Thursday 30 March 2017

Pegawai imigresen wanita makan duit OKU didakwa

Suhana (dua dari kiri) dan Zalita (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam bagi didakwa atas pertuduhan melakukan pecah amanah.

SHAH ALAM – Dua pegawai imigresen wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) milik tujuh individu berjumlah RM1,400 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Suhana Samad, 35, dan Za­lita Haron, 39, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Mengikut pertuduhan, Suhana dan Zalita yang bertugas di Jabatan Imigresen Selangor di sini didakwa secara bersama-sama melakukan pecah amanah terhadap wang bayaran permohonan PMA milik tujuh individu melibatkan wang berjumlah RM1,400.

Tujuh pemilik PMA tersebut ialah Muhaida Mohamed Zan, Ooi Shih Xing, Yamonaa Thevey Maniam, Sin Tzu Hsiang, Mimi Amalina Abdullah, Azrulhazizi Azwarman dan Muhammad Fahmii Abu Bakar.

Wednesday 29 March 2017

Kerja 17 jam sehari macam hamba tapi gaji hanya dibayar RM200 sebulan

SERAMAI 172 pekerja diselamatkan pihak berkuasa semalam selepas dipaksa bekerja sehingga 17 jam sehari tetapi cuma dibayar RM200 sebulan.

KLANG – Nasib malang 172 pekerja wanita yang diperlakukan seperti hamba abdi apabila dipaksa bekerja sehingga 17 jam sehari di sebuah kilang pemprosesan dan pemasaran sarang burung walet di Lorong Gedung Nenas 1 di sini berakhir selepas mereka diselamatkan pihak berkuasa semalam.

Dalam operasi serbuan pukul 11 pagi itu, kesemua pekerja terbabit berusia 18 hingga 40 tahun.

Kesemua mangsa itu terdiri daripada 152 warga Indonesia, tiga warga Myanmar dan selebihnya 17 orang ialah wanita Malaysia yang dipaksa bekerja bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 pagi setiap hari.

Mereka diperlakukan sedemikian oleh seorang lelaki ber­usia 29 tahun bergelar Datuk yang difahamkan hanya mengejar keuntungan semata-mata.

Ketua Pasukan Petugas Khas Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), Kementerian Dalam Negeri, Deputi Superin­tendan Hadzwan Zulkefle berkata, siasatan mendapati, para pekerja telah dikerah kudratnya sehabis mungkin de­ngan gaji tidak setimpal serendah RM200 sebulan.

Katanya, pekerja mendapat gaji yang sangat rendah berikutan majikan mereka mengenakan pelbagai potongan terhadap gaji sebenar sebanyak RM1,000 sebulan.

“Setiap pekerja akan diberikan sehingga 25 sarang burung walet setiap hari untuk diproses dan dibersihkan.

“Sepatutnya mereka turut mendapat komisen sebanyak RM1 bagi setiap sarang burung, namun hanya dibayar RM0.50. Pada masa yang sama dipotong pula gaji sekiranya sarang tersebut rosak,” katanya kepada pemberi­ta di sini semalam.

Pegawai Rela curi, jual senjata

Asri (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian senapang patah yang hilang dan ditemui semula pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang juga suspek utama kes kehilangan 26 laras senapang patah milik Rela di Selama, Perak disyaki menjual senjata api yang dicurinya pada harga RM1,000 hingga RM3,000 selaras.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, hasil soal siasat ke atas suspek yang kini bertugas di Rela Pengkalan Hulu, dia mengaku menjual semua senapang tersebut kepada kenalannya termasuk anggota Rela yang tinggal di sekitar Perak.

“Pegawai Rela itu disyaki me­lakukan kegiatan tersebut semasa bertugas di Rela Selama sebelum ditukarkan ke Pengkalan Hulu pada tahun 2015,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini semalam.

Tuesday 28 March 2017

Saman kerana tak dibenar namakan anak 'Allah'

SEBUAH kumpulan hak asasi awam menyaman Georgia kerana keengganan negeri itu membenarkan sepasang suami isteri menamakan anak mereka berusia 22 bulan, 'Allah.' 

ATLANTA: Sebuah kumpulan hak asasi awam menyaman Georgia kerana keengganan negeri itu membenarkan sepasang suami isteri menamakan anak mereka berusia 22 bulan, 'Allah.' 

Kesatuan Hak Asasi Awam Amerika Georgia (ACLU) memfailkan saman itu baru-baru ini di Mahkamah Tinggi Daerah Fulton bagi pihak pasangan, Elizabeth Handy dan Bilal Walk. 

Yang dipertaruhkan ketika ini adalah nama terakhir kanak-kanak perempuan itu, Allah. Peguam Jabatan Kesihatan Awam Georgia memaklumkan akhbar The Atlanta Journal-Constitution, undang-undang negeri mensyaratkan nama keluarga bayi itu sama ada bapa atau ibu untuk rekod kelahiran awal. 

Pihak berkuasa negeri berkata, nama akhir kanak-kanak itu, ZalyKha Graceful Lorraina Allah, sepatutnya Handy, Walk atau gabungan keduanya. Pasangan itu memaklumkan akhbar, mereka memberi nama anaknya 'Allah' kerana nama itu suci. 

"Kami memahami dari segi peribadi kaitan nama itu. Ia bukan sesuatu yang kami mahu jelaskan secara terperinci. Apa yang penting ialah hak kami sebagai ibu bapa," kata Walk. 

ACLU Georgia memfailkan saman bagi pihak pasangan itu, yang berkata mereka gagal mendapatkan nombor Keselamatan Sosial anak perempuan mereka kerana ketiadaan sijil lahir selain menjangka berdepan kesukaran capaian penjagaan kesihatan, sekolah dan perjalanan. - AP

Monday 27 March 2017

Pengimport kaut untung dari GST


KUALA LUMPUR -  Pelbagai cara digunakan pengimport barangan di negara ini untuk mengaut keuntungan malah cukai barang dan perkhidmatan (GST) turut dikesan menjadi mekanisme penyelewengan golongan terbabit.

Kelicikan golongan terbabit memanipulasi sistem cukai itu bukan sahaja mengakibatkan kerajaan kehilangan pendapatan berbilion ringgit setiap bulan pada masa sama meranapkan rantaian ekonomi peniaga di negara ini.

Menurut sumber, taktik penyelewengan itu kerap dilakukan pengimport dengan menipu pengisytiharan barangan yang dibawa masuk ke negara ini.

“Mereka menipu dari segi jenis, nilai dan gred barangan diimport bagi membolehkan kadar bayaran GST dibayar kurang berbanding kadar sepatutnya.

