Bekalan minyak masak didapati masih berkurangan di kebanyakan pasar raya di seluruh negara. |
KUALA LUMPUR - Campak kotak rokok berisi duit dan jalan.
Hanya itu yang dipercayai perlu dilakukan penyeludup minyak masak bersubsidi untuk ‘melepasi’ pemeriksaan pihak berkuasa di Wang Kelian, Perlis.
Dikatakan hampir setiap hari antara lima hingga sepuluh kenderaan pikap yang membawa ratusan peket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram dan dua kilogram lepas masuk ke negara jiran akibat kegiatan tidak bertanggungjawab itu.
Menurut sumber, kegiatan yang dilakukan secara bersindiket itu didalangi pemborong minyak masak bersubsidi dan diatur oleh orang tengah yang merupakan anggota sindiket di negara ini.
Ujarnya, mereka akan membawa minyak yang dipeketkan dari kilang di Perlis menggunakan lori menuju ke arked niaga Wang Kelian.
“Sebelum tiba di kawasan arked mereka akan melalui satu pos pemeriksaan dan dilepaskan selepas mencampakkan kotak rokok berisi wang kepada penguat kuasa bertugas di situ.
“Bagaimanapun jumlah wang dan waktu kegiatan itu dilakukan tidak dapat dipastikan kerana berubah setiap hari mengikut permintaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber memberitahu, selepas melepasi pos pemeriksaan dan tiba di arked niaga Wang Kelian, kesemua minyak masak peket tersebut akan dipindahkan ke dalam antara lima hingga sepuluh kenderaan pikap yang dipandu sekumpulan ahli sindiket dari Thailand.
Katanya, bagi mengaburi pihak berkuasa kesemua minyak masak akan ditimbus dengan barangan lain seperti bawang.
“Mereka kemudian akan memandu pikap dan selepas mengecop pasport di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) mereka akan masuk ke Thailand bersama ratusan kilogram minyak masak berkenaan untuk diserahkan kepada ketua sindiket sebelum dijual mengikut permintaan,” katanya.
Harga sepeket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram (1kg) dan dua kilogram (2kg) di negara ini masing-masing dijual dengan harga RM2.50 dan RM6 hingga RM7.20 (mengikut jenis) manakala sindiket dipercayai akan menjualnya dua kali ganda di negara jiran dengan harga RM4 (1kg) dan RM10 (2kg).
Akhbar sebelum ini melaporkan kekurangan bekalan minyak masak didapati berlaku di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan keluhan ramai pengguna serta peniaga makanan.
Berikutan itu, minyak masak bersubsidi keluaran Malaysia yang sememangnya diakui berkualiti dikatakan telah mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di kawasan selatan negara jiran seperti wilayah Narathiwat dan Pattani.
Permintaan tinggi terhadap minyak masak itu membawa kepada berlakunya aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi tersebut ke negara jiran.
Aktiviti membawa keluar barangan tersebut didalangi oleh rakyat Malaysia sendiri yang mahu mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda tanpa memikirkan kerugian dialami kerajaan akibat kegiatan seumpama itu.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...