KUALA LUMPUR 25 Mei - Budaya minum kopi dan makan nasi lemak dalam waktu kerja perlu dihentikan bagi memastikan kerja yang dihasilkan adalah berkualiti.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut telah menjadi kebiasaan kepada penjawat awam yang datang tepat pada pukul 8.30 pagi namun antara pukul 9.30 dan 10 pagi kebanyakannya akan turun minum kopi dan makan nasi lemak.
Katanya, kecenderungan itu menunjukkan hadir awal ke tempat kerja tidak menjamin pekerja menghasilkan produktiviti kerja yang baik.
“Saya memang gemar melihat kakitangan saya berada di pejabat, bagaimana pun saya lebih berminat untuk melihat hasil kerja mereka.
“Tidak berada di pejabat tepat pada waktunya tidak mengapa asalkan kerja yang diberi siap. Saya lebih suka begitu berbanding berada tepat pada masanya di pejabat namun pukul 10 lesap dan tidak buat kerja yang disuruh. Jadi persekitaran kerja di masa akan datang perlu diubah termasuk sektor awam,” katanya.
Beliau berucap dalam Persidangan Modal Insan Tun Abdullah Ahmad Badawi kali kedua bertemakan ‘Memperkukuhkan Modal Insan Bagi Ekonomi Berdaya Saing di sini hari ini.
Yang turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Michael Yeoh.
Mengulas mengenai persidangan tersebut, Khairy berkata, bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan setanding dengan negara maju dalam tempoh lima tahun akan datang, empat agenda utama perlu diberi perhatian bagi mencapai hasrat tersebut.
“Antaranya negara perlu merangkumkan semua lapisan masyarakat iaitu wanita, pelajar dan orang kurang upaya dalam menghasilkan produktiviti yang kolektif,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, kerajaan sentiasa berusaha memperkenalkan pelbagai langkah dan polisi untuk memastikan bilangan modal insan berkemahiran mencukupi dan berkualiti bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2020.
“Dalam memastikan negara berupaya menghasilkan modal insan yang berkualiti, kita harus menyesuaikan diri dan mengambil segala contoh teknologi dan perubahan budaya yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...