Monday 10 October 2016

Peraturan longgar buka ruang pegawai kerajaan rasuah


GAJI bulanan seorang daripada mereka hanya kira-kira RM15,000 dan seorang lagi RM8,000. Tetapi dalam akaun bank mereka dan keluarga, ada RM23 juta, manakala dalam 38 akaun bank syarikat keluarga dan saudara mara mereka pula ada RM37 juta. 

Selain itu, RM3.2 juta wang tunai ditemui dalam peti keselamatan. Ada juga 127 geran tanah bernilai RM47 juta. Ada pula 94 beg berjenama seperti Hermes dan Burberry bernilai RM500,000 ditemui. Sembilan kereta mewah termasuk Mercedes Benz, BMW dan Range Rover pun ada. 

Ada pula 28 kad debit untuk digunakan ketika melancong milik mereka ditemui. Lebih mengejutkan, RM45 juta wang tunai ditemui di rumah dan pejabat seorang daripada mereka, selain barang kemas seberat 14 kilogram bernilai RM2.74 juta. Wang tunai bernilai RM7.5 juta juga ditemui di rumah dan pejabat seorang lagi pegawai, selain barang kemas seberat 4.8 kilogram bernilai RM900,000. 

Inilah kisah dua pegawai Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini. Ia membabitkan projek perbekalan air bernilai RM3.3 bilion yang berlaku sejak 2010 tetapi hanya dikesan pada tahun ini. 

Lebih menarik, ia dikaitkan pula dengan politik, lantaran ramai membuat pelbagai andaian mengenai pembabitan tokoh daripada parti tertentu. Penjelasan oleh SPRM kelmarin bahawa hanya dua pegawai berkenaan, abang seorang daripada mereka dan seorang akauntan sahaja yang ditahan mungkin melegakan parti dan tokoh politik yang dikaitkan.

Namun, persoalan yang patut kita tanya adalah di mana silapnya sehingga pegawai kanan kerajaan ini begitu mudah menyalahgunakan kuasa untuk mengaut kekayaan dan hidup mewah? Selain mempertikai integriti mereka, mungkin ada sebab lain yang membuka ruang kepada mereka untuk melakukan penyelewengan. Bagaimana pegawai Gred 52 diberikan begitu banyak kuasa? Salah satu usaha yang diambil ialah memendekkan tempoh khidmat pegawai setakat tiga tahun sahaja di sesuatu tempat atau jawatan. 

Namun, ia belum dilaksana secara menyeluruh kerana masih ada yang memegang jawatan lebih daripada tiga tahun. Apa lagi yang boleh diubah? Mungkin peraturan sedia ada ini terlalu longgar dan pegawai yang rendah tahap integriti akan mencari jalan memanipulasi peraturan untuk mencipta kekayaan. 

Peraturan yang membenarkan menteri menurunkan kuasa kepada pegawai kerajaan menandatangani kontrak bagi pihak kerajaan mungkin perlu dikaji. Contohnya, Akta Kontrak 1949 membenarkan menteri menurunkan kuasa kepada pegawai seperti Ketua Setiausaha, Timbalannya, Setiausaha Bahagian, Ketua Pengarah dan Pengarah.

Ahmad Zaini Kamaruzzaman
Kolumnis BH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...