Dr Chandra Muzaffar |
KEMATIAN seorang lelaki warga Korea-Utara yang disahkan sebagai Kim Jong-nam, iaitu abang pemimpin negara itu, Kim Jong-un mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara.
Ketegangan semakin memuncak apabila kedua-dua negara mengeluarkan arahan tidak membenarkan warganegara Malaysia atau Korea Utara keluar negara masing-masing.
Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar mengulas lanjut hubungan Malaysia-Korea Utara dengan perkembangan terbaru ini.
S: Bagaimana Dr melihat perkembangan ketegangan di antara Malaysia dengan Korea Utara.
J: Hubungan Malaysia dan Korea Utara sangat tegang ketika ini. Ada beberapa faktor yang perlu diselesaikan untuk menamatkan ketegangan diplomatik ini. Satu, mengenai sekatan oleh Pyongyang terhadap rakyat Malaysia keluar dari negara itu, begitu juga larangan keluar oleh Malaysia terhadap rakyat Korea Utara di negara ini. Seterusnya, penyelesaian kes siasatan pembunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di negara ini pada 13 Februari lalu. Malaysia perlu memujuk Korea Utara menerima siasatan kes pembunuhan itu yang mengikut undang-undang, seterusnya membantu untuk mencari dalang kepada kes pembunuhan itu. Saya percaya kes ini mengambil masa dan tidak boleh diselesaikan dalam jangka pendek, beberapa bulan atau dalam tahun ini. Ia bergantung kepada isu lebih besar, siapa yang lebih bertanggungjawab dan berperanan untuk selesaikan isu ini. Krisis ini hanya boleh diselesaikan dengan cepat jika Korea Utara memberikan kerjasama, tidak terus berdegil dan tidak mahu mendapatkan khidmat mana-mana pihak untuk penyelesaian dalam kes ini.
S: Malaysia dan Korea Utara mempunyai hubungan unik sebelum ini. Sejak 2003, Malaysia membuka kedutaannya di Korea Utara sedangkan kebanyakan negara mengelak untuk menjalin hubungan dengan negara itu yang dikenakan enam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Boleh Dr jelaskan mengenai hubungan kedua-dua negara?
J: Ya memang benar, Malaysia dan Korea Utara ada hubungan yang unik. Ada hubungan diplomatik, perdagangan, pendidikan, budaya dan pelancongan. Hubungan Korea Utara dengan Malaysia sangat baik berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara. Kebanyakan negara mempertimbangkan untuk mengadakan hubungan dengan Korea Utara berikutan beberapa sekatan dikenakan Majlis Keselamatan PBB terhadap negara itu. Hubungan Malaysia dengan Korea Utara terjalin kerana menjadi dasar Malaysia sejak dulu untuk berbaik dengan mana-mana negara kerana amalkan sikap berkecuali.
S: Jika ketegangan semakin memuncak, perlukah Malaysia putuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara?
J: Saya berpandangan hubungan Malaysia dan Korea Utara perlu diteruskan. Jika tiada hubungan diplomatik, ia hanya akan merugikan kedua-dua negara, lebih penting lagi ketika ini masih ada rakyat kita yang menjadi 'tebusan' di Korea Utara. Kita tidak boleh bersikap seperti negara lain yang meminggirkan negara berkenaan hanya kerana sikap Korea Utara dalam isu di Semenanjung Korea, kedegilannya dalam senjata nuklear dan ujian peluru berpandu.
S: Bagaimana ketegangan hubungan ini dapat dipulihkan dan perlukan pihak ketiga untuk membantu?
J: Saya sangat percaya perlunya pihak ketiga untuk membantu menyelesaikan ketegangan yang berlaku ketika ini. Dalam hal ini, China satu-satu yang boleh membantu kerana negara itu mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan kedua-dua negara. Ketika ini, saya melihat kedua-dua negara mengakui ada saluran rundingan. Malah, ada tanda positif, dengan jaminan keselamatan terhadap rakyat kita di Korea Utara begitu juga di pihak Malaysia membabitkan warga Korea Utara. Hanya rundingan yang dapat meredakan ketegangan kedua-dua negara.
S: Malaysia mengesahkan kematian seorang lelaki warga Korea-Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai Kim Jong-nam iaitu abang pemimpin negara itu, Kim Jong-un. Adakah ini membantu menyelesaikan lebih cepat apa yang berlaku di antara Malaysia dan Korea Utara?
J: Apa yang dilakukan pihak berkuasa Malaysia ketika ini memenuhi semua tuntutan perundangan dan peraturan berkaitan jenayah. Bermula daripada kes kematian, bedah siasat dan pengesahan sebab kematian dan pengesahan siapa yang dibunuh, semuanya mengikut saluran yang betul. Korea Utara kena mengakui ini, bukan menidakkan apa yang sudah dibuat Malaysia dalam menyelesaikan kes berkenaan. Lagipun, Malaysia sangat berhati-hati menangani kes ini tanpa menuduh mana-mana pihak bertanggungjawab. Malaysia kena berhati, bersikap tunggu dan lihat serta jangan terburu-buru. Lebih penting jangan terpengaruh dengan emosi dan sentimen atau tekanan pihak lain. Apa yang Malaysia lakukan ketika ini adalah kebimbangan mengenai keselamatan warganegara dan orang asing di lapangan terbang.
S: Apakah langkah seterusnya perlu diambil Malaysia jika ketegangan ini dapat diredakan dan bagaimana dengan masa depan hubungan kedua-dua negara selepas ini.
J: Perkara utama yang perlu difikirkan selepas hubungan yang tegang ini diperbaiki adalah bagaimana Malaysia dapat memainkan peranannya memujuk Korea Utara berkaitan sekatan Majlis Keselamatan PBB dan sikap negara itu dalam hal berkaitan di Semenanjung Korea, senjata nuklear dan percubaan peluru berpandu mereka.
Korea Utara bertindak agresif kerana dikenakan pelbagai sekatan. Ada enam sekatan dikenakan kepada Korea Utara. Malaysia pernah menjadi tuan rumah untuk perbincangan enam negara dikenali six party talk antara 2003 hingga 2008. Bermakna Malaysia ada peranannya dan dipercayai enam negara ini dalam perbincangan isu membabitkan Korea Utara. Enam negara terbabit adalah China, Amerika Syarikat, Russia, Korea Selatan, Korea Utara dan Jepun. Malaysia jangan bersikap seperti negara lain yang berterusan mahu sekatan diteruskan kepada Korea Utara. Untuk menangani Korea Utara perlu pendekatan yang lembut, berhati-hati dan penuh kepercayaan. Hentikan provokasi sebaliknya teruskan rundingan di meja perbincangan.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...