Friday 30 September 2016

Pengarah JKR Melaka didakwa rasuah

ANGGOTA SPRM membawa Khalid (tengah) keluar dari kamar mahkamah selepas didakwa atas 16 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Melaka semalam.
MELAKA – Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Me­laka, Datuk Khalid Omar (gambar kecil) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 16 pertuduhan menerima suapan dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.28 juta.

Bagaimanapun, Khalid, 56, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Tertuduh didakwa atas 13 pertuduhan me­nerima suapan berjumlah RM196,200 membabitkan nilai antara RM3,000 hingga RM41,200 daripada lima individu dan tiga buah syarikat sebagai upah kerana melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal dengan membantu mendapatkan kerja-kerja menyelenggara, meluruskan dan menurap semula jalan serta membina dan menyiapkan sebuah klinik kesihatan di sekitar Melaka Tengah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Batu Berendam dan pejabat JKR Melaka, Jalan Taming Sari di sini antara Mac 2014 sehingga Ogos lalu.

Daripada 13 pertuduhan itu, lapan pertuduhan dilakukan mengikut Sek­syen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Thursday 29 September 2016

Bayar hutang PTPTN guna Akaun II KWSP

Datuk Shamsul Anuar Nasarah
KUALA LUMPUR – Perba­danan Tabung Pendidikan Ting­gi Nasional (PTPTN) memaklum­kan peminjam atau ibu bapa pe­min­jam (ahli akaun) dibenarkan membuat pengeluaran Aka­un II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan bayaran balik pinjaman.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, peminjam boleh memilih membuat pengeluaran keseluruhan atau sebahagian daripada Akaun II KWSP bagi tujuan tersebut.

Menurut beliau, pe­­­ngeluaran Akaun II KWSP peminjam melibatkan perjanjian pinjaman pendidikan yang ditandatangani pada atau selepas 2 Januari 2001 iaitu bagi peringkat diploma dan ke atas.

Jelasnya, manakala pengeluaran daripada Akaun II KWSP ibu atau bapa peminjam melibatkan perjanjian pinjaman yang dita­ndatangani pada atau selepas 1 April 2000 bagi peringkat ijazah sarjana muda dan perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada atau selepas 17 Januari 2006 bagi peringkat diploma.

“Saya ingin nyatakan bahawa, semua peraturan dan polisi bagi tujuan pengeluaran KWSP untuk bayaran balik pinjaman pendidikan adalah tertakluk kepada pihak KWSP sendiri sebagai agensi yang menguruskan dana berke­naan. Syarat ini adalah sama bagi semua jenis pengeluaran untuk pendidikan,” katanya dalam ke­nya­taan di sini hari ini.

Mengulas mengenai pinjaman berkonsepkan Ujrah, Shamsul Anuar berkata, ia diperkenalkan dan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Jun 2008 dan peminjam sedia ada di bawah pinjaman konvensional perlu membuat permohonan untuk pertukaran kepada pinjaman yang bersifat patuh syariah itu.

Tambahnya, bagi pe­min­­jam yang membuat bayaran balik me­ngikut jadual dan ingin membuat pertukaran Ujrah, tiada sebarang bayaran pendahuluan dikenakan.

Namun, katanya, bagi pemin­jam yang mempunyai tunggakan dan tidak pernah membuat ba­yaran balik, mereka perlu mem­buat bayaran pendahuluan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah tunggakan sebagai komitmen daripada peminjam.

Wednesday 28 September 2016

Penyebar berita aib boleh dikenakan tindakan

Tan Sri Noor Rashid
KUALA NERUS - Individu yang menyebar berita dan gambar yang boleh mendatangkan aib di laman sosial boleh dikenakan tindakan undang-undang jika didapati bersalah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid berkata, tindakan undang-undang di bawah Seksyen 322 (Akta Komunikasi dan Multimedia) boleh diambil jika terdapat laporan daripada mangsa berserta mempunyai bukti kukuh.

"Saya ingin memberi amaran kepada orang ramai terutamanya pengguna laman sosial untuk tidak menyebarkan maklumat atau gambar yang boleh mendatangkan aib kepada individu lain.

"Kalau kita dapati berita atau gambar yang disebar itu boleh menjatuhkan maruah pihak lain hentikan kerana ia merupakan satu kesalahan dan kita perlu bertanggungjawab atas apa sahaja perbuatan yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, di sini, pagi tadi.

Jelasnya lagi, pihak polis memandang serius kes yang diviralkan di laman sosial dan meminta orang ramai agar menghentikan segera perbuatan tidak bermoral itu kerana ia boleh menggugat ketenteraman orang awam.

Tuesday 27 September 2016

Air pasang besar berskala tinggi bakal landa pantai barat


PUTRAJAYA - Fenomena air pasang besar berskala besar yang membawa ombak tinggi dan tiupan angin kencang dijangka melanda pantai barat Semenanjung pada 17 hingga 20 Oktober dan 14 hingga 17 November depan.

Sehubungan itu, kerajaan menerusi agensi-agensinya merangka pelbagai strategi dan gerak atur selain membuat persediaan menghadapi banjir Monsun Barat Laut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini.

Beliau berkata, beberapa perkara berkaitan langkah persediaan untuk menghadapi banjir pantai yang diramalkan berlaku itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bil 1/2016 di Bangunan Perdana Putura di sini.

Mesyuarat tiga jam itu, yang dipengerusikan Shahidan, antara lain memutuskan supaya langkah struktur dan bukan struktur diambil bagi mengurangkan impak terhadap kawasan yang terlibat seperti di Selangor, Perak dan Kedah.

"Langkah struktur yang perlu dilaksanakan segera ialah membaiki segera ban dan ban batu yang rosak serta meninggikan paras ban," katanya kepada pemberita. - Bernama

China kerah 40 pesawat ke selat Jepun

SEKEPING gambar yang disiarkan oleh agensi berita Xinhua menunjukkan sebuah jet pejuang Su-30 (kanan) terbang bersama pesawat pengebom H-6K ketika menyertai latihan tentera di Laut China Timur kelmarin.
BEIJING – Lebih 40 pesawat tentera China merentasi sebuah selat dekat Jepun, kata Kementerian Pertahanan China semalam selepas Tokyo mengumumkan ia mungkin mengadakan rondaan bersama dengan Amerika Syarikat (AS) di kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Tentera Udara China menghantar 40 pesawat melintasi Selat Miyako yang terletak di antara Pulau Miyako dan Pulau Okinawa kelmarin untuk melakukan latihan tentera di perairan Pasifik Barat, kata kementerian itu di laman webnya.

Pesawat yang terdiri da­ri­pada jet pejuang Sukhoi Su-30, jet pengebom dan kapal terbang pengisi bahan api membuat pe­nerbangan itu tanpa menceroboh ruang udara Jepun.

Latihan tersebut bertujuan menguji keupayaan pesawat tempur jarak jauh di laut, kata kenyataan sama.

Langkah itu diambil selepas Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada mengumumkan pada awal bulan ini bahawa Tokyo akan meningkatkan pemba­bitannya di Laut China Selatan menerusi rondaan bersama dengan Tentera Laut AS.

Jepun dan AS, katanya, akan berlatih dengan tentera laut serantau bagi meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing.

Beijing menuntut hampir kesemua Laut China Selatan dan mengetepikan tuntutan bertindih oleh negara Asia Tenggara lain. – AFP

Monday 26 September 2016

Madu tualang berkesan atasi masalah tulang rapuh


KOTA BAHRU - Kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati madu tualang berkesan membantu masalah osteoporosis (tulang rapuh) dalam kalangan wanita menopause (putus haid),setanding dengan ubat moden.

Timbalan Dekan (Bahagian Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof. Dr. Rosline Hassan berkata, penemuan itu hasil kajian sejak 2006 melibatkan sekumpulan wanita berusia 45 tahun dan ke atas.

"Kami membuat satu perbandingan antara wanita yang diberikan madu tualang secara konsisten iaitu sebanyak 20 gram sehari selama empat bulan dengan wanita yang mengambil ubat moden.