“Sebagai contoh, import barangan A (RM10) tetapi isytihar barang B (RM6). Jika isytihar barangan A, GST yang perlu dibayar 60sen sedangkan untuk barang B, GST hanya 36 sen, itu untuk satu unit, bayangkan ribuan atau jutaan unit yang diimport,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas sumber, ketamakan dan penipuan pengimport berkenaan bukan terhenti setakat itu sahaja malah berterusan sehingga kumpulan peniaga turut menjadi mangsa.

“Apa tidaknya, sudahlah kerajaan ditipu, kerajaan terpaksa pulang semula wang GST itu kepada pengimport.

“Kemudian mereka (pengimport) jual kepada peniaga pada kadar RM10 iaitu RM10.60 de­ngan GST dan mungkin lebih sedangkan isytihar kepada kerajaan barangan B pada harga RM6 (RM6.36) dengan GST, ini yang dinamakan penipuan dua kali” ujarnya.

Sumber memberitahu, selain menggunakan taktik menipu nilai, jenis dan gred, pengimport juga licik memanipulasi dokumen untuk tujuan itu.

“Ada juga yang menipu dengan mengisytiharkan barangan diimport dari negara yang mendapat pengecualian cukai. Contoh import dari negara lain isytihar negara dikecualikan cukai bagi mengelak membayar cukai itu.

“Ada pula yang memanipulasi kod tarif pada barangan import bagi mengurangkan bayaran GST yang akhirnya merugikan kerajaan,” ujarnya.

Mengulas bagaimana perbuatan itu boleh menjejaskan rantaian ekonomi negara, sumber menjelaskan, secara pasti ia boleh mempengaruhi harga barangan import di pasaran tempatan

“Sebagai contoh, peniaga A yang mengimport telefon bimbit secara jujur dan menjualnya pada harga RM1,060 termasuk GST walhal peniaga B jual pada harga RM900 tanpa perlu GST kerana dapat stok dari pengimport tidak bertanggungjawab.

“Sudah pasti, orang ramai akan membeli daripada peniaga B manakala perniagaan A tidak laku dan pasti tidak boleh bertahan lama kerana tidak mampu melawan harga peniaga B,” tambah sumber.

Sehubungan itu, sumber berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan drastik bagi menangani ketirisan tersebut.

Sunday 26 March 2017

Sultan Johor sedia dedah



JOHOR BAHRU - Ini Johor... kami ada harga diri. Anda tidak boleh beli anugerah dan gela­ran dengan wang ringgit.”

Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menegaskan bahawa peng­anugerahan gelaran serta darjah kebesaran dari negeri ini bukan untuk dijual beli.

Justeru, baginda bersedia men­dedahkan maklumat kepa­da Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­ngenai orang tengah yang cuba merasuah bagi mendapatkan gelaran Tan Sri.

Baginda mendedahkan telah menerima tawaran sebanyak RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya mahu SPRM datang menghadap saya segera bagi menyiasat perkara ini,” titah Sultan Ibrahim dalam catatan terbaharu di laman sosial Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Johor sentiasa tegas dalam pengurniaan gelaran Datuk dan memberi amaran bahawa penganugerahan gela­ran serta darjah kebesaran dari ne­geri itu bukan untuk dijual beli.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa penganugerahan darjah dan gelaran perlu melalui proses penapisan yang ketat oleh kerajaan negeri, Jumaah Majlis Diraja Johor, anggota kerabat diraja Johor selain menyiasat latar belakang gaya hidup calon serta penapisan keselamatan oleh pihak polis.

Sultan Ibrahim dilaporkan menyebut bahawa proses tapisan yang ketat telahpun dijalankan semasa pemerintahan Almarhum ayahanda baginda sambil menegaskan bahawa pengurniaan gelaran adalah le­bih sukar semasa pemerintahan baginda sekarang.

Saturday 25 March 2017

Binaan di Laut China Selatan untuk awam

Malcolm Turnbull dan Li Keqiang dalam sidang media di Canberra.

CANBERRA: China tidak cuba memperkukuhkan aspek ketenteraan di Laut China Selatan, kata Perdana Menteri republik itu di Australia semalam. Sebaliknya, Li Keqiang berkata, peralatan pertahanan yang dipasang Beijing di pulau buatan manusia di laut itu adalah untuk kegunaan awam semata-mata. 

"Walaupun ada beberapa kemudahan atau peralatan pertahanan, ia perlu untuk memastikan kestabilan perairan itu," katanya. 

"Tanpa kestabilan di Laut China Selatan, pihak China akan menjadi antara yang pertama menanggung beban itu," katanya dalam sidang media di sini, bersama Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull. 

Katanya, China tidak pernah berniat untuk membina kemudahan ketenteraan di Laut China Selatan. Sebaliknya, pembinaan lapangan terbang kecil dan beberapa peralatan ketenteraan adalah untuk manfaat umum. 

Li berkata, pesawat dan kapal yang melalui laut itu adalah dari negara rakan dagang China. "Jadi, bayangkanlah sejauh mana kepentingan China yang menjadi taruhan di sini," katanya. - AFP

Friday 24 March 2017

Kemampuan beli rumah semakin merosot

SHAIK Abdul Rasheed Abdul Ghaffour ketika di majlis ucaptama forum 'Taklimat Gabenor Bank Negara' yang dianjurkan Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) serta Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kemampuan membeli rumah dalam kalangan rakyat semakin merosot susulan peningkatan harga yang lebih pantas berbanding tahap pendapatan isi rumah di negara ini. 

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata ia berdasarkan Laporan BNM 2016 yang dikeluarkan kelmarin dan situasi itu diburukkan oleh aliran pasaran perumahan masa ini.

Berdasarkan pemerhatian, katanya, pemaju lebih cenderung melancarkan projek perumahan dalam segmen rumah bukan mampu milik. "Ia merujuk kepada rumah berharga RM500,000 ke atas. 

Sejak tahun 2012 hingga 2014, harga rumah meningkat dengan mendadak dan mengatasi purata pendapatan isi rumah. "Sebagai contoh, di Kuala Lumpur, median harga rumah meningkat 19.2 peratus dalam tempoh itu berbanding jumlah pendapatan isi rumah yang hanya meningkat 14.2 peratus. "Ini menyebabkan kebanyakan hartanah tidak terjual terdiri merangkumi rumah bukan mampu milik," katanya pada ucaptama forum 'Taklimat Gabenor Bank Negara' yang dianjurkan Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) serta Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya di sini, hari ini. 

Forum itu turut menampilkan barisan ahli panel termasuk Pengarah Urusan Penyelidikan Guard Capital Management di Hong Kong, Dr Donald P Hanna; Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam dan Ketua Ekonomi RHB Research Institute, Lim Chee Sing. Ia dipengerusikan oleh Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Tan Sri Dr Mohd Munir Majid. Forum bertujuan membincangkan mengenai isu ekonomi yang berlaku di negara ini. 

