Thursday 5 May 2016

DAP rayu PKR, Izzah rujuk kajian UUM

Nurul Izzah
SHAH ALAM - Susulan rayuan DAP agar rakan sekutunya, PKR menarik diri daripada bertanding di Dun Batu Kitang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar mahu agar kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) dirujuk.

Melalui perbualan aplikasi Whatsapp, Nurul Izzah melalui pegawai medianya memberitahu perkara tersebut.

“YB maklumkan rujuk kenyataan daripada kajian yang dibuat oleh UUM. Terima kasih,” katanya ringkas ketika diminta mengulas tentang rayuan DAP itu.

Melalui kajian yang dijalankan 27 April hingga 1 Mei lalu itu, calon PKR, Voon Shiak Ni lebih diminati pengundi Dun Batu Kitang dengan 33 peratus berbanding calon DAP, Abdul Aziz Isa, 31 peratus.

Hari ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kaji selidik yang dijalankan sejurus hari penamaan calon itu tulen dan tiada sebab untuk meraguinya.

“Kaji selidik ini dijalankan secara bebas dan tanpa pengetahuan kami. Keputusan tersebut diberikan kepada kami oleh individu yang tidak mahu dikenali,” katanya.

Kaji selidik itu juga menunjukkan tahap penerimaan pengundi Batu Kitang terhadap calon BN, Lo Khere Chiang 35 peratus daripada keseluruhan responden yang mengatasi calon PKR dan DAP.

Semalam, DAP merayu PKR supaya menarik diri daripada bertanding kerusi baharu Dun Batu Kitang kerana parti sekutu itu tidak mempunyai peluang memenanginya pada pilihan raya negeri, Sabtu ini.

Selain Voon, Abdul Aziz, dan Lo, kerusi Batu Kitang itu menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan dua calon Bebas, Sulaiman Kadir dan Datuk Seri Othman Bojeng. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...