"Kajian mendapati madu tualang mempunyai kebaikan yang sama dengan ubat moden dari segi ketumpatan tulang," katanya kepada Bernama di luar Koloquium mengenai Kajian Produk Semulajadi dalam Kesihatan, di USM Kubang Kerian di sini hari ini.

Dr. Rosline berkata, kajian sama turut dilakukan ke atas perokok dan didapati tahap keracunan dalam tubuh mereka berkurangan selepas mengambil madu tualang sebanyak 20 gram sehari selama tiga bulan.

"Pembuktian secara saintifik ini menunjukkan produk semulajadi mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu terus diterokai penyelidik negara khususnya penyelidik USM dari semasa ke semasa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan produk semulajadi terutama madu tualang perlu ditekankan untuk memastikan ubat-ubatan tradisional berkualiti serta selamat untuk digunakan.- BERNAMA

AS akan ganti 400 misil nuklear

Gambar fail tidak bertarikh menunjukkan sebuah misil antara benua Titan II diuji di Vandenberg, California.
WASHINGTON – Terlindung di dalam lubang konkrit ba­wah tanah di pedalaman Amerika Syarikat (AS), terdapat lebih 400 peluru berpandu balistik antara benua yang sedia untuk menghancurkan mana-mana bandar raya di dunia.

Dibina dalam tahun 1960-an semasa kemuncak Perang Dingin, armada senjata nuklear AS yang dikenali sebagai Minuteman III itu kini semakin usang dan alat ganti­nya sukar diperoleh ekoran ia direka pada era analog.

Lubang-lubang konkrit dan keluli yang menempatkan misil nuklear itu juga merekah dan berkarat akibat dimasuki air.

Dalam masa 20 tahun lagi, Tentera Udara AS mahu menukar keseluruhan armada Mi­nuteman III itu de­ngan peluru berpandu baharu yang belum lagi dinamakan dan hanya dikenali sebagai Pencegah Strategik Pangkalan Darat (GBSD).

Tentera Udara AS menganggarkan kos GBSD mencecah AS$86 bilion (RM354.8 bilion) sepanjang kitaran hayatnya selama 50 tahun. Senjata baharu itu akan diperkenalkan pada penghujung 2020-an.

Pengkritik-pengkritik bagaimanapun berkata, persenjataan itu terlalu mahal dan tidak efisien berdasarkan ancaman semasa yang dihadapi AS.

“Tentera Udara juga tidak tahu bagaimana kita dapat membiayai persenjataan ini,” kata pakar nuklear Washington, Laicie Heeley.

“Senjata nuklear menyemakkan sistem senjata konvensyen yang nyata lebih efisien untuk mena­ngani ancaman hari ini,” tambahnya.

Tentera Udara AS meminta vendor-vendor mengemukakan cadangan untuk menggantikan Minuteman. Senjata itu dinamakan sempena seorang militia berpangkat kolonel yang menentang British semasa Perang Revolusi Amerika.

Kontrak itu dijangka diberikan kepada salah satu daripada tiga gergasi pertahanan AS iaitu Lockheed Martin, Northrop Grumman atau Boeing.

Peluru berpandu antara be­nua AS merupakan satu dari­pada tiga kaedah serangan nuklear yang turut melibatkan armada kapal selam dan pesawat pengebom.

Pentagon mahu mengganti dan memodenkan ketiga-tiga persenjataan itu dalam tempoh 30 tahun lagi pada kos sekitar AS$1 trilion (RM4.1 trilion). – AFP 

Sunday 25 September 2016

Mark Zuckerberg buru makhluk asing

KEDUDUKAN planet Proxima b dalam galaksi.
SYDNEY – Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg bersama bi­lionair Rusia, Yuri Milner dan genius fizik, Stephen Hawking me­ngumpul dana sebanyak AS$100 juta (RM400 juta) bagi mencari kehidupan makhluk asing di ang­kasa lepas.

Mail Online melaporkan, dana tersebut bagi mengesan makhluk asing di sebuah planet yang dikenali sebagai Proxima b dan dikatakan sebuah planet yang hampir menyerupai Bumi.

Meskipun Proxima b yang berada pada jarak empat tahun cahaya dengan Bumi merupakan planet berbatu tetapi dengan suhu antara -90 darjah Celsius hingga 30 darjah Celsius, planet itu berkemungkinan mengan­dungi air sekali gus berpotensi mempunyai hidupan.

Dana AS$100 juta untuk projek yang dikenali sebagai Breakthrough Listen itu akan menggunakan teleskop paling berkuasa di dunia bagi mendengar mesej-mesej daripada makhluk asing yang mungkin berada di Proxima b.


Balai Cerap Parkes di New South Wales akan digunakan oleh para saintis bagi mengumpul data melalui signal dari ‘Bumi 2.0’ itu selama 10 tahun, kata Milner.

“Melalui projek ini, kita me­nuju matlamat untuk melancarkan kapal angkasa kecil ke Alpha Centauri suatu ketika kelak. Sekarang kita mempunyai sasaran sekali gus menjadikan misi ini lebih jelas,” katanya.

Daripada ribuan planet yang dikaji oleh para saintis sebelum ini, ahli astronomi yang menemui Proxima b bulan lalu mendapati planet itu hampir menyerupai Bumi dan berada pada jarak yang boleh dikunjungi oleh manusia.

Hawking pula berkata, mereka perlu mencari makhluk asing dan penempatan mereka terlebih dulu sebelum mahkluk ber­kenaan menemui manusia. – Agensi

Pelajar IPT digalak miliki lebih daripada satu ijazah

Datuk Seri Idris Jusoh
SHAH ALAM - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) disaran menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian untuk memiliki lebih daripada satu ijazah, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.  

Menurutnya ia bagi memudahkan mereka memasuki pasaran kerja berikutan terdapat pelbagai pihak termasuk sektor industri dan majikan mengakui graduan yang mempunyai satu ijazah lebih sukar mendapat pekerjaan.  

"Sistem pendidikan tinggi kita sedang berubah untuk membina jenama pendidikan Malaysia dan dengan itu kita laksanakan pendekatan yang lebih fleksibel supaya rakyat dapat memiliki sekurang-kurangnya dua ijazah.

"Jadi, bila tamat pengajian kelak, graduan akan mempunyai lebih banyak peluang memasuki pasaran kerja dengan pelbagai kelayakan dan kemahiran yang ada," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan jelajah program 'Soaring Upwards: Let's Talk Higher Education', di Management and Science University (MSU) di sini, hari ini.  

Mengambil contoh kursus "Massive Open Online Courses (MOOC)" yang ditawarkan di 20 universiti di negara ini, Idris menyifatkan ia mampu meletakkan kualiti sistem pendidikan tinggi negara bertaraf dunia dalam melahirkan lebih banyak graduan memiliki lebih daripada satu ijazah.

MOOC yang dilancarkan Kementerian Pendidikan Tinggi pada September 2014 menawarkan lebih 60 kursus secara dalam talian di 20 universiti awam di negara ini.  

Ia ditawarkan secara percuma menerusi platform www.OpenLearning.com kepada semua penuntut universiti dan orang awam.

Mengulas berhubung program 'Soaring Upwards', Idris berkata kementerian itu mengambil pendekatan baharu dengan membawa peserta industri dalam program itu untuk mendekati penuntut dan graduan bagi meyakinkan mereka mengenai kualiti pendidikan tinggi negara.  

Katanya pengalaman ikon-ikon industri dalam pelbagai bidang itu boleh dijadikan inspirasi kepada para pelajar untuk lebih berjaya.

'Soaring Upwards' merupakan usaha yang dilaksanakan KPT untuk menyebar luaskan maklumat mengenai perkembangan pendidikan tinggi negara termasuk kejayaan yang telah dicapai pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. - Bernama

Saturday 24 September 2016

Proton Saga baharu, paling mampu dimiliki


SHAH ALAM - Proton Berhad mengesahkan pelancaran generasi terbaharu Proton Saga pada 28 September ini, dalam empat varian enjin 1.3 liter VVT, pada harga jualan antara RM37,000 hingga RM46,000 sebuah.

