan menemui kota tua yang telah tenggelam di dasar Laut Mediterranean sejak 1,200 tahun yang lalu.

Kota purba Mesir yang kenali sebagai Heracleion telah dibina pada abad kelapan sebelum masihi (SM) dan ditemui dalam bentuk runtuhan bangunan batu-bata pada dasar laut dengan kedalaman hampir 1,000 meter di bawah air pada kedudukan 11 hingga 15 kilometer dari barat Aboukir Bay, Mesir.

Kota Heracleion yang dibina sebelum kemunculan kerajaan Alexandria pada tahun 331 SM merupakan sebuah pelabuhan utama bagi laluan masuk ke Mesir bagi semua kapal yang datang dari seluruh dunia.

Kota yang dikenali sebagai Thonis oleh masyarakat Yunani itu mula diterokai oleh ahli geologi dari European Institute for Underwater Archaeology, Franck Goddio pada tahun 2000 sebelum ekspedisi pencarian besar-besaran dilakukan.

STRUKTUR dinding batu yang ditemui diukir dengan tulisan Mesir Kuno dan Yunani Kuno.
Semasa penerokaan dilakukan, ahli ekspedisi turut menemui 64 buah kapal yang terkubur di dasar laut yang terbentuk daripada struktur tanah liat dan pasir termasuk syiling emas dan timah yang digunakan sebagai alat tukaran semasa perdagangan.

“Kota yang ditemui terbahagi kepada beberapa daerah yang menarik dan dibina dengan struktur binaan luar biasa,” ujar Dr. Damian Robinson, pengarah Oxford Centre for Maritime Archaelogy dari Universiti Oxford.

Menurut Robinson lagi, penemuan tersebut sekali gus memberi gambaran yang jelas tentang aktiviti perdagangan yang berlaku pada waktu itu serta membongkar kegiatan ekonomi yang diniagakan dari Yunani dan Fenisia yang negaranya merangkumi pesisir Lebanon, Palestin, Israel dan Syria.

Baru-baru ini, para penyelam ekspedisi telah menemui berpuluh-puluh sarko­fagus atau keranda yang diperbuat daripada batu dan tanah liat mengandungi bangkai binatang yang telah dijadikan mumia untuk tujuan sajian pemujaan bagi dewa pada masa itu.

Hasil penelitian yang dibuat bersama pihak dokumentari German TV, penemuan kota Mesir kuno itu berbentuk tiga dimensi dengan bahagian tengah kota tersebut terdapat kuil besar Dewa Amun-Gereb iaitu dewa tertinggi masyarakat Mesir pada saat itu.

Sehingga kini, para ahli sejarah menjelaskan tekanan pada tanah yang mengandungi tanah liat dan kadar air bawah tanah yang besar menjadi faktor kota purba itu tenggelam.

Bencana banjir luar biasa dan gempa bumi telah menyebabkan kerosakan besar sekali gus menenggelamkan kota Heracleion menjadi sebuah dataran lautan yang terbentang luas.

Selepas sekian lama, peradaban kota purba yang mula ditemui oleh ahli arkeo­logi Perancis, Dr. Franck Goddio pada abad ke-18 itu mula pudar dalam catatan dan ingatan penduduk tempatan sehingga usaha membawa naik saki-baki isi bandar Heracleion dijalankan. -Kosmo!

Saturday 28 May 2016

Buat kereta biar pandai, comel...jangan masuk politik

Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
SHAH ALAM - Bekas Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir mendedahkan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menasihatkan beliau agar tidak menceburi bidang politik.

Sebaliknya bekas Menteri Besar Kelantan itu menyarankannya fokus kepada bidang yang sedang diceburinya ketika itu.

Cerita Syed Zainal, Allahyarham mengingatkan bahawa setiap manusia di muka bumi ini ada peranan masing-masing dan ALLAH SWT memberi sesuatu itu mengikut kesesuaian hambaNya.

“Ada satu ketika sewaktu saya masih dalam Proton, adalah keinginan untuk berkecimpung dalam politik sedikit. Orang belah kanan pun ada minta, orang belah kiri pun ada minta...menjemput saya untuk berkecimpung dalam politik. Jadi, saya pun fikir bagaimana saya nak buat keputusan, akhirnya saya pergi berjumpa Tok Guru.

