ANGGOTA Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Australia (TDA) bergambar pada sesi latihan ketenteraan Eksesais Haringgaroo. |
KOTA BHARU: Seramai 888 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Australia (TDA) bergabung dalam latihan ketenteraan Eksesais Haringgaroo siri 67/2016.
Latihan seminggu bermula hari ini di hutan kawasan am di Jeli itu, menekankan kepada aspek operasi ofensif peperangan konvensional untuk bertempur dan berdepan serangan musuh.
Pemangku Panglima 8 Briged, Kolonel Mohd Adzhar Abd Latif, berkata latihan dikawal oleh 8 Briged membabitkan 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Rifle Company Butterworth (RCB) yang berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang.
"Latihan ini bertujuan memahirkan pemerintah dan anggota dalam pelaksanaan pemerintahan dan kawalan di medan serta kerjasama antara semua pasukan bantuan.
"Ia juga dapat meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara TDM dan TDA," katanya selepas perasmian latihan itu di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini, hari ini.
Perasmian Eksesais Haringgaroo disempurnakan oleh Timbalan Panglima 2 Divisyen TDA, Brig Jen Damian Cantwell. Sementara itu, Cantwell berkata, latihan berterusan itu dimulakan pada 1967 untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran antara dua negara.
"Latihan kami agak sama namun ada perbezaan dari segi cuaca dan faktor itu agak mencabar bagi anggota tentera kami. "Harapan kami kerjasama ini memanfaatkan kedua-dua negara selain menjalinkan persahabatan antara anggota," katanya. -BH
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...