Seorang polis berpangkat Lans Koperal ditahan berkaitan kes kehilangan dua kereta pegawai polis yang diparkir di Bangunan Kompleks Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman. |
Kuala Lumpur: Kes kehilangan dua kereta milik pegawai polis yang diparkir di Menara 1, Bangunan Kompleks Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, didalangi seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan empat rakannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kehilangan kereta Volkswagen Vento milik seorang Deputi Superintendan Polis (DSP) dan Proton Saga BLM milik Asisten Superintendan Polis (ASP) masing-masing dari Jabatan Siasatan Trafik dan Jabatan Penguatkuasaan berlaku pada 6 Oktober lalu.
“Hasil siasatan polis menahan seorang anggota berpangkat lans koperal berumur 30-an yang bertugas di Cawangan Kem Komandan Bukit Aman," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Amar Singh berkata, empat lagi lelaki berusia antara 29 hingga 42 tahun, bekerja sebagai penarik kereta dan mekanik, ditahan Isnin lalu.
“Keempat-empat lelaki itu ditahan di Selangor bersama kereta Volkwagen Vento yang dilaporkan hilang itu. Bagaimanapun, kereta Proton Saga BLM masih belum ditemui," katanya.
DSP berkenaan ke Terengganu untuk tugasan rasmi dan meletak keretanya di tingkat satu parkir pada 26 September sebelum kembali pada 5 Oktober lalu, manakala ASP itu meletakkan keretanya di tingkat dua ketika melaksanakan tugasan rasmi di luar kawasan.
Kedua-dua pegawai polis itu terkejut apabila mendapati kereta mereka hilang sekembalinya ke Bukit Aman untuk mengambil kenderaan masing-masing.
Amar Singh berkata, anggota polis itu membawa keluar kenderaan berkenaan dengan bantuan empat lelaki terbabit, dan dua kereta itu sudah dijual kepada pihak ketiga.
Menurutnya lans koperal itu sudah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini manakala empat rakannya ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...