Bern, Switzerland. |
BERN – Switzerland mengungguli laporan Negara Terbaik 2017, demikian hasil kaji selidik di seluruh dunia yang mengukur tanggapan terhadap sesebuah negara pada skala global, lapor portal berita tempatan, The Local kelmarin.
Laporan tahunan itu merupakan projek bersama antara US News & World Report, syarikat pemasaran Y&R dan Sekolah Wharton iaitu sekolah perniagaan di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Laporan Negara Terbaik tahun ini menganalisis 80 buah negara, meningkat daripada 60 negara pada edisi pertamanya tahun lalu.
Switzerland yang kali pertama disenaraikan, mengungguli secara keseluruhan di hadapan Kanada, Britain, Jerman dan Jepun dalam lima kedudukan teratas.
Sweden, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Norway pula melengkapkan urutan 10 kedudukan teratas Negara Terbaik 2017.
Metodologi penyelidikan itu menggunakan 65 faktor yang dikenal pasti sebagai “relevan untuk kejayaan sebuah negara moden” untuk membuat penilaian.
Ciri-ciri itu dibahagikan kepada sembilan kategori termasuk pengembaraan, kewarganegaraan, pengaruh budaya, keusahawanan, warisan, keterbukaan kepada perniagaan, kuasa dan kualiti kehidupan.
Semua ciri itu disertakan dalam kaji selidik berkenaan yang melibatkan seramai 21,000 orang dari seluruh dunia.
“Switzerland muncul sebagai negara terbaik antaranya kerana ia mempunyai sistem sosial yang progresif, melindungi hak asasi manusia dan memiliki persekitaran mesra perniagaan,” kata penulis laporan itu.
Sementara itu, Malaysia berada di tempat ke-35 senarai berkenaan tahun ini berbanding kedudukan ke-28 pada 2016.
Namun, Malaysia turut muncul sebagai negara terbaik di dunia untuk membuat pelaburan pada 2017.
Di belakang Malaysia ialah Indonesia (39), Vietnam (40), Filipina (43) dan Myanmar (57). – Agensi
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...