Thursday 31 August 2017

Anggota polis mati ditembak di balai

LOKASI kejadian polis mati ditembak di Selangor, awal pagi tadi

KUALA LUMPUR: Seorang Lans Koperal polis ditemui mati dipercayai ditembak di Balai Polis Pinggiran USJ awal pagi tadi.

Valentino Mesa yang bertugas di kaunter pertanyaan ditemui mati kira-kira jam 3.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata Unit Forensik Selangor turut menemui kesan tetakan ke atas mangsa.

"Siasatan sedang dijalankan di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat sebenar dan motif kejadian.

"Sidang media akan diadakan di lokasi kejadian oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, jam 9 pagi ini," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Pada 18 Ogos lalu, seorang anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap Bukit Aman, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, mati akibat ditembak di Taman Sri Hosba, Changlun, Kedah.

Wednesday 30 August 2017

Rohingya bangkit



COX’S BAZAR - Penduduk Rohingya terutamanya golongan lelaki mulai bangkit mengangkat senjata dengan menyertai kumpulan pejuang bagi memerangi tentera Myanmar yang menzalimi mereka.

Keadaan ini menjadi satu perubahan dramatik sejak bulan Oktober lalu apabila penduduk Islam yang sebelum ini menjadi mangsa penyeksaan sehingga terpaksa melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

Pada Jumaat lalu, pejuang Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) yang didakwa sebagai militan oleh kerajaan Myanmar, menyerang kira-kira 30 buah pondok polis sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang anggota keselamatan dengan hanya bersenjatakan pisau, senjata api dan bom buatan sendiri.

Seorang pelarian wanita Rohingya yang berjaya memasuki Bangladesh, mengakui bahawa suaminya menyertai gerakan untuk menentang tentera Myanmar.

Ayesha Begum, 25, yang sarat mengandung berkata, dia tidak menyesal jika suaminya tidak dapat melihat kelahiran anak keenam mereka kerana berjuang bersama-sama ARSA di Rakhine, Myanmar.

“Suami saya membawa kami sekeluarga menyeberangi Su­ngai Naf dan mengucapkan selamat tinggal kepada kami.

“Kata suami, jika saya tidak melihatnya lagi di sebuah negara Rakhine yang merdeka atau tempat lain, kami semua akan berjumpa semula di syurga,” kata Ayesha sambil mengalirkan air matanya.

Sementara itu, penduduk Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berdepan risiko menghadapi penyakit dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu kerajaan negara ini supaya tidak mengusir mereka semula ke Myanmar.

Bangladesh yang kini me­nempatkan lebih 400,000 etnik Rohi­ngya yang melarikan diri dari Rakhine sejak tahun 1990, telah mengumumkan bahawa negara ini tidak akan lagi menerima kemasukan penduduk Myanmar.

Menurut pengawal sempadan Bangladesh, mereka menghantar pulang sebanyak 550 orang pela­rian Rohingya sejak semalam menerusi Sungai Naf yang memisahkan kedua-dua negara itu.

Sekurang-kurangnya 5,000 orang Rohingya berjaya mema­suki Bangladesh sejak beberapa hari lalu terutamanya pada waktu malam melalui jalan darat di Kampung Gumdhum manakala 6,000 pelarian masih terperangkap di sempadan.

Pekerja bantuan berkata, kebanyakan pelarian yang sakit selepas berjaya menyusup masuk sempadan seperti wanita dan kanak-kanak enggan mendapatkan rawatan kerana bimbang akan ditangkap dan dihantar pulang.

Ini menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang telah meninggal dunia.

Sementara itu, pegawai ter­tinggi kementerian luar Bangladesh dalam pertemuan dengan timbalan diplomat Myan­mar di Dhaka me­nyatakan cadangan untuk menyertai operasi ketenteraan Myanmar bagi meme­rangi ARSA di negeri Rakhine ketika PBB bimbang tentang laporan kematian melibatkan orang awam dalam keganasan sejak kebelakangan ini.– AFP/REUTERS

Tuesday 29 August 2017

'Melayu paling teruja hendak mengundi'



SHAH ALAM - Dapatan kajian yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan mengenai mood rakyat menjelang PRU14 mendapati kaum Melayu paling teruja untuk mengundi dalam PRU berkenaan.

Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, berdasarkan dapatan kajian pihaknya mendapati sebanyak 72 peratus kaum Melayu teruja untuk mengundi dalam PRU14.

"Sementara itu kaum Cina paling tidak teruja untuk mengundi, tetapi tak pasti mereka hendak mengundi parti mana," katanya dalam perbahasan di Forum Survei Malaysia 2017, yang diadakan di IDE, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya lagi, kaum India berada di kedudukan kedua dengan 70 peratus teruja untuk mengundi pada PRU14 ini.

Dalam pada itu, Redzuan ketika mengulas mengenai keadaan semasa kini, jelasnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin akan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Jelasnya ini, berdasarkan mood baik yang dialami Malaysia kini iaitu, semangat membara Sukan SEA yang kini menunjukkan prestasi nagara yang sangat memberangsangkan serta perpecahan dalam kalangan  pembangkang.

"Bila Najib akan panggil PRU? Ada dua keadaan. Pertama apabila mood semangat Sukan SEA lebih-lebih lagi apabila perlawanan akhir bola sepak Malaysia lawan Thailand nanti.

"Kedua pula ketika pembangkang berpecah dan bertelagah. Kalau ada dua gabungan ini, ia waktu terbaik untuk panggil PRU. Tak perlu tunggu tahun depan," ujar beliau lagi.

Monday 28 August 2017

Belajar tinggi akal pendek

10 penuntut IPTS yang ditahan bersama peralatan untuk menghisap ganja.

Kuala Lumpur: Sekumpulan 10 penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Shah Alam memberikan alasan ‘karut’ apabila mendakwa perlu mengambil ganja sebelum memulakan ulang kaji pelajaran secara berkumpulan kononnya untuk mudah faham dan mengingati apa yang dipelajari.

Dalam serbuan Op Cegah di sebuah pangsapuri di Shah Alam kira-kira jam 2 pagi semalam, kumpulan penuntut yang ditahan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Petaling Jaya sengaja memberikan pelbagai alasan demi untuk melepaskan diri.

Pemangku Ketua Pegawai AADK Daerah Petaling Shahrilnizar Nordin berkata, ketika serbuan pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan tidak memberikan kerjasama apabila mengunci tayar kenderaan dinaiki AADK.

Menurutnya, bagaimanapun serbuan tetap dijalankan sebelum mendapati penuntut terbabit dalam keadaan lalok di sebuah unit pangsapuri dipercayai disewa mereka.

“Pemeriksaan ke atas semua individu berusia 19 tahun hingga 23 tahun itu mendapati mereka positif ganja. Turut ditemui peralatan menghisap dadah dan ganja.

“Mereka yang melanjutkan pengajian pada peringkat diploma dan ijazah sarjana muda memberi alasan perlu menghisap ganja sebelum belajar secara berkumpulan,” katanya.

Katanya, semua penuntut itu dibawa ke pejabat AADK Petaling untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, lapan individu berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun ditahan di Damansara Perdana kerana positif dadah.

Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Operasi diteruskan bagi menangani masalah penagihan dadah dalam kalangan masyarakat dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi penagihan dadah boleh menyalurkan kepada mana-mana pejabat AADK untuk diambil tindakan,” katanya.

Saturday 26 August 2017

Pejuang Rohingya lancar serangan besar-besaran

SEORANG anggota polis sempadan berkawal di sebuah pos polis yang menjadi sasaran serangan pemberontak Rohingya di Buthidaung,Rakhine semalam.

YANGON – Sekurang-kurangnya 59 pemberontak dan 12 anggota pasukan keselamatan terbunuh di negeri Rakhine semalam apabila pemberontak Rohingya menyerang 30 pos polis dan sebuah pangkalan tentera, kata tentera Myanmar.

Pertempuran itu yang masih berterusan di beberapa kawasan, memba­yangkan bahawa konflik di Rakhine semakin merun­cing.

Serangan serupa pada Oktober lalu mendorong operasi pembersihan oleh tentera yang didakwa dicemari kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia.

Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA), kumpulan pemberontak yang sebelum ini dikenali sebagai Harakah Al-Yaqin mendakwa bertanggungjawab melancarkan sera­ngan awal pagi itu. ARSA memberi amaran bahawa lebih banyak serangan akan berlaku.

Pihak berkuasa berkata, seorang askar, seorang anggota imigresen, 10 anggota polis dan 59 pembe­rontak ARSA maut dalam serangan itu.

Namun, dua sumber tentera yang dihubungi agensi berita Reuters memberitahu bahawa angka kematian sebenar adalah lebih besar.

“Pemberontak Rohingya menyerang pos polis di rantau Maungdaw, Rakhine dengan meletupkan bom buatan sendiri dan melakukan serangan te­rancang ke atas beberapa pos polis pada pukul 1 pagi (waktu tempatan),” kata pasukan pemberita kerajaan dalam satu kenya­taan.

Etnik Rohingya tidak mendapat kerakyatan di Myanmar. Mereka dituduh sebagai pendatang tapa izin dari Bangladesh walaupun telah menetap di Rakhine sejak beberapa abad lalu. – Reuters

Friday 25 August 2017

Kakitangan AS 'diserang' penyakit misteri

BANGUNAN kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Cuba.

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 16 kakitangan kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang bertugas di Cuba mengalami kecederaan atau masalah fizikal berpunca daripada beberapa insiden 'misteri'.

Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert, berkata mereka diberi rawatan di Amerika Syarikat dan Cuba.

"Ada juga yang mengalami masalah ini memilih untuk kekal di Cuba," katanya.

Minggu ini, CBS melaporkan warga Amerika dan Kanada yang bekerja di Cuba dikesan mempunyai penyakit kehilangan upaya mendengar, pening, sakit kepala, penyakit daya keseimbangan, kecederaan otak ringan dan kerosakan kepada sistem saraf pusat.

Awal bulan lalu, Jabatan Negara berkata, warga Amerika yang berkhidmat di kedutaan Amerika Syarikat di Havana mengalami beberapa gejala penyakit fizikal akibat insiden yang tidak dinyatakan sejak lewat 2016.

Seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat berkata, beberapa rakannya di kedutaan itu dihantar balik ke Amerika Syarikat kerana masalah pendengaran dan pelbagai simptom penyakit lain, sehinggakan ada yang diberi alat bantuan mendengar. - REUTERS

Thursday 24 August 2017

Khalid sah bersara

Tan Sri Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Selepas empat tahun menerajui tampuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengesahkan beliau akan bersara wajib pada 5 September ini.

Jawatan Ketua Polis Negara yang bakal dilepaskan Khalid akan dipangku Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, 59, sementara menunggu pelantikan secara rasmi diumumkan.

“Saya sahkan bahawa saya akan bersara bulan depan. Tempoh perkhidmatan saya ber­akhir pada usia 60 tahun dan 5 September ini cukup tempoh tersebut.

“Setakat ini, jawatan Ketua Polis Negara akan disandang oleh timbalan saya, Tan Sri Noor Rashid,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Wednesday 23 August 2017

Makanan segera besarkan buah dada lelaki

BUAH dada kanan seorang remaja di China kelihatan lebih besar sehingga menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan.

SEJAK enam tahun lalu, seorang remaja lelaki yang kini berusia 19 tahun bingung memikirkan tentang masalah kesihatan yang dihadapinya.

Bukan dia sahaja yang runsing, malah ibu bapanya turut bimbang melihat keadaan anak teruna mereka apabila berlaku sesuatu yang tidak kena pada anggota badannya.

Manakan tidak, remaja lelaki yang dikenali sebagai Xiao Yang itu tiba-tiba mengalami tumbesaran pada salah satu daripada buah dadanya. Ia menyerupai seperti buah dada wanita.

Selepas enam tahun, buah dada di sebelah kanan Yang semakin membesar sehingga membuatkan dia berasa malu lebih-lebih lagi apabila meningkat dewasa.

“Saya selalu diejek ketika berada di sekolah terutama jika terpaksa membuka baju semasa mandi di kolam renang,” ujar Yang.

Menurut Yang, dia mula perasan ­perubahan pada buah dada kanannya sejak dia berusia 13 tahun apabila mendapati ia kelihatan sedikit berbeza daripada sebelah kiri.

Kelenjar susu

Melihat perubahan yang berlaku, Yang telah memberitahu ibu bapanya sebelum dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, doktor yang melakukan pemeriksaan terhadap Yang gagal menemui jawapan. Ibu bapanya diminta membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan ke beberapa hospital lain.

Menurut laporan akhbar tempatan, Qianjiang Evening Post, Yang yang bera­sal dari daerah Cangnan di wilayah Zhejiang, selepas gagal mendapat keputusan daripada beberapa buah hospital, remaja itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Pusat Wenzhou pada Julai lalu.

SEKUMPULAN doktor melakukan pembedahan mengecilkan saiz sebelah payu dara seorang remaja lelaki tiba-tiba membesar akibat ketidakseimbangan hormon.

Di bawah kendalian pakar perubatan, Dr. Pan Zhongliang, masalah yang dihadapi oleh remaja tersebut berjaya ditemui.

Melalui kaedah yang dikenali sebagai B-scan ultrasonography, Zhongliang mendapati, kelenjar susu remaja itu membesar dan saiznya menjadi tidak normal bagi seorang lelaki.

Menurut Zhongliang, keadaan itu disebabkan berlaku ketidakseimbangan hormon yang dikenali sebagai ginekomastia iaitu perkembangan kelenjar susu berlebihan pada lelaki.

“Ginekomastia merupakan satu kea­daan yang dipengaruhi oleh hormon seseorang hingga menyebabkan kelenjar susu mereka membesar sama ada sebelah atau kedua-duanya sekali,” ujar Zhongliang.

Selepas mengenal pasti masalah yang dihadapi remaja itu, satu pembedahan dipanggil mastectomy telah dilakukan untuk mengecilkan buah dada dan membentuk buah dada baharu yang normal.

Makanan segera

Melalui kajian saintifik yang dijalankan, Zhongliang percaya masalah ginekomastia yang berlaku terhadap seseorang lelaki itu berpunca daripada tabiat memakan terlalu banyak makanan segera dan makanan proses yang dicampur dengan bahan kimia tertentu.