Mengulas lanjut, Shaik Abdul Rasheed berkata, ada beberapa langkah boleh diambil bagi mengatasi isu peningkatan yang tidak selari antara harga rumah dan pendapatan isi rumah itu. Dalam jangka pendek, katanya, pihak terbabit perlu membuat imbangan semula terhadap bekalan rumah yang lebih mampu dimiliki. "Untuk penyelesaian jangka panjang, tahap pendapatan isi rumah perlu dinaikkan bagi memastikan pemilikan rumah boleh direalisasikan," katanya.

Thursday 23 March 2017

Kontrak perolehan pertahanan negara bernilai RM3.8 bilion dimeterai pada LIMA '17


LANGKAWI - Hari ketiga Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) menyaksikan kontrak dan perjanjian persefahaman (MoU) perolehan bernilai RM3.8 dimeterai.

Kontrak terbesar ialah bagi pembelian empat buah kapal misi pesisir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dengan firma Boustead Naval Shipyard (BNS) bernilai RM1.1 bilion.

Ini merupakan projek usahasama antara kerajaan Malaysia dan China secara rundingan terus dengan BNS.

Turut dimeterai ialah Surat Niat (LOI) bagi menaik taraf 10 pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia, perolehan peluru berpandu pesawat Sukhoi SU-30MKM dan senggaraan kereta kebal PT-91M Pendekar.

Ketiga-tiga LOI ini bernilai kira-kira RM532 juta.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak pagi tadi ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Wednesday 22 March 2017

TUDM lengkap penerimaan 4 pesawat A400M


LANGKAWI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sebuah lagi pesawat pengangkut pelbagai guna dan termoden keluaran Airbus, A400M menjadikan jumlah keseluruhan empat buah yang diterima pasukan keselamatan itu sejak 2015. 

Pesawat A400M adalah pesawat moden dari segi teknologi berbanding C130 yang berada dalam inventori TUDM. Berdasarkan rekod, A400M pertama diterima pada 9 Mac 2015 diikuti pesawat kedua dan ketiga masing-masing pada Januari dan Jun tahun lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerima plak daripada Ketua Pesawat Tentera Airbus Fernando Alonso sebagai simbolik penyerahan pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, sebentar tadi. 

Yang turut hadir, Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang. Majlis penyerahan rasmi pesawat untuk kegunaan No 22 Skuadron TUDM itu adalah antara atur cara yang disusun bagi memeriahkan segmen aeroangkasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) yang memasuki hari kedua hari ini.

Tuesday 21 March 2017

Pemimpin kanan DAP kena reman

CHI SING (dua dari kiri) dan Soon Teck direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dipercayai membabitkan pajakan tanah di Mahkamah Majistret Melaka semalam.
MELAKA – Dua ahli perniagaan terma­suk seorang pe­mimpin kanan DAP Melaka ditahan reman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes penipuan pajakan tanah di Kelantan dengan anggaran kerugian bernilai RM976,300.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Analia Kamaruddin terhadap Wong Chi Sing, 54, dan Chua Soon Teck, 29, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua mereka yang memakai baju lokap polis berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.30 pagi.

Monday 20 March 2017

Lelaki ditahan cuba bakar istana

INILAH Istana Besar di Johor Bahru yang cuba diceroboh dan dibakar oleh seorang lelaki Jumaat lalu.
JOHOR BAHRU – Seorang penganggur ditahan selepas dipercayai menceroboh kawasan Istana Besar di sini dan membaling bom petrol ke arah pintu istana Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, suspek berusia 29 tahun yang berasal dari Felda Palong Timur, Segamat bertindak menunggang motosikal sebelum memasuki kawasan istana.

Menurut sumber, suspek kemudian berhenti di simpang tiga berhadapan Pos C (pos tetap kawasan Istana Besar) sebelum membaling bom petrol ke arah pintu istana.

Sunday 19 March 2017

Dari jalanan ke gelanggang akademik


“KETIKA kecil, saya sering menjadi mangsa pukul dan buli di sekolah.

“Keadaan tersebut menyebabkan saya diperkenalkan dengan sukan tempur tomoi oleh bapa saudara yang merupakan gengster terkenal di Chowrasta, Pulau Pinang.

“Bermula dari saat itu, saya bertukar menjadi seorang ‘pahlawan’ yang digeruni dan dihormati rakan-rakan yang lain,” cerita Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar memulakan bicara.

Ujar Sahol, pengaruh besar bapa saudaranya dalam kumpulan gengster menyebabkan dia kemudian menyertai geng tersebut.

Menganggotai kumpulan itu, Sahol tidak terkecuali daripada terlibat dalam beberapa siri pergaduhan.

Bagaimanapun, Sahol kemudian disuruh berhenti daripada menganggotai kumpulan tersebut memandangkan bapa saudaranya tidak mahu beliau mengikut jejak langkahnya.

Walaupun pernah terlibat dalam kumpulan gengster dan hidup seperti gelandangan, namun Sahol kini berjaya menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa.

Malah, Sahol turut diiktiraf di seluruh dunia sebagai pakar kejuruteraan awam khususnya dalam bidang tebatan banjir.

Biarpun begitu, pangkat dan darjah kebesaran yang diterimanya langsung tidak menjadikan Sahol alpa, malah sikap rendah diri dan jati diri sebagai anak Melayu tetap menebal dalam dirinya.

Kisah perjalanan hidup mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini menjadi tular selepas beliau dilantik sebagai Naib Canselor Universiti B.S. Abdur Rahman di Chennai, India, baru-baru ini.

Kepakaran beliau dalam transformasi universiti ke tahap yang lebih baik antara faktor beliau dipilih menerajui universiti tersebut sekali gus menjadikan Sahol sebagai individu asing pertama yang menggalas tanggungjawab sebagai Naib Canselor universiti berkenaan.

Filem Chowrasta

Ekoran itu, beliau kini menjadi buruan akhbar-akhbar tempatan selepas kisah hidupnya yang berliku disingkap semula.

Kisah Sahol menjadi tajuk muka hadapan akhbar New Indian Express di India baru-baru ini.

Lebih menarik, realiti kehidupan Sahol juga pernah difilemkan menerusi filem Chowrasta pada penghujung tahun 2015.

“Saya merupakan anak sulung daripada sembilan orang adik-beradik. Saya membesar dalam sebuah keluarga yang sangat daif di Kampung Melayu, Pulau Pinang.

“Kemiskinan yang membelenggu hidup menyebabkan saya tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian dan pernah tidur di jalanan kerana tiada tempat tinggal yang tetap.

“Bukan itu sahaja, saya juga pernah ditendang, dihina dan dipandang jijik oleh masyarakat suatu ketika dahulu,” jelasnya.

Biarpun membesar dalam sebuah keluarga yang miskin, namun Sahol tidak terkecuali daripada meneruskan sesi persekolahan sama seper­ti kanak-kanak yang lain.