Empat varian tersebut ialah 1.3L 5MT Standard; 1.3L CVT2+ Standard; 1.3L CVT2+ Executive dan 1.3L CVT2+ Premium, sekali gus menjadikan Saga sebagai kereta paling mampu dimiliki dan termurah dalam kelasnya.

Semasa sesi pandu uji dengan media massa di litar ujian Proton di sini kelmarin, Proton mengumumkan ia mula membuka tempahan kepada orang ramai mulai sekarang.


Sesi pandu uji tersebut juga meletakkan syarat media massa tidak boleh mengambil atau menyiarkan gambar penuh kereta, melainkan gambar yang disediakan oleh Proton seperti tertera bersama teks berita ini.

Secara umumnya, wartawan yang berada situ memuji reka bentuk Saga yang ‘lebih jitu dan kemas’, malah ada juga beranggapan, Saga baharu ini akan memberi saingan kuat terhadap model pesaing-pesaing sekelas dengannya.

Saga baharu ini menggunakan enjin 1.3 liter VVT yang telah dimajukan, dengan keupayaan 94 kuasa kuda dan 120 Nm kuasa kilas, dengan tiga titik lapik (mounting) yang sekali gus mengurangkan kesan gegaran dan bunyi.


Saga serba baharu ini juga dipasang dengan lima ciri keselamatan pasif iaitu ABS, BA, ESC, TCS dan HHA, sekali gus melayakkannya untuk menerima penarafan 4 Bintang NCAP ASEAN.

Daripada luaran, bahagian hadapan Saga disamakan dengan penggayaan Proton sedia ada terutama Proton Perdana, dengan dimensi keseluruhan dibesarkan sedikit kepada 4,331 meter berbanding Saga lama 4,257 meter.

Memenuhi selera golongan muda, jurutera Proton memastikan sistem audio di dalam Saga baharu ini memiliki ciri yang popular iaitu boleh memainkan MP3/USB/ Aux dan Bluetooth pada semua varian serta soket USB di belakang sebagai ciri standard.


Untuk varian Premium, ia menggunakan rim aloi tayar bersaiz 15 dengan kamera mengundur yang terpampang pada cermin pandang belakang. Varian Standard menggunakan rim tayar bersaiz 13 manakala varian Executive menggunakan saiz 14.


Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya mahu menghasilkan sebuah kereta mampu milik tetapi mewah dengan ciri-ciri penting automotif seperti sistem keselamatan dan hiburan.

“Reka bentuk ke­reta ini pasti memenuhi cita rasa ramai dan kami yakin Proton Saga akan kekal menjadi pilihan utama rakyat negara ini,” kata beliau.

Polis larang penggunaan drone

Tan Sri Khalid Abu Bakar
PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang mana-mana pihak menggunakan drone dalam apa juga situasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, larangan itu dibuat berikutan kebimbangan mengenai isu keselamatan.

“Semua pihak dilarang menggunakannya termasuklah media,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan penggunaan drone dalam perhimpunan.

Namun katanya, pihaknya sedang melatih kakitangannya menggunakan drone dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita sedang melihat standard operasi prosedur (SOP) dan penggunaannya. Sebenarnya kita telah menggunakannya bermula tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, Khalid merasmikan program laporan kesesakan trafik terus dari udara 'Eye in The Sky' dengan kerjasama Kumpulan Media Star (SMG) di sini, semalam.

Kolaborasi yang dibuat menerusi pasukan unit udara PDRM itu, salah satu inisiatif memerangi jenayah di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Pengguna lebuh raya akan menikmati laporan kesesakan lalu lintas langsung dari udara setiap 20 minit pada waktu puncak.

Penyampai trafik bagi SMG, Priscilla Patrick akan bersama-sama lima anggota PDRM membuat laporan trafik tiga kali seminggu pada waktu puncak pagi dan petang.

Khalid memberitahu, selain laporan trafik, Eye in The Sky turut melaporkan kes jenayah yang berlaku terus kepada masyarakat.

“Kita akan serahkan kepada penyampai untuk disampaikan kepada orang awam mengenai perkara yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, tiga helikopter PDRM akan digunakan secara bergilir-gilir bagi melaksanakan program tersebut.

“Program ini berjalan di seluruh negara dan tumpuannya sudah tentu di sekitar Lembah Klang.

“Saya harap perlaksanaan inisiatif ini dapat memberi faedah terbaik demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

AS cuba bantu Asia Tenggara tangani ancaman Daesh


WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) akan membantu negara-negara di Asia Tenggara untuk menangani kumpulan pengganas Daesh daripada bertapak di rantau itu, ujar jurucakap Pentagon kelmarin.

Daesh mula muncul di beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sehingga menimbulkan kebimbangan kepada pihak berkuasa mengenai serangan domestik dan rakyatnya menyertai kumpulan berkenaan di Iraq dan Syria.

Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Jeneral Joseph Dunford memberitahu Jawatankuasa Angkatan Bersenjata Senat bahawa AS akan membantu sekutunya dalam perkongsian risikan dan maklumat mengenai kumpulan ekstremis tersebut.

“Kami cuba membantu mereka untuk membangunkan rangka kerja di mana mereka boleh berkongsi maklumat dan perisikan bersama. Sokongan yang diberikan adalah bergantung kepada penerimaan politik negara terbabit,” ujar Dunford.

Setiausaha Pertahanan, Ashton Carter menyatakan beliau akan mengadakan pertemuan bersama menteri-menteri pertahanan di rantau itu minggu depan dalam satu persidangan di Hawaii dan Daesh akan menjadi subjek perbincangan utama.

“Asia Tenggara secara jelas menjadi lokasi kepada penyebaran Daesh,” ujar Carter.

Kumpulan militan di Filipina, Abu Sayyaf yang menyokong Daesh kelmarin, telah membebaskan nelayan Indonesia yang diculik di sebuah pulau, beberapa hari selepas penyerang bersenjata membebaskan seorang tawanan dari Norway dan tiga lagi dari Indonesia.

Di Indonesia, terdapat beberapa cubaan serangan tahun ini berikutan peningkatan pengaruh kumpulan Daesh.

Menurut Dunford, lebih 1,000 orang Indonesia meninggalkan negara tersebut untuk menyer­tai Daesh di Syria dan Iraq, manakala beratus-ratus lagi dari Filipina. – AFP

Friday 23 September 2016

Tujuh universiti Malaysia dalam senarai 980 terbaik dunia


KUALA LUMPUR - Tujuh universiti negara ini termasuk dalam senarai 980 teratas dalam Ranking Universiti Dunia Times Higher Education (THE) 2016-17.

Daripada tujuh universiti itu, dua daripadanya iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) buat pertama kali berjaya tersenarai, dengan masing-masing dalam kelompok 601-800 dan 801 ke atas.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berada dalam kelompok 601-800, manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam kelompok 801 ke atas.

"Ia adalah berita yang hebat apabila tujuh universiti Malaysia berada dalam senarai terbaru universiti terbaik dunia, termasuk lima yang berada dalam kelompok 601-800," kata pengarang Ranking Universiti Dunia THE, Phil Baty.

Baty berkata, Malaysia melakukan pelaburan yang besar dalam pengajian tinggi dan memasarkannya sebagai ekonomi pengetahuan dan hab inovasi sejak kebelakangan ini. - Bernama

Thursday 22 September 2016

Keadaan negara sekarang sudah tahap 'gaban'


SHAH ALAM - Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan ditubuhkan hanya untuk menjatuhkan seorang perdana menteri.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, menjatuhkan perdana menteri itu hanya sebahagian kecil tujuan penubuhan parti tersebut.

"Yang lagi besar adalah kerana keadaan negara sekarang ini yang memudaratkan rakyat sendiri sampai ke tahap 'gaban'...teruk sangat.

"Malang sekali kerajaan yang diberi mandat...semakin hari semakin banyak masalah," katanya pada sesi dialog bersamanya di sini, hari ini.