“Beliau Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan ketika itu. Saya fikir nasihat beliau nanti akan bias. Dalam pertemuan itu saya tanyalah, ‘Tok Guru, ambo nak tanya sedikit. Ambo minat nak masuk politik jadi, nak tanya pandangan Tok Guru’. Dalam hati saya, beliau mesti ajak masuk Pas.

“Beliau tengok muka saya. Beliau kata senang saja, ‘Datuk tak payah masuk politik. Datuk teruskan sahaja...berdakwah, buat kereta biar pandai, comel. Jangan masuk politik. Pas pun jangan masuk, Umno pun jangan masuk’,” ceritanya ketika menjadi panel pada Wacana: 'Dunia Pendidikan Tok Guru' di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, di sini, hari ini.

Ketika meminta Allahyarham mengulas lanjut berkaitan larangan tersebut, Nik Aziz berkata, “kalau semua orang masuk politik, siapa nak tadbir ekonomi? Kalau semua orang jaga ekonomi, siapa nak berpolitik? Jadi, Datuk buat apa yang Datuk buat.”

Menurut Syed Zainal, Nik Aziz seorang yang praktikal dan kesederhanaannya boleh dilihat oleh banyak pihak.

“Beliau tak ajak saya masuk Pas bermakna beliau itu seorang yang praktikal. Nasihat diberi itu khusus apa yang terbaik untuk saya bukan untuk dia atau parti dia.

“Setiap kali saya datang ke rumah Tok Guru dalam keuzuran itu, mesti beliau bawa makanan sendiri. Beliau bawa nasi dan hidang satu-satu. Saya kata Tok Guru tak payah buat semua ini tapi dia kata ‘eh tak apa. tetamu itu penting’,” katanya.

Mencontohi amalan Tok Guru, Syed Zainal akui mempraktikkan perkara tersebut di rumahnya sendiri.

“Mula-mula saya rasa kekok tapi lama-lama saya rasa kepuasan apabila tetamu keluar dari rumah saya dengan wajah berseri. Mudah tapi bila kita tak buat, kita tak tahu nikmatnya.

“Saya rasa ramai juga yang salah faham dengan Tok Guru ini. Sebab ilmunya dalam sangat. Kamu dengar tak faham tapi cuba dengar dan buat. Barulah kamu faham apa maksud dia yang sebenar,” katanya. -SH

Esok bayor!

HAZIQ Zulfaqar menunggu pelanggan di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Lima, Batu Pahat.
Batu Pahat: “Tiada wang kecil, esok bayar,” itu kaedah dipraktikkan dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menarik pengguna jalan raya di simpang lampu isyarat di Jalan Simpang Lima, di sini, untuk membeli kopi dan sandwic dijual sejak lebih tiga minggu lalu.

Bermula jam 6.30 pagi hingga 9 pagi, kehadiran dua penuntut berkenaan dapat dilihat di laluan itu. Mereka menjual barangan perniagaan ala konsep pandu lalu dengan membawa kopi serta sandwic telur dijual pada harga RM1 dan RM2.

Malah, penghantaran secara terus ke kereta dan menyediakan kaedah bayaran pada keesokan harinya menarik perhatian pemandu yang melalui jalan berkenaan untuk membelinya.

Walaupun keuntungan diperoleh sedikit, ia cukup buat Mohd Hishamuddin Haris, 21, dan Haziq Zulfaqar Sallehudin, 22, kerana ia boleh digunakan bagi menampung kos perbelanjaan harian mereka.

Malah, keuntungan itu juga diharap dapat membantu membayar yuran pengajian, sekali gus meringankan beban ibu bapa mereka.

Menurut Mohd Hishamuddin, idea untuk berniaga kopi di tepi jalan itu tercetus selepas melihat seorang rakannya berniaga di bawah kondominium di Kuala Lumpur.