“Nama sahaja pergi ke sekolah, tetapi saya tidak mempunyai buku dan alat tulis yang lengkap. Apabila tiba waktu rehat pula, saya terpaksa berlapar kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana kawan-kawan dan guru-guru banyak membantu saya,” jelasnya.

Universiti Colorado

Sahol kemudian ditawarkan untuk melanjutkan pengajian peringkat pradiploma di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) di Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor.

Ternyata, bukan mudah bagi dirinya yang berlainan latar belakang dengan rakan kuliah untuk menyambung pengajian. Disebabkan itu, Sahol pernah digantung pengajian beberapa kali.

“Pada waktu itu saya terpaksa bekerja sambil belajar untuk menampung perbelanjaan ibu di kampung.

“Saya mengambil upah dengan bekerja sebagai buruh kontrak.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana tidak ditendang keluar dari universiti. Saya diberi peluang kedua untuk menyambung pelajaran,” jelasnya.

Sedar beliau tidak boleh mensia-siakan peluang tersebut, Sahol berazam untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya mendapatkan biasiswa untuk menyambung pengajian ke Universiti Colorado di Amerika Syarikat di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Ekonomi secara serentak.

Pada tahun 1980, Sahol kembali semula ke UiTM dan berkhidmat sebagai seorang pensyarah.

UNIVERSITI B.S. ABDUR RAHMAN melantik Sahol sebagai Naib Canselor kerana kepakarannya dalam memulihkan universiti menjadi lebih baik.

Selain itu, Sahol turut menjawat jawatan sebagai Jurutera Pembangunan di universiti tersebut.

Beliau dipertanggungjawabkan untuk membina sembilan kampus baharu. Antaranya UiTM kampus Segamat, Melaka, Terengganu dan Pulau Pinang selain membina sebuah hotel dan masjid di UiTM Shah Alam.

Di bawah tampuk kepimpinan Sahol, beliau berjaya melonjakkan nama universiti tersebut di mata dunia dengan lakaran kejayaan dan pencapaian cemerlang dalam pelbagai aspek sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Ibu jadi idola

Ketika ditanya soalan mengenai idolanya, Sahol tersenyum simpul. Matanya bersinar-sinar tatkala nama Halimah dan Mustafa Kamal Shaik Daud terpacul keluar daripada bibirnya.

“Ibu dan bapa saudara saya merupakan idola serta pembakar semangat untuk berjaya. Mereka berjaya mencorakkan saya menjadi orang seperti hari ini.

“Ibu yang berketurunan Aceh banyak membakar semangat saya untuk berjuang dalam hidup. Kisah panglima perang Islam, Khalid al-Walid yang diceritakan kepada saya setiap malam menjadi contoh untuk diikuti,” jelasnya.

Ujar Sahol lagi, walaupun bapa saudaranya merupakan seorang gengster, namun semangat kemelayuan yang sangat kental yang dimiliki menjadi sumber inspirasi kepadanya.

“Sebenarnya pada waktu itu, bapa saudara saya terpaksa menjadi gengster demi melindungi dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu di kawasan tersebut.

“Sehingga ke hari ini, banyak perkara yang saya pelajari daripadanya,” jelas Sahol.

Menyentuh mengenai pelantikannya sebagai Naib Canselor Universiti B.S. Abdur Rahman, Sahol memberitahu, beliau turut menerima tawaran untuk memulih­kan universiti-universiti di beberapa buah negara lain.

“Ketika mendapat tawaran dari universiti tersebut, saya turut dilamar untuk memulihkan kumpulan universiti Islam di Nigeria dan Turki.

“Bagaimanapun, saya lebih tertarik dengan lamaran daripada Universiti B.S. Abdur Rahman ke­rana ia merupakan sebuah universiti wakaf yang dibina untuk membantu orang-orang Islam di sana.

“Saya akan mengubah universiti tersebut daripada tidak mempunyai kedudukan sehingga menjadi universiti yang bagus dan meletakkannya di peta dunia,” tegas Sahol.

Selain dilantik menjadi Naib Canselor, Sahol turut dilantik sebagai seorang jurutera perunding untuk projek pembinaan sebuah bandar baru di India.

Saturday 18 March 2017

Siswazah perubatan dituduh terlibat sindiket pelacuran

ANGGOTA polis membawa Khairul Azzuar (depan, kiri) dan Mohyuddin (kanan) untuk didakwa atas tuduhan terlibat dalam sindiket pelacuran di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA – Seorang siswazah perubatan dan seorang pekerja hotel sekali lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 23 pertuduhan melibatkan diri dalam sindiket pelacuran membabitkan lima wanita menerusi aplikasi WeChat sejak dua tahun lalu.

Khairul Azzuar Yusuff, 28, dan Mohyuddin Ahmad Fajarudin, 23, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, Khairul Azzuar yang merupakan siswazah perubatan dari sebuah universiti di Mesir dan Mohyuddin didakwa menjadi orang tengah dan hidup daripada aktiviti persundalan lima mangsa yang berusia antara 19  hingga 22 tahun termasuk seorang wanita warga Indonesia.

Khairul Azzuar dan Mohyuddin berhadapan 10 dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan ke­rana menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan ke atas beberapa mangsa yang sama.  Kedua-dua lelaki itu juga didakwa atas empat dan lima pertuduhan hidup hasil aktiviti persundalan mengikut Seksyen 372A(1) akta yang sama.

Semua kesalahan itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Friday 17 March 2017

Penggodam Korea Utara serang 31 negara

SYMANTEC Corp. mendedahkan Lazarus terlibat dalam serangan penggodaman di 31 buah negara sejak 2009.
BOSTON – Sebuah kumpulan penggodam Korea Utara dikenali sebagai Lazarus dipercayai terlibat dalam aktiviti penggodaman di 31 buah negara termasuk serangan terhadap Bank Bangladesh dan Sony Entertainment.

Firma keselamatan siber, Sy­mantec Corp. (Symantec) dalam satu laporan yang didedahkan berkata, mereka menemukan empat bukti digital menunjukkan Lazarus menggunakan perisian untuk menyebarkan virus dan kemudiannya menggodam sistem komputer pihak yang disasarkan.

“Kami pasti Lazarus berta­nggungjawab dalam semua se­­ra­ngan itu,” kata Penyelidik Symantec, Eric Chien dalam satu temu bual baru-baru ini.

Symantec sebelum ini menyi­a­sat kes penggodaman di bank-bank Poland yang dijangkiti virus bulan lalu namun ketika itu mereka tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Lazarus.

Menurut Symantec, virus itu telah diprogramkan untuk menye­rang 104 organisasi ter­tentu di 31 buah negara.

