Thursday 8 September 2016

Hukuman berat terhadap pengedar dadah kecil-kecilan

KUALA LUMPUR  - Pengedar dadah kecil-kecilan perlu dikenakan hukuman berat serta tempoh penahanan yang panjang supaya kegiatan jenayah dadah dapat dihapuskan dari peringkat akar umbi.

IZHAR ABU TALIB
Timbalan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Izhar Abu Talib berkata, penagih dadah tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan bekalan kerana pengedar kecil-kecilan sering bertindak sebagai pembekal yang menjadi salah satu punca mengapa kegiatan pengedaran dadah agak sukar untuk dibendung.

“Kegiatan pengedar kecil-kecilan ini menyebabkan dadah amat mudah untuk diperoleh, malah mendapat keuntungan atas angin hasil daripada aktiviti penjualan dadah tersebut.

“Jika mereka dikenakan hukuman yang berat, secara tidak langsung bekalan kepada penagih-penagih dadah akan terputus, sekali gus mengelakkan mereka daripada mengambil dadah secara berterusan atau yang sudah pulih, menagih semula serta menghalang kemunculan penagih-penagih yang baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengubahsuai Dasar Dadah Negara dengan memasukkan peruntukan tambahan yang membolehkan pengedar dadah kecil-kecilan menjalani hukuman yang lebih panjang.

Hukuman yang dikenakan terhadap pengedar kecil setakat ini iaitu denda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama dua tahun dianggap tidak memadai dalam usaha membendung kegiatan pengedaran dadah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd. Yunus Pathi berkata, pihak berkuasa perlu menubuhkan mahkamah dadah dengan segera bagi memastikan kegiatan tersebut dibanteras secara menyeluruh.

“Berbanding mahkamah sedia ada, mahkamah dadah tidak akan menjatuhkan hukuman begitu sahaja, sebaliknya berperanan untuk membantu pesalah-pesalah dari segi pemulihan dan kesedaran.

“Pelbagai kaedah dan tindakan telah dilakukan oleh pihak berkuasa tetapi dengan penubuhan mahkamah yang mengkhususkan jenayah dadah, kegiatan tersebut pasti akan dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...