KOTA TINGGI – Kementerian Pendidikan akan melihat kesesuaian penubuhan sekolah satu aliran Bangsa Johor seperti dicadangkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim awal bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini terdapat tujuh jenis sekolah di Malaysia iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah mubaligh, sekolah swasta serta sekolah antarabangsa.
“Semua sekolah ini adalah di bawah Akta Pendidikan 1961. Sekiranya sekolah Bangsa Johor mahu diwujudkan, perkara ini perlu diteliti untuk dikategorikan jenis sekolah yang bersesuaian,” katanya.
Mahdzir mengulas cadangan Tunku Ismail dalam satu portal berita pada 4 September lalu yang membayangkan pada masa akan datang tidak akan ada sekolah Melayu, India, Cina di Johor dan yang akan ada hanya sekolah Bangsa Johor.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya mengeluarkan arahan melarang sekolah-sekolah melakukan lawatan sambil belajar ke Singapura dan Filipina bagi mengelak menularkan virus zika, berkuat kuasa 1 September lalu.
Jelasnya, pekeliling mengenai larangan itu dibuat hasil Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan baru-baru ini dan perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada semua Pengarah Jabatan Pendidikan negeri.
“Hasil mesyuarat tersebut kita memutuskan dua perkara, pertama, mengeluarkan larangan atau beri surat kepada jabatan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk menangguhkan lawatan ke Singapura dan Filipina berikutan penularan virus zika,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...