Kes penggodaman terbesar yang ditemukan oleh Symantec adalah di Poland, diikuti Amerika Syarikat (AS), Mexico, Brazil dan Chile.

Selain itu Symantec berkata, Lazarus menggunakan pendekatan yang lebih canggih untuk menyerang sasaran mereka berban­ding sebelum ini.

“Itu merupakan satu perkembangan yang merisaukan kerana Lazarus menggunakan teknologi lebih canggih,” kata Ketua Eksekutif Trail of Bits, Dan Guido.

Lazarus sebelum ini didakwa terlibat dalam beberapa siri penggodaman sejak 2009, termasuk melibatkan kecurian wang tunai berjumlah AS$81 juta (RM359 juta) daripada Bank Bangladesh tahun lalu.

Namun, kerajaan Korea Uta­ra menafikan Lazarus terlibat dalam serangan penggodaman itu, seperti didakwa oleh pegawai-pegawai di Washington, Seoul dan firma-firma ke­selamatan lain. – REUTERS

Thursday 16 March 2017

Harga siling mingguan petrol beri pengguna trend harga runcit lebih stabil

Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR - Pengenalan harga siling mingguan bagi minyak petrol dan diesel akan memberikan pengguna trend harga runcit yang lebih stabil berbanding harga siling bulanan yang dilaksanakan ketika ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengenalan mekanisme harga siling mingguan dapat mengelakkan perubahan ketara kepada harga runcit petrol dan diesel berbanding pengiraan secara bulanan kerana tempoh pengiraan bagi harga siling yang lebih pendek dan sebarang perubahan adalah lebih berperingkat.

"Kalau kita tunggu sebulan, kadang-kadang ia (harga petrol dan diesel) naik mendadak sehingga 25 sen.

"Bila kenaikan sehingga 25 sen, kita nak selaras (naikkan sehingga 25 sen) pun tak boleh dan kerajaan terpaksa serap sebahagian kenaikan sebagai subsidi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk "Cabaran Ekonomi Malaysia dan Pelaksanaan Dasar' yang dianjurkan MIDF Research di sini hari ini.

Katanya lagi, walaupun harga siling ditetapkan kerajaan, terpulang kepada mana-mana syarikat minyak untuk menjual petrol dan diesel di bawah harga berkenaan. - Bernama

Wednesday 15 March 2017

Ramai pasang 'perangkap maut' di rumah

DATUK Wan Mohd Nor Ibrahim menunjukkan gelungsur jeriji untuk membuka tingkap ketika melihat rekabentuk jeriji yang mudah dibuka semasa lawatan selepas mesyuarat rekabentuk dan pemasangan jeriji dari aspek kemudahan keselamatan kebakaran di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.


PUTRAJAYA: Pemilik rumah dinasihatkan jangan memasang jeriji jenis statik kerana ia menjadi antara punca utama penghuni terperangkap ketika kebakaran. 

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata pihaknya memandang serius kejadian kebakaran sehingga menyebabkan kematian yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

"Selain itu, kematian semasa kebakaran juga berlaku kerana faktor lain seperti mangsa panik, terlalu banyak sekatan atau halangan ke tempat keluar, namun aspek pemasangan jeriji perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh masyarakat. "Dalam banyak situasi, pemasangan jeriji untuk keselamatan, seperti tidak dimasuki pencuri, namun pemasangan jeriji itu tidak mengambil kira aspek keselamatan penghuni sekiranya berlaku kebakaran," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat reka bentuk dan pemasangan jeriji mengikut aspek kemudahan keselamatan kebakaran, di sini hari ini. Wan Mohd Nor berkata, bagi memenuhi keperluan keselamatan persekitaran dan kebakaran, pemasangan jeriji jenis mudah buka dari dalam adalah disyorkan kerana tidak menjadi halangan semasa kecemasan selain tidak memerlukan penyelenggaraan yang rumit. 

"Antara lain yang perlu dititikberatkan oleh pemilik rumah ialah memasang peralatan bantuan semasa kebakaran seperti alat pemadam api, alat pengesan asap dan juga 'fire blanket'. "Alat pemadam api itu berfungsi untuk memadamkan kebakaran pada peringkat awal sebelum merebak menjadi lebih besar, manakala alat pengesan asap yang sesuai dipasang ialah jenis yang menggunakan bateri. 

"Dari segi lokasi pula kita syorkan alat pengesan asap dipasang di luar bilik tidur kerana kebanyakan kes berlaku ketika penghuni sedang tidur iaitu antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi," katanya.

Tuesday 14 March 2017

Rugi putus hubungan KL-Pyongyang

Dr Chandra Muzaffar

KEMATIAN seorang lelaki warga Korea-Utara yang disahkan sebagai Kim Jong-nam, iaitu abang pemimpin negara itu, Kim Jong-un  mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara.

Ketegangan semakin memuncak apabila kedua-dua negara mengeluarkan arahan tidak membenarkan warganegara Malaysia atau Korea Utara keluar negara masing-masing. 

Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar mengulas lanjut hubungan Malaysia-Korea Utara dengan perkembangan terbaru ini.

S: Bagaimana Dr melihat perkembangan ketegangan di antara Malaysia dengan Korea Utara. 

J: Hubungan Malaysia dan Korea Utara sangat tegang ketika ini. Ada beberapa faktor yang perlu diselesaikan untuk menamatkan ketegangan diplomatik ini. Satu, mengenai sekatan oleh Pyongyang terhadap rakyat Malaysia keluar dari negara itu, begitu juga larangan keluar oleh Malaysia terhadap rakyat Korea Utara di negara ini. Seterusnya, penyelesaian kes siasatan pembunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di negara ini pada 13 Februari lalu. Malaysia perlu memujuk Korea Utara menerima siasatan kes pembunuhan itu yang mengikut undang-undang, seterusnya membantu untuk mencari dalang kepada kes pembunuhan itu. Saya percaya kes ini mengambil masa dan tidak boleh diselesaikan dalam jangka pendek, beberapa bulan atau dalam tahun ini. Ia bergantung kepada isu lebih besar, siapa yang lebih bertanggungjawab dan berperanan untuk selesaikan isu ini. Krisis ini hanya boleh diselesaikan dengan cepat jika Korea Utara memberikan kerjasama, tidak terus berdegil dan tidak mahu mendapatkan khidmat mana-mana pihak untuk penyelesaian dalam kes ini. 

S: Malaysia dan Korea Utara mempunyai hubungan unik sebelum ini. Sejak 2003, Malaysia membuka kedutaannya di Korea Utara sedangkan kebanyakan negara mengelak untuk menjalin hubungan dengan negara itu yang dikenakan enam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Boleh Dr jelaskan mengenai hubungan kedua-dua negara? 