Menurutnya, Bersatu bukan ditubuhkan untuk suka-suka sebaliknya gara-gara beliau dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai pilihan lain.

"Kami dipecat dari parti kesayangan, Umno dan ‎kerana tidak ada pilihan maka kami tubuhkan Bersatu. Bukan untuk seronok-seronok," katanya.

Tambahnya lagi, Bersatu tidak mahu menjadi seperti pemimpin Umno yang didakwanya sering memainkan isu perkauman bagi menutup isu.

"Melalui Perlembagaan parti jelas dinyatakan parti ini bukan sekadar nama sahaja peribumi tapi untuk jaga hak dan keistimewaan orang-orang Melayu termasuk anak-anak bumiputera di Sabah dan Sarawak tanpa jejaskan hak kaum-kaum lain.

"Kita ada formula untuk wujudkan keharmonian ini. Saya fikir tak salah tubuhkan parti berteraskan kaum peribumi asal kan kita tidak menidakkan kaum lain," katanya.

Skim pinjaman mudah punca ramai jatuh bankrap

Datuk Azih Muda
ALOR SETAR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan dan Bank Negara campur tangan dalam menangani isu skim pembiayaan mudah yang boleh menyebabkan ramai penjawat awam jatuh bankrap.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, skim pembiayaan peribadi mudah tanpa slip gaji yang ditawarkan beberapa institusi kewangan hanya akan menyebabkan kakitangan awam dibebani hutang yang teruk.

Katanya, syarat mudah itu telah menarik minat ramai penjawat awam untuk mengambilnya.

Wednesday 21 September 2016

Malaysia tidak akan jadi negara polis

Tan Sri Khalid Abu Bakar
SINTOK - Malaysia tidak mungkin menjadi sebuah negara polis memandangkan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Perlembagaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dakwaan yang dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mempersoalkan sama ada Malaysia sudah menjadi negara polis apabila Khalid dikatakan seolah-olah tidak boleh ditegur, ternyata tidak berasas.

"Negara kita tidak boleh menjadi negara polis kerana jika kita tidak patuhi undang-undang kita akan diambil tindakan. Macam mana negara ini menjadi negara polis, kami juga subjek kepada peraturan Perlembagaan dan undang-undang begitu juga Anggota Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Dialog Bersama Ketua Polis Negara: Peranan Mahasiswa Dalam Menangani Ancaman Keselamatan Negara di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Semalam, Lim dalam sebuah portal berita mendakwa Khalid dengan angkuh memberi amaran kepada Teo Nie Ching yang mendesak polis menjalankan siasatan segera berhubung satu dakwaan ugutan terhadap pemimpin BERSIH 2 Maria Chin Abdullah, supaya tutup mulut.

Khalid berkata, beliau bukannya menghalang Teo daripada bersuara, sebaliknya hanya bertanya kembali kenapa Anggota Parlimen Kulai itu tidak mempersoalkan tindakan beliau (Khalid) yang tidak menahan Maria Chin yang turut melanggar undang-undang.

"Nampak dia (Teo) cuba politikkan isu ini, kalau nak tegur membina saya terima tapi kalau nak jatuhkan kita nak tuduh seperti berat sebelah itu saya tidak boleh terima," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata beliau tidak menafikan terdapat usaha merekrut mahasiswa untuk menyertai militan Daesh namun pihaknya melalui pasukan khas Bukit Aman sentiasa bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi dalam membanteras cubaan tersebut.

"Mereka (Daesh) akan pengaruhi sesiapa sahaja seperti mahasiswa dan mereka yang mempunyai masalah, kerana mereka ini selalu memerlukan bahu untuk bersandar, kalau mereka (Daesh) bagi macam-macam, dia (mahasiswa) akan terpengaruh dengan apa jua dakyah," katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapannya berkata kajian UUM melalui Institute for Youth Research (IYRES) yang dijalankan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) UUM mendapati bahawa wujud potensi penerimaan mahasiswa terhadap Daesh walaupun jumlahnya kecil.

"Kajian ini merupakan 'pioneer' (perintis) dalam bidang yang melibatkan Daesh dan ianya merangkumi jumlah responden seramai 2,000 orang yang dibahagikan mengikut empat zon di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Didapati 15.1 peratus responden menghormati fahaman Daesh, sanggup menyumbang tenaga (19.5 peratus), mengiktiraf balasan syurga untuk perjuangan Daesh (9.3 peratus) dan 7.9 peratus sanggup menderma untuk Daesh," katanya.

Justeru, beliau berkata ancaman Daesh perlu segera dibendung melalui langkah konkrit seperti memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai Daesh kerana mahasiswa tidak mempunyai gambaran yang sebenar mengenai bahaya ancaman tersebut. - Bernama

Tuesday 20 September 2016

WhatsApp perkenal sistem 'tag'


APLIKASI popular, WhatsApp telah mengemaskini sistem mereka dengan menyertakan fungsi 'tagging' kepada para penggunanya.

Menurut laporan The Next Web, pengguna WhatsApp yang 'mute' perbualan kumpulan akan tetap menerima notifikasi jika mereka di'tag' di dalam perbualan.

Caranya, pengguna hanya perlu memasukkan simbol '@' diikuti dengan nama penerima notifikasi.

Pengguna juga boleh menggunakan fungsi tag untuk lebih dari satu pengguna.

Inisiatif terbaru WhatsApp ini dijangka memudahkan lagi pengguna untuk mengikuti perbualan dan perbincangan di WhatsApp.

Mata kail tertua dunia ditemukan

MATA kail tertua di dunia berusia 23,000 tahun ditemukan dalam sebuah gua di pulau Okinawa, Jepun, baru-baru ini.
OKINAWA – Sepasang mata kail tertua di dunia dipercayai berusia 23,000 tahun ditemukan di sebuah gua di Pulau Okinawa, Jepun baru-baru ini.

Menurut laporan media tempatan yang dipetik oleh portal BBC, mata kail dari cangkerang siput laut yang mempunyai ukiran itu ditemukan bersama beberapa lagi barangan purba lain.

Antara yang ditemukan termasuk dua lagi mata kail, manik dan bahan makanan.

Penemuan itu membuktikan penggunaan teknologi maritim yang lebih meluas pada zaman tersebut dikatakan lebih maju berbanding jangkaan ahli arkeo­logi.

“Penemuan itu menunjukkan teknologi maritim yang meluas secara geografi sehingga menjangkau ke bahagian utara sepanjang barat lautan Pasifik,’’ ujar Akademi Sains Kebangsaan Jepun.

Difahamkan pulau itu mula dihuni oleh kumpulan manusia moden sejak 50,000 tahun lalu.

Mata kail purba pertama kali ditemukan di Timor Leste dan Papua New Guinea, yang diandaikan masing-masing berusia sekurang-kurangnya 16,000 tahun serta 18,000 tahun.

Air pasang besar dijangka lebih teruk malam ini

Keadaan Pantai Remis baru-baru ini.
LUMUT - Air pasang besar di Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis dekat sini yang diramal berlaku 8 malam ini mungkin dijangka lebih teruk.

Pegawai Bencana Operasi Angkatan Perkhidmatan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung, Shamsur Shahuddin berkata pihaknya juga menjangkakan jumlah penduduk yang terpaksa dipindahkan akan meningkat.

Ketika ini 15 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Panchor.

Beliau berkata setakat tengah hari tadi, paras air adalah satu meter berbanding 1.2 meter sekitar 6 pagi.

Seorang penduduk Shariff Yaacob, 68, berkata air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 5.30 pagi ketika anggota keluarganya sedang tidur. - Bernama

Monday 19 September 2016

Ramai tak tahu bahaya ‘Dadah Zombie’

Kebanyakan penagih meronta, menjerit, malah turut mencederakan diri sendiri ketika dadah ini ‘merasuk’ dan mempengaruhi mereka.
TIDAK ramai mengetahui di luar sana wujud sejenis dadah baharu, Flakka atau alpha-Pyrrolidinopentiophenone yang mendatangkan bahaya umat manusia.