“Saya percaya, tabiat mengambil makanan segera menyumbang faktor utama terhadap masalah ginekomastia terhadap golongan lelaki,” jelas Zhongliang.

Selepas selamat menjalani pembedahan mastectomy, doktor memberi harapan bahawa masalah yang sama tidak akan terjadi lagi terhadap pesakit.

AS tidak undur dari Afghanistan

TRUMP menyampaikan ucapan mengenai penglibatan tentera AS di Afghanistan di pangkalan tentera Fort Myer, Arlington di Virginia kelmarin.

WASHINGTON – Presiden Donald Trump meluluskan penghantaran beribu-ribu askar tambahan Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan kelmarin sekali gus melanggar janji beliau untuk menamatkan penglibatan Washington di negara bergolak itu.

Dalam ucapan rasmi sebagai komander tertinggi tentera AS, Trump menarik balik kritikan bahawa perang 16 tahun di Afghanistan merupakan pembaziran masa dan wang.

"Naluri saya adalah berundur dari Afghanistan tetapi persepsi saya berubah apabila menduduki White House," kata Trump semasa meluahkan kekecewaan berhubung perang tersebut yang mengakibatkan ribuan askar AS terbunuh dan negara kerugian berbilion-bilion dolar.

Namun, selepas membuat pertimbangan selama beberapa bulan, Trump berkata, beliau tidak akan membiarkan kumpulan militan termasuk Taliban bermaharajalela di Afghanistan ekoran ketiadaan tentera AS.

Trump juga enggan mendedahkan bilangan askar yang akan dihantar tetapi beberapa pegawai kanan White House memberitahu, beliau telah meluluskan penghantaran seramai 3,900 askar ke Afghanistan.

Trump juga memberi amaran bahawa tentera AS bukan dihantar untuk melaksanakan sistem demokrasi berdasarkan acuan Washington.

"Kami bukan mahu membina semula Afghanistan. Kami mahu membunuh pengganas," katanya.

Dalam pada itu, kumpulan Taliban berjanji akan menjadikan Afghanistan sebagai perkuburan askar AS dan akan meneruskan jihad selagi tentera AS berada di negara itu.

"Sekiranya AS tidak mengundurkan askarnya dari Afghanistan, negara ini akan menjadi tanah perkuburan untuk kuasa besar tersebut," kata jurucakap Taliban di Afghanistan, Zabiullah Mujahid. – AFP 

Tuesday 22 August 2017

Bergelar muflis pada usia 30-an

Perbelanjaan menggunakan kad kredit yang melampau menyebabkan pemegangnya gagal melunaskan hutang.


KUALA LUMPUR – Seramai 845 pemegang kad kredit diisytihar muflis ekoran kegagalan mereka menjelaskan hutang setakat bulan Jun 2017.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkata, rata-rata mereka yang diisytihar muflis itu berusia 30 tahun ke atas.

“Jumlah itu mewakili 3.6 juta pemegang kad kredit di negara ini setakat ak­hir bulan Jun 2017,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini semalam.

Chee Cheong berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jaspal Singh berhubung peratusan populasi rakyat di negara ini yang memiliki kad kredit serta jumlah hutang yang masih belum dijelaskan termasuk kes muflis.

Katanya, setakat Jun 2017, jumlah baki belum jelas bagi kad kredit adalah sebanyak RM36.9 bilion dan daripada jumlah itu, 7.3 peratus atau RM2.7 bilion merupakan baki melebihi tempoh tarikh bayaran.

Monday 21 August 2017

‘Ninja’ samun wanita di dalam surau

SUSPEK berlagak alim apabila mengenakan jubah dan kain serban sewaktu masuk ke dalam Surau Raudhah al-Muttaqin di Shah Alam Jumaat lalu.

SHAH ALAM – Seorang lelaki berpakaian ala ninja tergamak menjadi penyamun di dalam rumah Allah de­ngan mengacukan pisau kepada seorang kanak-kanak sebelum melarikan beg tangan ibu mang­sa yang ketika itu sedang bersolat Zuhur di Surau Raudhah al-Muttaqin di Seksyen 4 di sini Jumaat lalu.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, ibu kanak-kanak lelaki tersebut yang berusia 34 tahun me­ngalami kerugian RM2,000.

Bagaimanapun, gerak-geri suspek yang masuk ke surau dengan berlagak alim mengenakan jubah sebelum memakai penutup muka hitam ketika berada di ruang solat surau berjaya dirakamkan televisyen litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku ketika wanita ber­kenaan singgah di surau itu untuk menunaikan solat Zuhur selepas mengambil anaknya di sebuah sekolah rendah berdekatan lokasi kejadian.

Katanya, anak lelaki mangsa berusia tujuh tahun pula berehat di ruang rehat surau bersama beg tangan ibunya.

“Seorang suspek lelaki yang menutup mukanya dan berjubah kemudian memasuki bilik berehat terbabit sebelum mengacu pisau ke arah anak mangsa.

“Suspek berkenaan kemudian mengambil beg tangan pengadu sebelum melarikan diri,” katanya di sini semalam.

Sunday 20 August 2017

Pelampung bayi undang kematian

Pelampung leher boleh mengakibatkan kematian bayi.


NEW YORK – Penggunaan pelampung leher pada bayi mungkin menjadi satu daripada gajet terkini bagi ibu bapa yang mahu memberikan pengalaman sensasi ketika be­rada dalam air kepada anak-anak mereka.

Malangnya, tidak ramai yang sedar bahawa pelampung ber­kenaan boleh mengakibatkan kematian sekiranya ia bocor secara tiba-tiba atau ia menyebabkan muka bayi tersembam ke dalam air kerana bentuknya dikatakan tidak stabil.

Seorang pakar pediatrik di University Rush, Kyran Quinlan berkata, pelampung leher boleh menjadi perangkap kematian jika disalah guna, selain kualiti jahitan tepi yang tidak kukuh.

“Pelampung leher itu asalnya digunakan sebagai alat bantuan perubatan kepada golongan kanak-kanak yang kurang upaya, tetapi ibu bapa kini dilihat menggunakannya untuk menyokong leher bayi me­reka semasa berada dalam air.

“Ramai yang menganggapnya sebagai sebahagian daripada pelampung keselamatan dan anda tidak seharusnya keliru mengenai perkara ini,” katanya.

Ada juga pendapat mengatakan pelampung leher tersebut menjadi tidak stabil apabila berlaku olakan pada permukaan air sekali gus boleh menyebabkan bayi terbalik atau tersembam.

Kebimbangan itu mula tercetus selepas pihak berkuasa di Queensland, Australia mengarahkan supaya penjualan dua jenis pelampung leher dihentikan sementara berikutan terdapat risiko bayi tenggelam semasa menggunakannya.