J: Ya memang benar, Malaysia dan Korea Utara ada hubungan yang unik. Ada hubungan diplomatik, perdagangan, pendidikan, budaya dan pelancongan. Hubungan Korea Utara dengan Malaysia sangat baik berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara. Kebanyakan negara mempertimbangkan untuk mengadakan hubungan dengan Korea Utara berikutan beberapa sekatan dikenakan Majlis Keselamatan PBB terhadap negara itu. Hubungan Malaysia dengan Korea Utara terjalin kerana menjadi dasar Malaysia sejak dulu untuk berbaik dengan mana-mana negara kerana amalkan sikap berkecuali. 

S: Jika ketegangan semakin memuncak, perlukah Malaysia putuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara? 

J: Saya berpandangan hubungan Malaysia dan Korea Utara perlu diteruskan. Jika tiada hubungan diplomatik, ia hanya akan merugikan kedua-dua negara, lebih penting lagi ketika ini masih ada rakyat kita yang menjadi 'tebusan' di Korea Utara. Kita tidak boleh bersikap seperti negara lain yang meminggirkan negara berkenaan hanya kerana sikap Korea Utara dalam isu di Semenanjung Korea, kedegilannya dalam senjata nuklear dan ujian peluru berpandu. 

S: Bagaimana ketegangan hubungan ini dapat dipulihkan dan perlukan pihak ketiga untuk membantu? 

J: Saya sangat percaya perlunya pihak ketiga untuk membantu menyelesaikan ketegangan yang berlaku ketika ini. Dalam hal ini, China satu-satu yang boleh membantu kerana negara itu mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan kedua-dua negara. Ketika ini, saya melihat kedua-dua negara mengakui ada saluran rundingan. Malah, ada tanda positif, dengan jaminan keselamatan terhadap rakyat kita di Korea Utara begitu juga di pihak Malaysia membabitkan warga Korea Utara. Hanya rundingan yang dapat meredakan ketegangan kedua-dua negara. 

S: Malaysia mengesahkan kematian seorang lelaki warga Korea-Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai Kim Jong-nam iaitu abang pemimpin negara itu, Kim Jong-un. Adakah ini membantu menyelesaikan lebih cepat apa yang berlaku di antara Malaysia dan Korea Utara? 

J: Apa yang dilakukan pihak berkuasa Malaysia ketika ini memenuhi semua tuntutan perundangan dan peraturan berkaitan jenayah. Bermula daripada kes kematian, bedah siasat dan pengesahan sebab kematian dan pengesahan siapa yang dibunuh, semuanya mengikut saluran  yang betul. Korea Utara kena mengakui ini, bukan menidakkan apa yang sudah dibuat Malaysia dalam menyelesaikan kes berkenaan. Lagipun, Malaysia sangat berhati-hati menangani kes ini tanpa menuduh mana-mana pihak bertanggungjawab. Malaysia kena berhati, bersikap tunggu dan lihat serta jangan terburu-buru. Lebih penting jangan terpengaruh dengan emosi dan sentimen atau tekanan pihak lain. Apa yang Malaysia lakukan ketika ini adalah kebimbangan mengenai keselamatan warganegara dan orang asing di lapangan terbang. 

S: Apakah langkah seterusnya perlu diambil Malaysia jika ketegangan ini dapat diredakan dan bagaimana dengan masa depan hubungan kedua-dua negara selepas ini. 

J:  Perkara utama yang perlu difikirkan selepas hubungan yang tegang ini diperbaiki adalah bagaimana Malaysia dapat memainkan peranannya memujuk Korea Utara berkaitan sekatan Majlis Keselamatan PBB dan sikap  negara itu dalam hal berkaitan di Semenanjung Korea, senjata nuklear dan percubaan peluru berpandu mereka.   

Korea Utara bertindak agresif kerana dikenakan pelbagai sekatan. Ada enam sekatan dikenakan kepada Korea Utara. Malaysia pernah menjadi tuan rumah untuk perbincangan enam negara dikenali six party talk antara 2003 hingga 2008. Bermakna Malaysia ada peranannya dan dipercayai enam negara ini dalam perbincangan isu membabitkan Korea Utara. Enam negara terbabit adalah China, Amerika Syarikat, Russia, Korea Selatan, Korea Utara dan Jepun. Malaysia jangan bersikap seperti negara lain yang berterusan mahu sekatan diteruskan kepada Korea Utara. Untuk menangani Korea Utara perlu pendekatan yang lembut, berhati-hati dan penuh kepercayaan. Hentikan provokasi sebaliknya teruskan rundingan di meja perbincangan.

Monday 13 March 2017

Ramai lagi Tan Sri, Datuk Seri terlibat elak cukai

Kerajaan rugi jutaan ringgit setiap tahun.


KUALA LUMPUR - Kerajaan dipercayai kerugian beratus-ratus juta ringgit setahun hasil, akibat perbuatan elak cukai yang dilakukan oleh beberapa ahli perniagaan termasuk mereka yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri.

Difahamkan ada mereka terdiri daripada ahli perniagaan terkemuka yang memperolehi pendapatan mencecah puluhan juta ringgit sebulan. Kerugian ditanggung kerajaan dikatakan lebih besar berikutan ada dalam kalangan ahli perniagaan tersebut terlibat dalam aktiviti haram seperti perjudian dan pusat hiburan yang beroperasi melebihi tempoh masa ditetapkan.

Selain itu difahamkan ada juga kes yang menyaksikan salah seorang pengarah sebuah bank terkemuka berpakat dengan ahli perniagaan memanipulasikan pinjaman korporat bernilai jutaan ringgit. Pengarah tersebut didakwa menerima imbuhan tertentu yang mana pembayaran dilakukan di sebuah bank di China.

Sumber memberitahu, perbuatan mengelakkan cukai dalam kalangan ahli perniagaan bertaraf Tan Sri atau Datuk Seri bukanlah perkara baru malah ia sudah berlaku sejak bertahun-tahun lalu.

“Kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan telah memungkinkan keadaan itu terjadi sehingga menyebabkan kerajaan kehilangan hasil negara melalui cukai yang boleh mencecah ratusan juta ringgit setahun,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Mingguan Malaysia melalui laporan eksklusif mendedahkan kejayaan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyiasat dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri.

Kedua-dua mereka yang berpusat di utara dan selatan tanah air didapati mengelak cukai dan salah seorang daripadanya terlibat dalam sindiket judi nombor ekor haram.

Sumber itu menjelaskan, modus operandi ahli-ahli perniagaan tersebut ialah tidak mengisytiharkan jumlah pendapatan sebenar dan ada antara mereka menggunakan negara jiran untuk menyim­pan wang hasil perniagaan luar negara.

“Mereka mengaut keuntungan besar termasuk melalui projek-projek kerajaan tetapi boleh dianggap melakukan perbuatan khianat dengan tidak mahu membayar cukai kepada kerajaan sedangkan wang tersebut hendak digunakan bagi memakmurkan ekonomi negara,’’ kata sumber itu lagi.