Dikenali sebagai Flakka atau ‘dadah zombie’, Flakka yang  kini telah merebak di beberapa negara besar telah mencetuskan huru hara di kalangan kehidupan masyarakat di sana.

Memetik daripada video yang dikongsikan oleh pengguna media sosial, dadah ini boleh membuat penagihnya memberi tindak balas agresif yang luar biasa.

Kebanyakan penagih akan meronta, menjerit, malah turut mencederakan diri sendiri  ketika dadah ini ‘merasuk’ dan mempengaruhi mereka.

Malah terdapat kes di mana seorang penagih dadah Flakka merempuh kereta yang sedang bergerak, menyebabkan kecederaan kepada dirinya sendiri dan pemandu di dalam kenderaan tersebut.

Penagih dadah zombie ini juga mempunyai kecenderungan untuk mencederakan orang di sekelilingnya.

Kebanyakan daripada mereka akan hilang kawalan diri dan menyerang individu yang paling hampir dengannya.

Menurut pandangan Ahli Epidemiologi dan Penyalahgunaan Dadah di Nova Southeastern University, Fort Lauderdale, Florida, Jim Hall, dadah sintetik ini telah diharamkan sejak 2012 kerana dosnya yang terlalu susah untuk dikawal dan ditentukan.

“Terlalu susah untuk menentukan dos dadah Flakka yang sebenar. Hanya dengan sedikit perbezaan dalam dos yang menentukan sama ada pengguna dadah ini boleh khayal atau mati.

“Jika pengguna mengambil dos berlebihan dari kadar sebenar, pengguna dadah jenis ini hilang kawalan diri dan bertukar menjadi agresif,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan menyeluruh CNN.com ke atas dadah berbahaya ini.

Menurut Hall lagi, suhu tubuh badan pengguna atau penagih dadah Flakka ini akan meningkat kepada 105 darjah celsius, selain menyebabkan mereka mengalami paranoia yang teruk.

Menurut Hall lagi, kesan ke atas penagih dadah jenis Flakka ini tidak akan hilang dan kebiasaannya akan berkekalan, biarpun pengguna tidak lagi mengambil dadah tersebut.

Penggunaan dadah ini secara berterusan akan menyebabkan kerosakan teruk pada buah pinggang dan otot.

Sunday 18 September 2016

Israel didakwa memiliki 200 senjata nuklear

LOJI nuklear Dimona milik Israel di Gurun Negev dikatakan menyimpan senjata nuclear Israel.
WASHINGTON – Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Colin Powell menyatakan bahawa Israel memiliki 200 peluru berpandu nuklear yang dihalakan terhadap Iran dalam satu komunikasi e-mel pada tahun lalu yang dibocorkan oleh beberapa peggodam pada minggu ini, lapor portal MailOnline.

Walaupun Tel Aviv dipercayai membangunkan senjata nuklear sejak beberapa dekad lalu, Israel tidak pernah mengisytiharkan ia sebuah negara nuklear. Program senjatanya dianggap sulit oleh Israel dan juga AS.

Powell, 79, memberitahu agensi berita The Associated Press melalui seorang jurucakapnya kelmarin bahawa beliau merujuk kepada anggaran umum tentang bilangan senjata nuklear Israel.

“Powell tidak diberikan taklimat atau mempunyai pengetahuan daripada sumber AS tentang kewujudan dan keupayaan nuklear Israel.

“Bilangan 200 ini merupakan spekulasi berdasarkan sumber terbuka,” kata jurucakapnya dalam satu kenyataan.

“E-mel tersebut ditulis 10 tahun selepas Powell bersara,” tambahnya.

Dalam komunikasi e-mel pada 2015 itu, Powell membincangkan ucapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kepada Kongres AS berhubung perjanjian kawalan program nuklear Iran yang diusulkan oleh Presiden Barack Obama.

“Orang-orang di Teheran tahu Israel mempunyai 200 bom nuklear, semuanya disasarkan ke Teheran, manakala kita (AS) memiliki ribuan senjata ini,” kata Powell dalam e-melnya kepada penyumbang dana Parti Demokrat.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Israel di Washington, Itai Bardov enggan mengulas tentang isu tersebut atau berhubung dasar Israel untuk tidak mendedahkan sama ada ia mempunyai senjata nuklear ataupun sebaliknya. - AGENSI

Rugi RM2 juta ditipu 'Tok Belagak'

BEBERAPA mangsa penipuan peniagaan emas memegang kain rentang di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Hasrat 20 pelabur untuk hidup senang berkecai apabila mereka mengalami kerugian lebih RM2 juta selepas mendakwa terpedaya dengan sebuah syarikat yang menawarkan perniagaan jual beli emas pada harga lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

Lebih menyedihkan apabila rata-rata mereka yang merupakan peniaga kecil serta pekerja kilang itu sanggup membuat pinjaman peribadi untuk melabur dalam syarikat terbabit.

Kini, syarikat itu bukan sahaja tidak lagi beroperasi, malah pengasasnya diisytihar sudah muflis.

Menurut seorang mangsa, Ahmad Khalil Koo, 45, dia terpedaya dengan janji-janji manis pengasas syarikat itu yang dikenali sebagai 'Tok Belagak' ketika mula menyertai perniagaan itu.

Katanya, dia melabur sebanyak RM600,000 pada 2014, namun sehingga kini, tiada emas yang diperoleh mahupun modal dipulangkan semula.

Saturday 17 September 2016

Harga rumah akan melonjak

KERAJAAN diminta mengawal harga rumah yang terlalu tinggi sebelum membenarkan pemaju memberi pinjaman kepada pembeli.
KUANTAN – Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan kerajaan agar pemaju perumahan diberikan lesen pinjaman pembiayaan hartanah.

Presidennya, Salkukhairi Abd. Sukor menyifatkan langkah berkenaan akan mengakibatkan kadar hutang isi rumah meningkat selain membantutkan usaha kerajaan untuk mengawal harga rumah.

Jelasnya, langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah pinjaman perumahan adalah mewujudkan skim tabungan perumahan untuk golongan belia.

“Dilaporkan sebanyak 18,457 kes bankrap direkodkan pada tahun 2015.

“Justeru, jika pemaju perumahan dibenarkan memberi pinjaman, tidak mustahil kadar kebankrapan akan terus meningkat kerana kadar faedah yang dikenakan adalah amat tinggi dan harga rumah juga semakin melambung naik,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Friday 16 September 2016

Langkah akhir seorang tokoh agama


LANGKAH ulama tersohor, Datuk Dr Haron Din meninggalkan Malaysia pada minggu lalu nyata langkahnya yang terakhir di tanah air tercinta ini.

Sudah tertulis, perjalanannya berakhir awal pagi Jumaat di negara Uncle Sam ketika sedang menerima rawatan bagi masalah jantung yang dihidapinya sejak sekian lama.

Menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 76 tahun, Haron Din meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima orang anak.

Allahyarham lahir pada 18 Ogos 1940 di Bohor Mali, Kangar, Perlis dan merupakan anak ketiga daripada 10 orang adik-beradik manakala ibu bapanya merupakan guru al-Quran di kampung tersebut.

Beliau menerima pendidikan awal dengan kedua ibu bapanya sebelum ditempatkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan Kolej al-Islamiah, Klang, Selangor.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965) dan ditawarkan Biasiswa Persekutuan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir (1966-1968).

Setelah memperoleh Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran sebelum kembali ke Mesir untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Doktor Falsafah.

Beliau pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB; Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia; Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti; Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd; Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Perjalanan politik Allahyarham bermula ketika berusia 34 tahun sekitar tahun 1974 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (1975-1983).

Beliau turut  pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat; Ahli Majlis Syura Ulamak Pas; Timbalan Mursyidul Am Pas dan yang terakhir ialah sebagai Mursyidul Am Pas hingga ke akhir hayatnya.

Allahyarham juga merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') iaitu sebuah klinik rawatan Islam alternatif yang terkenal dalam kalangan umat Islam.