“Permintaan orang ramai yang menggemari minuman kopi memberi ilham untuk saya berniaga di sini. Kebetulan saya dan Haziq Zulfaqar sedang bercuti, jadi lebih baik masa lapang ini diisi dengan kegiatan berfaedah,” katanya. -myMetro

Mati terjun tingkat 16

Georgetown: Seorang gadis berusia 21 tahun ditemui mati selepas terjun dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Jalan Gangsa, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.20 petang, mangsa, Darshwim Premkumar, seorang pelajar kolej swasta dikatakan bergaduh dengan teman lelakinya yang berada di Ipoh, Perak.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan pemeriksaan awal mangsa dipercayai kecewa sebelum naik ke tingkat 16 dan meninggalkan selipar yang dipakai di kawasan koridor.

Katanya, keluarga mangsa kemudian mengesahkan selipar yang ditemui itu adalah milik mangsa.

"Punca sebenar kejadian masih disiasat dan kes diklasfikasikan sebagai kematian mengejut," katanya ketika ditemui di Program Pencegahan Jenayah Amaniya Timur Laut Bersama Komuniti di Flat Free School semalam. -myMetro

Tiga langkah mudah untuk dapatkan wang tunai


HENDAK membeli-belah di laman-laman web perniagaan atas talian dan mendapat pulangan wang tunai (CashBack) daripada pembelian itu?  

Kaedah pembelian cara baharu ini diperkenalkan melalui  satu laman web yang diberi nama ShopBack di mana ia mengumpulkan semua portal membeli belah atas talian.

Sekiranya anda melakukan pembelian di laman-laman perniagaan atas talian seperti Lazada, Groupon, Agoda, Qoo10 dan Zalora, selain anda menikmati diskaun anda juga akan mendapat kembali wang tunai yang telah dibelanjakan setiap kali anda melakukan pembelian di laman-laman web tersebut.

Caranya adalah:

1. Pergi ke https://www.shopback.my/?raf=31x1Y3‎ buat pendaftaran dan layari kedai kegemaran anda menerusi link yang disediakan di situ.

2. Selepas anda  pergi ke laman web yang berkenaan, teruskan dengan membuat pembelian seperti biasa.

3. Sesudah anda selesai membuat pembayaran, periksa akaun ShopBack anda dan dalam tempoh 48 jam, akaun anda akan dikreditkan dengan CashBack.

Hanya dalam tiga langkah mudah anda boleh mendapatkan CashBack anda! Percayalah.

Kini laman web ShopBack semakin dikenali sebagai alat penjimatan dalam talian di negara barat dan sedang berkembang dengan pantas di Singapura, Malaysia, Filipina, India dan Indonesia.

ShopBack sudah menjalin kerjasama dengan lebih daripada 500 e-peruncit antarabangsa dan tempatan seperti Lazada, Groupon, Agoda, Qoo10 dan Zalora.

ShopBack mula dilancarkan pada 22 Februari 2015 dan telah berkembang menjadi laman CashBack terbaik dalam negara mahupun di sekitar Asia Tenggara.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.shopback.my/?raf=31x1Y3‎ dan ikuti perkembangan terkini ShopBack melalui Facebook di www.facebook.com/shopbackmalaysia .

Friday 27 May 2016

ADUN Meru, Dr Abdul Rani calon PAS di Sungai Besar

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman.
SUNGAI BESAR: PAS mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, 18 Jun ini. 

Pemilihan Dr Abdul Rani, 58, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Markas PAS Simpang Lima, di sini, hari ini. 

Abdul Hadi berkata, keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh Majlis Syura Ulama. 

Yang hadir sama ialah Naib Presiden yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad; Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz dan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. -BH

Biodata Ringkas Dr Abdul Rani Osman

Beliau merupakan seorang doktor perubatan dan mempunyai sebuah klinik swasta di Pekan Meru iaitu Klinik Fitrah. Beliau yang berkelulusan M.B.CH.B (Ijazah dalam bidang Perubatan) dari Tanta Universiti Republik Arab, Mesir telah membuka klinik tersebut semenjak sekian lamanya dan bertempat di Batu 6 1/2, Pekan Meru, Klang, Selangor.

Perkhidmatan yang beliau sumbangkan amat dirasai dan dihargai penduduk Meru. Kini, klinik beliau diselia oleh beberapa orang doktor gantian dan pelatih justeru beliau kini merupakan seorang wakil rakyat.

