Tuesday 25 October 2016

Perlumbaan F1 mungkin dihentikan

BILANGAN penonton yang menyaksikan perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang semakin merosot sejak 2014.
KUALA LUMPUR – Nasib perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijangka diketahui akhir minggu ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Beliau berkata, mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan perkara itu dengan pemegang saham utama SIC iaitu Kementerian Kewangan pada Khamis ini.

“Jualan tiket F1 telah merosot sejak 2014. Sebaliknya, lumba motosikal Malaysia (MotoGP) nampaknya lebih berjaya dari segi menarik penonton dan potensi kesan limpahannya,” katanya pada majlis taklimat media di sini semalam.

Razlan, bagaimanapun berkata, beliau tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan pengumuman rasmi mengenai pemberhentian F1 di Malaysia kerana SIC mempunyai perjanjian ketat dengan pemegang lesen sehingga 2018.

“Penarikan diri secara sementara daripada F1 (selepas 2018) mungkin memberi manfaat kepada negara. Ketika ini, sesetengah pihak menyatakan produk itu (F1) tidak lagi menarik kerana ia dikuasai satu pasukan.

“Laporan awal untuk perlumbaan terakhir F1 juga menunjukkan jumlah penonton di Malaysia adalah yang terendah dalam sejarah,” katanya dengan menambah, F1 Singapura juga dilaporkan mencatat penurunan 20 peratus dalam jualan tiket.

Razlan membayangkan yang SIC akan memberi tumpuan untuk membangunkan MotoGP.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...