Sunday, 29 May 2016

Terkuburnya kota Mesir Purba Heracleion


LAUT Mediterranean yang terbentang dengan panorama indah berlatarkan air laut berwarna biru kehijauan menyajikan pemandangan hebat buat para pelancong.

Terletak pada kedudukan di antara Eropah di bahagian utara, Afrika di selatan dan Asia di timur, Laut Mediterranean dengan keluasan 2.5 juta kilometer persegi turut menyimpan khazanah alam laut yang cukup bernilai.

Kepelbagaian hidupan marin seper­ti terumbu karang, anjing laut serta bermacam-macam spesies ikan termasuk ikan lumba-lumba dan paus pembunuh menjadi antara penghuni kejernihan dasar Laut Mediterranean.

Lautan yang dikelilingi dengan tiga dataran daripada benua berbeza menambahkan lagi keunikan lokasi Laut Mediterranean yang terletak berhampiran dengan Selat Gibraltar iaitu tempat yang memisahkan laut tersebut dengan Lautan Atlantik.

Tumpuan ratusan ikan lumba-lumba dan ikan tuna biru di perairan tersebut turut menjadi daya tarikan utama serta pendapatan sumber rezeki para nelayan tempatan.

Lautan terpisah

Perkataan ‘Mediterranean’ yang membawa maksud lautan di tengah-tengah daratan dikelilingi lebih daripada 15,000 gunung berapi aktif di 21 buah negara sekitar Laut Mediterranean seperti Turki, Algeria, Itali dan Greece.

Lima juta tahun lalu, Laut Mediterranean yang wujud pada hari ini merupakan sebahagian daripada Lautan Atlantik yang terpisah oleh dinding batu yang terbentuk akibat letusan gunung berapi di dasar laut di Selat Gibraltar.

Pembentukan dinding batu sepanjang 14 kilometer itu akhirnya membentuk lautan baharu yang dikenali sebagai Laut Mediterranean.

Apa yang menarik, air Laut Mediterranean yang telah terpisah dengan Lautan Atlantik bagaimanapun tidak bercampur, malah kedua-dua lautan tersebut mempunyai tahap kemasinan air laut yang berbeza di mana air daripada Laut Mediterranean lebih masih berbanding air di Lautan Atlantik.

Keindahan dasar Laut Mediterra­nean yang membiru bagaimanapun juga tidak terlepas daripada beberapa peristiwa hitam dalam tragedi yang telah meragut ribuan nyawa.

Tahun lalu, dunia digemparkan dengan beberapa insiden bot karam yang membawa ratusan pelarian dari negara-negara bergolak seperti Somalia, Sudan, Ethiopia dan Mesir di Laut Mediterranean.

ARTIFAK berbentuk teko yang diperbuat daripada tembaga membuktikan kemajuan peradaban masyarakat Mesir purba sejak 2,000 tahun lalu.
Menurut agensi pemantau pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 700 pendatang yang berlepas dari Tobruk, Libya disahkan mati lemas di Laut Mediterranean selepas bot yang mereka naiki terbalik dan karam akibat terlebih muatan pada 20 April tahun lalu.

“Mangsa yang ditemui hidup membabitkan 37 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun,” kata Carlotta Sami, jurucakap Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Kejadian tersebut yang disifatkan antara nahas paling buruk berlaku dalam krisis migrasi selama berdekad membabitkan pendatang di Laut Mediterranean menjadikan jumlah korban sejak awal tahun lalu adalah sebanyak 1,500 mangsa.

Maka tidak hairanlah, kerana kedudukannya yang menghubungkan tiga daratan benua berbeza, Laut Mediterranean menjadi laluan strategik menghubungkan banyak negara sejak dahulu apabila para pedagang terutamanya dari Mesir, Yunani Kuno, Rom Kuno dan Asia Barat menjadikan Laut Mediterranean sebagai laluan perdagangan yang penting.

Kota purba

Penemuan kota legenda Mesir purba yang tenggelam di dasar Laut Mediterranean menyingkap bukti kewujudan sebuah bandar suatu ketika dahulu sebelum lenyap ditelan lautan.

Pada 29 April 2013, sekumpulan pakar arkeologi telah berjaya mengesan dan menemui kota tua yang telah tenggelam di dasar Laut Mediterranean sejak 1,200 tahun yang lalu.

Kota purba Mesir yang kenali sebagai Heracleion telah dibina pada abad kelapan sebelum masihi (SM) dan ditemui dalam bentuk runtuhan bangunan batu-bata pada dasar laut dengan kedalaman hampir 1,000 meter di bawah air pada kedudukan 11 hingga 15 kilometer dari barat Aboukir Bay, Mesir.

Kota Heracleion yang dibina sebelum kemunculan kerajaan Alexandria pada tahun 331 SM merupakan sebuah pelabuhan utama bagi laluan masuk ke Mesir bagi semua kapal yang datang dari seluruh dunia.

Kota yang dikenali sebagai Thonis oleh masyarakat Yunani itu mula diterokai oleh ahli geologi dari European Institute for Underwater Archaeology, Franck Goddio pada tahun 2000 sebelum ekspedisi pencarian besar-besaran dilakukan.

STRUKTUR dinding batu yang ditemui diukir dengan tulisan Mesir Kuno dan Yunani Kuno.
Semasa penerokaan dilakukan, ahli ekspedisi turut menemui 64 buah kapal yang terkubur di dasar laut yang terbentuk daripada struktur tanah liat dan pasir termasuk syiling emas dan timah yang digunakan sebagai alat tukaran semasa perdagangan.

“Kota yang ditemui terbahagi kepada beberapa daerah yang menarik dan dibina dengan struktur binaan luar biasa,” ujar Dr. Damian Robinson, pengarah Oxford Centre for Maritime Archaelogy dari Universiti Oxford.

Menurut Robinson lagi, penemuan tersebut sekali gus memberi gambaran yang jelas tentang aktiviti perdagangan yang berlaku pada waktu itu serta membongkar kegiatan ekonomi yang diniagakan dari Yunani dan Fenisia yang negaranya merangkumi pesisir Lebanon, Palestin, Israel dan Syria.

Baru-baru ini, para penyelam ekspedisi telah menemui berpuluh-puluh sarko­fagus atau keranda yang diperbuat daripada batu dan tanah liat mengandungi bangkai binatang yang telah dijadikan mumia untuk tujuan sajian pemujaan bagi dewa pada masa itu.

Hasil penelitian yang dibuat bersama pihak dokumentari German TV, penemuan kota Mesir kuno itu berbentuk tiga dimensi dengan bahagian tengah kota tersebut terdapat kuil besar Dewa Amun-Gereb iaitu dewa tertinggi masyarakat Mesir pada saat itu.

Sehingga kini, para ahli sejarah menjelaskan tekanan pada tanah yang mengandungi tanah liat dan kadar air bawah tanah yang besar menjadi faktor kota purba itu tenggelam.

Bencana banjir luar biasa dan gempa bumi telah menyebabkan kerosakan besar sekali gus menenggelamkan kota Heracleion menjadi sebuah dataran lautan yang terbentang luas.

Selepas sekian lama, peradaban kota purba yang mula ditemui oleh ahli arkeo­logi Perancis, Dr. Franck Goddio pada abad ke-18 itu mula pudar dalam catatan dan ingatan penduduk tempatan sehingga usaha membawa naik saki-baki isi bandar Heracleion dijalankan. -Kosmo!

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...