Darussyifa', yang ditubuhkan pada 17 April 1988 di Bangi kini memiliki lebih daripada lima cawangan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Pada 2010, Allahyarham dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 Selangor.

Mempunyai bakat dalam bidang penulisan, Allahyarham telah menulis beberapa buku ilmiah termasuk Manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam dan Hudud dalam Perundangan Islam.

Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu” - “Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia.”

Thursday 15 September 2016

Pasangan tinggal dalam gua lebih 54 tahun

Liang Zifu dan isterinya Li Suying
NACHONG - CHINA. Tidak semua pasangan suami isteri perlukan rumah untuk mengecapi kebahagiaan, tinggal di dalam gua pun sudah mencukupi dan itulah yang dilakukan satu pasangan dari China.

Liang Zifu, 81, dan isterinya Li Suying, 77, memilih tinggal di dalam gua yang terletak di pinggir bandar Sinchuan Nanchong sejak 54 tahun lalu malah disitulah juga mereka membesarkan empat anak.

Menurut pasangan itu, mereka memilih tinggal di dalam gua kerana tidak mampu menangung perbelanjaan memiliki rumah sendiri, lapor Net Ease.

Gua berkenaan kini mempunyai tiga bilik tidur, satu dapur dan ruang tamu.

Pegawai tempatan pernah memujuk pasangan warga emas itu untuk keluar dari gua berkenaan dan tinggal di kediaman yang lebih selesa, namun mereka enggan.

Kata pasangan itu, mereka telah terbiasa tinggal di dalam gua berkenaan kerana mempunyai banyak kelebihan.

"Ia sejuk ketika musim panas dan hangat pada musim sejuk malah ada mata air berdekatan," ujar pasangan itu.

Kitar semula telefon pintar

PEKERJA Shan Poornam menerangkan proses pembersihan data telefon bimbit sebelum proses pengasingan komponen.
Setiap tahun pelbagai syarikat elektronik memperkenalkan model baru telefon pintar untuk dijual di pasaran antarabangsa dan Malaysia yang juga dilihat pasaran penting bagi pemain industri berkenaan memandangkan pengguna di sini aktif di dalam aktiviti media sosial.

Di sebalik pengenalan peranti itu, apakah nasib telefon bimbit lama terutama untuk peranti yang sudah rosak? Ada antara kita yang terus menyimpan kerana mungkin ia menjadi memori berharga secara peribadi atau ada juga membuangnya terus ke bakul sampah.

Sekiranya dibuang ke dalam bakul sampah, sudah semestinya pengguna tidak terfikir apa yang bakal berlaku atau kesan berbuat demikian kerana secara amnya kita faham ia akan dilupuskan di tempat pengumpulan sampah.

Hakikatnya, komponen elektronik di dalam telefon bimbit mengandungi bahan pencemar seperti plumbum, kadmium dan merkuri yang tidak boleh terurai secara semula jadi yang akhirnya menjadi pembunuh senyap.

Kadmium misalnya, boleh mengakibatkan penyakit paru-paru, kerosakan buah pinggang serta penyakit tulang manakala merkuri mampu merosakkan kulit dan menyebabkan kemerosotan ingatan.

Kajian Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat menunjukkan purata jangka hayat bagi sesebuah telefon bimbit adalah antara 18 dan 24 bulan.

Statistik daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd pula menyatakan 65.7 juta telefon bimbit didaftarkan di negara ini antara tahun 2009 dan 2014 yang kini boleh dianggap sebagai e-sisa memandangkan jangka hayat sesebuah telefon bimbit dianggarkan sekitar 18 hingga 24 bulan saja.

Jumlah itu yang berkemungkinan masih tersimpan di kediaman atau dibuang di tempat pelupusan sampah, belum lagi mengambil kira telefon bimbit yang dibawa masuk ke negara ini tanpa rekod sah.

Baru-baru ini, IT@Metro berpeluang mengikuti taklimat media yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Pulau Pinang mengenai aktiviti pengurusan telefon bimbit lama dan peranti elektronik yang boleh dikitar semula.

Taklimat itu adalah rentetan daripada pengenalan Mobile e-waste pada Ogos tahun lalu apabila kempen itu menggalakkan orang ramai ‘mendermakan’ telefon bimbit yang tidak boleh digunakan atau rosak ke dalam kotak kitar semula yang disediakan oleh suruhanjaya itu.

Ketika ini, terdapat 74 kotak yang disediakan oleh SKMM di lokasi tertentu seperti cawangan syarikat telekomunikasi dan Pusat Internet 1Malaysia yang terpilih.

Setakat Julai lalu, pihaknya memungut 5,200 telefon bimbit dan 170 kilogram pelbagai aksesori elektronik dikumpulkan dan diserahkan kepada pusat pengurusan sisa elektronik terbuang atau di kenali sebagai e-sisa.

Pengarah Bahagian Pembangunan Teknologi, Teknologi dan Masyarakat SKMM Badaruzzaman Mohd Nor berkata, secara umumnya di dalam sesebuah telefon bimbit terdapat pelbagai komponen eleketronik yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar sekiranya dibuang atau tidak diuruskan dengan baik.

Beliau berkata, bateri yang terdapat pada telefon bimbit yang mengandungi sel bateri juga berbahaya kepada pengguna sekiranya dibuang begitu saja kerana bahan kimia yang terdapat di dalamnya boleh mencemarkan alam sekitar.

“Jika kita mempunyai kesedaran yang tinggi untuk melaksanakan aktiviti pengurusan telefon bimbit lama ini dengan baik ia bukan saja memberi manfaat kesihatan kepada kita dan alam sekitar tetapi mampu mengembangkan industri pengurusan bahan elektronik di Malaysia.

“Di dalam sesebuah telefon bimbing yang mengandungi pelbagai komponen elektrik sebenarnya boleh diproses dan dikumpulkan untuk menghasilkan logam bernilai tinggi,” katanya kepada IT@Metro.

Badaruzzaman berkata, kotak kitar yang disediakan SKMM bukan saja menerima telefon bimbit yang rosak malah pelbagai aksesori elektronik lain seperti alat pengecas dan pemain musik elektronik.

Katanya, bagi menggalakkan orang ramai ‘mendermakan’ telefon bimbit mereka, pemain industri terdiri daripada syarikat telekomunikasi yang bekerjasama dengan SKMM memberikan beberapa ganjaran antaranya beg kitar semula dan ada di antara syarikat telekomunikasi memberi potongan harga untuk pembelian aksesori.

Ketika sesi taklimat itu, wakil media berpeluang melawat kilang pengurusan e-sisa, Shan Poornam Sdn Bhd di Perai, Pulau Pinang untuk melihat cara pemprosesan pelbagai peratan elektronik yang boleh dikitar semula termasuk telefon bimbit.

Dalam sesi lawatan itu, kumpulan media dapat melihat proses untuk mendapatkan komponen peralatan elektronik termasuk telefon bimbit yang boleh menghasilkan pelbagai logam bernilai tinggi.

Pengarah Urusan Shan Poornam S Selvakumar berkata, pihaknya memproses 5,000 tan pelbagai produk elektronik sebulan yang mampu menghasilkan antaranya 35 kilogram emas, platinum 15 kilogram dan 50 kilogram perak.

Katanya, bahan bernilai tinggi yang dihasilkannya akan dijual di pasaran tempatan, Jepun dan Jerman manakala, China serta Korea adalah sasaran pasarannya pada masa depan.

“Bagi mereka yang memberi bahan elektronik seperti telefon bimbit yang rosak kepada Shan Poornam, kami akan membelinya dengan harga berpatutan dan setakat ini jumlah telefon bimbit yang diproses di kilang masih dalam kadar rendah berbanding perkakasan komputer lain.

“Sebenarnya, kesedaran bagi mengitar semula bahan elektronik tidak berfungsi penting yang bukan saja mampu menjana pendapatan pemain industri seperti kami, malah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus satu langkah mengelakkan bahan kimia yang terkandung di dalamnya mencemari alam sekitar,” katanya.