Sumber tersebut turut mendedahkan, dalam usaha mengelakkan tindakan diambil, ahli-ahli perniagaan berkenaan sering menggunakan nama ‘VVIP’ yang didakwa rapat dengan mereka.

Selain itu, kata sumber tersebut, bagi ahli perniagaan yang terlibat dalam kegiatan haram se­perti perjudian dan pusat hiburan, mereka sanggup mengeluarkan ‘modal’ bagi merasuah anggota-anggota agensi penguat kuasa.

Jumlah sekitar RM1 juta hingga RM 2 juta yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan tersebut bagi tujuan berkenaan bukanlah satu masalah kerana setiap bulan mereka mengautkan keuntungan berpuluh-puluh juta ringgit, sebaliknya yang rugi akibat perbuatan tersebut ialah kerajaan.

“Jalinan lautan biru antara sindiket dan penguat kuasa telah lama wujud kerana ada situasi menang-menang antara mereka, yang sentiasa rugi adalah kerajaan. Ini memandangkan kerajaan tidak memperolehi cukai pertaruhan dan duti pertaruhan yang boleh mencecah berjuta-juta ringgit sebulan jika dipungut,’’ katanya.

Difahamkan kesemua ahli-ahli perniagaan itu kini berada dalam radar pemantauan pihak berkuasa dan akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembekuan aset serta akaun apabila tiba masanya.

Mereka terlibat dalam pelbagai bidang seperti pembuatan, pengilangan, pembangunan hartanah, perbankan dan automobil. Tidak terlepas daripada radar ialah ahli perniagaan dalam bidaing minyak dan gas, pemilik-pemilik kelab-kelab hiburan dan lesen perjudian.

Sunday 12 March 2017

Kerajaan kaji korporatkan Kastam

Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah

KOTA BHARU: Kerajaan akan mengkaji untuk mengkorporatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) agar operasi jabatan itu lebih efisyen. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pihaknya kini sedang meneliti perkara itu. 

"Menerusi pengkorporatan itu, jabatan berkenaan mampu meningkatkan tahap operasi termasuk mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), selain mengembangkan hasil kepada negara.

"Selain itu, kita mahu JKDM lebih efisyen sama seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang juga melakukan pengkorporatan tahun lalu," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Kota Darul Naim, di sini, malam ini. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Yusof.

Mengulas lanjut, Mohd Irwan Serigar berkata, JKDM kini dalam landasan yang tepat untuk mencapai hasil kutipan GST sebanyak RM42 bilion setahun. 

"Sepanjang tahun lalu, JKDM mencapai sasaran kutipan GST yang ditetapkan sebanyak RM41 bilion. "Sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, JKDM berjaya mengutip sebanyak RM13.7 bilion dan angka ini kita yakin mampu mencapai sasaran yang ditetapkan atau lebih. "Kutipan ini mampu membantu menjayakan projek yang dirancang oleh kerajaan seterusnya mengembangkan pendapatan negara," katanya.

Saturday 11 March 2017

Hidup sia-sia kuat berangan, ikut nafsu

Gambar hiasan.

RASULULLAH SAW bersabda: "Ada dua hal yang paling aku takuti menimpa kalian, iaitu menuruti hawa nafsu dan banyak angan-angan. Sesungguhnya menuruti hawa nafsu itu dapat menghalang daripada kebenaran dan banyak angan-angan itu sama dengan mencintai dunia." (Riwayat Ibnu Abi Dunya) 

Virus panjang angan-angan ini adalah penyakit Mat Jenin versi akhirat. Jika Mat Jenin versi dunia mati kerana jatuh akibat terlalu berangan kesenangan dunia, Mat Jenin versi akhirat jauh lebih parah. Mereka dalam kategori ini memburu akhirat dengan meninggalkan dunia. 

Hidup biar berpada, pesan Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm. 

Beliau mengaitkannya dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah SWT kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qashash, ayat 77) 

Ternyata perancangan akhirat itu seiring dengan jalan atur hidup di dunia. Bagi manusia yang memburu dunia dengan melupakan akhirat, mereka digelar manusia yang panjang angan-angannya. Definisi panjang angan-angan adalah mengharapkan kebaikan tanpa usaha dengan tanggapan waktu dan kesempatan masih ada atau masih panjang buat diri. 

Kesungguhan bertaubat 


Dalam konteks agama, orang yang panjang angan-angan ini selalu berangan-angan pengampunan Allah SWT tanpa kesungguhan bertaubat. Sungguh Allah SWT itu Maha Baik, tetapi terkadang mereka lupa Allah SWT juga Maha Membalas, seksa-Nya sangat dahsyat dan pedih. 

Selain itu, manusia yang panjang angan-angan berhasrat menewaskan hawa nafsu batin tanpa kesungguhan dalam mujahadah dan zikrullah. Mereka sedar syaitan dan hawa nafsu akan menyesatkan, tetapi mereka tidak bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu. 

Ketika Rasulullah SAW ditanya, siapakah orang yang sebenarnya paling pintar, Baginda menjawab: "Orang yang pintar adalah orang yang dapat menundukkan hawa nafsu dan beramal untuk bekal sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT dengan panjang angan-angan." (Riwayat Ibnu Majah) 

Maka, jadilah manusia bijaksana dengan memendekkan angan-angan, bersungguh dan bersegera memohon pengampunan Allah SWT. Jangan jadi manusia dangkal menelah kepentingan hakiki antara akhirat, duniawi, meremehkan serta menangguh pengampunan-Nya. Hakikatnya, kita ini warga akhirat, justeru, bezakan antara angan-angan dan harapan. Sedar atau tidak, manusia yang punya harapan tidak miliki masa untuk putus asa. Harapan memberi mereka ketabahan demi mengecap kejayaan.

Oleh itu, mereka punya kekuatan untuk terus berusaha tanpa henti. Namun, jika harapan yang tercetus tidak disusuli dengan usaha gigih maka ia hanya sekadar bermimpi bukannya berimpian. Selain itu, manusia yang punya harapan akan kuat berdoa kerana yakin doa adalah petunjuk dalam merealisasikan impian. Semakin tinggi harapan, semakin gigih doa dipanjatkan. 

Seterusnya, kebergantungan kepada Allah SWT juga mantap dalam kalangan manusia yang tinggi harapannya. Perlu yakin, kejayaan tidak hadir hanya pada kejituan usaha semata. Sesungguhnya, pada usaha yang sekelumit bakal menjemput pertolongan daripada langit. Bantuan Allah SWT akan hadir hasil daripada tawakal kepada-Nya. 

Lawan malas beribadah 


Manfaatkan masa yang ada dan terus bekerja dalam waktu kritikal dengan segera. Manusia yang punya harapan ada dorongan untuk bersegera melunaskan setiap yang dirancang. Tiada istilah bertangguh dalam diri mereka. 