Thursday 26 May 2016

Jurutera Malaysia di sebalik Menara Jam Diraja Mekah


BANGSA-NYA MELAYU, AGAMA-NYA ISLAM
TANAH AIR-NYA MALAYSIA, NASAB-NYA "WAN"

A Malaysian Legend - Find Your Turning Point

Siapakah Lelaki Muda, Multi Millionaire Berusia 33 Tahun Di Bawah Ini? Mungkin Ramai Yang Tidak Mengenali Beliau. Tetapi Semalam Adalah Hari Yang Sangat Mengujakan Saya. Saya Berpeluang Untuk Bertemu Beliau Yang Saya Sifatkan Sebagai A Malaysian Legend, A Living Legend.

Nama Beliau Adalah Wan Nazri Wan Aria. Apa Hebatnya Beliau?

Royal Clock Tower, Makkah Yang Disifatkan Sebagai The Miracles Of Modern Engineering. (Boleh Tonton Pelbagai Video Berkenaan Pembinaan Royal Clock Tower Itu Di Youtube). Dinyatakan Di Pelbagai Tempat Bahawa Clock Tower Itu Dibina Oleh Sebuah Syarikat Terkemuka Di German, Sl Rasch.

Selain Itu, Projek Pembesaran Masjidil Haram Agar Dapat Memuatkan 10 Juta Jemaah Haji Juga Telah Disiap Dirangka Dan Dirancang.

Berdasarkan Kajian Dilakukan, Dapat Diketahui Bahawa Individu Yang Dilantik Selaku Ketua Untuk Menjalankan Projek Clock Tower Berkenaan Serta Bertanggungjawab Merangka Pelan Pembesaran Mekah Adalah Seorang Anak Muda Dari Malaysia, Bernama Wan Nazri Wan Aria.

Kebetulan Dia Sedang Berada Di Malaysia, Maka Kesempatan Itu Digunakan Saya Untuk Bertemu Beliau.

Kehebatan Sebelum Ini Memang Diketahui Berdasarkan Kajian. Tetapi Setelah Duduk Berbual, Banyak Lagi Perkara Hebat Diketahui Mengenai Individu Ini.

Beliau Berasal Dari Sebuah Keluarga Yang Susah Dan Menetap Di Sebuah Kawasan Belum Membangun Di Kuala Lumpur. Bukan Lulusan Mana Mana Sekolah Hebat. Hanya Bersekolah Biasa Di Segambut. Kemudian Menyambung Pelajaran Dan Berjaya Lulus Degree Di Dalam Engineering Dari Uitm Dan Pada Mulanya Bekerja Di Sebuah Syarikat Tempatan. Pada Usia 25 Tahun, Beliau Berasa Tidak Puas Dan Ingin Mencabar Diri.

Maka Beliau Meletakkan Jawatan Dan Bertekad Menyambung Belajar Peringkat Master Di Germany Menggunakan Wang Sendiri. 

This Is What I Always Said "All Successful People Had Their Turning Point Some Point In Life. We Just Have To Make Ours.

Mengapa Germany? Sebab Beliau Merasakan Bahawa Di Situlah Tempat Paling Utama Dan Paling Mencabar Untuk Seseorang Engineer Di Dunia. Walaupun Pada Mulanya Tidak Pandai Berbahasa Germany, Beliau Telah Memaksa Diri Untuk Belajar Segera. Sebab Semua Pelajaran Adalah Di Dalam Bahasa Berkenaan. Belajar Engineering Dah Susah, Belajar Peringkat Master Dah Susah, Belajar Bahasa German Dah Susah, Apatah Lagi Belajar Kesemuanya Serentak!

But He Did. And He Did Very Well. Selepas Berjaya Mencapai Keputusan Yang Cemerlang, Pelbagai Syarikat Besar Terutamanya Di Dalam Otomobil Berebut Menawarkan Beliau Kerja. Namun Semuanya Ditolak Beliau Di Atas Minat Beliau Kepada Structural Engineering. Maka Beliau Telah Memohon Kerja Di Sebuah Syarikat Sl Rasch, Sebuah Syarikat Germany Yang Terkenal Di Dalam Bidang Structural Engineering. 