Selvakumar berkata, pihaknya juga memperuntukkan sejumlah pelaburan tinggi bagi membeli pelbagai mesin yang boleh memproses sisa peralatan elektronik dan sistem bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Katanya, kilangnya juga terdapat bilik pembangunan kajian bagi memastikan logam yang dihasilkan berkualiti dan setaraf dengan piawaian pasaran.

“Bagi memproses sisa elektronik ini memerlukan ketelitian bagi mengelakkan berlaku pencemaran udara,” katanya.

Wednesday 14 September 2016

Cadang pemandu kenderaan kerajaan dikecualikan Kejara, AES - Azih

Datuk Azih Muda
PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan, diwujudkan satu klausa pengecualian kepada pemandu kenderaan kerajaan daripada dikenakan tindakan pemotongan mata demerit apabila Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dijalankan serentak nanti.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pelaksanaan serentak dua sistem itu akan memberi kesan kepada lebih 50,000 pemandu kenderaan kerajaan yang ada ketikanya terpaksa memandu melebihi had kelajuan ditetapkan atas faktor kepentingan urusan kerajaan.

Pemandu kenderaan polis, ambulans, bomba serta menteri antara yang tidak terkecuali dalam pelaksanaan sistem Kejara dan AES apabila dilaksanakan kelak.

Azih berkata, pemandu kenderaan kerajaan adalah tertakluk kepada tugasan seperti terlibat dalam operasi, mengejar penjenayah, menghantar pesakit atau terpaksa bergegas dari beberapa lokasi dalam masa yang singkat.

"Apabila kamera AES mengesan kenderaan dipandu melebihi had, pemandu terbabit secara automatik akan disaman, dikenakan pemotongan mata demerit Kejara yang mungkin pada akhirnya lesen memandu mereka digantung jika jumlah kesalahan mencapai 20 mata seperti ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini.

Azih berkata, keadaan sedemikian bukan sahaja merugikan pemandu malah memberi kesan kepada penugasan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan kerana mereka yang terbabit mungkin tidak boleh melakukan tugasan lain kerana jawatan hakiki mereka adalah sebagai pemandu.

Kebimbangan serta cadangan mewujudkan klausa pengecualian kepada pemandu kenderaan kerajaan antara yang dibangkitkan delegasi CUEPACS dalam pertemuan tertutup mereka dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron selama sejam di ibu pejabat JPJ di sini.

Ditanya reaksi Ketua Pengarah JPJ terhadap cadangan berkenaan, Azih berkat,a Nadzri mengambil maklum mengenainya serta menjelaskan perincian lanjut perlu dilakukan kerana pelaksanaan kedua-dua skim tersebut masih baharu di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Januari lepas dilaporkan berkata, dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, AES dan Kejara akan dilaksanakan serentak selewat-lewatnya pada Mac.

Menurutnya, pelaksanaan tersebut bukan bertujuan mendenda pemandu, sebaliknya penguatkuasaan AES dan Kejara merupakan satu daripada cara berkesan dalam mengurangkan nahas jalan raya. - BERNAMA

Tuesday 13 September 2016

Biri-biri bukan kambing

Apa yang membezakan keduanya adalah pada nama, ciri-ciri ekor, istilah untuk dagingnya serta kandungan lemak dan kolesterol. Ekor kambing (gambar di atas) berdiri hampir tegak, tetapi ekor biri-biri terkulai seperti ekor lembu.
Kuala Lumpur: Kekeliruan istilah menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa perkataan ‘lamb’ dan ‘mutton’ merujuk kepada daging kambing sedangkan ia daging biri-biri yang mengandungi kadar lemak yang tinggi.

Dengan kadar lemak sehingga 12 peratus daripada keseluruhan dagingnya, biri-biri yang biasanya dimasak di restoran atau dijadikan ‘kambing golek’ pada majlis tertentu, ia tidak sesuai untuk mereka yang menghidap tekanan darah tinggi berikutan kolesterol tinggi.

Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Azhar Kasim berkata, daging biri-biri matang dipanggil ‘mutton’ namun salah faham istilah itu menjadikan masyarakat menganggap mereka makan daging kambing.

“Dari segi istilah, kambing dipanggil ‘chevon’ manakala biri-biri muda ialah ‘lamb’. ‘Lamb chop’ dari segi istilah merujuk kepada daging biri-biri muda dan bukannya kambing.

“Tetapi dari dulu kita anggap semuanya kambing dan ia menjadi isu apabila ada yang mendakwa kambing penyebab darah tinggi. Sebenarnya ia adalah biri-biri,” katanya kepada Harian Metro.

Azhar berkata, beliau terpanggil membuat pendedahan itu selepas mendapati terlalu ramai orang yang salah tanggapan mengenai daging kambing dengan aspek kesihatan.

Beliau berkata, biri-biri mempunyai kandungan lemak antara daging kira-kira 12 peratus manakala kambing sekitar dua peratus saja, jurang besar yang memberi kesan kepada kesihatan.

“Dua peratus lemak yang ada pada kambing itu hanya terdapat pada beberapa bahagian di dalam badan. Jadi, risiko untuk menyebabkan penyakit itu kurang berbanding biri-biri. Selama ini kita yang salah faham,” katanya.

Perbezaan ayam kampung (kiri) dan ayam kacuk jantan di Unit Poltri, Jabatan Sains Haiwan.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa isu ayam cucuk yang heboh diperkatakan di negara ini sejak lama dulu hanyalah satu mitos kerana ia diharamkan sejak 1959 lagi.

Katanya, yang ada pada hari ini ialah suntikan vaksin kepada ayam untuk memastikan ia mempunyai imunisasi daripada sebarang penyakit.

Menurutnya, kaedah memberi vaksin ialah prosedur biasa dan tidak mempunyai implikasi kesihatan kerana ia sebenarnya baik untuk proses tumbesaran ayam.

“Sejak 1959, tiada lagi kaedah ayam disuntik hormon namun sehingga hari ini ramai mengatakan ayam dicucuk mengandungi racun dan tercemar. Sedangkan ia adalah suntikan vaksin biasa.

“Ayam daging yang kita lihat lebih gemuk dan berisi berbanding ayam kampung ialah hasil kemajuan teknologi genetik.

“Dengan kemajuan teknologi genetik, ayam sekarang mampu membesar 400 peratus dengan lebih cepat berbanding 50 tahun lalu dan ia selamat dimakan sebagai antara sumber protein termurah,” katanya.

Sunday 11 September 2016

Teliti cadangan tubuh sekolah Bangsa Johor


KOTA TINGGI  – Kementerian Pendidikan akan melihat ke­sesuaian penubuhan sekolah satu aliran Bangsa Johor seperti dicadangkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim awal bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini terdapat tujuh jenis sekolah di Malaysia iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah mubaligh, sekolah swasta serta sekolah antarabangsa.

“Semua sekolah ini adalah di bawah Akta Pendidikan 1961. Sekiranya sekolah Bangsa Johor mahu diwujudkan, perkara ini perlu diteliti untuk dikategorikan jenis sekolah yang bersesuaian,” katanya.

Mahdzir mengulas cadangan Tunku Ismail dalam satu portal berita pada 4 September lalu yang membayangkan pada masa akan datang tidak akan ada sekolah Melayu, India, Cina di Johor dan yang akan ada hanya sekolah Bangsa Johor.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya mengeluarkan arahan melarang sekolah-sekolah melakukan lawatan sambil belajar ke Singapura dan Filipina bagi mengelak menularkan virus zika, berkuat kuasa 1 September lalu.

Jelasnya, pekeliling mengenai larangan itu dibuat hasil Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan baru-baru ini dan perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada semua Pengarah Jabatan Pendidikan negeri.

“Hasil mesyuarat tersebut kita memutuskan dua perkara, pertama, mengeluarkan larangan atau beri surat kepada jabatan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk menangguhkan lawatan ke Singapura dan Filipina berikutan penularan virus zika,” katanya.

Friday 9 September 2016

ANDA MENGAWAL HUTANG ANDA? ATAU HUTANG ANDA MENGAWAL ANDA? PERLABURAN ATAU PERJUDIAN?


