Saturday, 14 May 2016

Sektor hartanah dijangka terus lembab tahun ini

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah dijangka terus lembab tahun ini berikutan pelbagai cabaran serta berikutan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang sederhana berbanding 2015.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, berkata sektor berkenaan telah mengalami kelembapan tahun lepas dengan volum transaksi jatuh sebanyak 5.7 peratus.

"Terdapat pelbagai ketidaktentuan dalam pasaran global. Bagaimanapun saya memberi jaminan yang ekonomi Malaysia berdaya tahan disebabkan asas ekonomi yang kukuh, penampan yang mencukupi, sistem kewangan yang cergas serta dasar kerajaan yang cekap.

"Ini bukan dinyatakan kerajaan, tetapi oleh Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia," katanya dalam ucapan ketika merasmikan majlis graduasi Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah (BOVAEA) Malaysia di sini, semalam.

Majlis itu menyaksikan 171 penerima dianugerah hak untuk berkhidmat dalam bidang penilaian dan agensi hartanah.

Chua berkata, bidang agensi hartanah terus berkembang pesat dengan sebahagiannya sudah mempromosi hartanah di seberang laut dan meletakkan Malaysia pada radar pelbagai negara.

Bagaimanapun, katanya, ketika ejen bersaing di kalangan mereka, masih terdapat amalan yang tidak sihat di dalamnya dan usaha mesti dibuat untuk membetulkannya.

Sempena dengan majlis itu, BOVAEA melancarkan dua dokumen, iaitu edisi kedua Standard Pengurusan dan Manual Akreditasi Hartanah.

Presiden BOVAEA, Datuk Sr Faizan Abdul Rahman berkata, terdapat perubahan besar dalam aspek pengurusan hartanah dengan skop pekerjaan meningkat 10 kali ganda sejajar dengan banyak bangunan besar yang terus dibina dan dengan itu memerlukan standard baharu.

Menurutnya, edisi pertama yang dikeluarkan pada 2010 mengandungi 10 standard dan yang kedua ditambah satu lagi, iaitu mengenai pengurusan kemudahan, yang merupakan satu set kecil pengurusan hartanah.

"Standard berkenaan merangkumi keperluan minimum dan wajib untuk anggota dan pengamal mengikutinya untuk tujuan memberi jaminan kepada orang ramai.

Untuk manual akreditasi, beliau berkata, ia bertujuan untuk memudahkan institusi pengajian tinggi memahami proses akreditasi mengenai kursus berkaitan pengurusan hartanah, sama ada tempatan atau seberang laut untuk diiktiraf oleh lembaga itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...