Pada Mulanya, Syarikat Berkenaan Tidak Minat Untuk Mengambil Beliau Kerana Mereka Tidak Percaya Akan Kebolehan Engineer Bukan Dari Germany Atau Eropah. Kerana Bagi Mereka, Orang Germany Paling Pandai Di Dalam Bidang Engineering Dan Mereka Sudah Mempunyai Ramai German Engineers.

Namun, The Boss Opened The Door For Him. "Impress Me In 6 Months Or You Have To Go", He Said. Impress Him He Did. Dia Terus Ditawarkan Kerja Berkenaan.

Kemudian Syarikat Berkenaan Telah Berjaya Mendapatkan Tender Membina Royal Clock Tower Di Mekkah, Melalui Design Yang Dibuat Oleh Wan Nazri. Atas Kejayaan Itu, Sl Rasch Telah Menghantar Wan Nazri Sebagai Ketua Konsultan Untuk Projek Berkenaan Bagi Mengawasi Pembinaannya Dari A - Z. 


Engineer Arab Sangat Skeptikal Terhadap Engineer Dari Asia Juga. Tetapi Memandangkan Wan Nazri Datang Dari German, Beliau Sangat Dihormati, Apatah Lagi Beliau Memperlihatkan Kecekapan Dan Kepakaran Beliau. Sehingga Ada Syarikat Besar Di Arab Menawarkan Gaji Ratusan Ribu Sebulan Untuk Memancing Beliau. C

Kini Beliau Ada Di Malaysia Dengan Tujuan Kata Beliau Adalah Untuk Mencari Bakat - Bakat Baru Di Malaysia Dan Melatih Mereka Bagi Mengenengahkan Mereka Di Peringkat Dunia. Beliau Tidak Mencari Engineer Yang Berpengalaman, Tetapi Beliau Mengumpulkan Ramai Anak Muda Yang Baru Graduate Dan Mempunyai Potensi Besar.

Beliau Kata, The World Is A Different Game Altogether. Before Accepting Any Project Outside To Give To My Fellow Malaysian, I Need To Prepare Them First. 
Seorang World Player, Tetapi Tidak Lupa Untuk Kembali Ke Negara Asal Bagi Memberi Ruang Dan Peluang Kepada Anak Muda Lain. Kata Beliau, "My Boss At Sl Rasch Helped To Open The Door For Me, Now I Am Helping To Open The Door For Others. I Am Just Returning The Favour".

Bila Diterangkan Kepada Beliau Mengenai Projek Yang Sedang Kami Usahakan, Beliau Sangat Supportive Dan Berjanji Memberi Apa Jua Bantuan Yang Boleh Beliau Berikan.

Soalan Terakhir Saya, "Encik Wan, Boleh Cakap Melayu Tak?"

"Sudah Tentu, Saya Orang Melayu"

Brilliant Guy. Absolutely Brilliant. An Honor For Me To Meet You, Sir 


Sumber: Wahidin Abdul Rahman

Bila sudah terlalu kaya

Leftenan Saif Sultan Rashed al-Shamsi yang mengetuai polis pelancong Dubai bersama BMW i8,
antara kereta mewah sebagai kenderaan peronda polis Dubai.
Dubai: Imej amat penting di Dubai, termasuk polis yang kini memiliki barisan kereta berkuasa tinggi sama ada kereta sport atau SUV sebagai kereta peronda yang dikumpul sejak beberapa tahun lalu.

Kereta peronda polis itu bukan untuk bertugas mengawal lalu lintas, mengejar pesalah trafik, kemalangan atau mengejar penjenayah sebaliknya hanya sebagai hiasan untuk menggambarkan ‘kehebatan’ polis Dubai.

Polis wanita Dubai berjalan ke barisan kereta
peronda polis yang menggunakan kereta mewah
ketika pertunjukan di Dubai. 
Leftenan Saif Sultan Rashed al-Shamsi yang mengetuai mengendali pasukan polis pelancong Dubai berkata, kenderaan terbabit untuk acara tertentu di Dubai atau dipandu di kawasan tumpuan pelancong bagi memberi imej glamour polis.

Menurutnya, ia juga antara cara menarik penerimaan orang ramai terhadap polis di negara yang mempunyai ramai pekerja asing.

