KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos. |
KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos, yang juga ketua gerakan Baju Merah dibebaskan dengan jaminan polis, jam 5 petang tadi selepas tempoh reman dua harinya, tamat hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, mengesahkan pembebasan Jamal yang ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Dubai, kira-kira jam 8 pagi, semalam.
Sejurus dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tadi, Jamal yang ditemui pemberita meluahkan rasa tidak puas hati dengan penahanannya yang disifatkan sebagai 'double standard'.
"Tindakan polis menahan saya tidak boleh diterima langsung kerana tindakan itu adalah satu penganiayaan dan penghinaan terhadap saya. "Walaupun saya faham tugas polis adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman negara ini, apa yang berlaku terhadap saya (ditahan) adalah perkara yang 'double standard'," kata Jamal.
Beliau turut mempertikaikan mengapa penganjur perhimpunan Bersih, yang kini dalam siri jelajah seluruh negara dan didakwanya cuba menghasut orang ramai menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak ditangkap dan digari sepertinya.
"Sempena pembebasan saya hari ini, saya mengisytiharkan 'perang' habis-habisan dengan kumpulan Bersih 5. Penahanan ini sedikit pun tidak melemahkan semangat saya. "Selepas ini, saya akan mengerahkan semua jentera merah di seluruh negara untuk menggempur dan berperang dengan Bersih 5, yang menjadi 'dajal' di dalam negara kita ini," katanya.
Semalam, Jamal serta seorang pengendali Facebook dikenali sebagai Azli, yang dipercayai berperanan sebagai pembantunya ditahan sepasukan pegawai dan anggota Unit Siastan Jenayah Terkelas (USTJ) Bukit Aman di KLIA sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 504 kanun sama atas kesalahan pecah amanah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dia ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu status berbaur hasutan yang dimuat naik dalam laman Facebook dengan nama 'Dato Jamal Yunos' pada 21 September lalu berhubung perhimpunan Bersih 5. Bagaimanapun, Jamal mendakwa akaun Facebook itu adalah akaun palsu menggunakan namanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...