Monday 31 October 2016

Misil angkara Iran?

PELURU berpandu jenis Scud yang dilancarkan ke Mekah, barubaru ini.
RIYADH - Seorang pakar ketenteraan Mesir mendakwa, pelancaran pe­luru berpandu balistik ke Mekah pada Khamis tidak mungkin dilakukan pemberontak Syiah Houthi berdasarkan kemampuan terhad kumpulan berkenaan.

Hisham al-Halabi dalam satu kenyataannya kepada portal Al Arabiya berkata, pihak yang bertanggungjawab melancarkan misil itu jelas mempunyai kepakaran teknologi yang tinggi.

Beliau percaya, peluru berpandu ba­listik itu dilancarkan oleh pakar Iran atau kumpulan militia yang setia kepada bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh.

“Kumpulan bertanggungjawab menggunakan peluru berpandu Scud jenis permukaan ke permukaan.

“Tentera Yemen memperoleh bekalan misil itu dari Rusia sebelum kumpulan militia Ali me­rampasnya,” kata Hisham.

Beliau berkata, senjata itu terbahagi kepada beberapa jenis iaitu A hingga D dengan jarak pelancaran antara 180 hingga le­bih 300 kilometer bagi setiap jenis.

Tambahnya, senjata itu juga berbeza dari segi ketepatan, tahap kelajuan serta jarak yang boleh dicapai bagi setiap pelancaran.

Hisham berkata, bekas Pre­siden Iraq, Saddam Hussein juga pernah menggunakan salah satu daripada senjata-senjata tersebut ketika Perang Teluk serta semasa berperang dengan Iraq selain pernah dibangunkan oleh Korea Utara.

Hisham bagaimanapun percaya peluru berpandu balistik itu tidak akan menggusarkan Arab Saudi kerana negara ini memiliki keupayaan sistem pertahanan yang lebih canggih.

Dalam kejadian malam Khamis lalu, cubaan serangan ke Mekah digagalkan oleh Arab Saudi yang berjaya memintas peluru berpandu berkenaan.

Menurut portal Arab News yang memetik kenyataan tentera perikatan diketuai Arab Saudi, peluru berpandu balistik itu berjaya dimusnahkan kira-kira 65 kilome­ter dari Mekah tanpa mengakibatkan kecederaan kepada orang ramai.

Saturday 29 October 2016

Penguat kuasa hangat-hangat tahi ayam, lemah integriti


KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir penguat kuasa yang culas dalam melaksanakan ama­nah dan tanggungjawab diberi hanya akan mencemarkan kredibiliti seluruh agensi penguat­kua­saan di negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan, kegagalan sistem penguatkuasaan yang se­perti ‘hangat-hangat tahi ayam’ dalam melaksanakan agenda membanteras penyeludupan di pos sempadan memberi mesej buruk tentang status kawalan negara kita.

“Masalah Malaysia adalah isu integriti. Nam­paknya ada perkara yang amat tidak kena tentang proses pendidikan kita sehingga begitu banyak ketirisan berlaku, melibatkan urusan pe­nyampaian dan pelaksanaan.

“Hal ini terutamanya mereka yang hidup dipengaruhi aspek material, akhirnya menyebabkan kewibawaan dan integriti dalam diri terhakis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Utusan Malaysia berhubung pengakuan seorang penyeludup warga Thailand yang membawa keluar bekalan minyak masak bersubsidi keluaran Malaysia melalui jalan sah setelah mendapat kerjasama sepenuhnya ‘orang dalam’ di Kompleks Kastam, Imigre­sen dan Kuarantin (CIQ), Rantau Panjang.

Menurut Nadzim, kepincangan yang berlaku dalam agensi pe­nguat kuasa hanya akan membuka ruang kepa­da pihak berkepenti­ngan untuk ‘menangguk di air keruh’ dan menyebabkan usaha membanteras penyeludupan menemui jalan buntu.

“Kita boleh tubuh 10 lagi agensi pun tak guna jika mereka datang daripada masyarakat sama yang amat lemah integritinya. Selagi hati tidak dibetulkan, selagi itulah kita sukar membawa perubahan yang dikehendaki,” katanya.

Friday 28 October 2016

Samun pakai kopiah

Pintu jeriji yang dirosakkan pencuri.
Jempol: Dua penjenayah termasuk seorang berkopiah yang mahu merompak rumah seorang kontraktor terkejut selepas perbuatan disedari pemilik dalam kejadian di Taman Mustari 3, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun berada dalam bilik sebelum terdengar pintu jeriji dibuka.


Katanya, pada awalnya, mangsa menyangkakan isterinya keluar sebelum melihat dua lelaki tidak dikenali dengan seorang daripadanya berkopiah manakala seorang lagi memakai topi.

“Kontraktor terbabit mengejar mereka dan seorang daripada mereka diberkas. Melihat rakannya dicekup, suspek berkopiah membaling cawan, pinggan dan pisau ke arah mangsa,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa terpaksa melepaskan suspek sebelum penjenayah melarikan diri menerusi pintu belakang kediaman.

Campak kotak rokok berisi duit

Bekalan minyak masak didapati masih berkurangan di kebanyakan pasar raya di seluruh negara.
KUALA LUMPUR - Campak kotak rokok berisi duit dan jalan.

Hanya itu yang dipercayai perlu dilakukan penyeludup minyak masak bersubsidi untuk ‘melepasi’ pemeriksaan pihak berkuasa di Wang Kelian, Perlis.

Dikatakan hampir setiap hari antara lima hingga sepuluh kenderaan pikap yang membawa ratusan peket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram dan dua kilogram lepas masuk ke negara jiran akibat kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Menurut sumber, kegiatan yang dilakukan secara bersindiket itu didalangi pemborong minyak masak bersubsidi dan diatur oleh orang tengah yang merupakan anggota sindiket di negara ini.

Ujarnya, mereka akan membawa minyak yang dipeketkan dari kilang di Perlis menggunakan lori menuju ke arked niaga Wang Kelian.

“Sebelum tiba di kawasan arked mereka akan melalui satu pos pemeriksaan dan dilepaskan selepas mencampakkan kotak rokok berisi wang kepada pe­nguat kuasa bertugas di situ.

“Bagaimanapun jumlah wang dan waktu kegiatan itu dilakukan tidak dapat dipastikan kerana berubah setiap hari mengikut per­mintaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumber memberitahu, selepas melepasi pos pemeriksaan dan tiba di arked niaga Wang Kelian, kesemua minyak masak peket tersebut akan dipindahkan ke dalam antara lima hingga sepuluh kenderaan pikap yang dipandu sekumpulan ahli sindiket dari Thailand.

Katanya, bagi mengaburi pihak berkuasa kesemua minyak masak akan ditimbus dengan barangan lain seperti bawang.

“Mereka kemudian akan me­mandu pikap dan selepas me­nge­cop pasport di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) mereka akan masuk ke Thailand bersama ratusan kilogram mi­nyak masak berkenaan untuk diserahkan kepada ketua sindiket sebelum dijual mengikut permintaan,” katanya.

Harga sepeket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram (1kg) dan dua kilogram (2kg) di negara ini masing-masing dijual dengan harga RM2.50 dan RM6 hingga RM7.20 (mengikut jenis) manakala sindiket dipercayai akan menjualnya dua kali ganda di negara jiran dengan harga RM4 (1kg) dan RM10 (2kg).

Akhbar sebelum ini melaporkan kekurangan bekalan minyak masak didapati berlaku di keba­nyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan keluhan ramai pengguna serta peniaga makanan.

Berikutan itu, minyak masak bersubsidi keluaran Malaysia yang sememangnya diakui berkualiti dikatakan telah mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di kawasan selatan negara jiran seperti wi­layah Narathiwat dan Pattani.

Permintaan tinggi terhadap minyak masak itu membawa kepada berlakunya aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi ter­sebut ke negara jiran.

Aktiviti membawa keluar barangan tersebut didalangi oleh rakyat Malaysia sendiri yang mahu mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda tanpa memikirkan kerugian dialami kerajaan akibat kegiatan seumpama itu.

PBS mungkin ganti UPSR

KEBOLEHAN murid-murid tahun enam akan dinilai berdasarkan model PT3 jika UPSR dimansuhkan.
PADANG TERAP – Kajian mengenai pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kini berada dalam peringkat akhir.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cada­ngan untuk menggantikan UPSR dengan PBS sudah beberapa kali dibangkitkan namun pihaknya perlu membuat kajian secara terperinci sebelum ia dilaksanakan.

Beliau berkata, ketika ini pihak kementerian giat me­ngumpul pandangan dan maklum balas daripada semua pihak termasuk guru, pihak kesatuan serta ibu bapa berhubung cada­ngan pelaksanaan PBS.

“Apabila sampai masanya kita akan putuskan apakah kaedah PBS yang lebih sesuai untuk murid-murid sebab di negara maju, peperiksaan hanya untuk tingkatan tertinggi di sesebuah sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Masjid Baharu Kariah Pulau Kijang yang bernilai RM3.2 juta di sini semalam.

Thursday 27 October 2016

Khairy menteri kabinet pertama berpangkat Brig. Jeneral


KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mendahului pemakaian pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Khairy yang juga Komander Rejimen 508 Askar Wataniah dinaikkan pangkat daripada Kolonel ke Brigadier Jeneral yang mula berkuat kuasa 14 Januari 2015.

Khairy yang sebelum ini ditauliahkan pangkat Kolonel berkuat kuasa 28 Oktober 2013 kini merupakan menteri pertama berpangkat Brigedier Jeneral sebenar dalam Rejimen Askar Wataniah dan kekal menjadi Komander Rejimen 508 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan.

Beliau menyertai Askar Wataniah pada 20 Januari 2010 sebelum ditauliah sebagai Kolonel pada 28 Oktober 2013. Pernah mengikuti kursus Asas Perajurit Muda selama sebulan pada 26 April 2010 di Rejimen 508 dan Kursus Asas Payung Terjun pada 13 Januari 2011 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang di Melaka.

Turut dinaikkan pangkat ialah Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman sebagai Brigedier Jeneral (Kehormat) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah sebagai Mejar Jeneral Kehormat.

Majlis pemakaian pangkat pegawai kanan sukarela dan kehormat Askar Wataniah itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Menurut Khairy, minat yang mendalam terhadap bidang ketenteraan mendorong beliau menyertai Askar Wataniah.

Mohd. Irwan Serigar pula menyifatkan penganugerahan itu satu penghormatan besar kepada dirinya.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, pelantikan merupakan satu penghormatan dan secara tidak langsung memudahkan pihaknya mendekati anggota Askar Wataniah.

Wednesday 26 October 2016

China rancang perkenal kereta api selaju 600 kilometer sejam

Kereta api laju yang digunakan di China ketika ini.
Beijing: China merancang memperkenalkan kereta api yang boleh meluncur selaju 600 kilometer sejam.

Sekiranya berjaya, perjalanan dari Beijing ke Shanghai hanya akan mengambil masa dua jam.

Sebuah syarikat negara itu, CRRC Corp Ltd kini menjalankan kajian untuk mengeluarkan kereta api pengapungan magnetik (Maglev) yang akan lebih laju daripada yang ada sekarang, lapor People’s Daily Online.

Menurut laporan itu, syarikat berkenaan juga akan menjalankan kajian mengenai kereta api seberang sempadan yang boleh bergerak selaju 400 kilometer sejam.

Jepun memiliki kereta api Maglev paling laju di dunia setakat ini dengan kelajuan 603 kilometer sejam ketika ujian.

Seorang jurucakap CRRC, Sun Bangcheng berkata, kereta api baru itu, jika diperkenalkan, akan mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 10 peratus berbanding kereta api berkelajuan tinggi yang digunakan sekarang.

Sistem kereta api China semakin berkembang sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menjadikannya rangkaian kereta api berkelajuan tinggi paling panjang di dunia. - Agensi

Kapal karam zaman Uthmaniyyah ditemui di dasar Laut Hitam

AHLI arkeologi menemui 40 kapal yang dipercayai karam semasa kerajaan Uthmaniyyah dan Byzantine.
LONDON – Sekumpulan pengkaji menemui bangkai 40 kapal karam yang dipercayai tenggelam semasa pemerintahan empayar Uthmaniyyah dan Byzantine ketika membuat kajian pemetaan Laut Hitam baru-baru ini.

Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam itu disertai oleh pasukan antarabangsa diketuai oleh Pusat Arkeologi dari Universiti Southampton, London.

Ekspedisi tersebut berada sehingga 1,800 meter di bawah Laut Hitam menggunakan sebuah kapal selam kawalan jauh dilengkapi dengan peralatan laut dalam paling canggih di dunia.



“Dengan menggunakan teknik rakaman tiga dimensi untuk struktur laut dalam, kami mampu mengambil imej-imej artifak tanpa mengganggu lantai laut,” ujar Ketua Projek, Prof. Jon Adams.

Menerusi penemuan tersebut, pengkaji berharap dapat mendalami aktiviti-aktiviti di perairan di Laut Hitam yang menjadi tumpuan empayar besar lain pada zaman dahulu termasuk Greece dan Rom.


Menurut sejarah, kerajaan Uthmaniyyah yang menakluk Constantinople (Istanbul) menutup Laut Hitam kepada kapal dagang pada tahun 1453dan dibuka semula 400 tahun kemudian iaitu pada tahun 1856. – Agensi

Tuesday 25 October 2016

Perlumbaan F1 mungkin dihentikan

BILANGAN penonton yang menyaksikan perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang semakin merosot sejak 2014.
KUALA LUMPUR – Nasib perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijangka diketahui akhir minggu ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Beliau berkata, mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan perkara itu dengan pemegang saham utama SIC iaitu Kementerian Kewangan pada Khamis ini.

“Jualan tiket F1 telah merosot sejak 2014. Sebaliknya, lumba motosikal Malaysia (MotoGP) nampaknya lebih berjaya dari segi menarik penonton dan potensi kesan limpahannya,” katanya pada majlis taklimat media di sini semalam.

Razlan, bagaimanapun berkata, beliau tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan pengumuman rasmi mengenai pemberhentian F1 di Malaysia kerana SIC mempunyai perjanjian ketat dengan pemegang lesen sehingga 2018.

“Penarikan diri secara sementara daripada F1 (selepas 2018) mungkin memberi manfaat kepada negara. Ketika ini, sesetengah pihak menyatakan produk itu (F1) tidak lagi menarik kerana ia dikuasai satu pasukan.

“Laporan awal untuk perlumbaan terakhir F1 juga menunjukkan jumlah penonton di Malaysia adalah yang terendah dalam sejarah,” katanya dengan menambah, F1 Singapura juga dilaporkan mencatat penurunan 20 peratus dalam jualan tiket.

Razlan membayangkan yang SIC akan memberi tumpuan untuk membangunkan MotoGP.

Monday 24 October 2016

Pelajar rasuah pensyarah IPT

Shamshun BAHARIN (berdiri, tengah) dan Abdul Halim (berdiri, lima dari kanan) bergambar bersama peserta pada majlis penutup Program Peningkatan Integriti dan Pencegahan Rasuah 2016 di Kuching semalam.
KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat segelintir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sanggup memberikan habuan kepada pensyarah bagi mendapatkan markah tinggi dalam peperiksaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil bagaimanapun berkata, jumlah pelajar yang terlibat dalam kegiatan itu adalah kecil.

Menurutnya, SPRM pernah menyiasat kes sedemikian yang me­libatkan pelajar dan pendakwaan telah dilakukan di mahkamah.

“Statistik menunjukkan seba­nyak 55 peratus daripada 1,902 belia ditangkap terlibat dengan rasuah terdiri daripada mereka berusia 40 tahun ke bawah dan jumlah itu agak tinggi sejak tiga tahun lalu.

Saturday 22 October 2016

TMJ cari jurulatih Sepanyol untuk Harimau Malaysia


MESKIPUN belum memberi kata putus sama ada akan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini berada di Madrid demi untuk bola sepak negara.

Tunku Ismail menjelaskan jemputan yang diterima beliau ke Persidangan ‘World Football Summit’ punyai sebab yang tertentu khusus untuk membantu pasukan bola sepak kebangsaan.

Menurut Tunku Ismail, beliau sudah lama ingin membantu skuad kebangsaan namun tidak boleh melakukan apa-apa kerana pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini.

“Apabila pengurusan baru mengambil alih FAM tahun hadapan, tiga objektif utama akan terus dilaksanakan.

“Pertama, pelantikan jurulatih baharu dari Sepanyol, keduanya adalah duit hak penyiaran untuk semua pasukan dan ketika memperbaiki Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” katanya menerusi kemas kini status di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Ogos lalu, TMJ menolak ‘formula’ yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk mengambil alih Presiden FAM dengan alasan mahu mengelak wujudnya konflik kepentingan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, beliau masih belum membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Pengerusi FMLLP sehingga perbincangan lanjut diadakan.

Mengulas lanjut, TMJ memberitahu, jurulatih yang dicari bukan sahaja untuk pasukan utama negara tetapi juga di peringkat belia.

“Jurulatih baharu ini akan terapkan polisi, disiplin dan falsafah buat pasukan kebangsaan,” tambahnya lagi.

Tunku Ismail dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia 2016 bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan bola sepak di Madrid, Sepanyol yang akan bermula pada 27-28 Oktober ini.

Seminar ini turut dihadiri oleh nama-nama besar dalam arena bola sepak dunia seperti Juventus, Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Manchester United, AC Milan dan banyak lagi.

Friday 21 October 2016

Beri kepercayaan kepada Jakim

Dr Zaharuddin Abdul Rahman
SHAH ALAM - Masyarakat disaran memberi lebih autoriti dan kepercayaan kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim)  dalam menentukan urusan prosedur operasi standard (SOP) yang terbaik bagi penganugerahan logo halal.

Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, campur tangan khususnya kritikan tidak membina  pelbagai pihak boleh menimbulkan kekeliruan sekaligus menyebabkan jabatan itu diperlekehkan.

“Biar Jakim buat kerja mereka mengikut garis panduan terbaik yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, sesebuah syarikat mempunyai pilihan sama ada untuk membuat permohonan mendapatkan sijil halal daripada jabatan itu.

“Jelas ia tidak wajib, namun, tentunya kita sarankan mereka berbuat demikian bagi meningkatkan keyakinan pengguna Muslim,” katanya.

Menyentuh mengenai isu penggunaan nama ‘dog’ pada makanan, beliau berkata, isu tersebut adalah yang terpencil.

“Sebagai contoh 'pretzel dog' yang dijual oleh sebuah francais yang viral baru-baru ini, jika pihak mereka memohon sijil halal dari Jakim, maka ia perlu difahami dan mengikuti garis panduan pihak pengeluar logo. Jadi keperluan menukar nama jelas hanyalah isu administrasi,” katanya.

Beliau berkata, isu kecil tersebut telah diperbesarkan sehingga mencarik kredibiliti status halal Jakim.

“Ia ‘disambut’ pula oleh media antarabangsa seolah-olah memperlekehkan jabatan itu,” katanya.

Thursday 20 October 2016

Jamal dibebaskan, isytihar perang dengan Bersih

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.
KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos, yang juga ketua gerakan Baju Merah dibebaskan dengan jaminan polis, jam 5 petang tadi selepas tempoh reman dua harinya, tamat hari ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, mengesahkan pembebasan Jamal yang ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Dubai, kira-kira jam 8 pagi, semalam. 

Sejurus dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tadi, Jamal yang ditemui pemberita meluahkan rasa tidak puas hati dengan penahanannya yang disifatkan sebagai 'double standard'. 

"Tindakan polis menahan saya tidak boleh diterima langsung kerana tindakan itu adalah satu penganiayaan dan penghinaan terhadap saya. "Walaupun saya faham tugas polis adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman negara ini, apa yang berlaku terhadap saya (ditahan) adalah perkara yang 'double standard'," kata Jamal. 

Beliau turut mempertikaikan mengapa penganjur perhimpunan Bersih, yang kini dalam siri jelajah seluruh negara dan didakwanya cuba menghasut orang ramai menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak ditangkap dan digari sepertinya. 

"Sempena pembebasan saya hari ini, saya mengisytiharkan 'perang' habis-habisan dengan kumpulan Bersih 5. Penahanan ini sedikit pun tidak melemahkan semangat saya. "Selepas ini, saya akan mengerahkan semua jentera merah di seluruh negara untuk menggempur dan berperang dengan Bersih 5, yang menjadi 'dajal' di dalam negara kita ini," katanya. 

Semalam, Jamal serta seorang pengendali Facebook dikenali sebagai Azli, yang dipercayai berperanan sebagai pembantunya ditahan sepasukan pegawai dan anggota Unit Siastan Jenayah Terkelas (USTJ) Bukit Aman di KLIA sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi. 

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 504 kanun sama atas kesalahan pecah amanah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 

Dia ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu status berbaur hasutan yang dimuat naik dalam laman Facebook dengan nama 'Dato Jamal Yunos' pada 21 September lalu berhubung perhimpunan Bersih 5. Bagaimanapun, Jamal mendakwa akaun Facebook itu adalah akaun palsu menggunakan namanya.

Polis dalang curi kereta pegawai polis

Seorang polis berpangkat Lans Koperal ditahan berkaitan kes kehilangan dua kereta pegawai polis yang diparkir di Bangunan Kompleks Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman.
Kuala Lumpur: Kes kehilangan dua kereta milik pegawai polis yang diparkir di Menara 1, Bangunan Kompleks Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, didalangi seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan empat rakannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kehilangan kereta Volkswagen Vento milik seorang Deputi Superintendan Polis (DSP) dan Proton Saga BLM milik Asisten Superintendan Polis (ASP) masing-masing dari Jabatan Siasatan Trafik dan Jabatan Penguatkuasaan berlaku pada 6 Oktober lalu.

“Hasil siasatan polis menahan seorang anggota berpangkat lans koperal berumur 30-an yang bertugas di Cawangan Kem Komandan Bukit Aman," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Amar Singh berkata, empat lagi lelaki berusia antara 29 hingga 42 tahun, bekerja sebagai penarik kereta dan mekanik, ditahan Isnin lalu.

“Keempat-empat lelaki itu ditahan di Selangor bersama kereta Volkwagen Vento yang dilaporkan hilang itu. Bagaimanapun, kereta Proton Saga BLM masih belum ditemui," katanya.

DSP berkenaan ke Terengganu untuk tugasan rasmi dan meletak keretanya di tingkat satu parkir pada 26 September sebelum kembali pada 5 Oktober lalu, manakala ASP itu meletakkan keretanya di tingkat dua ketika melaksanakan tugasan rasmi di luar kawasan.

Kedua-dua pegawai polis itu terkejut apabila mendapati kereta mereka hilang sekembalinya ke Bukit Aman untuk mengambil kenderaan masing-masing.

Amar Singh berkata, anggota polis itu membawa keluar kenderaan berkenaan dengan bantuan empat lelaki terbabit, dan dua kereta itu sudah dijual kepada pihak ketiga.

Menurutnya lans koperal itu sudah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini manakala empat rakannya ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Tuesday 18 October 2016

Makin ramai rakyat Malaysia gemuk

TINJAUAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tahun lalu mendapati terdapat satu juta budak Malaysia dibelenggu masalah kegemukan.
KUALA LUMPUR – Masalah kegemukan di negara ini semakin membimbangkan apabila hampir 9.9 juta rakyat Malaysia didapati gemuk. Lebih menakutkan hampir satu juta daripada angka itu merupakan remaja serta kanak-kanak.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, kira-kira 5.6 juta orang dewasa berusia 18 tahun ke atas mempunyai masalah berat badan berlebihan, manakala 3.3 juta orang lagi disahkan obes.

Tinjauan itu turut mendedahkan kira-kira satu juta kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah turut mengalami masalah obesiti.

Kaum India paling ramai yang disahkan dihimpit masalah ke­gemukan iaitu kira-kira 27.1 peratus, Melayu (21.1 peratus), lain-lain bumiputera (18 peratus), Cina (11.7) lain-lain kaum (7.7 peratus).

Kajian NHMS yang dilakukan setiap empat tahun itu juga mendedahkan Putrajaya yang majoriti penduduknya merupakan kakitangan kerajaan menjadi lokasi paling ramai orang gemuk (dikira melalui peratusan penduduk) diikuti Melaka, Perlis dan Ne­geri Sembilan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia, Dr. Zulfitri Azuan Mat Daud berkata, obesiti merupakan ibu segala penyakit kerana masalah kegemukan boleh mengundang pelbagai penyakit kronik.

Monday 17 October 2016

Misi angkasa lepas China dilancar

ANGKASAWAN Jing Haipeng, dan Chen Dong memulakan ekspedisi.
SHANGHAI: China berjaya melancarkan misi angkasa kendalian manusia terbarunya hari ini dengan membawa dua angkasawan ke orbit, lapor media tempatan. 

Angkasawan Jing Haipeng, 49, dan Chen Dong, 37, akan menghabiskan masa sebulan di makmal eksperimen ruang angkasa bagi menjalankan pelbagai kerja penyelidikan.

Makmal angkasa berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan masa depan China untuk mempunyai stesen angkasa kendalian manusia kekal yang dijangka berfungsi sepenuhnya sekitar 2022. 

Shenzhou 11 dilancar menggunakan roket Long March pada jam 7.30 pagi tadi (waktu tempatan) dari tapak pelancaran terpencil Jiuquan, dekat gurun Gobi, menerusi imej yang disiarkan secara langsung di televisyen negeri. - REUTERS

Sunday 16 October 2016

Batu jed gergasi bernilai RM715j ditemui di Myanmar


YANGON: Sebuah batu jed gergasi seberat 175 tan ditemui oleh pelombong di Myanmar. Objek sepanjang 5.8 meter dan setinggi 4.3 meter itu serta dianggarkan bernilai AS$170 juta (RM715.02 juta) ditemui di bahagian utara negara berkenaan. 

Myanmar menjadi sumber batu jed utama dunia dengan kualiti terbaik, iaitu batu hijau yang hampir ditembusi cahaya. 

Industri perlombongan batu ini menyumbang hampir separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu. Salah sebuah pasaran terbesarnya adalah negara jiran China yang menganggap batu itu sebagai batu syurga. - AGENSI

Friday 14 October 2016

Tanam ini untuk halau nyamuk

Kementerian Kesihatan (KKM) saran tanam bunga tahi ayam, serai wangi dan lidah buaya untuk menghalau nyamuk.
Kuala Lumpur: Tumbuh-tumbuhan seperti bunga tahi ayam, serai wangi, lidah buaya dan tongkat Ali boleh digunakan untuk menghalau nyamuk dalam usaha mencegah demam denggi dan jangkitan virus Zika.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga menamakan lima tumbuhan lain yang turut mempunyai fungsi sama iaitu akar wangi, bunga selasih, 'floramaster', mahogani atau mambu dan jeremin.

"KKM menyarankan masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan menggunakan kaedah lain untuk mencegah demam denggi dan jangkitan Zika sebagai tambahan kepada aktiviti kawalan sedia ada.

"Antaranya menggunakan beberapa tumbuhan yang berfungsi sebagai penghalau nyamuk yang boleh ditanam di kawasan perumahan," kata KKM dalam kenyataan di Facebook.

Beberapa kajian oleh Zaridah et.al (2005) di Kepong, Ferreira et.al (2011) di London, Pattanayak et.al (2015) dan Satpute et.al (2015) di India mendapati tumbuhan itu juga boleh menghalau serangga lain.

Menurut KKM sepanjang minggu ke-40 tahun ini iaitu dari 2 hingga 8 Oktober lalu, 1,550 kes demam denggi dilaporkan, menurun 151 kes berbanding minggu ke-39 yang mencatatkan 1,701 kes.

Pada minggu ke-40 itu, empat kematian akibat demam denggi dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian 190 berbanding 261 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Bincang garis panduan gelaran PhD

Datuk Seri Idris Jusoh

Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menyiapkan garis panduan bagi menakrifkan penggunaan gelaran ijazah doktor falsafah (PhD) palsu sebagai jenayah atau tidak.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan semua universiti awam (UA) tempatan bagi menghasilkan garis panduan itu.

"Kami sudah berbincang mengenai perkara itu dan garis panduan berkenaan akan siap dalam tempoh dua bulan lagi," katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Kepimpinan Majlis Profesor Negara Sesi 2016-2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penggunaan gelaran PhD palsu oleh mentor keusahawanan, Azizan Osman baru-baru ini.

Idris berkata, selama ini, tiada garis panduan khas bagi penggunaan gelaran justeru, garis panduan itu kelak akan menentukan sama ada ia boleh dikategorikan sebagai kesalahan jenayah atau sebaliknya.

Wednesday 12 October 2016

Facebook kembangkan platform M-dagang

KUALA LUMPUR: Facebook Inc, pengendali rangkaian sosial Facebook, meneruskan komitmen membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia meneroka pasaran maya menerusi platform perdagangan mudah alihnya, M-dagang.

Pengarah Negara - Malaysia, Nicole Tan, berkata M-dagang adalah platform berpotensi kepada PKS untuk mengembangkan perniagaan menerusi media sosial terkemuka itu yang kini memiliki lebih 19 juta akaun di negara ini. 

"Lebih 19 juta akaun di Malaysia. Lebih 13 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setiap hari. Lebih 13 juta mengakses Facebook setiap bulan menerusi peranti mudah alih dan 6.5 juta pengguna aktif Instagram sebulan. 

"Ia data menarik dan PKS atau syarikat perniagaan berskala besar perlu mengubah aktiviti pemasaran kepada M-dagang yang memiliki potensi besar untuk mereka mengembangkan perniagaan," katanya kepada media selepas sesi 'Mobile Moves Commerce' di Malaysia menerusi Facebook dan Instagram di sini, hari ini. 

Nicole berkata, berdasarkan data yang diperoleh Facebook, perniagaan mudah alih berkembang 300 peratus berbanding e-dagang tahun ini, sekali gus membuktikan peranti mudah alih mengubah cara rakyat meneroka dan berhubung dengan perniagaan. 

Katanya, sebanyak 94 peratus rakyat Malaysia meninjau produk dan jenama menerusi Facebook dan tiga daripada lima rakyat Malaysia membuat pembelian selepas meninjau promosi yang ditawarkan menerusi rangkaian sosial itu. 

Beliau berkata, dengan pertumbuhan pesat budaya mudah alih di Malaysia yang menyaksikan satu daripada dua rakyat negara ini memiliki telefon mudah alih, ia sudah tentu membuka ruang kepada syarikat berkaitan meneroka peluang menerusi M-dagang. 

"Dengan kebanyakan rakyat Malaysia memperuntukkan lebih tiga jam sehari melayari internet, ia pasti sesuatu yang amat berpotensi kepada syarikat menggunakan platform kami untuk mempromosi dan 'menjual' produk," katanya. 

Info: 

* 1.7 bilion pengguna global menggunakan Facebook sebulan 
* 1 bilion guna Messenger sebulan 
* 1 bilion guna aplikasi Whatsapp sebulan 
* Sebahagian rakyat Malaysia peruntuk lebih tiga jam sehari melayari internet

Tuesday 11 October 2016

BN tidak puas hati 30 peratus syor persempadanan semula


PUTRAJAYA - "30 peratus cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dipersetujui BN," kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, antara faktor tidak puas hati itu adalah taburan pengundi yang terlalu berasaskan kaum, jarak persempadanan semula yang jauh serta Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dikeluarkan daripada kawasan Parlimen.

Beliau memberikan contoh syor persempadanan semula di Sabah yang menimbulkan rasa tidak puas hari parti komponen BN apabila terdapat lebih 10 kawasan baharu yang dicadangkan diwakili kaum tertentu sahaja.

Menurutnya, semua setiausaha agung parti komponen BN sudah mengemukakan maklum balas masing-masing berhubung isu persempadanan semula itu kepadanya.

"Saya telah memberi pandangan dan nasihat yang perlu mereka ambil berhubung perkara ini," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu yang ditemui pemberita selepas merasmikan kios jualan makanan dan minuman di Presint 9, di sini hari ini.

Katanya, beliau telah menulis surat kepada semua pengerusi BN negeri untuk mengingatkan bahawa ibu pejabat Umno atau BN tidak boleh mengambil tindakan membuat bantahan secara terus kepada SPR sebaliknya ia hanya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau melalui petisyen oleh 100 pengundi di kawasan terlibat.

Bagi negeri yang bukan di bawah pemerintahan BN, Tengku Adnan berkata, beliau mengesyorkan pengerusi BN negeri mengumpulkan 100 orang dari setiap kawasan yang menolak cadangan persempadanan semula itu untuk mengemukakan petisyen bantahan kepada suruhanjaya tersebut.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan Kajian‎ Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Semua pihak diberi masa sebulan sehingga Jumaat ini (14 Oktober) untuk mengemukakan bantahan masing-masing. - Bernama

Pengasuh Taska perlu miliki diploma

Rohani Abdul Karim
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meletak syarat pengasuh bagi Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) perlu memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam pengurusan pendidikan awal kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ini bagi memastikan pengasuh mempunyai pengetahuan dan mencapai kualiti untuk mengasuh kanak-kanak di bawah umur tiga tahun.

"Di negara maju, pengasuh kanak-kanak di bawah tiga tahun memang dilatih secara profesional dan tahap pendidikan minimum mereka mestilah diploma.

"Sebelum ini Kementerian Pendidikan telah membincangkan perkara ini, tetapi hanya melibatkan prasekolah. Kali ini kita mahu pengasuh Taska juga mempunyai diploma sebagai kelayakan utama," katanya kepada pemberita selepas Dialog Bersama Menteri bertajuk 'Wawasan Baharu Ke Arah Pembangunan Masyarakat' di Institut Sosial Malaysia di sini hari ini.

Dialog julung kali itu akan diteruskan dengan lapan lagi siri bersama penyertaan menteri daripada pelbagai kementerian lain sehingga Disember tahun depan.

Ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai isu sosial semasa negara, merangsang percambahan minda dan perkongsian idea dalam memahami cabaran sosial semasa serta meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab masyarakat.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Rohani berkata, keperluan bagi memastikan pengasuh Taska memiliki diploma merupakan usaha kerajaan untuk mendapatkan acuan terbaik dalam mendidik kanak-kanak.

"Kanak-kanak di peringkat umur tiga tahun ke bawah memerlukan pendidikan awal berkualiti daripada pengasuh berkemahiran bagi mencorak masa depan negara," katanya. - BERNAMA

Monday 10 October 2016

Peraturan longgar buka ruang pegawai kerajaan rasuah


GAJI bulanan seorang daripada mereka hanya kira-kira RM15,000 dan seorang lagi RM8,000. Tetapi dalam akaun bank mereka dan keluarga, ada RM23 juta, manakala dalam 38 akaun bank syarikat keluarga dan saudara mara mereka pula ada RM37 juta. 

Selain itu, RM3.2 juta wang tunai ditemui dalam peti keselamatan. Ada juga 127 geran tanah bernilai RM47 juta. Ada pula 94 beg berjenama seperti Hermes dan Burberry bernilai RM500,000 ditemui. Sembilan kereta mewah termasuk Mercedes Benz, BMW dan Range Rover pun ada. 

Ada pula 28 kad debit untuk digunakan ketika melancong milik mereka ditemui. Lebih mengejutkan, RM45 juta wang tunai ditemui di rumah dan pejabat seorang daripada mereka, selain barang kemas seberat 14 kilogram bernilai RM2.74 juta. Wang tunai bernilai RM7.5 juta juga ditemui di rumah dan pejabat seorang lagi pegawai, selain barang kemas seberat 4.8 kilogram bernilai RM900,000. 

Inilah kisah dua pegawai Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini. Ia membabitkan projek perbekalan air bernilai RM3.3 bilion yang berlaku sejak 2010 tetapi hanya dikesan pada tahun ini. 

Lebih menarik, ia dikaitkan pula dengan politik, lantaran ramai membuat pelbagai andaian mengenai pembabitan tokoh daripada parti tertentu. Penjelasan oleh SPRM kelmarin bahawa hanya dua pegawai berkenaan, abang seorang daripada mereka dan seorang akauntan sahaja yang ditahan mungkin melegakan parti dan tokoh politik yang dikaitkan.

Namun, persoalan yang patut kita tanya adalah di mana silapnya sehingga pegawai kanan kerajaan ini begitu mudah menyalahgunakan kuasa untuk mengaut kekayaan dan hidup mewah? Selain mempertikai integriti mereka, mungkin ada sebab lain yang membuka ruang kepada mereka untuk melakukan penyelewengan. Bagaimana pegawai Gred 52 diberikan begitu banyak kuasa? Salah satu usaha yang diambil ialah memendekkan tempoh khidmat pegawai setakat tiga tahun sahaja di sesuatu tempat atau jawatan. 

Namun, ia belum dilaksana secara menyeluruh kerana masih ada yang memegang jawatan lebih daripada tiga tahun. Apa lagi yang boleh diubah? Mungkin peraturan sedia ada ini terlalu longgar dan pegawai yang rendah tahap integriti akan mencari jalan memanipulasi peraturan untuk mencipta kekayaan. 

Peraturan yang membenarkan menteri menurunkan kuasa kepada pegawai kerajaan menandatangani kontrak bagi pihak kerajaan mungkin perlu dikaji. Contohnya, Akta Kontrak 1949 membenarkan menteri menurunkan kuasa kepada pegawai seperti Ketua Setiausaha, Timbalannya, Setiausaha Bahagian, Ketua Pengarah dan Pengarah.

Ahmad Zaini Kamaruzzaman
Kolumnis BH

Saturday 8 October 2016

PDRM pantau pegawai, anggota obesiti

Datuk Seri Zulkifli Abdullah
GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil data untuk memantau pegawai dan anggotanya yang mengalami masalah obesiti mulai tahun depan bagi mencapai sasaran misi 'Rapi dan Cergas' menjelang 2018.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya telah mengenal pasti 10,000 pegawai serta anggota yang berdepan masalah berat badan dan berharap menjelang 2018, sebanyak 90 peratus daripada pasukan itu akan cergas.

"Kami mahu pegawai serta anggota yang aktif dan jika mereka gagal mencapai sasaran yang diberikan, ia akan memberi kesan kepada karier mereka dalam pasukan," katanya pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat PDRM di sini hari ini.

Beliau juga menggesa semua pegawai dan anggota untuk mengurangkan berat badan mulai sekarang atau mencapai berat badan yang sesuai bagi memenuhi sasaran yang diberikan.

Mulai 1 Januari 2018, PDRM akan menguatkuasakan syarat kepada pegawai dan anggota mereka untuk lulus ujian kecergasan sebelum dinaikkan pangkat atau disahkan jawatan. - Bernama

Penjenayah dikehendaki polis ditembak mati

Kesan tayar kenderaan dipercayai milik suspek, yang cuba larikan diri ke dalam ladang kelapa sawit.
MANJUNG - Polis menumpaskan penjenayah yang paling dikehendaki dalam kejadian berbalas tembakan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, suspek dipercayai dikesan sekitar kawasan Jalan Ayer Tawar berhampiran sebuah ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas terhadap kejayaan itu kepada pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

"Syabas JSJ @PDRMMsia Perak jam 3.50 pagi tadi, dalam insiden berbalas tembak tumpaskan penjenayah yang sangat dikehendaki di Manjung Perak," katanya.

Susulan itu, suatu sidang media akan dijalankan di IPK Perak kira-kira jam 1 petang nanti.

Berita akan menyusul.

Friday 7 October 2016

Risiko guna Internet berlebihan



Cyberjaya: Golongan remaja dan belia yang berumur dibawah 24 tahun terutama lelaki yang mempunyai masalah menumpukan perhatian mempunyai risiko tinggi dalam penggunaan Internet secara berlebihan.

Pakar psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Hospital Selayang Dr Norharlinar Bahar berkata, kajian yang dilakukan pihaknya mendapati majoriti remaja menggunakan Internet untuk melayari media sosial dan mendapatkan maklumat tertentu untuk dijadikan sebagai bahan rujukan.

"Malah, 18.9 peratus daripada mereka menggunakan Internet untuk bermain permainan secara dalam talian selain memuat turun lagu dan filem dengan hampir ke semua mereka mempunyai akses Internet di rumah masing-masing.

"Golongan yang mempunyai masalah untuk memberi perhatian dalam tempoh yang lama dan merasakan aktiviti dalam talian lebih menarik menjadi satu daripada faktor yang mendedahkan mereka dengan penggunaan Internet berlebihan," katanya pada sidang media selepas Persidangan Tahunan Masyarakat Antarabangsa mengenai Ketagihan Internet kali ke-5 (ISIA 2016) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar.

Katanya, penggunaan Internet secara berlebihan mampu membawa keburukan sehingga menjejaskan tumbesaran mereka terutama dalam bidang akademi.

"Pelbagai masalah yang akan dihadapi remaja yang terdedah dengan penggunaan Internet berlebihan kerana mereka tidak boleh melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan seperti ke sekolah.

"Selain itu, kajian di negara ini mendapati pelajar yang menggunakan Internet secara berlebihan dengan purata masa antara tiga jam ketika waktu persekolahan dan lima jam pada hujung minggu," katanya.

Beliau yang juga Presiden ISIA 2016 berkata, persidangan itu membincangkan mengenai kepentingan usaha bersepadu dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mengurangkan penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat.

Wednesday 5 October 2016

Malaysia ketinggalan dalam pembangunan nuklear

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar
PUTRAJAYA: Kurang keyakinan dan persepsi rendah rakyat negara ini mengenai isu nuklear menjadi cabaran utama kepada Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) bagi menzahirkan hasrat membangunkan loji nuklear menjelang 2030. 

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar, berkata mengikut Laporan Transformasi Ekonomi (ETP) 2010, Malaysia dijangka mempunyai loji nuklear pertama pada 2021, namun ia terpaksa dianjak berikutan tragedi kebocoran di Loji Janakuasa Nuklear Fukushima, Jepun selepas dilanda tsunami pada 2011. 

"Selepas kejadian terbabit rakyat di negara ini turut diselubungi kebimbangan, malah banyak isu negatif berkaitan tenaga nuklear dibangkitkan, walhal ada banyak kebaikan jika negara ini mempunyai loji nuklear. 

"Banyak negara sudah memiliki loji nuklear sendiri contohnya Bangladesh, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Iran. "Malah, Iran kini merancang untuk menambah dua lagi loji nuklear," katanya ketika mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat bersama media sempena 'Sesi Pembukaan Integrated Nuclear Infrastructure Review (INIR) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia', di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Program Pembangunan Kuasa Nuklear MNPC, Jamal Khaer Ibrahim dan Ketua Penyelarasan Kawal Selia Nuklear MNPC, Azlina Mohammad Jais. Mohd Zamzam berkata, sesi pembukaan 'INIR IAEA Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia' itu akan diadakan di Hotel Marriott di sini, yang dijangka dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan disertai beberapa pakar antarabangsa dalam bidang nuklear. 

Beliau menjelaskan, dalam pertemuan selama seminggu bermula Isnin ini, pakar berkenaan akan mengkaji semula apa yang sudah dilakukan negara ini dalam aspek pembangunan kuasa nuklear. "Kita sudah hampir dengan pembangunan kuasa nuklear ini, namun ada beberapa kekangan yang dihadapi. Antaranya, MNPC tidak mempunyai tapak yang sesuai untuk membina loji nuklear berkenaan. 

"Seperti yang sedia maklum, isu penempatan adalah sangat sensitif bagi rakyat di negara ini. Lihat sahaja bagaimana rakyat membantah berhubung isu kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang," katanya.

Tuesday 4 October 2016

Perjanjian OPEC boleh naikkan harga minyak mentah melepasi jangkaan


KUALA LUMPUR - Harga minyak mentah boleh meningkat melepasi jangkaan berikutan perjanjian Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memotong pengeluaran di antara 32.5 juta dan 33 juta tong sehari daripada 33.7 juta tong sehari ketika ini.

Dalam satu nota hari ini, Maybank Kim Eng Research (Pte) Ltd berkata, perjanjian pengurangan pengeluaran itu adalah yang pertama sejak 2008.

Firma penyelidikan itu berkata, pada pandangannya, harga minyak mentah itu akan memurata kepada US$42.50 setong tahun ini dan US$50 setong tahun depan. "Harga minyak mentah itu berpotensi naik melepasi jangkaan kita jika pengeluaran dikurangkan," katanya.

Menurutnya, margin kilang penapisan dijangka meningkat secara beransur-ansur pada suku keempat tahun ini ketika permintaan pulih untuk sulingan pertengahan semasa musim sejuk dan percutian.

"Pada asas tahun ke tahun, kami menjangka margin penapisan kasar penanda aras purata akan merosot ketika kapasiti tambahan di Asia Pasifik dan Asia Barat untuk tahun kewangan 2017 dijangka melepasi kadar yang dicatat pada 2016, walaupun bekalan masih kurang daripada permintaan tambahan," katanya. -BERNAMA

Sunday 2 October 2016

Lampu isyarat cetus kerugian ekonomi


UMUM mengetahui fungsi lampu isyarat pada dasarnya adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas agar lalu lintas bergerak dengan lebih teratur. Ia ditempatkan di persimpangan jalan, lintasan pejalan kaki dan lokasi yang dirasakan perlu.

Penggunaan sistem lampu isyarat pertama kali diperkenalkan di England, United Kingdom (UK) iaitu di daerah Westminster pada 10 Disember 1868 dan ketika itu ia menggunakan lampu gas dan perlu dikendalikan secara manual. 

Namun begitu, Institut Hal Ehwal Ekonomi (IEA) UK, baru-baru mengeluarkan laporan kajian 'Seeing Red: Traffic Controls and the Economy', mendapati UK mengalami kerugian ekonomi lebih dari 16 bilion pound (RM85 bilion) setahun berikutan kesesakan trafik akibat terlalu banyak lampu isyarat. 

Agensi pemantauan lalu lintas berkenaan mencadangkan, lapan daripada 10 lampu isyarat di UK perlu dihentikan kerana ia sebenarnya menggugat keselamatan jalan raya, ekonomi dan alam sekitar.

Laporan itu mencadangkan supaya alternatif baharu dicari jika lampu isyarat dihentikan, sistem jalan raya direka kembali agar ia lebih bersifat terbuka dan berkonsepkan perkongsian antara pengguna. Ia sebagai mekanisma memaksa pemandu, penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki supaya lebih bertanggung-jawab serta berwaspada dengan bergerak lebih perlahan di persimpangan jalan. 

Antara kes dirujuk adalah pekan kecil, Kent, Ashford yang menghentikan penggunaan lampu isyaratnya pada 2008 dan kemudian menstruktur semula jalan raya agar menjadi lebih mesra pengguna. 

Hasilnya, angka kemalangan susut 41 peratus dan kesesakan jalan raya berjaya dikurangkan walaupun pertambahan jumlah kenderaan di kawasan terbabit. Walau begitu di negara kita, masih belum ada kajian sebegini dibuat. 

Sebahagian besar daripada kita sendiri kadangkala terasa ada lampu isyarat yang ditempuhi setiap hari tidak sepatutnya diletakkan di lokasi berkenaan. Bahkan lebih meresahkan apabila menunggu di lampu merah terlalu lama menyebabkan kesesakan panjang sedangkan di jalan bertentangan yang lengang. Lihat saja berapa ramai yang melanggar lampu isyarat mungkin kerana tidak tahan menunggu lama di persimpangan kosong. Saya sering pulang ke kampung di Kangar, Perlis.

Seingat saya, pada sekitar tahun 80-an bandar Kangar hanya ada kurang daripada lima lampu isyarat, sehinggakan ia adakalanya menjadi bahan jenaka rakan warga bandar lain sewaktu saya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi ibu kota. 

Namun itu bukan isunya. Kini berpuluh-puluh mungkin beratus lampu isyarat diletakkan di bandar kecil itu. Perkara ini sangat meresahkan dan ada daripadanya dirasakan membuang masa kerana ia tidak diperlukan di situ.

Banyak alternatif lain yang lebih sesuai seperti susur pusingan U atau bulatan, jika dirasakan jejambat itu terlalu mahal. Janganlah dijadikan lampu isyarat sebagai lambang kemajuan. Saya rasa banyak lagi tempat lain khususnya bandar kecil di negara ini berdepan situasi serupa. 

Mungkin tiba masanya pihak kerajaan, universiti tempatan dan pihak majlis bandaran memberi perhatian mengkaji alternatif kepada lampu isyarat serta struktur jalan raya tempatan yang lebih sesuai dan selamat untuk mengurangkan kesesakan.

Kamarulzaidi Kamis
Kolumnis Berita Harian (BH)

Saturday 1 October 2016

Tak tahu bayi dilahir tanpa mata

Xiao Ming dilahirkan tanpa mata
GUANGDONG - CHINA. Pasangan suami isteri pada mulanya tidak menyangka bayi lelaki mereka yang tidak membuka mata walaupun selepas seminggu dilahirkan sebenarnya tidak mempunyai mata.

Ibu muda, Liu Peihua dari Guangzhou City, wilayah Zengcheng, Selatan Guangdong berkata, dia terkejut kerana tidak mengalami sebarang isu kesihatan semasa proses kehamilan.

Kecacatan yang dialami bayi yang dinamakan sebagai Xiao Ming tidak disedari oleh doktor dan hanya akan diketahui selepas dilahirkan.m‎

Peihua berkata, bayinya menangis kuat dan menggerakkan anggota badannya ketika dilahirkan namun doktor dan keluarganya mendapati bayi itu menutup matanya.

Hasil pemeriksaan teliti yang dibuat doktor, bayi itu sebenarnya tidak mempunyai mata.

Pakar berkata, bayi berkenaan menghidap anophthalmia iaitu keadaan kesihatan di mana ketiadaan satu atau kedua-dua mata yang disebabkan oleh hilangnya tisu okular

Menurut doktor, anaphthalmia sukar dikesan melalui imbasan walaupun dilakukan secara berkala semasa proses perkembangan kanak-kanak di dalam rahim.

Sementara itu, Xiao Ming akan turut menjalani pemeriksaan lain bagi memastikan tiada kecatatan lain yang dialaminya.