“Kenderaan itu memang menarik perhatian kerana ada pelancong menghubungi talian kecemasan polis, 999, bertanya di mana kenderaan berkenaan berada kerana mereka mahu bergambar,” katanya.

Antara kereta yang digunakan ialah BMW i8 yang pintunya terbuka seperti sayap, berharga kira-kira RM570,000 setiap satu dengan nombor plat 2020 sempena Ekspo Dunia 2020 di Dubai. Ia juga mempunyai Bentley Continental dua pintu, Nissan GTR dan SUV Brabus Mercedes-Benz G63 AMG berharga lebih RM820,000. -AP

Wednesday 25 May 2016

Budaya minum kopi, nasi lemak perlu dihentikan waktu kerja


KUALA LUMPUR 25 Mei - Budaya minum kopi dan makan nasi lemak dalam waktu kerja perlu dihentikan bagi memastikan kerja yang dihasilkan adalah berkualiti.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut telah menjadi kebiasaan kepada penjawat awam yang datang tepat pada pukul 8.30 pagi namun antara pukul 9.30 dan 10 pagi kebanyakannya akan turun minum kopi dan makan nasi lemak.

Katanya, kecenderungan itu menunjukkan hadir awal ke tempat kerja tidak menjamin pekerja menghasilkan produktiviti kerja yang baik.

“Saya memang gemar melihat kakitangan saya berada di pejabat, bagaimana pun saya lebih berminat untuk melihat hasil kerja mereka.

“Tidak berada di pejabat tepat pada waktunya tidak mengapa asalkan kerja yang diberi siap. Saya lebih suka begitu berbanding berada tepat pada masanya di pejabat namun pukul 10 lesap dan tidak buat kerja yang disuruh. Jadi persekitaran kerja di masa akan datang perlu diubah termasuk sektor awam,” katanya.

Beliau berucap dalam Persidangan Modal Insan Tun Abdullah Ahmad Badawi kali kedua bertemakan ‘Memperkukuhkan Modal Insan Bagi Ekonomi Berdaya Saing di sini hari ini.

Yang turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Michael Yeoh.

Mengulas mengenai persidangan tersebut, Khairy berkata, bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan setanding dengan negara maju dalam tempoh lima tahun akan datang, empat agenda utama perlu diberi perhatian bagi mencapai hasrat tersebut.

“Antaranya negara perlu merangkumkan semua lapisan masyarakat iaitu wanita, pelajar dan orang kurang upaya dalam menghasilkan produktiviti yang kolektif,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, kerajaan sentiasa berusaha memperkenalkan pelbagai langkah dan polisi untuk memastikan bila­ngan modal insan berkemahiran mencukupi dan berkualiti bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2020.

“Dalam memastikan negara berupaya menghasilkan modal insan yang berkualiti, kita harus menyesuaikan diri dan mengambil segala contoh teknologi dan perubahan budaya yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.

Gaji 'penggodam topi putih' lindungi sistem kerajaan


KUALA LUMPUR 25 Mei - Kerajaan boleh menggaji penggodam beretika atau dikenali sebagai `penggodam topi putih’ untuk mencegah sistem komputer yang digunakan terutama oleh agensi strategik disabotaj atau digodam penjenayah siber.

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, itu antara langkah proaktif yang perlu dilakukan kerajaan bagi menangani masalah itu selain melantik pegawai yang lebih berintegriti untuk mengendalikan sistem-sistem berkenaan.

“Kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif dan berkesan bagi mencegah masalah ini yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada keselamatan negara.

“Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ini termasuk melantik penggodam beretika kerana mereka mempunyai kepakaran dalam menangani isu ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam percaya wujud perbuatan sabotaj di peringkat dalaman melibatkan pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) menyebabkan sistem itu tergendala hampir setiap hari.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti kelemahan sistem itu menjadi antara punca Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dibolosi sindiket pemalsuan pasport dan pemerdagangan manusia.

Seorang lagi penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pemeriksaan lebih terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti sebarang masalah atau kelemahan yang dihadapi sistem di bawah kelolaan kerajaan.

“Agensi kerajaan perlu lebih berwaspada terhadap ancaman siber. Jika wujud sebarang kepincangan terhadap sistem kerajaan, penggodam akan mempunyai ruang dan peluang untuk menggodam sistem kita.