SELAMA 6 tahun dalam industri hartanah, perbankan, dan perancangan kewangan, saya dapati ramai di antara kita TERSEPIT DENGAN BEBANAN HUTANG. Kebanyakannya adalah bukan kerana tiak mamp, tetapi golongan disebabkan perkara berikut:

a) terlalu boros berbelanja mengikut nafsu
b) tidak menyimpan
c) tidak ada backup plan untuk kewangan mereka
d) tidak tahu tujuan sebenar pinjaman dibuat

Dengan itu, saya kongsikan 10 TIPS bagaimana untuk MERANCANG KEWANGAN ANDA.

1) SIMPAN 10% DARI GAJI ANDA SETIAP BULAN.
- Saya tahu jika saya mengeluarkan tips ini ramai yang akan cakap “cakap boleh lah, ini naik, itu naik, semua naik, macam mana?”. 
- Cuba buat dahulu. Anda akan rasa sedikit janggal tapi lama kelamaan anda akan rasa kebaikannya. Dari anda membeli rokok, berseronok setiap bulan dapat gaji? Baik anda simpan 10% dari gaji anda untuk simpanan. Boleh rancang apa yang anda ingin lakukan 6 bulan, 1 tahun, 3 tahun, 5 tahun, dan 10 tahun akan datang.
- Saya galakkan anda menyimpan di Tabung Haji atau ASB. Kerana anda akan dapat pulangan 6% ke 8% setahun. Jika ada tempat perlaburan yang anda rasa lebih baik, anda digalakkan berbuat demikian.

2) PASTIKAN MAJIKAN ANDA MEMBAYAR KWSP ANDA.
- Pastikan majikan anda membayar KWSP anda. Ramai yang terlepas pandang perkara ini. Tahukah anda salah satu sebab loan tidak lepas adalah kerana MAJIKAN TIDAK MENCARUM KWSP ANDA? 
- Ianya juga penting untuk masa depan anda terutama selepas pencen nanti. Anda juga harus merancang untuk simpanan dan pendapatan hari tua kelak kerana wang KWSP mungkin tidak cukup untuk anda menyara kehidupan anda sekeluarga selepas anda bersara.

3) JANGAN MEMBAYAR LEBIH PADA PIHAK BANK.
- Mungkin ada yang tidak setuju dengan cara ini, tapi saya menasihatkan semua client saya untuk tidak membayar lebih kepada pihak bank. MELAINKAN ANDA MENGGUNAKAN FLEXI LOAN. Tapi flexi loan juga memerlukan strategi untuk anda memendekkan tempoh pinjaman. Ini kerana duit yang anda bayar lebih itu lebih ditolak ke ‘interest’, bukan principal amount semata-mata. Anda boleh download financial calculator untuk mendapatkan kesahihan.
- tapi apa yang saya cadangkan adalah, bayarkan lebih sikit ke akaun ASB/Tabung Haji anda. Kerana anda boleh mendapat manfaat dari dividen 6% ke 8% dividen tahunan berbanding interest loan yang rata-ratanya 3% ke 5.5% sahaja.
- Setelah simpan selama beberapa tahun, anda pasti terkejut bahawa anda boleh melangsaikan hutang anda dengan lebih cepat dan sistematik.
- namun jika anda tidak mampu berbuat demikian, anda boleh sahaja membayar lebih tapi saya lebih prefer cara di atas.

4) BELI HARTANAH.
- Beli hartanah secepat mungkin. Hartanah yang saya maksudkan adalah hartanah yang boleh menambahkan pendapatan anda. Iaitu sewannya boleh lebih tinggi dari bayaran bulanan pada bank.
jangan tunggu untuk terus membeli rumah idaman, kerana dikhuatiri anda akan terus bertangguh dan lebih banyak alasan yang akan timbul untuk tidak membeli dahulu.
- dapatkan coach, strategi yang terbaik kerana tidak semua hartanah menguntungkan. Ada juga yang merugikan. Sebab itu banyak rumah lelong.

5) TANGGUHKAN ‘HIRE PURCHASE’/ PINJAMAN KERETA MEWAH.
- Tangguhkan membeli kereta mewah. Saya tahu memang agak mudah sedikit mendapatkan loan kereta berbanding rumah. Namun jika anda menggunakan untuk menambahkan pendapatan, BAGUS!
- sebagai contoh anda membeli kereta mewah dan sewakannya untuk event VVIP dan anda mendapat income daripadanya.
Ataupun anda berniaga melalui UBER BLACK. Boleh juga mendatangkan income yang bagus untuk anda.

6) JIKA TIDAK CUKUP MODAL MEMBELI HARTANAH. SIMPAN EMAS DAN SIJILNYA.
- Jika anda masih tidak cukup modal membeli hartanah saya galakkan anda simpan emas dan SIJILNYA.
- ketika saya bekerja di Bank dahulu, tips ini saya gunakan untuk client saya dan ianya sangat membantu beliau untuk mendapatkan pinjaman hartanah. Ini kerana sebenarnya bank menerima apa-apa income dari kita yang didokumenkan dengan baik.

7) CUBA BERJINAK-JINAK DENGAN BERNIAGA KECIL-KECILAN.
- Cuba tambah pendapatan dengan berniaga kecil-kecilan seperti menjual tudung, jualan produk dan lain-lain.
- anda juga boleh menjadi referral seperti referral kepada property agent, setiap kes yang berjaya anda boleh menjana sehingga RM3000 sebulan atau lebih.

8) ADAKAN TABUNG KECEMASAN
- tabung kecemasan ini seperti WAJIB. Iaitu TAKAFUL. Walhal setiap orang patut ada Takaful pada zaman ini. Namun, anda harus ketahui kemampuan anda, serta tahu apa yang anda bayar! kerana ramai juga yang tidak tahu apa manfaat dengan apa yang mereka bayar selama bertahun-tahun.

9) RANCANG SEOLAH-OLAH ANDA AKAN BERHENTI KERJA 5 TAHUN AKAN DATANG. PERNAH DENGAR ‘RETIRE YOUNG RETIRE RICH’?
- rancanglah seperti anda akan berhenti bekerja 5 tahun akan datang. Dari perancangan ini, anda akan tahu berapa yang anda perlukan selepas anda berhenti kerja. Tidaklah mustahil ya untuk berhenti bekerja selepas 5 tahun! namun harus ada perancangan yang teliti.
- perancangan yang teliti andalah anda kena ada pendapatan aktif untuk 5 tahun dan seterusnya akan datang, pendapatan pasif walaupun secara tahunan, mungkin anda juga sudah berjaya ‘flip’ beberapa hartanah dan start main flipping pula dengan hartanah. 
- Mungkin juga anda sudah berniaga/ berbisnes dengan baik. 
- Mungkin juga anda sudah mahir dengan pelaburan lain-lain.
- Namun sebelum anda berhenti, seperti saya maklumkan tadi, adakan perancangan, elakkan hutang membebankan dan fukus pada menambahkan pendapatan anda.

10) RANCANG UNTUK KEWANGAN LEGASI ANAK-ANAK DAN KELUARGA ANDA JUGA.
- rancanglah untuk legasi keluarga anda pula. Saya tahu ada di antara anda yang merasakan “pandai-pandailah diorang hidup”. Tapi x terfikirkah anda bahawa membangunkan legasi anda itu perlu? Dengan kos hidup yang semakin meningkat dan mencabar, perancangan ini sangat diperlukan. 
- rancang kewangan legasi boleh melalui sistem perniagaan yang baik. Jadi legasi anda hanya perlu sambung sistem perniagaan yang anda sediakan. Harta yang diwarisi dengan baik untuk mereka merancang kehidupan selepas itu dan lain-lain.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat membantu anda. Semua tips di atas adalah perkongsian semata-mata dari pengalaman individu.

Sekian. Dari saya...

Shukri Zohari
AIA Takaful Life Planner| Financial Consultant| Property Consultant for Individual & Corporate| Entrepreneur|