Suruhanjaya pengguna negara itu juga menyatakan kanak-kanak yang tidak pandai berenang mungkin tenggelam jika pelampung leher mereka tidak digunakan secara betul. – AGENSI

Thursday 17 August 2017

Bakar surau dengan pemetik api

Sham Sudirman dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Taktik seorang penganggur yang menghisap rokok di belakang sebuah surau sebelum membakar bangunan kayu itu dengan menggunakan pemetik api pada Jun lalu terbongkar selepas dia mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Akibat perbuatannya itu tertuduh, Sham Sudirman Mat Husin @ Husain, 39, dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sham Sudirman mengaku bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Sham Sudirman didakwa telah melakukan khianat menggunakan pemetik api dengan maksud atau mengetahui perbuatan itu boleh mengakibatkan kebinasaan Madrasah Haji Idris, Kampung Kota, Jalan Salor di sini pada pukul 7.20 malam, 24 Jun lalu.

Bagi kesalahan tersebut tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad yang mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana kebakaran tersebut telah menyebabkan kerosakan harta benda awam.

Wednesday 16 August 2017

Awang Adek dilantik Pengerusi Mara

Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu, berkuat kuasa 1 September ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Awang Adek, 62, pernah dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pada 2014 untuk tempoh dua tahun, selain menjawat jawatan Tim­balan Menteri Ke­majuan Luar Ban­dar dan Wilayah.

“Pelantikan ini dibuat selepas mendapat persetujuan dari­pada Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau yang merupakan bekas Senator Dewan Negara memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Matematik dan Ekonomi dari Universiti Drew, AS sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi di Sekolah Wharton, Universiti Pennsylvania, AS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jawatan Pengerusi Mara sebelum ini kosong selepas Tan Sri Annuar Musa yang juga Ke­tua Penerangan UMNO digantung jawatan sejak Januari lalu berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak Kelantan.

Secara rasmi, kontrak Annuar sebagai Pengerusi Mara tamat Jumaat lalu dan surat pertimbangan agar pelantikan semula tidak disambung telah dihantar oleh beliau kepada Perdana Menteri pada 2 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya percaya pengalaman yang dimiliki oleh Ketua UMNO Bahagian Bachok, Kelantan itu akan dapat membantu memimpin Mara da­lam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian tersebut demi mencapai objektif Transformasi Negara 2050 (TN50).

Sementara itu, menurut Awang Adek, jasa Mara terlalu besar kerana­ agensi itulah yang membolehkan beliau­ melanjutkan pelajaran ke AS.

“Saya benar-benar terhutang budi kepada Mara kerana memilih saya sebagai antara kumpulan anak Melayu terawal yang dihantar melanjutkan pelajar ke AS.

“Apabila diberi ke­percayaan menja­di Pengerusi, saya akan gunakan ruang ini menjaga Mara yang merupakan amanah orang Melayu dan bumiputera ini sebaik-baiknya. Ini peluang untuk saya balas jasa Mara,” katanya.

Awang Adek mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana yakin dengan kemampuannya.

Tuesday 15 August 2017

Suami dirotan isteri gila seks

MANGSA mendakwa dia diarahkan berlutut sebelum dirotan jika menolak permintaan isterinya yang mahu melakukan hubungan seks di rumah mereka di Klang.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mendakwa terpaksa menanggung derita hampir dua tahun selepas diperlakukan seperti hamba seks oleh isteri sendiri yang tergamak merotannya apabila dia menolak melakukan hubungan intim yang adakalanya sehingga 10 kali sehari.

Mangsa berusia 32 tahun itu yang merupakan seorang pekerja kilang akhirnya tampil mendapatkan bantuan sebuah pertubuhan keselamatan komuniti dua minggu lalu selepas tidak sanggup lagi diseksa oleh isterinya yang merupakan suri rumah.

Pasangan tersebut yang sudah berkahwin kira-kira lapan tahun lalu kini tinggal di Klang, Selangor.

Pengasas dan Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia (PKKM), Kuan Chee Heng berkata, lelaki itu berjumpa dengannya dua minggu lalu bagi meminta bantuan selepas tidak sanggup lagi menderita emosi dan fizikal selepas isterinya tiba-tiba berubah seperti orang gilakan seks sejak dua tahun lalu.

“Mangsa mendakwa dia akan diarahkan berlutut sebelum dirotan selepas menolak permintaan isterinya berusia 31 tahun untuk melakukan hubungan seks yang adakalanya sehingga 10 kali sehari.

“Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat kesan pukulan lama dan baharu pada punggung serta lain-lain anggota badannya,” ceritanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Monday 14 August 2017

Jin jadi khadam kutip hutang

PERBUATAN menggunakan jin kononnya untuk mengutip hutang boleh memesong akidah seseorang umat Islam.

KAJANG – Perkhidmatan mengutip hutang sering kali dikaitkan dengan kumpulan gengster atau samseng, tetapi kini terdapat individu yang sanggup terjebak dengan perbuatan syirik apabila menggunakan makhluk halus sebagai orang tengah untuk menagih hutang yang tidak dibayar.

Caranya mudah, pelanggan hanya perlu memberikan gambar serta alamat tempat tinggal orang yang tidak membayar hutang tersebut bagi membolehkan makhluk halus itu dihantar untuk mengganggu individu berkenaan sehingga dia melunaskan hutang.

Bomoh kutip hutang yang dikenali sebagai Mohamad itu mendakwa dia menggunakan khidmat jin Islam bagi membantu mengutip hutang pelanggannya.

Jelas Mohamad, jin yang dihantar untuk mengutip hutang itu tidak akan mencederakan sasaran, sebaliknya sekadar mengganggu, menakutkan dan melembutkan hati mereka supaya menjelaskan hutang pelanggan.

“Saya jamin dalam tempoh tiga hari, awak pasti dapat semula hutang yang ditagih sebelum ini. Orang yang berhutang dengan awak tidak akan cedera sebaliknya lembut hati untuk membayar hutang.

“Jika cara baik tidak berjaya, saya akan suruh jin itu menakutkannya sampailah dia bayar hutang kamu. Jin itu akan menjelma jadi makhluk hodoh untuk buat dia hidup dalam ketakutan

“Bayaran tidak banyak, kalau berjaya kutip hutang itu saya hanya minta 20 hingga 40 peratus daripada jumlah hutang. Apa-apa pun awak datang dulu jumpa dan kita boleh bincang lagi,” kata Mohamad ketika dihubungi semalam.

Sunday 13 August 2017

Cadangan bina Terusan Kra muncul semula



BANGKOK – Sekumpulan pesara tentera dan ahli perniagaan tempatan mahu merea­lisasikan cadangan projek pembinaan Terusan Segenting Kra atau Terusan Kra sepanjang 135 kilo­meter (km) bernilai AS$28 bilion (RM120 bilion).

Menurut laporan Nikkei Asian Review, beberapa individu berpengaruh di negara ini termasuk ahli politik, pesara tentera berpangkat tinggi, pakar akademik dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan China sedang memujuk Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Cha­­­­no­­cha untuk meneruskan projek berkenaan.

Prayuth sebelum ini me­negaskan pembinaan terusan itu tidak terdapat dalam agenda pemerintahannya.

Kumpulan tersebut percaya pembinaan terusan itu akan dibiayai melalui inisiatif Belt and Road yang dirintis China dan projek infrastruktur Laluan Sutera Ma­ritim Abad ke-21.

Kumpulan pesara tentera itu juga telah menubuhkan sebuah persa­tuan dikenali 'Persatuan Terusan Thai untuk Kajian dan Pembangunan' yang bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Peking dan sebuah syarikat China untuk mengkaji laluan yang dicadangkan.