“Proses audit yang lebih teliti perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kepada permasalahan ini dan sekali gus mencari formula berkesan bagi mencegah sebelum menjadi lebih serius,” jelasnya.

Tuesday 24 May 2016

Sah Sungai Batu tamadun tertua


SUNGAI PETANI – Kompleks Arkeologi Sungai Batu yang menjadi sebahagian daripada Tamadun Kedah Tua di sini akhirnya diiktiraf dan disahkan secara rasmi sebagai tamadun terawal dan tertua di negara ini sekali gus mengalahkan candi Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.

Tapak Arkeologi Su­ngai Batu, Lembah Bujang itu disahkan oleh pakar berusia lebih 2,000 tahun, manakala candi Borobudur yang dibina pada abad ke-9 berusia sekitar 1,200 tahun dan Angkor Wat pada abad ke-12 berusia 900 tahun.

Acara bersejarah itu diabadikan melalui penyerahan plak pengisytiharan oleh pakar arkeologi daripada Universiti Oxford, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mokhtar Saidin (gambar kecil).

Ia berlangsung pada majlis penutupan Festival Kedah Tua 2016 di sini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid yang mewakili Menteri Besar Kedah.

Kawasan tapak peleburan besi, pelabuhan dan lokasi ritual yang ditemui hasil kerja-kerja penggalian di Kompleks Arkeologi Sungai Batu mendapati ia berusia lebih 2,000 tahun.
Menurut Mokhtar lebih bermakna, pengiktirafan itu diperakui lima pakar arkeologi mewakili lima tamadun utama dunia iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rom menandatangani plak pengisytiharan itu.

“Malangnya pakar arkeologi Mesir, Dr. Zahi Hawas, tidak hadir ke Persidangan Antarabangsa Kedah Tua menyebabkan kita tidak berjaya mendapatkan beliau untuk menandatangani plak itu.

“Beliau sepatutnya hadir sebagai pakar tamadun Mesir, tetapi tidak dapat dihubungi pada saat akhir. Sekiranya ada keperluan untuk kita ke Mesir dan dapatkan tandatangannya, kita akan ke sana,” kata Mokhtar kepada Bernama semalam. -Kosmo!

Monday 23 May 2016

MALAYSIA negara ke-3 paling banyak panahan petir di dunia

MALAYSIA negara ke-3 paling banyak panahan petir di dunia
MALAYSIA adalah antara negara yang paling banyak panahan petir di dunia selepas Rwanda dan Congo.

Tapi kita tidak ada statistik berapa ramai yang mati , yang cedera , yang hampir terkena panahan petir setiap tahun. Anggaran kasar mengatakan mereka yang mati akibat dipanah petir di Malaysia ialah 10 kali ganda lebih tinggi daripada mereka di Amerika Syarikat dari segi kadar penduduk.

Kita tiada program kesedaran mengenai langkah yang perlu diambil ketika dengar guruh , nampak awan hitam , hujan renyai , hujan lebat dan sebagainya untuk berlindung dari kemungkinan petir menyambar bila-bila masa.

Anak-anak , remaja bahkan orang tua buat tak kisah main di padang bola , di padang golf , memancing ketika nampak hujan nak turun. Setidak-tidaknya tanya diri dulu dah sembahyang ke belum , ayat Quran yang mana patut di baca ketika guruh dan petir.

Bak kata Encik Hartono Zainal Abidin seorang yang pakar dalam petir dan seorang jurutera perunding dalam artikel akhbar The Star “We shouldn’t wait until lightning strikes a VIP before we take strong action.” – Kita tak perlu tunggu hingga petir panah seorang VIP baru kita nak bertindak.

Terjemahan Al Quran : “Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia amat keras azab seksanya.”
(Surah Ar-Ra’d , ayat 13)

Di akhir zaman sebelum tanda besar Kiamat, akan terjadi petir yang membunuh ramai manusia.

