Kerajaan rugi jutaan ringgit setiap tahun. |
KUALA LUMPUR - Kerajaan dipercayai kerugian beratus-ratus juta ringgit setahun hasil, akibat perbuatan elak cukai yang dilakukan oleh beberapa ahli perniagaan termasuk mereka yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri.
Difahamkan ada mereka terdiri daripada ahli perniagaan terkemuka yang memperolehi pendapatan mencecah puluhan juta ringgit sebulan. Kerugian ditanggung kerajaan dikatakan lebih besar berikutan ada dalam kalangan ahli perniagaan tersebut terlibat dalam aktiviti haram seperti perjudian dan pusat hiburan yang beroperasi melebihi tempoh masa ditetapkan.
Selain itu difahamkan ada juga kes yang menyaksikan salah seorang pengarah sebuah bank terkemuka berpakat dengan ahli perniagaan memanipulasikan pinjaman korporat bernilai jutaan ringgit. Pengarah tersebut didakwa menerima imbuhan tertentu yang mana pembayaran dilakukan di sebuah bank di China.
Sumber memberitahu, perbuatan mengelakkan cukai dalam kalangan ahli perniagaan bertaraf Tan Sri atau Datuk Seri bukanlah perkara baru malah ia sudah berlaku sejak bertahun-tahun lalu.
“Kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan telah memungkinkan keadaan itu terjadi sehingga menyebabkan kerajaan kehilangan hasil negara melalui cukai yang boleh mencecah ratusan juta ringgit setahun,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Mingguan Malaysia melalui laporan eksklusif mendedahkan kejayaan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyiasat dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri.
Kedua-dua mereka yang berpusat di utara dan selatan tanah air didapati mengelak cukai dan salah seorang daripadanya terlibat dalam sindiket judi nombor ekor haram.
Sumber itu menjelaskan, modus operandi ahli-ahli perniagaan tersebut ialah tidak mengisytiharkan jumlah pendapatan sebenar dan ada antara mereka menggunakan negara jiran untuk menyimpan wang hasil perniagaan luar negara.
“Mereka mengaut keuntungan besar termasuk melalui projek-projek kerajaan tetapi boleh dianggap melakukan perbuatan khianat dengan tidak mahu membayar cukai kepada kerajaan sedangkan wang tersebut hendak digunakan bagi memakmurkan ekonomi negara,’’ kata sumber itu lagi.
Sumber tersebut turut mendedahkan, dalam usaha mengelakkan tindakan diambil, ahli-ahli perniagaan berkenaan sering menggunakan nama ‘VVIP’ yang didakwa rapat dengan mereka.
Selain itu, kata sumber tersebut, bagi ahli perniagaan yang terlibat dalam kegiatan haram seperti perjudian dan pusat hiburan, mereka sanggup mengeluarkan ‘modal’ bagi merasuah anggota-anggota agensi penguat kuasa.
Jumlah sekitar RM1 juta hingga RM 2 juta yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan tersebut bagi tujuan berkenaan bukanlah satu masalah kerana setiap bulan mereka mengautkan keuntungan berpuluh-puluh juta ringgit, sebaliknya yang rugi akibat perbuatan tersebut ialah kerajaan.
“Jalinan lautan biru antara sindiket dan penguat kuasa telah lama wujud kerana ada situasi menang-menang antara mereka, yang sentiasa rugi adalah kerajaan. Ini memandangkan kerajaan tidak memperolehi cukai pertaruhan dan duti pertaruhan yang boleh mencecah berjuta-juta ringgit sebulan jika dipungut,’’ katanya.
Difahamkan kesemua ahli-ahli perniagaan itu kini berada dalam radar pemantauan pihak berkuasa dan akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembekuan aset serta akaun apabila tiba masanya.
Mereka terlibat dalam pelbagai bidang seperti pembuatan, pengilangan, pembangunan hartanah, perbankan dan automobil. Tidak terlepas daripada radar ialah ahli perniagaan dalam bidaing minyak dan gas, pemilik-pemilik kelab-kelab hiburan dan lesen perjudian.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...