Ada beberapa faktor manusia miliki angan-angan yang panjang. 

Pertama, kerana kesanggupan mereka berlumba mengejar kekayaan dunia tidak seiring rasa rakus mengejar kekayaan akhirat. Selain itu, mereka alpa mengenai kematian yang boleh datang tanpa mengira masa dan usia. 

Oleh itu, bermujahadahlah melawan rasa malas, jemu, letih dalam beribadah serta usirlah gangguan hawa nafsu dan syaitan. Cari ilmu dan amalkan sebaiknya setiap yang dipelajari. Katakan pada hati, diri ini bila-bila bisa mati bertemu Ilahi.

Norhayati Paradi
Kolumnis Berita Harian

Friday 10 March 2017

Exco Johor ditangkap SPRM

ABD. LATIF ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan hartanah di pejabat SPRM Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, Datuk Abd. Latif Bandi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas 14 hari anaknya, Ahmad Fauzan Hatim direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Abd. Latif, 51, yang sedang bercuti daripada tugas rasminya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri sejak 1 Mac lalu, ditahan ketika hadir di pejabat SPRM negeri di sini pada pukul 10.50 pagi.

Menurut kenyataan SPRM, seorang Exco Johor difahamkan Abd. Latif ditahan untuk membantu siasatan berhubung isu hartanah di Johor.

Thursday 9 March 2017

Switzerland negara terbaik dunia

Bern, Switzerland.
BERN – Switzerland mengungguli laporan Negara Terbaik 2017, demikian hasil kaji selidik di seluruh dunia yang me­ngukur tanggapan terhadap sesebuah negara pada skala global, lapor portal berita tempatan, The Local kelmarin.

Laporan tahunan itu merupakan projek bersama antara US News & World Report, syarikat pemasaran Y&R dan Sekolah Wharton iaitu sekolah perniagaan di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Laporan Negara Terbaik tahun ini menganalisis 80 buah negara, meningkat daripada 60 negara pada edisi pertamanya tahun lalu.

Switzerland yang kali pertama disenaraikan, meng­ungguli secara keseluruhan di hadapan Kanada, Britain, Jerman dan Jepun dalam lima kedudukan teratas.

Sweden, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Norway pula melengkapkan urutan 10 kedudukan teratas Negara Terbaik 2017.

Metodologi penyelidikan itu menggunakan 65 faktor yang dikenal pasti sebagai “relevan untuk kejayaan sebuah negara moden” untuk membuat penilaian.

Ciri-ciri itu dibahagikan kepada sembilan kategori termasuk pengembaraan, kewarganegaraan, pengaruh budaya, keusahawanan, warisan, keterbukaan kepada perniagaan, kuasa dan kualiti kehidupan.

Semua ciri itu disertakan dalam kaji selidik berkenaan yang melibatkan seramai 21,000 orang dari seluruh dunia.

“Switzerland muncul sebagai negara terbaik antaranya kerana ia mempunyai sistem sosial yang progresif, melindungi hak asasi manusia dan memiliki persekitaran mesra perniagaan,” kata penulis laporan itu.

Sementara itu, Malaysia berada di tempat ke-35 senarai berkenaan tahun ini berbanding kedudukan ke-28 pada 2016.

Namun, Malaysia turut muncul sebagai negara terbaik di dunia untuk membuat pelaburan pada 2017.

Di belakang Malaysia ialah Indonesia (39), Vietnam (40), Filipina (43) dan Myan­mar (57). – Agensi

Tuesday 7 March 2017

Wanita Malaysia ketagih WhatsApp, FB?

Wanita lebih tertarik kepada internet berbanding fesyen.
Singapura: Berbanding wanita di negara rantau Asia Pasifik lain yang dikuasai jenama peruncitan industri fesyen, wanita Malaysia sebaliknya lebih didominasi jenama internet dalam senarai 10 jenama utama.

Whatsapp, Google dan Facebook berada di kedudukan teratas indeks Penilaian Persepsi Wanita di Malaysia, malah mengatasi nama besar seperti Toyota dan iPhone di tangga keempat dan kelima.

Itu adalah hasil tinjauan 'YouGov's BrandIndex' yang menjejaki persepsi jenama harian dalam kalangan wanita yang diumumkan hari ini, bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan di seluruh dunia, esok.

Lima jenama lain ialah Lazada (platform beli-belah dalam talian), Honda (automotif), Rexona (penjagaan diri), Youtube (platform media sosial) serta Dettol (penjagaan diri).

YouGov adalah firma penyelidikan pemasaran antarabangsa berasaskan internet dan berpejabat di United Kingdom dengan cabang operasinya di Eropah, Amerika Utara, Asia Barat dan Asia Pasifik.

Menurut YouGov, kedudukan senarai itu berdasarkan kiraan markah atau Penilaian Persepsi bagi setiap jenama dalam kalangan responden wanita selama 12 bulan sehingga Januari 2017.

Kiraan itu berdasarkan soalan "Adakah anda mempunyai sebarang tanggapan negatif atau positif mengenai jenama?" dan disaring agar membabitkan hanya kalangan wanita berusia 18 tahun ke atas.

Pemarkahan antara 100 sehingga -100 itu dikumpul dengan mengetepikan maklum balas negatif daripada positif dan markah sifar menandakan persamaan maklum balas positif dan negatif.

YouGov BrandIndex mengendalikan temu bual dengan ribuan pengguna setiap hari meliputi lebih enam juta temu bual setahun.

Responden pula dipilih daripada panel dalam talian membabitkan lima juta pengguna di 32 negara.

Di Malaysia misalnya, YouGov BrandIndex meliputi 250 jenama.

Friday 3 March 2017

Kakitangan JPN dijel 156 tahun

Tertuduh keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka selepas dijatuhi hukuman penjara 156 tahun atas kesalahan menukar status kewarganegaraan 22 warga Sulu semalam.
MELAKA – Perbuatan seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri ini me­nukar status kewarganegaraan 22 warga Sulu memakan diri apabila dia dihukum penjara 156 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu selepas tertuduh, Ahmad Zakri Raman, 31, mengaku bersalah terhadap 32 pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-17, pembantu pendaftaran Gred KP17 itu didakwa secara langsung menerima RM4,000 setiap seorang daripada 22 individu warga Sulu sebagai suapan untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada mereka dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM88,000.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zakri didakwa mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau ke­dua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Mengikut pertuduhan ke-18 hingga ke-32 dia didakwa menggodam sistem informasi rekod penduduk negara (Siren) dengan mengubah status warganegara 22 individu sama dengan menggunakan kata laluan empat kakitangan jabatan berkenaan.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac 2014 hingga November lalu.