Menurut pakar, jika Prayuth bersetuju meneruskan kajian laluan itu, pembinaan terusan berukuran 450 meter lebar dengan kedalaman 26 meter itu mampu dilalui oleh kapal kontena minyak terbesar dunia dan kapal kontena lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek tersebut akan membe­lah bahagian selatan Thailand ia­itu kira-kira 800 di selatan Bangkok dan kira-kira 200km di sempadan Thailand dengan Malaysia.

Ia akan menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman pada anggaran latitud sama dengan pulau Phuket.

Terusan itu merupakan lalu­an pintas dari Selat Melaka yang meng­hubungkan China, Japan dan negara-negara Asia Timur lain se­lain perdagangan minyak negara Asia Barat serta negara pasaran utama Eropah, Afrika dan India.

Jarak perjalanan bagi kapal yang melalui Laut Pasifik dan Laut Hindi mampu dipendekkan sekurang-kurangnya 1,200 km atau tiga hari pelayaran jika melalui terusan berkenaan. – Agensi

Saturday 12 August 2017

Siapa Pengerusi MARA baru?

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

EMPAT nama sudah disenarai pendek oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, senarai calon itu bakal diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk diteliti sebelum dijangka diumumkan pada 1 September ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti calon yang bakal menggantikan bekas Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa.

"Calon itu bakal meneruskan kesinambungan memartabatkan bangsa Melayu berikutan MARA adalah sebuah institusi Melayu yang agak besar di negara ini.

"Setakat ini, MARA berjaya melahirkan kira-kira 1.2 juta pelajar Melayu yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing, dan itu satu petanda agak baik kepada negara.

"Justeru, calon yang bakal dipilih itu perlu bekerja lebih keras, berdedikasi dan memiliki semangat juang tinggi mempertahankan MARA," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh kali ke-23 di Pasir Puteh, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zukifle Ali.

Akhbar sebelum ini melaporkanAnnuar melahirkan hasrat tidak menyambung kontrak sebagai Pengerusi MARA selepas memegang jawatan itu lebih empat tahun.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 19 Julai 2013 dan disambung pada 12 Ogos 2015.

Bagaimanapun, jawatan Annuar sebagai Pengerusi MARA digantung Januari lalu berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak pasukan Kelantan.

Friday 11 August 2017

Inspektor bakal dibuang kerja

Klip video seorang inspektor yang menunjukkan kad kuasa sambil memegang dompet ketika memasuki tandas wanita di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar pada Isnin lalu.

ALOR SETAR – Seorang inspektor polis lelaki yang ditahan ketika menceroboh tandas wanita dengan hanya memaki seluar boxer di sebuah pusat beli-belah Aman Central di Alor Setar, malam Isnin lalu dalam proses dibuang kerja.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff (gambar kecil) berkata, pegawai polis ter­babit yang bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mempunyai rekod perkhidmatan buruk membabitkan enam kesalahan lampau.

“Antara kesalahan yang dilakukan pegawai polis itu adalah menipu surat sijil sakit dan tidak hadir ke tempat kerja selama 90 hari,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPK Kedah di sini semalam.

Bank Britain guna lemak haiwan hasilkan wang kertas

GAMBAR fail bertarikh 13 September 2016 menunjukkan sekeping wang kertas polimer £5.

LONDON – Bank of England (BoE) semalam ber­kata, pihaknya tidak akan mengubah cara pembuatan wang kertas plastik baharu, walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan vegetarian dan kumpulan-kumpulan agama mengenai penggunaan lemak haiwan.

BoE berkata, satu-satunya alternatif untuk wang kertas polimer adalah menggunakan bahan kimia lebih mahal yang diperoleh dari­pada minyak sawit.

Selain itu, pembekalnya tidak mampu dengan hanya menggunakan minyak sawit dalam pengelua­ran bersifat mesra alam.

Lebih daripada 130,000 orang menandatangani petisyen tahun lalu menggesa BoE menghentikan penggunaan produk-produk haiwan dalam pembuatan wang kertas selepas terdapat sejumlah kecil lemak haiwan daripada lembu dan biri-biri yang digunakan dalam wang kertas plastik bernilai £5 (RM28).

Beberapa kuil Hindu dan restoran vegetarian enggan menerima wang kertas tersebut yang memaparkan pemimpin Perang Dunia Kedua, Winston Churchill yang dikatakan BoE lebih tahan lama dan sukar dipalsukan. – Reuters

Thursday 10 August 2017

Tertidur masa memandu, besi tembus paru-paru

Besi pengadang jalan yang menembusi badan Piyush Sondarva.

GUJARAT - INDIA. Malang tidak berbau bagi seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mengantuk, 30 Julai lalu.

Piyush Sondarva, 30 tertidur semasa memandu sebanyak dua kali sebelum terjaga buat kali ketiga dengan besi pengadang jalan tertusuk di badannya.

"Besi berukuran empat kaki lima inci lebar telah menembusi badan saya dan saya tidak boleh bergerak kerana besi tersebut," kata Piyush dipetik laporan Times of India.

Piyush memerlukan masa kira-kira tiga minggu untuk sembuh.

Satu pasukan kecemasan yang tiba di lokasi gagal memotong besi tersebut tetapi seorang awam kebetulan membawa alat pemotong besi sebelum mangsa dibawa ke hospital Shelby.

Selain badannya ditembusi besi, dua jari tangan kanan Piyush hancur dan mangsa cedera parah di pergelangan tangan.

Menurut Dr Bhavin Desai, paru-paru kanan, sembilan tulang rusuk dan beberapa organ mangsa rosak.

"Kami berjaya membedah mangsa selepas besi tersebut tertusuk selama sejam," kata Dr Bhavin.

Piyush kini memerlukan masa kira-kira tiga minggu untuk sembuh.

Wednesday 9 August 2017

Pelajar bawa peranti mulai tahun depan

Mahdzir Khalid berbual dengan peserta Seminar Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Nasional Ke-24 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Pahang, semalam.

BENTONG - Kementerian Pendidikan akan membenarkan murid dan pelajar sekolah di negara ini membawa alat peranti ke sekolah awal tahun depan selaras perkembangan teknologi dalam bidang berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak­nya ini sedang merangka peraturan serta pekeliling bagi menetapkan penggunaan serta jenis alat peranti yang dibenarkan dibawa ke sekolah.

“Waktu penggunaannya belum ditetapkan, pada masa ini hanya tablet dibenarkan dan pelajar dilarang membawa telefon bimbit kerana dilihat mampu mengganggu dan menjejaskan tumpuan pelajar dalam kelas.

“Berdasarkan pemerhatian, sesetengah negara membenarkan penggunaan alat ini dalam tempoh dua jam dan ada negara yang menggunakannya mengikut subjek,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pengurusan dan Kepe­mimpinan Pendidikan Nasional Ke-24 di Institut Aminuddin Baki di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ke­tua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Mahdzir membe­ritahu, pihak­nya melihat penggunaan peranti di sekolah sejajar gelombang teknologi dunia kerana keba­nyakan negara maju sudah membenarkan pelajar mereka membawa alatan tersebut ke sekolah.

Jelasnya, kementerian sedia melakukan transformasi bidang pendidikan justeru akan berusaha memperluaskan capai­an jalur le­bar di setiap sekolah.

“Capaian internet meluas kerana daripada 10,000 buah sekolah di negara ini, lebih 6,000 daripadanya mempunyai capaian internet,” ujarnya.

Mengenai pembelajaran digital, beliau menyatakan, pihaknya belum mewajibkan penggunaannya dalam sesi pembelajaran berikutan terdapat sekolah yang masih kurang berkemampuan untuk melakukannya.

Pada 18 April lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan cadangan membenarkan pelajar di negara ini membawa alat per­anti ke sekolah sebagai usaha membantu proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan.

Tuesday 8 August 2017

Penempatan haram Yahudi meningkat tiga kali ganda

Aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi dilaporkan meningkat sejak beberapa bulan lalu.

RAMALLAH - PALESTIN. Laporan terbaru menunjukkan skala aktiviti penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin telah meningkat hampir tiga kali ganda pada separuh pertama 2017 berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Data itu dikeluarkan Pejabat Negara untuk Pertahanan Tanah dan Bantahan Penempatan Haram Palestin menerusi laporan minggu yang diterbitkan, kelmarin.

Awal minggu lalu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dilaporkan menghadiri majlis peletakan batu asas untuk projek pembinaan 1,000 unit rumah baharu di penempatan haram Beitar Ilit berhampiran Baitulaham di Tebing Barat.

Difahamkan, struktur baharu itu dibina untuk penduduk Israel yang diusir dari penempatan haram Amona yang dirobohkan selepas diarahkan oleh Mahkamah Agung.

Sejak beberapa bulan lalu, Tel Aviv telah meningkatkan aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi yang secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB, lapor Press TV.

Monday 7 August 2017

Pelombong emas kuasai kampung

Sebahagian penduduk berhimpun di Kampung Sokor, Tanah Merah semalam bagi membantah tindakan perlombongan emas.

TANAH MERAH – Emas berkualiti yang ditemui di Hutan Simpan Sokor di Kampung Sokor di sini beberapa tahun lalu kini menjadi ‘kegilaan’ sebuah syarikat perlombongan sehingga didakwa tergamak memusnahkan tanaman getah penduduk dan alam sekitar di beberapa buah kampung di sekitarnya.

Syarikat yang didakwa berlesen itu sedang giat meneroka hasil bumi di kawasan berkeluasan hampir 400 hektar di atas tiga buah bukit iaitu Bukit Saujana, Bukit Candang dan Bukit Kandang Kerbau.

Tindakan syarikat perlombongan yang bersungguh-sungguh mencari hasil bumi itu secara tidak langsung didakwa menjejaskan punca rezeki kira-kira 150 penduduk di sekitar Kampung Sokor.

Tinjauan Kosmo! ke lokasi perlombongan mendapati sebahagian pokok-pokok getah milik penduduk di Kampung Sokor dimusnahkan begitu sahaja untuk tujuan membina jalan memasuki ke kawasan perlombongan emas.

Lebih malang, apabila ada dalam kalangan penduduk mendakwa mereka hilang punca rezeki selepas kebun mereka didapati termasuk dalam kawasan yang digazetkan untuk perlombongan emas.

Wartawan yang menjejaki lokasi perlombongan terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan menempuh perjalanan kira-kira sejam sejauh kira-kira 15 kilometer dari Gual Ipoh untuk tiba ke Hutan Simpan Sokor.

Orang ramai juga boleh menyusuri jalan tanah merah bermula dari Kampung Perala untuk sampai ke Kampung Sokor.

Mengikut maklumat penduduk yang terjejas dengan aktiviti perlombongan emas itu, Hutan Simpan Sokor yang menjadi lokasi penemuan emas kini turut berubah wajah apabila saban hari digondolkan oleh syarikat perlombongan tersebut.

Sementara itu, seorang peneroka, Wan Razi Wan Said, 58, berkata, dia sudah meneroka tanah di situ sembilan tahun lalu dan kini tanaman getah yang diusahakan juga telah mengeluarkan hasil.

“Jadi syarikat perlombongan emas itu menemui penduduk untuk berbincang bagi membayar ganti rugi tanaman getah yang dimusnahkan untuk tujuan membina jalan.

“Kami tidak mempunyai pilihan kecuali terpaksa bersetuju kerana syarikat perlombongan itu bersungguh-sungguh dan tidak memberi pilihan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sunday 6 August 2017

Indonesia keluar arahan tembak pembakar hutan

SEORANG anggota bomba memadamkan kebakaran belukar di Daerah Ogan Ilir, Sumatera Selatan, Indonesia kelmarin.

JAKARTA – Seorang pegawai tentera di wilayah Jambi, Pulau Sumatera berkata semalam bahawa beliau telah mengarahkan anggota-anggotanya untuk menembak sesiapa sahaja yang sengaja membakar kawasan hutan.

“Arahan ini untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa kami serius dan tegas. Mereka sudah diberi amaran berulang kali,” kata komander pasukan bertindak kebakaran hutan, Kolonel Ref­rizal.

Katanya, arahan itu akan dilaksanakan dengan cara yang ‘bertanggungjawab’.

Media Indonesia melaporkan bahawa arahan sama turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa Sumatera Selatan.

Pemerintah mengisytiharkan darurat di lima buah wilayah di In­donesia setakat ini, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana (BNPB), manakala jumlah titik panas di negara itu juga semakin meningkat sejak seminggu lalu.

Perkembangan itu mendorong BPNB untuk bekerjasama dengan agensi pemerintah lain termasuk tentera untuk membendung kebakaran hutan.

“Pasukan bertindak di Jambi sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran hutan meliputi kawasan seluas 10 hektar,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho di laman Twitter.

Kata Sutopo lagi, pihak berkuasa turut menemui sebuah kawasan di Jambi yang sengaja dibakar oleh pemiliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, BNPB berkata, bilangan titik panas di seluruh Indonesia meningkat kepada 239 menjelang 30 Julai lalu daripada 273 titik panas beberapa hari sebe­lumnya.

Kebanyakan titik panas atau kebaka­ran hutan itu kebanyakannya dilihat di wilayah Kalimantan dengan sebahagian lagi berlaku di Pulau Sumatera dan Pulau Jawa. – Reuters

Saturday 5 August 2017

Konfrontasi China-India makin buruk

SOROTAN rakaman stesen televisyen CCTV semalam menunjukkan askar-askar China mengadakan latihan artileri di Wilayah Autonomi Tibet berhampiran sempadan India.

BEIJING – Kementerian Luar China berkata bahawa India menambah bilangan askarnya dan membaiki jalan-jalan di sempadan miliknya ketika ketega­ngan di sebuah kawasan pedalaman dekat negara Bhutan makin meruncing.

Konfrontasi antara New Delhi dan Beijing itu melibatkan tuntutan bertindih di sebuah dataran tinggi di sebelah negeri Sikkim, timur laut India.

Lokasi itu bersempadan dengan China.

“Sudah sebulan sejak insiden ini (pencerobohan) berlaku, namun India bukan sahaja masih berada dalam wilayah China, malah ia turut membaiki jalan-jalan di kawasannya, meningkatkan bekalan dan menambah bilangan askar.

“Semua tindakan ini jelas bukan untuk keamanan,” kata Kementerian Luar China dalam satu kenyataan.

India sebaliknya menafikan meningkatkan kekuatan perangnya di lokasi itu. Dalam kenya­taan kepada Parlimen India petang kelmarin, Menteri Luar, Sushma Swaraj meminta supaya dialog diadakan bagi menyelesaikan isu itu berdasarkan persetujuan bersama yang dimeterai pada 2012.

Namun, awal Jun lalu, Beijing mendakwa askar-askar India menyeberang ke rantau itu yang dinama­kan Donglang oleh China dan menghalang kerja pembinaan sebuah jalan raya.

Konfrontasi antara kedua-dua belah pihak kemudian tercetus dekat sebuah lembah dikawal oleh China yang memisahkan India dari sekutu rapatnya, Bhutan.

Lembah itu memberikan China akses kepada kawasan genting dikenali sebagai Leher Ayam. Genting itu menghubungkan India dengan kawasan pedalaman di timur laut negara itu.

India sebelum ini memberi amaran pembinaan jalan di sempadan bersama itu akan mendatangkan akibat buruk.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertahanan China memberi ­amaran bahawa kesabaran Beijing ada batasnya.

“Tiada negara boleh memandang rendah keyakinan tentera China dalam menyempurnakan misinya bagi melindungi keamanan. Tiada negara boleh memandang rendah keazaman tentera China dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan pembangunan negara,” kata kementerian itu.

Di sebalik usaha diplomatik China, kementerian sama berkata, India bukan sahaja tidak mengundurkan tenteranya tetapi membuat tuntutan tidak wajar dan tidak jujur berkaitan pertikaian tersebut.

Pegawai-pegawai India pula berkata, kira-kira 300 askar daripada kedua-dua belah pihak berdepan antara satu sama lain pada jarak cuma 150 meter di dataran tinggi itu.

Media negara China memberi amaran bahawa India akan mengalami nasib lebih buruk berban­ding kekalahan New Delhi dalam perang singkat merebut sempadan pada tahun 1962.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera China mengadakan latihan bedilan meriam menggunakan peluru hidup di kawasan pertikaian itu. – Reuters

Friday 4 August 2017

AS berdepan risiko muflis

WAJAH Trump terpapar pada skrin televisyen di pejabat Bursa Saham New York di Bandar Raya New York kelmarin.

WASHINGTON – Kongres Amerika Syarikat (AS) mesti meningkatkan had hutang persekutuan bagi menghalang kerajaan daripada gagal menunaikan tanggungjawab kewangannya buat kali pertama dalam sejarah.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin sudah berulang kali memberi amaran kepada Kongres bahawa kerajaan akan kehabisan wang pada 29 September depan jika had pinjaman tidak ditingkatkan.

Perbendaharaan AS katanya, perlu terus meminjam untuk membayar perbelanjaan kerajaan termasuk membayar pencen pesara, gaji kakitangan awam dan elaun penerima bantuan kebajikan.

Tanpa kenaikan had siling pinjaman itu, Washington juga tidak akan dapat membayar hutang-hutangnya, kea­daan yang dibimbangi akan mencetuskan kegawatan dalam pasaran kewangan.

AS mencapai had siling hutang berjumlah AS$19.8 trilion (RM84.8 trilion) pada Mac lalu dan sejak itu, Perbendaharaan telah menggunakan ‘langkah-langkah luar biasa’ seperti melengahkan sejumlah pelaburan supaya kerajaan tidak melangkaui had tersebut.

Kerajaan AS tidak mempunyai pilihan kecuali meminjam untuk membayar faedah hutang sedia ada di sam­ping membiayai gaji penjawat awam dan pencen. Ini berikutan Washington sudah lama mengalami defisit belanjawan.

Walaupun White House dan Kong­res kini dikuasai wakil rakyat Parti Republikan, usaha mendapatkan lampu hijau bagi menaikkan had siling hutang bukanlah perkara yang mudah.

Ini kerana sebilangan wakil rakyat Republikan sendiri menentang bajet defisit dan mahukan pemotongan perbelanjaan dilakukan sekiranya had pinjaman meningkat.

Bagaimanapun, Mnuchin seperti juga Setiausaha Perbendaharaan sebelumnya, mahu siling hutang dinaik­kan tanpa sebarang prasyarat bagi melicinkan perbelanjaan negara.

Setiausaha akhbar White House, Sarah Huckabee Sanders berkata pada Selasa lalu bahawa pentadbiran Trump mahukan had siling hutang negara dinaikkan secepat mungkin.

“Sejak dua dekad lalu, ahli Kongres dan Presiden daripada kedua-dua Parti Republikan dan Demokrat telah meningkatkan siling hutang sebanyak 15 kali dan kami meminta Kongres memastikan agar pembayaran hutang AS berjalan dengan lancar,” katanya. – AFP

Satu kes cerai berlaku setiap hari di Perlis

Facebook antara medium laman sosial yang sering digunakan untuk mengesan kenalan yang lama terpisah.

KANGAR – Satu kes perceraian melibatkan pasangan Islam berlaku di Perlis setiap hari disebabkan pelbagai faktor termasuk suami atau isteri menjalinkan hubungan semula dengan kekasih lama menerusi laman sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Khairi Hasan berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 2,030 pasangan Islam berkahwin di negeri itu.

Menurutnya, bagaimanapun, seramai 710 pasangan suami isteri yang tidak mencapai persefahaman dalam hubungan telah bercerai.

“Rata-rata pasangan yang bercerai berumur dalam lingkungan 30-an.

“Daripada jumlah itu, cuma 119 pasangan yang mengambil keputusan untuk merujuk kembali,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Anak bilionair Malaysia tinggalkan harta kerana cinta

KOMBINASI gambar Kay Peng (kiri) dan Pauline. ANGELINE (kanan) bersama suaminya, Francis.


LONDON – Anak perempuan bilionair Malaysia, Tan Sri Khoo Kay Peng mendedahkan bahawa dia menolak harta kekayaan keluarganya kerana mahu berkahwin dengan lelaki pilihan yang tidak direstui bapanya.

Dalam wawancara eksklusif bersama You Magazine dalam akhbar The Daily Mail pada minggu lalu, Angeline Francis Khoo, 34, berkata, dia kini tidak bercakap dengan bapanya.

Kay Peng, 78, merupakan pengerusi Malayan United Industries, sebuah syarikat pelaburan yang mempunyai kepentingan yang besar dalam jenama gaya hidup, Laura Ashley dan kumpulan hotel mewah, Corus.

Majalah Forbes menganggarkan kekayaan Kay Peng berjumlah AS$300 juta (RM1.28 bilion) de­ngan beliau menduduki tangga ke-44 senarai 50 orang paling kaya di Malaysia pada tahun 2015.

Angeline merupakan anak keempat daripada lima anak Kay Peng de­ngan bekas isterinya yang pernah meraih gelaran ratu cantik Malaysia, Pauline Chai.

Angeline berkenalan dengan saintis kelahiran Carribean, Jedidiah Francis semasa belajar di Universiti Oxford pada tahun 2008.

Kay Peng dan Pauline berkahwin pada 1970 sebelum berpisah dalam tahun 2013.

Mereka berbelanja lebih AS$7.8 juta (RM34 juta) untuk membayar peguam bagi menyelesaikan masalah pembahagian harta sepencarian selepas bercerai, demikian menurut akhbar The Guardian.

Angeline memberitahu bapanya bahawa dia mahu berkahwin dengan Francis, namun beliau enggan merestui mereka.

“Saya fikir pendirian ayah adalah salah, jadi tiada persoalan tentang apa yang betul.

“Saya bertuah memiliki perspektif ini: anda boleh mendapatkan wang dan ia adalah satu rahmat; anda boleh melakukan banyak perkara dan punyai pelbagai pilihan dengan wang, namun ia ada harganya seperti kongkongan.

“Wang (kekayaan) juga menyerlahkan lagi sifat buruk yang ada pada seseorang dan ini boleh me­ngundang masalah. Untuk meninggalkan kekayaan sebenarnya sangat mudah (bagi saya). Saya tidak perlu mempertimbangkannya,” kata Angeline dalam temu bual tersebut.

Pasangan itu dilaporkan berkahwin di sebuah gereja kecil di Kolej Pembroke yang merupakan tempat Francis bekerja.

Perkahwinan mereka berlangsung sederhana dan hanya menelan belanja sekitar AS$1,980(RM8,500). Majlis itu dihadiri oleh 30 tetamu tanpa kehadiran seorang pun ahli keluarga pengantin perempuan.

Sebelum berkahwin, keluarga Angeline mahu dia bekerja dalam perniagaan keluarga.

Angeline pertama kali berpindah ke Britain pada tahun 2001 untuk belajar undang-undang di Universiti Buckingham.

Dia yang kini merupakan seorang pereka fesyen, turut mendakwa tidak mengetahui tentang kekayaan sebenar bapanya sehingga ia didedahkan di mahkamah semasa proses penceraian tersebut.

Angeline merupakan satu-satunya saksi yang dipanggil semasa perbicaraan penceraian ibu bapanya.

Kay Peng diperintahkan oleh sebuah mahkamah Britain pada April tahun ini untuk membayar sebanyak AS$84 juta (RM359.8 juta) kepada ibunya yang berumur 68 tahun sebagai bayaran penyelesaian perceraian mereka. – Agensi

Thursday 3 August 2017

AS sedia serang Korea Utara

GAMBAR yang didedahkan oleh Tentera Udara Jepun menunjukkan pesawat pengebom Tentera Udara AS, B-1B terbang bersama jet F-2 milik Jepun di selatan Pulau Kyushu ketika latihan bersama pada 30 Julai lalu.

WASHINGTON – Seorang senator daripada Parti Republikan kelmarin berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah memberitahunya bahawa beliau sanggup berperang untuk memusnahkan Korea Utara daripada mem­biarkan negara itu membangunkan peluru berpandu bersenjata nuklear jarak jauh.

Senator Lindsey Graham (gambar kecil) yang merupakan orang kuat dalam dasar luar AS memberitahu ran­cangan Today Show terbitan NBC: “Terdapat pilihan ketenteraan, untuk memusnahkan program Korea Utara dan negara itu sendiri.”

Minggu lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan bangga menyatakan bahawa negaranya kini boleh me­nyerang mana-mana sasaran di Amerika Syarikat selepas menjalankan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbaharu.

Kuasa-kuasa dunia telah cuba untuk menyekat program senjata Pyongyang melalui sekatan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi gagal sekali gus membuatkan Washing­ton semakin kecewa.

Graham berkata, jika diplomasi dan tekanan khusus daripada jiran Korea Utara, China gagal menghentikan program tersebut, maka AS tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan ketenteraan yang dahsyat.

“Perang akan tercetus de­ngan Korea Utara berhubung program peluru berpandu jika mereka terus cuba mensasarkan AS dengan ICBM,” katanya menerangkan perbincangan de­ngan Trump.

“Presiden memberitahu saya sedemikian. Saya percaya padanya. Jika saya China, saya akan mempercayainya juga dan melakukan sesuatu. Kamu boleh menghentikan Korea Uta­ra sama ada secara ketenteraan atau diplomasi.

“Saya lebih suka pendekatan diplomasi. Tetapi, mereka tidak akan dibenarkan memiliki peluru berpandu untuk menyerang AS dengan senjata nuklear di atasnya,” ujar beliau. – AFP

Wednesday 2 August 2017

6 pegawai kastam disyaki pengedar dadah



Kuala Lumpur : Enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan kelmarin dan semalam kerana disyaki terbabit dengan Geng 360 Devan.

Difahamkan, semua suspek ditahan di lokasi berbeza sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut sumber, semua suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dengan pengedaran dadah untuk geng itu.

"Kesemua suspek direman 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Mereka ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

"Kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Tuesday 1 August 2017

Ramai rakyat Yemen terkandas di Malaysia

KAD hijau AS bagi melayakkan seseorang warga asing menjadi Pemastautin Tetap di negara tersebut telah menarik kira-kira 14 juta permohonan pada setiap tahun.

WASHINGTON – Yemen menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) supaya menerima berpuluh-puluh rakyatnya yang melakukan perjalanan ke Malaysia sejak beberapa bulan lalu dengan harapan untuk berhijrah ke AS, namun terkandas akibat larangan perjalanan sementara yang dilaksanakan oleh Presiden Donald Trump.

Duta Yemen ke AS, Ahmed Mubarak berkata, pegawai-pegawainya di Washington mengadakan rundingan dengan Jabatan Negara pada bulan ini bagi mencari jalan penyelesaian supaya berpuluh-puluh pemenang loteri kad hijau dari Yemen boleh memasuki AS di sebalik sekatan perjalanan Trump.

“Mereka berada di Malaysia lebih enam bulan dan telah menjual segala-galanya di Yemen. Kami melakukan apa yang termampu,” kata Ahmed.

Situasi tersebut sangat sukar untuk rakyat Yemen. Oleh kerana AS tidak mempunyai kedutaan di Yemen, rakyatnya terpaksa pergi ke negara ketiga untuk memohon visa dengan kebanyakan mereka memilih melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Perjalanan ke Malaysia sejauh 6,400 kilometer itu menelan belanja tinggi dan sukar untuk rakyat Yemen, apatah lagi ketika negara termiskin di rantau Teluk itu dibelenggu perang saudara.

Sebahagian besar warga Yemen yang datang ke Malaysia akan menginap sementara di bangunan-bangunan apartmen di pinggir Kuala Lumpur di mana mereka membina sebuah komuniti kecil.

Berikutan sekatan imigresen, kumpulan itu tidak dibenarkan untuk bekerja dan lama-kelamaan, mereka kehabisan wang. Kebanyakan rakyat Yemen di Malaysia bergantung kepada dana yang disumbangkan oleh rakyat Yemen lain atau dihantar oleh saudara mara mereka.

Larangan perjalanan selama 90 hari itu akan tamat pada 27 September depan, hanya tiga hari sebelum kelayakan untuk mendapatkan kad hijau berakhir.

Loteri kad hijau AS menarik kira-kira 14 juta permohonan pada setiap tahun, kebanyakannya melihat ia sebagai peluang untuk menetap di negara kaya tersebut. – Reuters