Dalil hadith:

تكثُرُ الصَّواعقُ عندَ اقترابِ السَّاعةِ حتَّى يأتي الرَّجلُ فيقولُ مَن صُعِق قبلَكم الغداةَ فيقولونَ صُعِق فلانٌ وفلانٌ
الراوي : أبو سعيد الخدري | المحدث : الهيثمي | المصدر : مجمع الزوائد
الصفحة أو الرقم: 8/12 | خلاصة حكم المحدث : [فيه] محمد بن مصعب وهو ضعيف

Hadith Abu Sa’ied al-Khudry ra, bahawa Nabi saw bersabda,” akan terjadi banyak petir menjelang kiamat, sehingga seorang lelaki datang kepada penduduk dan bertanya, siapa yang mati dipanah petir hari ini? maka mereka menjawab fulan bin fulan.”
(HR Ahmad, kata al-Haithami dha’if. namun Imam Ahmad kata ia tidak mengapa, disahihkan oleh al-Hakim)

(والحاكم 4/444 من طريق محمد بن مصعب، بهذا الإسناد. وقال الحاكم: هذا حديث صحيح على شرط مسلم)

Syarah (Keterangan Hadith):
Memang sejak akhir-akhir ini banyak terjadi ribut petir, cuma ia belum membunuh dengan berleluasa. kemungkinan ia akan terjadi di masa depan.

Wallah hu a'lam.

Sunday 22 May 2016

Edra bina loji tenaga solar RM400j di Kedah

PRESIDEN dan Pengarah Eksekutif Edra, Datuk Mark Ling. 

KUALA LUMPUR: Pelaburan terbesar di Kedah bakal menjadi kenyataan dengan loji tenaga solar bernilai RM400 juta oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd. 

Loji yang terletak di Kuala Ketil itu akan menjadikan tanah pertanian sebelum ini kepada tapak perindustrian dan menyokong taman perindustrian yang terdapat di Kulim, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Datuk Mark Ling. 

"Kepentingan mempunyai loji solar di Kedah adalah ia dapat menempatkan ladang panel solar 50MWAC yang pertama dan akan menjadi terbesar di Malaysia," katanya kepada Bernama. 

Edra, diambil alih oleh General Nuclear Power Corp, China dengan nilai RM9.83 bilion baru-baru ini -- pelaburan asing tunggal terbesar di Malaysia -- gembira untuk berkongsi pengalaman luas kumpulan itu di Malaysia seperti dalam skim tenaga boleh diperbaharui yang besar, katanya. 

"Loji tenaga solar itu juga untuk memenuhi dasar campuran bahan api kerajaan, iaitu perlu ada campuran arang batu dan gas dan mungkin hidro sejajar dengan usaha untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon," katanya. Ling menyifatkan solar, tenaga boleh diperbaharui, sebagai program tenaga boleh diperbaharui yang paling sesuai di negara ini. 

Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga telah menyediakan semua garis panduan dan proses untuk membida campuran tenaga boleh diperbaharui yang akan dilaksanakan, tenaga boleh diperbaharui yang berterusan setiap tahun, setengah tahun berdasarkan segmen berlainan negara untuk dilaksanakan dan tanah menjadi faktor penting. 

Ling berkata, Kedah yang mempunyai banyak tanah rata di tempat yang sesuai terbukti menjadi lokasi untuk loji solar berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu yang lebih berbukit. "Kestabilan tanah amat penting. Oleh itu, Kedah dan Perlis adalah pilihan pertama," katanya. 

Beliau memuji kerajaan negeri Kedah atas sokongan yang amat menggalakkan kepada program Edra terutamanya dari segi penukaran tanah seluas 200 ekar (80 hektar) untuk projek itu. Kewujudan loji itu juga dijangka memberi rangsangan yang besar kepada tahap perindustrian negeri selain kenyataan tenaga hijau Suruhanjaya Tenaga dan program hijau Malaysia. 

Ling berkata, loji itu juga akan meningkatkan pembangunan tempatan di kawasan tersebut untuk masyarakat seperti menyediakan peluang pekerjaan dan kesan limpahan yang lain. "Ia juga akhirnya akan menjadikan banyak tanah pertanian di negeri itu kepada tanah perindustrian. 

Selain daripada pelaburan pembangunan tanah, juga ternyata penduduk berpindah untuk menetap di Kedah kerana akan terdapat perniagaan diwujudkan daripada peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA