Wednesday, 12 October 2016

Facebook kembangkan platform M-dagang

KUALA LUMPUR: Facebook Inc, pengendali rangkaian sosial Facebook, meneruskan komitmen membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia meneroka pasaran maya menerusi platform perdagangan mudah alihnya, M-dagang.

Pengarah Negara - Malaysia, Nicole Tan, berkata M-dagang adalah platform berpotensi kepada PKS untuk mengembangkan perniagaan menerusi media sosial terkemuka itu yang kini memiliki lebih 19 juta akaun di negara ini. 

"Lebih 19 juta akaun di Malaysia. Lebih 13 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setiap hari. Lebih 13 juta mengakses Facebook setiap bulan menerusi peranti mudah alih dan 6.5 juta pengguna aktif Instagram sebulan. 

"Ia data menarik dan PKS atau syarikat perniagaan berskala besar perlu mengubah aktiviti pemasaran kepada M-dagang yang memiliki potensi besar untuk mereka mengembangkan perniagaan," katanya kepada media selepas sesi 'Mobile Moves Commerce' di Malaysia menerusi Facebook dan Instagram di sini, hari ini. 

Nicole berkata, berdasarkan data yang diperoleh Facebook, perniagaan mudah alih berkembang 300 peratus berbanding e-dagang tahun ini, sekali gus membuktikan peranti mudah alih mengubah cara rakyat meneroka dan berhubung dengan perniagaan. 

Katanya, sebanyak 94 peratus rakyat Malaysia meninjau produk dan jenama menerusi Facebook dan tiga daripada lima rakyat Malaysia membuat pembelian selepas meninjau promosi yang ditawarkan menerusi rangkaian sosial itu. 

Beliau berkata, dengan pertumbuhan pesat budaya mudah alih di Malaysia yang menyaksikan satu daripada dua rakyat negara ini memiliki telefon mudah alih, ia sudah tentu membuka ruang kepada syarikat berkaitan meneroka peluang menerusi M-dagang. 

"Dengan kebanyakan rakyat Malaysia memperuntukkan lebih tiga jam sehari melayari internet, ia pasti sesuatu yang amat berpotensi kepada syarikat menggunakan platform kami untuk mempromosi dan 'menjual' produk," katanya. 

Info: 

* 1.7 bilion pengguna global menggunakan Facebook sebulan 
* 1 bilion guna Messenger sebulan 
* 1 bilion guna aplikasi Whatsapp sebulan 
* Sebahagian rakyat Malaysia peruntuk lebih tiga jam sehari melayari internet

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...